Selasa, 27 April 2010

Robert Lau Hui Yew Calon BN Bagi Pilihan Raya Kecil Sibu


Peguam Robert Lau Hui Yew diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu pada 16 Mei ini, kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Surat pencalonan Hui Yew diserahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, selaku Pengerusi BN, kepada Abdul Taib, iaitu pengerusi BN Sarawak, dalam satu perjumpaan di Putrajaya.


Ketua Menteri mengucapkan tahniah kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kerana memilih calon yang terbaik. Sementara itu, Presiden Parti SUPP berkata parti itu telah melangkah ke era penjenamaan semula bagi memikat hati pengundi dan penyokong pada pilihan raya kecil itu. Memberi golongan muda dan bertenaga dalam parti supaya memberi khidmat kepada rakyat, satu permulaan dalam parti SUPP.


Hui Yew, 45, yang turut dikenali sebagai Robert Lau Junior, adalah sepupu kepada mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew, penyandang kerusi Parlimen Sibu, selama lima penggal, yang meninggal dunia pada 9 April lalu. Hui Yew juga mepunyai sikap yang mudah didampingi dan ia merupakan nilai kejayaan untuk meraih sokongan pengundi Sibu. Beliau menjadi calon pilihan kerana pembabitan aktif dalam kerja-kerja parti dan pendekatan mesra apabila berurusan dengan peniaga pelbagai kaum di pusat bandar Sibu dan masyarakat Iban di rumah panjang di luar kawasan bandar itu. Hui Yew merupakan Penolong Bendahari SUPP cawangan Sibu dan menjadi ahli parti itu sejak 17 tahun lalu.

Ahad, 25 April 2010

PNB serah zakat perniagaan RM2.48 juta kepada Sarawak

Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM2.48 juta bagi tahun kewangan 2009 kepada negeri Sarawak. Cek zakat perniagaan kumpulan PNB diserahkan oleh Pengerusi PNB Tun Ahamd Sarji Abdul Hamid kepada Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bagi pihak Majlis Islam Sarawak.


Sarawak merupakan negeri pertama yang menerima zakat perniagaan daripada institusi pelaburan utama negara, PNB bagi tahun kewangan 2009. Pada tahun lepas Sarawak telah menerima zakat perniagaan berjumlah RM2.7 juta bagi tahun kewangan 2008. Zakat perniagaan merupakan satu kewajipan yang ditunaikan oleh PNB dalam membantu mereka yang layak menerimanya dan akan terus dilaksanakan di negeri-negeri lain dari semasa ke semasa.


Zakat yang dibayar adalah hasil keuntungan PNB daripada perniagaan dalam pegangan pelaburan, pengurusan harta, pengurusan unit amanah dan hartanah, khidmat perundingan pengurusan dan pengurusan pelaburan. Pembayaran zakat oleh Kumpulan PNB ini dikira mengikut haul dan nisab yang sudah ditetapkan dan ia tidak meliputi agihan pendapatan untuk pemegang unit amanah yang melabur dalam tabung yang dikendalikan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Oleh itu pemegang akaun dinasihatkan melunaskan sendiri zakat bagi pelaburan dalam setiap unit amanah berkenaan.

Selasa, 20 April 2010

Peruntukan RM2 Juta Untuk 4 Sekolah Di Sarawak

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan berjumlah RM2 juta untuk membaiki keadaan empat buah sekolah rendah di sini, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Hua Hin English, SK St Mary, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tiong Hin dan SJKC Uk Daik. Bantuan kerajaan Persekutuan itu sebagai menunaikan 'wasiat' mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew, penyandang kerusi Parlimen Sibu dan Timbalan Menteri Pengangkutan yang meninggal dunia 9 April lepas.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata mendiang Lau merupakan seorang pemimpin yang sentiasa mementingkan pembangunan pendidikan sepanjang beliau berkhidmat dalam kerajaan. Kita yang masih hidup ini bukan sahaja perlu mengenangkan pengorbanan mendiang tetapi yang lebih penting meneruskan lagi segala sumbangan khidmat bakti cemerlang beliau. Sementara itu beliau turut mengumumkan kelas pra-sekolah akan dimulakan di empat buah rumah panjang di Sarawak mulai Jun ini. Penubuhan kelas pra-sekolah di negeri ini merupakan langkah awal untuk meningkatkan lagi pencapaian pendidikan di kalangan anak-anak luar bandar negeri ini.

Ahad, 18 April 2010

BAKAL CALON BN SUPP SIBU

Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akan berme-syuarat pada 25 April ini untuk memutamadkan calon bagi bertanding pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu. Presiden SUPP Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata walaupun cawangan parti itu di Sibu mencadangkan Robert Lau Hui Yew atau lebih dikenali ‘Robert Lau Junior’ sebagai calon, perkara itu perlu dibincangkan oleh CWC parti.



Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Robert Lau Hoi Chew yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April akibat barah. Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon adalah pada 8 Mei dan jika ada pertandi-ngan hari mengundi ialah pada 16 Mei.



Robert Lau Hui Yew, yang menjadi anggota SUPP sejak 17 tahun lepas dan penolong bendahari cawangan itu, adalah dua pupu mendiang Hoi Chew. Ayah Hui Yew, Lau Swee Nguong, ialah pengerusi Kumpulan Syarikat KTS, yang terlibat dengan perniagaan kayu balak, eksport balak, pembuat papan lapis, ladang kelapa sawit dan perkapalan.



Beliau telah didik oleh mendiang untuk mengambil alih daripada beliau dan telah membabitkan diri dalam program pembangunan semula sekolah-sekolah yang berasaskan sekolah Kristian, sebuah projek yang diilhamkan oleh Hoi Chew yang mana mendiang akan diingati selama-lamanya. Sibu mempunyai 54,695 pengundi berdaftar yang mengandungi 52,158 peng-undi biasa dan 2,537 peng-undi pos yang terdiri 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis.

Pembangkang Hanya Mahu Raih Simpati Rakyat

Dakwaan pembangkang mengatakan Barisan Nasional (BN) mengamalkan politik wang dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu adalah semata-mata mahu meraih simpati dan sokongan rakyat di kawasan terbabit. Sememangnya pembangkang sengaja mengaburi mata rakyat dengan fitnah yang mengatakan kerajaan telah membelanjakan wang berjuta-juta ringgit di Sibu semata-mata untuk pilihan raya.



Tetapi, pembangkang tidak sedar bahawa BN telah pun melaksanakan projek pembangunan untuk rakyat di Sibu terutamanya projek tebatan banjir yang menelan belanja begitu besar. Projek tebatan banjir di Sibu merupakan projek pembangunan kerajaan di bawah pelaksanaan Jawatankuasa Barisan Wawasan Pembangunan Sibu yang turut dianggotai oleh mendiang Datuk Robert Lau. BN sememangnya meneruskan program pembangunan di kawasan Sibu walaupun bukan pada masa pilihan raya. Tetapi, rakyat Sibu akan lebih memahami kehendak kerajaan untuk mengubah landskap pembangunan mereka.

Selasa, 13 April 2010

Yayasan 1Malaysia Sambut Baik Penubuhan Jawatankuasa Kerja Antara Agama

Yayasan 1Malaysia berkata penubuhan Jawatankuasa Kerja Antara Agama merupakan langkah baik dan ia amat bermakna kerana institusi Islam dan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) mempunyai wakil masing-masing dalam jawatankuasa itu. Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan 1Malaysia Dr Chandra Muzaffar berkata walaupun kedudukan dan struktur jawatankuasa serta keanggotaannya berbeza dengan apa yang dicadangkan Yayasan 1Malaysia awal tahun ini, adalah menjadi harapan ia akan dapat menyelesaikan kontroversi berkaitan isu agama yang menjadi cabaran negara kebelakangan ini.

Jawatankuasa itu, yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, bukan sahaja hanya menyediakan penyelesaian konkrit isu-isu yang menghimpit masyarakat pelbagai agama tetapi juga mengubah corak pemikiran segmen masyarakat utama negara ini tentang bagaimana mereka memahami dan mengamalkan kepercayaan masing-masing. Ini merupakan tugas yang perlu ditangani jawatankuasa dengan sokongan dan kerjasama pelbagai kumpulan dalam masyarakat yang turut komited kepada transformasi tingkah laku berpengaruh terhadap agama di Malaysia hari ini. Chandra berkata jawatankuasa itu perlu mengkaji undang-undang dan dasar-dasar di negara-negara penduduknya beragama Islam yang turut berhadapan dengan cabaran-cabaran serupa dalam hubungan mereka dengan kaum-kaum minoriti bukan Islam.


Pengalaman-pengalaman dalam masyarakat lain mungkin dapat membantu kita untuk memahami keadaan sendiri dengan lebih baik ketika kita mencari kaedah dan jalan penyelesaian dalam situasi yang dihadapi. Beliau juga berpendapat jawatankuasa perlu mengadakan perbincangan dengan kumpulan-kumpulan dan para individu yang mempunyai pengetahuan dan pemahaman mengenai isu-isu yang ditangani jawatankuasa.

Jawatankuasa ini mungkin mahu bertemu dengan tokoh-tokoh Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam (IAIS), yang banyak melakukan penyelidikan berhubung isu-isu perundangan Islam dalam dunia kontemporari dan hubungan antara agama. Beliau turut mencadangkan jawatankuasa agar melihat semula draf laporan yang disediakan sebuah jawatankuasa di bawah Peguam Negara, yang meliputi badan-badan Islam, wakil-wakil pelbagai agama, badan-badan bukan kerajaan (NGOs) yang berbincang sejak 2005 hingga 2007.


Jawatankuasa itu membincangkan isu-isu mengenai pertukaran dan penjagaan anak-anak, hak pasangan apabila seorang daripada pasangan memeluk agama lain, status seseorang yang pegangan agamanya dipertikaikan dan beberapa perkara berkaitan. Walaupun laporan itu tidak mendapat persetujuan daripada seluruh anggota jawatankuasa, banyak penyelesaian yang dicadangkan adalah seimbang, rasional dan inklusif. Jika mereka boleh melihat semula dengan fikiran terbuka, Jawatankuasa Kerja Antara Agama akan dapat memudahkan tanggungjawabnya.

Sabtu, 10 April 2010

Lau Banyak Memberi Sumbangan Dan Jasa Kepada Sarawak Dan Negara

Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata kematian Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Robert Lau Hoi Chew merupakan satu kehilangan besar bagi negeri Sarawak. Mendiang telah banyak memberikan sumbangan dan jasanya kepada negara dan negeri Sarawak sepanjang beliau berkhidmat dalam kerajaan pusat. Sepanjang penglibatannya dalam politik, Lau yang merupakan anggota Parlimen Sibu selama lima penggal sejak 1990 telah bekerja keras untuk membangunkan bandar Sibu termasuk daripada aspek kebersihan.


Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau, 68, yang juga anggota parlimen bandar Sibu di kediamannya di Kuala Lumpur pagi Jumaat setelah sekian lama menghidap barah hati. Keluarga Lau memiliki kumpulan KTS - sebuah konglomerat yang terbabit dalam industri pembalakan dan media. Kumpulan KTS memiliki beberapa akhbar termasuk Borneo Post dan Oriental Daily News.

Mendiang dari SUPP memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 3,235 undi. Beliau menewaskan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang. Kematiannya akan membawa kepada satu lagi pilihan raya kecil - yang kesebelas selepas pilihan raya umum 2008. Ia juga merupakan pilihan raya kecil kedua di Sarawak selepas DUN Batang Ai. Pilihan raya kecil tersebut perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh berlaku kekosongan. Pada pilihan raya umum 2008, Lau mendapat 19,138 undi manakala Wong mendapat 15,903 undi dan Lim (812). Lau mewakili parlimen Sibu sejak 1990. Dalam pilihan raya umum 2008, parlimen Sibu mempunyai 53,679 pengundi, dengan majoriti kaum Cina (60 peratus), Melanau (20 peratus), Iban (18 peratus) dan Orang Ulu (1.1 peratus).

Portal MyPROCUREMENT


Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, Malaysia telah banyak mengecap kejayaan, namun ia tidak terkecuali daripada dilanda oleh gejala rasuah, seperti negara-negara lain juga. Rasuah adalah ibarat barah yang boleh menghancurkan masyarakat dan negara. Komitmen kerajaan terhadap usaha memerangi rasuah terbukti melalui penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan hakikat bahawa salah satu dari enam bidang keberhasilan utama (NKRA) negara adalah memerangi rasuah.

Sehubungan dengan itu Kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif untuk membanteras gejala rasuah. Usaha-usaha ini memerlukan keazaman politik yang kuat dengan kerjasama dan sokongan sektor awam, sektor swasta dan semua lapisan masyarakat. Ini merupakan prasyarat utama bagi mewujudkan sebuah negara yang bersih dari amalan rasuah. Sejajar dengan aspirasi untuk menghapuskan rasuah ini, Kerajaan telah mengumumkan inisiatif ”Membanteras Rasuah” sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP). Antara aspek yang ditekankan adalah untuk menumpukan usaha ke arah meningkatkan tahap ketelusan dan integriti dalam urusan perolehan Kerajaan.

Salah satu langkah terkini yang diambil ialah membangunkan Portal MyPROCUREMENT - Pusat Maklumat Perolehan Kerajaan yang boleh dicapai menerusi laman web Perbendaharaan. Matlamat utama Portal MyPROCUREMENT ini ialah untuk meningkatkan ketelusan dan memastikan keseragaman dalam penyebaran maklumat berkaitan perolehan Kerajaan. Melalui laman web ini, Kerajaan akan memaparkan pelbagai maklumat berkaitan perolehan Kerajaan seperti:

· iklan tender;

· keputusan tender;

· dasar perolehan Kerajaan;

· tatacara perolehan Kerajaan;

· soalan-soalan lazim;

· Integrity Pact, dan lain-lain.

Sebagai permulaan, portal ini memaparkan senarai iklan tender dan keputusan tender semua Kementerian dari bulan Jun 2009 sehingga yang terkini. Untuk mendapatkan butiran terperinci tender, pautan ke laman web kementerian yang berkaitan turut disediakan. Di masa akan datang, portal ini akan dilengkapi dengan lebih banyak maklumat bagi membantu orang awam atau syarikat yang mengambil bahagian dalam urusan perolehan Kerajaan. Portal MyPROCUREMENT ini akan memaparkan maklumat berkaitan perolehan bagi memudahkan orang ramai mendapat maklumat yang diperlukan. Sebelum ini, maklumat berkaitan tatacara perolehan telah pun sedia dipaparkan di dalam laman web Perbendaharaan, manakala maklumat berkaitan iklan dan keputusan tender boleh dilayari di laman web setiap Kementerian ataupun di portal MyGovernment.

Untuk memperkemaskan peraturan dan prosedur perolehan sedia ada, banyak usaha telah diambil oleh Kementerian Kewangan antaranya melalui ;

· Surat Pekeliling Perbendaharaan (SPP) Bil. 5 Tahun 2007 mengenai Tatacara Pengurusan Perolehan Kerajaan Secara Tender;

· SPP Bil. 5 Tahun 2009 mengenai Tatacara Pengurusan Perolehan Secara Sebut Harga;

· SPP Bil. 9 Tahun 2009 berkaitan Had Kuasa Lembaga Perolehan Agensi;

· SPP Bil. 5 Tahun 2000 mengenai Pelaksanaan ePerolehan Di Bawah Program Kerajaan Elektronik;

· SPP Bil. 3 Tahun 2009 mengenai Tatacara Pengurusan Perolehan Kerajaan Secara eBidding Melalui Sistem ePerolehan;

· Surat Arahan Perbendaharaan (SAP) Bertarikh 21 Mac 2008 mengenai Garis Panduan Penilaian Tender; dan

· SAP bertarikh 28 Februari 2009 mengenai Peringatan Mengenai Kesalahan Rasuah Dalam Dokumen Perolehan Kerajaan

Dengan adanya portal MyPROCUREMENT ini, diharapkan agar semua pihak akan mendapat maklumat yang tepat mengenai perolehan Kerajaan serta mengetahui perkembangan dan pembaharuan dalam perolehan Kerajaan. Portal ini adalah penting sebagai pusat pengumpulan maklumat perolehan daripada semua Kementerian. Semua Pegawai Pengawal hendaklah memberi komitmen untuk memastikan semua maklumat berkaitan iklan dan keputusan tender Kementerian masing-masing sentiasa dikemas kini dan dimuat naik dalam laman web masing-masing. Maklumat yang dimuat naik mestilah tepat dan cepat (timely) bagi menjamin integriti data tersebut agar tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak memandangkan maklumat tersebut dipaparkan untuk pengetahuan umum.

Selain daripada itu, sebagai langkah untuk meningkatkan integriti dan mengelakkan rasuah dalam urusan perolehan Kerajaan, mulai 28 Februari 2009 Kementerian Kewangan telah pun mensyaratkan satu klausa khas berkaitan Integrity Pact dimasukkan dalam semua teks perjanjian yang berkaitan dengan kontrak perolehan Kerajaan. Sebagai tambahan, mulai 1 April 2010 iaitu mulai hari ini, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:

·Kesemua pembida dikehendaki menandatangani Surat Akuan Pembida;

·Pembida berjaya dikehendaki menandatangani Surat Akuan Pembida Berjaya; dan

·Seterusnya menandatangani teks perjanjian yang mengandungi Klausa Pencegahan Rasuah Dalam Perolehan Kerajaan

Semua inisiatif ini dilakukan demi untuk memperbaiki dan memperkukuhkan tahap integriti dan ketelusan sistem perolehan Kerajaan. Untuk maklumat lanjut, layarilah http://myprocurement.treasury.gov.my.

Sabtu, 3 April 2010

Gaya Kepimpinan Inklusif Najib Pikat Sokongan Kaum Cina

Sejak menyandang jawatan perdana menteri setahun lepas, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengamalkan pelbagai pendekatan secara langsung bagi meraih kembali sokongan kaum Cina terhadap kerajaan pusat. Selain menghadiri majlis tradisi seperti Rumah Terbuka Tahun Baru Cina, sesi turun padang yang beliau lakukan untuk bertemu mesra dengan rakyat, telah membuahkan hasil yang amat positif. Gaya kepimpinan Najib ini menawan hati ramai anggota masyarakat Cina, yang telah meninggalkan Barisan Nasional (BN) dan menyokong Pembangkang pada pilihan raya umum lepas.

Najib mencipta sejarah sebagai perdana menteri pertama Malaysia yang menghadiri perhimpunan Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (FECAM), atau lebih dikenali sebagai Hua Zhong -- badan penaung pertubuhan kaum Cina yang amat berprestij dan berpengaruh di negara ini. Lawatan perdana menteri ke sekolah bebas Cina, tokong, Chinatown Kuala Lumpur di Jalan Petaling dan kesudian beliau merasmikan festival kebudayaan anjuran Hua Zhong, menggambarkan beliau sebagai pemimpin yang rapat dengan orang Cina di Malaysia, rapat dengan rakyat," kata presiden Hua Zhong Tan Sri Pheng Yin Huah.



Pheng berkata Hua Zhong, yang turut dianggotai tokoh-tokoh penggerak masyarakat Cina, berpendapat Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Najib mendapat sambutan meluas dalam kalangan masyarakat Cina dan diterima baik oleh orang ramai. Beliau sangat yakin jika ia Gagasan 1Malaysia dilaksanakan sepenuhnya oleh semua pihak, ia akan menghasilkan "buah yang besar" bagi Malaysia.

Sejajar dengan slogan dan semangat 1Malaysia yang beliau perkenalkan, Najib mempamerkan sikap luar biasa yang begitu mengagumkan orang ramai apabila beliau berkunjung ke Pandamaran, yang dahulunya merupakan kampung baru Cina, bagi menghadiri sambutan Tahun Baru Cina Februari lepas. Tindakan beliau itu dilihat sebagai "memberi muka" atau menghargai masyarakat Cina dan ini sesuatu yang amat baik kerana tindakan "memberi muka" merupakan tradisi mulia dalam budaya Cina, lebih-lebih lagi pada waktu yang dianggap penting seperti ketika menyambut tahun baru.


Najib memiliki imej yang amat positif dalam kalangan masyarakat Cina. Ini berpunca daripada dua faktor: Pertama beliau dilihat bersikap proaktif terhadap isu seharian seperti kesihatan dan pengangkutan. Orang Cina amat menyukainya, kata penganalisis politik Prof James Chin. Kedua kebanyakan anggota masyarakat Cina yang sebelum ini langsung hilang keyakinan terhadap parti berasaskan kaum mereka dalam BN, kini melihat Najib sebagai seorang penyelamat yang sudi mendekatkan diri dengan mereka. Satu-satunya isu yang terbuku di hati kaum Cina sejak sekian lama dan perlu ditangani secara bersungguh-sungguh oleh Najib ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang kadangkala dilihat menjadi batu penghalang dalam pengagihan kekayaaan dan peluang secara lebih adil dalam kalangan rakyat negara ini. Bagaimanapun, masyarakat Cina memberi respons awal yang amat positif terhadap Model Ekonomi Baru (MEB). Pada permukaan, mereka agak berpuas hati dan begitu kepingin untuk mendapatkan butiran lanjut mengenainya.


Ketika Najib menyambut ulang tahun pertama sebagai perdana menteri hari ini, banyak penganalisis politik percaya beliau akan terus mendampingi rakyat, termasuk masyarakat Cina, merasai denyut nadi mereka serta sudi mendengar keluhan dan hasrat mereka yang ingin melihat beliau sebagai pemimpin bagi semua rakyat Malaysia. Najib juga dilihat sebagai pemimpin yang sentiasa tekun dan tidak jemu-jemu bekerja untuk rakyat.


Bagaimanapun, sesetengah penganalisis berpendapat Najib perlu menerima hakikat bahawa pemikiran generasi masyarakat Cina masa kini mengalami perubahan apabila mereka lebih memberi perhatian terhadap isu dan tidak lagi terikat dengan perasaan setia terhadap parti tertentu. Orang Cina hari ini tidak lagi berminat dengan perniagaan semata-mata. Mereka melihat sesuatu perkara dalam perspektif lebih luas, lebih-lebih lagi dalam kalangan generasi muda dan berusia pertengahan, yang keprihatinan mereka bukan saja bertumpu pada pekerjaan dan pendapatan, tetapi juga terhadap pendidikan dan masa depan anak-anak, menurut kenyatan seorang penganalisis politik.


Beliau berkata oleh kerana memiliki pemikiran politik yang berbeza daripada ibu bapa mereka, sesetengah pengundi Cina sanggup memberi undi kepada sebuah parti yang memperjuangkan cita-cita untuk menubuhkan negara Islam pada pilihan raya umum lepas dan pilihan raya kecil selepasnya. Mereka ada lebih banyak pilihan dan ini menjadikan mereka lebih bebas membuat pilihan dalam arena politik. Jadi, kalau BN ingin menang besar, ia perlu menawan kembali sokongan kaum Cina. Masyarakat Cina amat terikat oleh isu. Sekiranya anda dapat memberi khidmat berasaskan isu, mereka akan menyokong anda. Jika sebaliknya, mereka tidak akan memberi undi kepada anda, kata seorang lagi penganalisis Datuk Cheah See Kian.


Beberapa penganalisis lain pula berpendapat, selepas setahun menerajui pentadbiran negara dan memperkenalkan beberapa perubahan dan transformasi radikal seperti Gagasan 1Malaysia, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Program Transformasi Kerajaan (GTP)dan Model Ekonomi Baru (MEB), kini Najib perlu menampakkkan hasilnya. Orang begitu ingin melihat pelaksanaan dan hasilnya. Beliau perlu menunjukkan hasilnya dengan segera. Oleh itu, pada tahun kedua beliau menjadi perdana menteri ini, Najib perlu menunjukkan hasil yang dicapai melalui pelbagai strategi yang telah beliau perkenalkan itu, kata penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian.


Selain menunjukkan hasil, satu lagi cabaran besar yang perlu diatasi oleh Najib ialah menyelesaikan semua masalah yang dihadapi parti komponen BN dan memperkemaskan semula kedudukan parti gabungan itu bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang. Beliau memerlukan sebuah pasukan kukuh, bukan saja daripada Umno, tetapi juga dari semua parti dalam BN. Najib dianggap sebagai pemimpin popular kerana beliau mudah didekati, kata penganalisis itu sambil menambah bahawa pandangan beliau itu diperkukuh oleh hasil kaji selidik terbaru Merdeka Center for Opinion Research. Kaji selidik itu menunjukkan bahawa kedudukan Najib kini lebih kukuh berbanding 12 bulan lepas iaitu ketika beliau mula-mula mengambil alih jawatan perdana menteri apabila 68 peratus responden menyatakan mereka berpuas hati dengan prestasi beliau.

Kerajaan BN Mementingkan Matlamat Politik Berbanding Soal Politik

Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mementingkan soal politik berbanding dengan matlamat politik itu sendiri iaitu mahu melihat rakyat Malaysia mencapai tahap pembangunan diri yang maksimum, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Matlamat politik itu ialah BN ingin melihat rakyat 1Malaysia membangun menjadi rakyat sebuah negara yang maju, sebuah negara yang berpendapatan tinggi, sebuah negara yang mana kemiskinan tidak lagi menjadi hambatan kepada masyarakat kita," katanya ketika berucap melancarkan Yayasan Kelana Ehsan (YKE) di Felda Sungai Tengi pada 3.4.2010.

Perdana Menteri berkata kerajaan tidak mahu terlalu dibuai-dibuai dan terlalu terbawa-bawa dengan sentimen politik apatah lagi mainan politik yang tidak menguntungkan rakyat. Politik adalah sebuah wahana dan kaedah yang membolehkan kita menilai sama ada sesebuah parti dan kepimpinan parti itu boleh dikatakan kepimpinan yang boleh diterima, yang boleh diberi keyakinan, yang boleh diberi kepercayaan.

YKE yang ditubuhkan pada 21 Ogos 2009 itu bertujuan untuk menjaga kebajikan masyarakat khususnya di negeri Selangor tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit. Mengapa dan kenapa sebuah yayasan telah ditaja oleh Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor, bersama-sama dengan rakan-rakan kita dalam parti BN, walhal kerajaan sediakan pelbagai bantuan yang telah dan akan terus disampaikan kepada rakyat yang memerlukan bantuan.


Sebab-musababnya ialah beberapa pertimbangan yang kerajaan lakukan antaranya betapa pentingnya bidang pendidikan dalam melakar dan mencorak masa depan bangsa dan negara kita, sehinggakan dalam soal pendidikan dan penguasaan ilmu perlu kita sediakan kepada terutamanya untuk golongan yang berpendapatan rendah boleh dikatakan tiada noktahnya. Berdasarkan matlamat itu, Umno dan BN berasa terpanggil untuk memberikan sumbangan di Selangor walaupun negeri itu boleh dikatakan lebih maju berbanding negeri-negeri yang lain.

Kerajaan percaya pertolongan kebajikan ini boleh beri kesan dan impak yang besar kepada mereka yang menerima bantuan. Ini adalah antara mesej yang kami ingin paparkan melalui penubuhan yayasan ini. Antara objektif khusus YKE adalah menjadi platform untuk mendekati masyarakat tanpa mengira kaum bagi membantu meringankan beban mereka serta mengurus dan menyelaras aktiviti-aktiviti masyarakat yang berhubung kait dengan penganjuran seminar, kursus, bengkel dan sebagainya.

SCORE Jana Pendapatan Tinggi

Landasan untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi yang cuba dicapai menerusi Model Ekonomi Baru (MEB) telah wujud di negeri ini menerusi Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE). Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ber kata, tahap pendapatan lebih tinggi di kalangan rakyat negeri ini akan dicapai apabila industri-industri berat dan baru dimulakan. SCORE juga membolehkan kita menjalankan pelbagai latihan dan pelajaran kerana kita berkehendakkan bermacam kemahiran dan kepandaian.

Proses mencapai bentuk ekonomi baru akan dapat dicapai segera apabila lebih banyak tenaga kerja mahir tersedia,” katanya ditemui dalam majlis angkat sumpah membabitkan dua anggota kabinet negeri di sini, semalam. SCORE merupakan kawa-san terbentang dari Tanjung Manis, Mukah hingga Similajau, Bintulu. Setakat ini, ia telah menarik pelaburan bernilai RM30 bilion dengan sasaran RM300 bilion untuk dicapai pada 2030. Antara industri yang bakal muncul ialah peleburan aluminium, tenaga, makanan dan produk perkayuan.


MEB yang dibentangkan Perdana Men-teri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa lepas diyakini mampu mengubah taraf ekonomi Sarawak. Beliau menekankan soal penghapusan kemiskinan dalam kawasan luar bandar tanpa mengambil kira soal keturunan, agama dan lain-lain. Usaha membangunkan luar bandar merangkumi aspek prasarana dan modal insan. Tumpuan khusus diberikan terhadap luar bandar berikutan pertambahan penduduk di kawasan tersebut adalah lebih ramai berbanding bandar.


Justeru, modal insan di kalangan generasi muda yang bakal muncul kebanyakannya dari luar bandar perlu dilengkapi dengan kemahiran dan ilmu pengetahuan. Masa depan kita bergantung kepada keupayaan rak-yat sendiri sebagai modal insan. Kebergantungan terhadap tenaga kerja asing akan kekal jika sumber manusia tempatan tidak diperkasakan. Kemakmuran ekonomi negara perlu digunakan untuk melatih dan meningkatkan keupayaan rakyat Malaysia sendiri.