Khamis, 18 Februari 2010

Sarawak mohon RM30 juta

Kementerian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam negeri akan memohon peruntukan pembangunan sebanyak RM30 juta daripada kerajaan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10). Menteri Muda Alam Sekitar negeri, Datuk Peter Nansian Ngusie berkata, cadangan peruntukan itu akan dikemukakan bagi melaksanakan kerja-kerja pembangunan tapak pelupusan sampah yang baru membabitkan kawasan majlis-majlis tempatan. Ketika ini, majoriti tapak pelupusan sampah di kawasan berkenaan belum lagi mencapai tahap satu bagi menguruskan sistem pelupusan sisa pepejal domestik dengan efektif.
Meskipun Sarawak mempunyai tapak pelupusan sisa pepejal yang agak banyak, namun ia tidak mencukupi untuk menampung jumlah sampah yang dihasilkan. Bayangkan di bandar raya ini sahaja dianggarkan 500 tan metrik sampah dilupuskan sehari. Bukan itu sahaja, tapak pelupusan sampah konvensional berisiko tinggi terhadap alam sekitar dan manusia. Justeru, kita memohon peruntukan RM30 juta ini bagi mewujudkan kemudahan pelupusan sampah yang baik seperti pelupusan sanitari secara timbusan.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Taman Pengurusan Sisa Bersepadu Kuching dekat Mambong yang membabitkan kos RM116 juta. Ketika ini, Sarawak mempunyai 41 buah tapak pelupusan sampah. Pembuangan sampah sesuka hati serta sistem pelupusan yang tidak teratur merupakan beberapa masalah yang perlu ditangani segera. Sebagai contoh, katanya, walaupun lebih 90 peratus kawasan di bandar raya ini disediakan tong sampah beroda serta pusat pengumpulan sampah, namun penduduk masih membuang sampah sesuka hati. Sampah pepejal yang sukar dilupus seperti plastik, tayar dan lain-lain mengambil ruang yang besar di tapak pelupusan sampah serta merosakkan keindahan alam sekitar kita. Beliau berharap masyarakat lebih bertanggungjawab dan bekerjasama untuk memastikan alam sekitar kita bersih dan terpelihara.

Rabu, 17 Februari 2010

Sarawak pesat 10 tahun akan datang

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu berkata, Sarawak bakal menerima pembangunan pesat sepuluh tahun akan datang, hasil daripada komitmen kerajaan pusat dan negeri.Beliau berkata, kerajaan pusat telah memperuntukkan sejumlah RM3.7 bilion untuk Sarawak bagi melaksanakan projek pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar di bawah peruntukan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Kita menyambut baik peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak bagi membangunkan kawasan luar bandar supaya rakyat di kawasan berkenaan dapat menikmati kemajuan sama seperti di bandar.

Komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak termasuk agensi kerajaan negeri dan pusat akan memberi perubahan besar kepada kemajuan Sarawak pada masa akan datang. Semua pihak termasuk rakyat yang berbilang kaum telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam usaha membangunkan Sarawak dan ia memudahkan dasar kerajaan disampaikan secara terus kepada rakyat. Hasil sokongan kerajaan pusat, maka hasrat untuk membasmi kemiskinan di kawasan luar bandar akan tercapai.

Sarawak akan pesat membangun menjelang tahun 2020 dan ia adalah berdasarkan kepada fokus pembangunan yang dirancang kerajaan Barisan Nasional. Kerajaan juga telah memberi fokus kepada pembasmian kawasan luar bandar serta menggalakkan pembangunan pusat pertumbuhan desa dan pertanian seperti di Batang Sadong, Sri Aman, Kuala Bruit dan sebagainya.

JANGAN POLITIKKAN PENDIDIKAN

Pihak parti pembangkang diminta agar tidak menimbulkan sebarang prasangka terhadap pembangunan pendidikan dalam usaha melahirkan generasi muda yang berpendidikan. Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Robert Lau Hoi Chew berkata, pengambilalihan Kolej Bersatu Sarawak (UCS) oleh kerajaan negeri merupakan sebahagian usaha ahli Lembaga Pengarah UCS untuk menaikkan taraf kolej berkenaan kepada institusi pengajian tinggi yang bertaraf tinggi. Sebagai sektor swasta, UCS mempunyai sumber kewangan yang terhad dan telah mengambil langkah yang mencabar seperti mana yang dilakukan oleh Datuk Patinggi Tan Sri Dr Wong Soon Kai ketika beliau mencadangkan idea penubuhan UCS. Kita berasa bertuah kerana kerajaan negei telah meng-ikitirafkan kualiti dan piawaian kampus dan bersetuju dengan cadangan penjenaman semula UCS kepada Kolej Laila Taib.

Pasukan Berwawasan Barisan Nasional (BN) Sibu yang dipengerusikan oleh Dato Sri Wong Soon Koh telah menerima pelbagai kritikan yang tidak berasas berhubung penjenamaan semula UCS kepada Kolej Laila Taib. Sebagai insitusi pengajian tinggi swasta yang tidak berasaskan keuntungan semata-mata, UCS telah menawarkan yuran pengajian paling murah berbanding dengan mana-mana institusi pengajian swasta lain. Juga tidak pernah berasa ragu-ragu akan piawaian dan kualiti yang ditawarkan di UCS.

Sehubungan itu, mana-mana pihak terutamanya parti pembangkang tidak layak mengkritik isu pendidikan yang menjadi keutamaan Pasukan Berwawasan BN Sibu. Jika parti pembangkang memiliki keinginan untuk membantu masyarakat, mereka juga boleh menubuhkan kolej swasta dan berhenti memberi komen yang tidak membina. Jika Parti SUPP dapat membina kolej swasta, kenapa mereka tidak boleh? Untuk lebih 10 tahun, objektif utama kerajaan BN ketika menerajui pucuk pimpinan kerajaan, telah berusaha sedaya upaya dalam meningkatkan taraf pendidikan. Selagi pembangunan pendidikan menjadi keutaman, semua pihak perlu memainkan peranan dan tanggungjawab bersama dengan saling berkerjasama dalam menjayakan usaha kerajaan untuk melahirkan generasi muda yang berpendidikan.

Sabtu, 6 Februari 2010

Pilihan Raya DUN Sarawak Ke 10

Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud berkata beliau belum ada ilham bila akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri ke-10.Katanya, beliau tidak akan tergesa-gesa untuk mengadakan pilihan raya Dewan Undangan Negeri dalam tempoh masa terdekat. Taib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak berkata beliau akan mengumumkan perkara itu apabila tiba masanya.

Tempoh akhir untuk Sarawak mengadakan pilihan raya negeri ialah selewat-lewatnya pada pertengahan tahun 2011. Pada pilihan raya negeri 2006, BN Sarawak yang terdiri daripada empat parti komponen, iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) memenangi 62 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan.

Capai penembusan internet 50 peratus di S’wak

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berharap DiGi Telecommunications Sdn Bhd (DiGi) mampu memperluaskan liputan perkhidmatan jalur lebarnya ke seluruh kawasan di Sarawak menjelang hujung tahun ini. Ia merupakan sesuatu yang sangat mencabar untuk dicapai bagi membantu kerajaan menjayakan matlamat penembusan internet sebanyak 50 peratus di Sarawak. Kerajaan berharap perkhidmatan jalur lebar dapat meliputi seluruh Kuching, Miri, Sibu, Bintulu dan Mukah sebelum hujung tahun ini.

Penembusan jalur lebar itu yang merangkumi perkhidmatan internet yang berkualiti akan mewujudkan persekitaran bersaing di negeri khususnya dalam pelaburan. Perkhidmatan internet yang baik juga, bukan sahaja memberi kelebihan kepada masyarakat di sini malah para pelabur juga. Salah satu kriteria untuk menjadikan negeri ini sebagai lokasi pelaburan yang baik adalah dengan mempunyai perkhidmatan jalur lebar yang pantas. Jika liputan itu mampu diperluaskan ke seluruh Sarawak, ia juga mampu menarik lebih ramai pelabur untuk melabur di Sarawak.



Justeru, perkhidmatan jalur lebar yang pantas adalah sangat penting. Permintaan untuk perkhidmatan internet yang lebih baik, pantas dengan harga berpatutan kian meningkat. Permintaan itu adalah berikutan daripada internet yang kini merupakan sumber utama untuk memperolehi maklumat-maklumat bagi setiap masyarakat.

Sektor Swasta Digalak Laksanakan Pendidikan Pra Sekolah

Kerajaan akan memperkasakan pendidikan pra sekolah dengan menggalakkan sektor swasta turut seiringan dengan kerajaan dalam melaksanakannya. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan juga akan membantu sektor swasta yang melaksanakan pendidikan pra sekolah, namun bantuan itu hanya akan diberikan kepada sektor swasta yang mematuhi kurikulum Kementerian Pelajaran. Antara bantuan yang akan disalurkan termasuk geran pelancaran selain latihan kepada bakal guru pra sekolah.

Geran pelancaran itu hanya akan ditawarkan kepada sektor swasta yang telah mempunyai guru terlatih dan mematuhi kurikulum Kementerian Pelajaran. Tawaran kemudahan kepada sektor swasta yang berminat untuk mewujudkan pra sekolah akan diumumkan tidak lama lagi. Kerajaan juga menggalakkan kewujudan kelas-kelas pra sekolah termasuk di rumah-rumah panjang di pedalaman Sarawak dan pelaksanaannya akan dibuat dalam tempoh tiga bulan lagi.



Sistem pendidikan adalah perlu di mana-mana sahaja sama ada di kawasan bandar atau luar bandar, malah ia turut diperkuatkan dengan penyertaan beberapa jabatan lain termasuk Jabatan Perpaduan Negara dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas). Berdasarkan kajian kementeriannya, sebanyak 67 peratus daripada kalangan pelajar di negara ini mengikuti pengajian pra sekolah sebelum melangkah ke Tahun satu. Kerajaan meletakkan sasaran supaya dalam tempoh tiga tahun akan datang peratusan itu akan meningkat kepada 87 peratus.



Dalam perkembangan sama, Timbalan Perdana Menteri mengingatkan para guru supaya menjadikan profesion perguruan sebagai satu amanah negara yang perlu mereka laksanakan dengan penuh dedikasi. 20 daripada 10,000 buah sekolah di seluruh negara telah dipilih sebagai sekolah berprestasi tinggi (SBT) kerana kehebatan sekolah-sekolah terbabit dalam akademik dan bidang yang lain. Ini tidak bermakna sekolah-sekolah lain dianggap bermutu rendah, sebaliknya mereka juga boleh cemerlang seperti SBT yang lain.



Kerajaan tidak akan memberi tekanan kepada guru sehingga mengabaikan rumah tangga semata-mata untuk mewujudkan sekolah yang terbaik. Para pengetua dan guru besar yang berjaya meningkatkan kecemerlangan sekolah-sekolah mereka akan diberi insentif yang sewajarnya. Muhyiddin juga mengingatkan para guru supaya sentiasa berusaha memartabatkan bahasa Malaysia selain memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris. Kerajaan mengambil kira pelbagai pandangan daripada rakyat dalam melaksanakan sesuatu dasar dan yang demikian, bahasa Malaysia akan tetap disuburkan dalam sistem pendidikan negara.

Khamis, 4 Februari 2010

1Malaysia Yang Diperlukan Rakyat


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata gagasan 1Malaysia merupakan konsep yang diperlukan oleh rakyat kerana ia mempertahankan hak semua kaum di negara ini seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan dan Rukun Negara serta mampu memajukan negara. Memandang sinis sikap pembangkang yang kini menukar irama daripada "Malaysian Malaysia" kepada "Middle Malaysia", Konsep 1Malaysia kini telah diterima oleh sebahagian besar rakyat negara ini.


Berucap di hadapan 51,000 rakyat Melaka yang membanjiri Pantai Klebang pada Program 1Malaysia Bersama Rakyat Negeri Melaka Khamis malam, Najib berkata konsep 1Malaysia selaras dengan peruntukan Perlembagaan dan Rukun Negara tanpa mempersoalkan hak mana-mana kaum. "Janganlah kita persoalkan hak orang Melayu. Jangan kita persoalkan kewarganegaraan bukan Melayu, mereka telah jadi warganegara kita. Mereka tetap jadi warga yang setia kepada negara, negara kita akan terus maju dan berjaya.".


Gagasan 1Malaysia memupuk satu semangat baru di kalangan rakyat ke arah kecemerlangan negara. Najib turut mengajak rakyat agar "berhijrah" daripada bersikap toleransi kepada penerimaan kerana bersikap toleransi bererti masyarakat sebenarnya tidak rasi antara satu sama lain. Sebaliknya apabila bersikap penerimaan, ia bererti kepelbagaian dalam masyarakat dapat diterima sebagai satu kekuatan.