Melalui pindaan Pekeliling Perkhidmatan 2009, anggota berpangkat Konstabel akan dinaikkan pangkat ke Lans Koperal selepas tiga tahun perkhidmatan, dan Lans Koperal dinaikkan pangkat ke Koperal selepas lima tahun, katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Polis Ke-203. Inisiatif penambahbaikan ini akan melibatkan lebih 52,000 anggota lain-lain pangkat. Beliau turut mencadangkan supaya balai polis yang cemerlang diberikan penghargaan khas berdasarkan prestasi dan pencapaian mereka. Apa yang diberikan hari ini sebagai menunjukkan sokongan dan dorongan kerajaan atas jasa anggota polis yang bertugas demi bangsa dan negara.
Selain itu, beliau menekankan tiga nilai utama iaitu integriti, keberkesanan dan keberhasilan yang perlu dipegang oleh seluruh warga PDRM dalam menjalankan tanggungjawab mereka kepada masyarakat terutama untuk memastikan negara dalam keadaan aman dan selamat. iga nilai itu penting terutama dalam usaha mengurangkan kadar jenayah yang menjadi satu daripada enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Mengurangkan jenayah merupakan satu misi nasional yang menjadi agenda penting kerajaan. Tugas tersebut bukan sahaja menjadi tanggungjawab polis tetapi juga Menteri Dalam Negeri serta saya sendiri sebagai ketua kerajaan yang turut bertanggungjawab kepada rakyat untuk menjayakan matlamat ini. Sejak NKRA diumumkan tahun lepas dengan mensasarkan penurunan kadar jenayah sebanyak lima peratus menjelang tahun 2010, ia mula menunjukkan tanda positif apabila dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, ia turun sebanyak 13 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Permulaan ini memberi petanda serta dorongan yang baik bagi meneruskan momentum untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Jika nak berjaya perangi jenayah perlu tentukan kekuatan dalam semua aspek bukan sahaja anggota dan tiga nilai yang dinyatakan tetapi juga kemahiran-kemahiran baru seperti teknologi, alat komunikasi terbaik serta dalam semua aspek. Perdana Menteri memberi contoh balai polis bergerak yang ada perlu mempunyai kelengkapan alat komunikasi lebih efisyen agar para anggota di balai mudah berhubung dan mengambil tindakan secepat mungkin sekiranya kejadian jenayah berlaku.