Jumaat, 24 April 2009

Penulis BLOG Harus Jayakan Konsep 1MALAYSIA

Penulis 'blog' harus turut menyemai dan menjayakan Konsep '1Malaysia', kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim. Menurutnya genre penulisan yang semakin popular menerusi internet itu boleh mendorong masyarakat untuk bekerja secara ikhlas dan bersatu-padu. Penulis blog "harus memberi markah positif" kepada perkara betul yang dilakukan kerajaan. Beliau mahu menghulurkan salam persahabatan dan bukan menyukarkan mana-mana pihak yang dapat menyumbang kepada budaya berfikir masyarakat.Sambil menyatakan beliau masih mencari perkataan yang sesuai untuk 'blog' dan blogger'.



Sejak munculnya Internet, "dunia maya" yang tidak mempunyai sempadan, budaya masyarakat di negara ini turut berubah. Media penulisan menerusi kertas menjadi kurang diminati generasi muda yang kini cenderung kepada genre internet -- "blog dan Facebook". Perkembangan itu memerlukan jentera dan keupayaan kerajaan mengimbas apa yang diperkatakan melalui blog dan menjawab secara intelektual. Penulis blog hendaklaj menggunakan fakta yang benar dalam tulisan mereka dan bukan menjadikan saluran itu untuk memfitnah. Reputasi akan luntur jika menggunakan fakta tidak benar kerana bagi penulis blog, kredibiliti adalah penting. Sebagaimana wartawan akhbar perlu mematuhi etika kewartawanan, penulis blog harus mempunyai etika tersendiri.

Isnin, 20 April 2009

Sarawak Perlukan Tempoh Pendaftaran Kewarganegaraan Fleksibel

Kerajaan negeri akan mengemukakan permintaan kepada kerajaan pusat agar tempoh pendaftaran kewarganegaraan khasnya di kawasan pedalaman Sarawak dipanjangkan kepada tempoh yang lebih fleksibel. Tempoh pendaftaran selama 15 hingga 42 hari bagi pendaftaran kelahiran misalnya tidak mencukupi bagi penduduk yang tinggal di kawasan yang sukar dihubungi seperti Ulu Baram, Ulu Kapit, Ulu Banga, Ulu Julau, juga Lubok Antu. Tempoh pendaftaran yang singkat itu telah menyebabkan berlakunya kelewatan pendaftaran di kalangan penduduk dari kawasan berkenaan.

Kerajaan Negeri Sarawak akan mengajukan masalah ini kepada kerajaan pusat dan meminta mereka mempertimbangkan permintaan kerajaan negeri supaya tempoh pendaftaran kelahiran termasuk kematian, perkahwinan dan sebagainya dipanjangkan lagi khasnya untuk penduduk di pedalaman Sarawak. Perkara ini mesti dirujuk kepada kerajaan pusat kerana mereka mesti mengetahui apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri dan jika tidak ia akan membahayakan sistem dan sistem disalahgunakan.



Walaubagaimanapun kerajaan negeri masih belum menentukan tempoh pendaftaran fleksibel yang dimaksudkan itu. Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Amar Wilson Baya Dandot) akan berbincang dengan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi melihat cadangan yang boleh dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk dipertimbangkan. Kerajaan negeri juga akan membincangkan kadar bayaran bagi lewat pendaftaran dengan kerajaan persekutuan dengan mengambil kira masalah komunikasi atau perhubungan dan jelas dengan idea bayaran dikenakan.

Kerajaan Negeri Sarawak telah bersetuju untuk memberi semula kuasa kepada ketua-ketua masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak untuk membuat laporan kelahiran bayi di kawasan masing-masing. Masalah lewat pendaftaran kelahiran dan sebagainya (di kawasan pedalaman) Sarawak akan dapat dikendalikan dengan lebih baik, cekap dan cepat dengan bantuan tuai-tuai rumah, ketua-ketua kampung dan kapitan-kapitan Cina yang berpengalaman.



Setiap tuai rumah, ketua kampung dan kapitan Cina di kawasan pedalaman akan dibekalkan dengan borang maklumat daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan perlu diserahkan kepada penghulu untuk dihantar ke Pejabat Daerah sebelum diajukan kepada JPN. Semua tuai rumah, ketua kampung dan kapitan Cina terutama di kawasan pedalaman atau ulu sungai dikehendaki menjadikan kerja-kerja mendaftar kelahiran bayi di kawasan mereka sebagai tugas utama. Ketua masyarakat juga diingatkan agar merekod kelahiran dan maklumat ibu bapa bayi dengan tepat supaya status warganegara bayi berkenaan tidak akan dipersoalkan. Ianya penting kerana maklumat awal seperti ini akan mengelak semua masalah status bayi atau kanak-kanak yang dilahirkan sama ada rakyat Malaysia atau tidak.

74 Projek Prasarana Polis

Sebanyak 74 projek prasarana untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat dijalankan di seluruh negara. Kesemua projek terbabit yang menelan belanja kira-kira RM8 bilion dilaksanakan oleh Syarikat BLT Construction Sdn Bhd, yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan. Projek-projek melibatkan pembinaan kuarters, balai polis, ibu pejabat daerah (IPD), pusat latihan PDRM dan Pasukan Gerakan Am (PGA). Projek-projek tersebut yang dilengkapi dengan semua jenis kemudahan akan dilaksanakan secara ‘Fast Track’ untuk meningkatkan kebajikan dan keselesaan anggota polis.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 10 buah projek dilaksanakan di Sarawak, iaitu Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching Pakej 1, 2 dan 3, IPD Lubok Antu, Balai-balai Polis Sibu Jaya, Sungai Merah, Selangau, Gita dan Tabuan Jaya; PGA Kem Temudok (Sri Aman), PGA Miri dan Balai Polis Sentral Sibu. Projek-projek terbabit (di Sarawak) menelan belanja kira-kira RM1.36 bilion dan terbesar dalam senarai BLT. Segala penambahbaikan prasarana mahupun kelengkapan logistik membawa erti bahawa kerajaan dan masyarakat berkehendakkan sumbangan yang terbaik daripada pihak polis.

Ahad, 19 April 2009

'1Malaysia' Juga Perlu Membawa Maksud Malaysia Selamat Dan Terjamin

Konsep "1Malaysia" yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga perlu memastikan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat dan terjamin, iaitu bukan sahaja bebas daripada sebarang jenayah tetapi juga kejadian tidak diingini dan bencana angkara manusia.



Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata wujud keperluan untuk melaksanakan idea "komuniti selamat" selaras dengan konsep "1Malaysia" di mana warganya hidup, bekerja dan bermain dengan selamat dan sihat. Di samping meningkatkan kesejahteraan kehidupan individu, komuniti yang selamat akan mewujudkan banyak manfaat bersama seperti persekitaran selamat untuk orang ramai, jenayah berkurangan, meningkatkan produktiviti dan daya saing, kos penjagaan kesihatan lebih rendah dan pengurangan perbelanjaan bagi menangani masalah sosial lain.



Pendekatan komuniti selamat merupakan perkara paling penting bagi pemimpin masyarakat, majikan dan kakitangan, anggota polis, anggota bomba, profesional keselamatan dan mereka yang mahu mewujudkan keadaan yang lebih baik di tempat tinggal atau kerja mereka. Tempat kerja yang sihat dan selamat akan membawa kebaikan kepada syarikat kerana ia bukan sahaja mengurangkan kejadian kemalangan dan kos perubatan malah akan dapat meningkatkan produktiviti dan semangat pekerja. Program komuniti selamat merupakan pembangunan bersepadu bagi budaya mementingkan keselamatan dalam komuniti yang meliputi keselamatan tempat kerja, kawasan sekolah, kawasan rekreasi, pencegahan jenayah dan lainnya.

Kementerian Pelajaran Kaji Keperluan Tiga Peperiksaan Awam

Kementerian Pelajaran sedang mengkaji keperluan diadakan tiga peperiksaan awam iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kalau kita lihat daripada jumlah peperiksaan awam, adakah perlu kita adakan tiga peperiksaan awam sehingga ke SPM. Di sekolah rendah umpamanya, biasa kita lihat ibu bapa mengambil cuti menemani anak-anak mereka menghadapi sesuatu peperiksaan. Adakah itu yang kita nak?Kementerian tidak menolak kemungkinan jumlah peperiksaan awam itu mungkin dikurangkan.



Kita akan melihat semua kemungkinan, kalau kita buat peperiksaan berpusat di sekolah bermakna kita akan kurangkan peperiksaan secara berpusat. UPSR sekarang (penilaiannya) 100 peratus mungkin dikurangkan kepada 30 peratus, PMR 50 peratus dan SPM 70 peratus. Kementerian juga sedang mengkaji semula pendekataan sistem pendidikan negara sama ada memberikan penekanan kepada proses pembelajaran atau pencapaian akademik serta kerja kursus dari segi ko-kurikulum.
Sebelum ini kerajaan bercadang mengambil dua pendekatan yang membawa kepada transformasi dan rombakan yang radikal kepada sistem pendidikan negara menjelang tahun 2010 bagi membolehkan ia sesuai dengan tuntutan semasa khususnya melibatkan murid sekolah rendah dan pra-sekolah. Selain membangunkan sistem pentaksiran pendidikan kebangsaan (PPK) yang holistik untuk menilai bukan saja pencapaian akademik pelajar tetapi juga mengambil kira aspek intelek, rohani, jasmani, emosi dan secara bersepadu.

Ahad, 12 April 2009

Penggunaan KPI Diperluaskan Ke Universiti Awam

Kementerian Pengajian Tinggi akan memperluas penggunaan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang diperkenalkan untuk memantau prestasi menteri dan timbalan menteri di universiti-universiti awam negara ini. Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu membolehkan kementerian mengenalpasti kelemahan yang ada di setiap universiti supaya penambahbaikan dapat dilakukan.


Sebenarnya KPI di dalam Kementerian Pengajian Tinggi sudah dimulakan untuk mengukur pelaksanaan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, cuma kini diperluaskan penggunaannya untuk mencapai kualiti yang dimahukan. Tetapi, keputusan pencapaiannya itu nanti tidak akan didedahkan kepada umum kerana matlamat utama kita adalah untuk membantu meningkatkan prestasi universiti dan bukannya mengelirukan masyarakat mengenai baik atau buruk sesebuah universiti itu.



Pembentukan jawatankuasa khas untuk memantau prestasi menteri dan timbalan menteri serta menilai sama ada mereka berjaya memenuhi KPI yang ditetapkan. Jawatankuasa itu yang beroperasi secara bebas dan berkecuali akan turut merumuskan bentuk hukuman yang boleh dikenakan terhadap menteri atau timbalan menteri yang gagal memenuhi KPI berkenaan.



KPI sememangnya satu perlatan pengukur yang baik untuk mengetahui prestasi perlaksanaan dan kelemahan seseorang, sesebuah agensi dan juga syarikat. Saya sarankan supaya KPI dapat diterapkan dalam pelbagai agensi dan juga pentadbiran negeri serta pertubuhan NGOs... untuk meningkatkan prestasi dan juga mengenalpasti kelemahan untuk penambahbaikan.

Sabtu, 11 April 2009

Kuasa Hidro Penting Bagi Sarawak

Sarawak tidak akan membiarkan rancangannya bagi mempergunakan potensi penjanaan tenaga elektrik hidro dihalang oleh mereka yang tidak berminat untuk melihat rakyat negeri itu menikmati kehidupan lebih selesa. Melabelkan mereka yang menentang rancangan pembangunan berkenaan sebagai melakukan satu perjuangan sempit, kumpulan itu gagal melihat masalah membangunkan Sarawak secara menyeluruh.



Sarawak perlu memanfaatkan kekayaan sumber air sebagai satu komoditi yang menjana keuntungan bagi membiayai perbelanjaan yang semakin meningkat bagi melaksanakan projek pembangunan di negeri itu. Sebahagian daripada kuasa yang dijana daripada projek elektrik hidro akan digunakan dalam pembangunan industri di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score) yang akan membuka banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan kedudukan ekonomi negeri ini.



Sarawak merancang untuk membina 12 empangan elektrik hidro di sungai-sungai Ulu Air, Metjawah, Belaga, Baleh, Belepeh, Lawas, Tutoh, Limbang, Baram, Murum dan Linau. Rancangan itu turut menyaksikan pengembangan kepada Empangan Batang Ai. Kesemua empangan berkenaan akan menambah keupayaan penjanaan 2,400MW Empangan Bakun yang akan meningkatkan keupayaan penjanaan keseluruhan di Sarawak kepada 7,000MW menjelang 2020, satu peningkatan lebih 600 peratus daripada keupayaan semasa. Pengguna air akan berkongsi dengan kerajaan untuk menyediakan bekalan air bersih di negari ini.



Mengetepikan pendapat bahawa kerajaan sepatutnya tidak mengenakan bayaran terhadap pengguna bagi bekalan air, tugas untuk membekalkan air bersih kepada rakyat membabitkan perbelanjaan. Tidak ada mana-mana negeri yang boleh beri bekalan air bersih secara percuma, tidak kiralah parti mana yang berkuasa untuk memerintah. Tindakan kerajaan Selangor pimpinan PKR memberikan bekalan air bersih percuma 20 meter padu kepada rakyat negeri itu telah menyebabkan kerajaan berhutang 114 juta untuk tempoh 3 bulan pertama.