Jumaat, 28 Ogos 2009

Erti Kemerdekaan


Kemerdekaan yang dikecapi bermakna kita bebas bukan sekadar daripada penjajahan fizikal malahan mencakupi spiritual dan mental. Erti kemerdekaan yang dinikmati ialah membebaskan diri daripada cengkaman kuasa asing seterusnya berusaha bangkit sebagai bangsa bermaruah. Kekuatan politik untuk memperolehi kemerdekaan perlu didokong oleh penguasaan ilmu pengetahuan untuk mempercepatkan proses pembangunan negara.

Menyorot kembali perjuangan kemerdekaan bangsa Melayu sejak 1511 hingga ke Perang Dunia Kedua 1941-1945, negara ini telah mengalami 3 peringkat perjuangan. Peringkat pertama, secara militan atau gerila, perjuangan pondok yang dipelopori oleh golongan ulama dan kemudian golongan nasionalisma yang berjuang melalui mata pena. Ketiga-tiga kategori perjuangan ini berjalan berasingan sehinggalah pada cadangan untuk mengadakan Kongres Melayu pertama pada 1-4 Mac 1946 diadakan dan menyatukan ketiga-tiga kategori perjuangan ini dengan lebih tersusun dan teratur. Terbentuknya UMNO semasa persidangan tersebut telah memantapkan lagi perjuangan ke arah menuntut kemerdekaan negara.

Menjadi tanggungjawab rakyat generasi baru hari ini untuk mengenang dan menghayati erti kemerdekaan. Tugas kita pada hari ini adalah memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan. Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan yang baru sahaja diperolehi amat rapuh.

Rakyat perlu bersedia menghadapi pelbagai cabaran untuk memperkasakan bangsa yang merdeka. Sementelah seluruh rakyat Malaysia telah melalui pelbagai cabaran getir, kemerdekaan perlu dihayati dan diisi dengan memelihara kekuatan politik, ekonomi, sosial, agama, bahasa, budaya dan seni warisan bangsa. Segala jurang pembangunan, ekonomi dan sosial di kalangan kaum perlu dirapatkan dan diperkukuhkan agar saling menikmati erti kemerdekaan. Perpaduan yang terbina semenjak usaha memperolehi kemerdekaan perlu diteruskan dan disemai supaya rakyat menjadi semakin kukuh.

Bumi bertuah ini telah melahirkan ramai pemimpin berkaliber ketika negara bergelut dengan pelbagai masalah seperti kemiskinan, taraf pendidikan yang rendah, perpaduan kaum bahkan ancaman komunis ketika Darurat yang diisytiharkan sejak 1948 lagi. Dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru 1970-1990 (DEB), Rancangan Buku Hijau dan Buku Merah, rancangan mempertingkatkan penguasaan ekonomi penduduk bumiputera dan jurang perbezaaan antara kaum dapat diharmonikan. Dasar pendidikan bermula dari Penyata Razak dan Rahman Talib hingga kini berjaya membebaskan diri rakyat daripada belenggu kejahilan kepada masyarakat moden.

Beberapa dasar negara telah diperkenalkan seperti Dasar Pandang ke Timur, Dasar Perindustrian, Dasar Pensyarikatan dan Wawasan 2020 telah menjadikan Malaysia negara maju. Kemerdekaan menjadikan kita bangsa yang merdeka dan berdaulat serta bebas menyusun hala tuju sendiri. Kita bebas dari sudut ekonomi, politik, ketenteraan, budaya dan agama. Bebas dalam erti kata mengikut acuan dan kemahuan kita untuk membentuk jati diri bangsa Malaysia yang berdaulat.


Menyelami erti kemerdekaan dengan menyusuri lembaran sejarah bangsa akan menyedarkan seluruh rakyat betapa perjuangan kemerdekaan tidak pernah terhenti. Seharusnya kegemilangan ini menjadi pemangkin kepada generasi baru negara untuk meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai. Pengorbanan generasi terdahulu perlu menjadi inspirasi untuk kita terus berusaha gigih menjadi bangsa yang maju dan moden.
SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 52

Peruntukan RM100 Juta Bantu Golongan Miskin Di Bandar

Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan kerajaan sebanyak RM100 juta dalam bentuk saham amanah bagi membantu golongan miskin di bandar. Kerajaan kini sedang mengumpul maklumat mereka yang miskin tegar dan relatif di bandar bagi menentukan bilangan yang layak menerima bantuan itu. Kerajaan akan beri bantuan kepada mereka secara percuma dan sekiranya maklumat dapat dikumpulkan, khususnya bagi golongan miskin supaya dapat menambah pendapatan mereka terutamanya mereka yang miskin tegar.



Masalah kemiskinan tidak harus dikaitkan dengan kawasan luar bandar sahaja kerana masalah itu turut dihadapi di kawasan bandar. Sehubungan itu, kerajaan amat prihatin dengan masalah golongan ini dan penilaian terhadap golongan miskin pun berbeza. Katakanlah dengan pendapatan RM2,000 sebulan untuk luar bandar seperti Baling di Kedah dan Pekan di Pahang, ia amat selesa sekali. Tetapi kalau pendapatan begitu di bandar ia belum lagi selesa. Pendapatan isi rumah di bandar yang dikategorikan sebagai miskin ialah RM2,500 sebulan. Perdana Menteri menegaskan bahawa usaha untuk memerangi kemiskinan akan terus diperjuangkan kerajaan.

Bantuan Untuk Pelajar Cemerlang Miskin Bayar Pinjaman PTPTN

Graduan cemerlang Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), daripada keluarga miskin akan menerima bantuan untuk membayar balik sebahagian pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mereka melalui skim dermasiswa Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR). Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata mereka yang mendapat ijazah kelas pertama dan aktif dalam kegiatan kokurikulum akan dinilai melalui kriteria keluarga berpendapat rendah dan jumlah adik beradik. Pihaknya akan membuat perbandingan antara mereka yang cemerlang mengikut garis panduan kemiskinan dalam negara iaitu mereka yang datang dari keluarga berpendapatan rendah dan mempunyai adik-beradik yang ramai.

Wang tersebut akan terus dimasukkan dalam tabung PTPTN bagi membayar balik sebahagian daripada pinjaman yang diperolehi. Biasiswa YTAR diberikan kepada pelajar cemerlang tahun pertama dalam program ijazah sarjana muda IPTA dan aktif dalam kokurikulum serta mempunyai ciri-ciri kepimpinan. Bagi tahun ini, 17 calon telah layak menerima biasiswa ini daripada 662 permohonan yang memenuhi syarat. Amaun biasiswa ini meliputi semua yuran yang dikenakan oleh universiti serta elaun sara hidup sebanyak RM1,000, elaun buku RM500 setiap semenster serta penerbangan pergi balik sekali setahun bagi penerima dari Sabah dan Sarawak.

Dalam tahun ini seramai 1,040 pelajar IPTA dan swasta termasuk politeknik dan kolej komuniti daripada kalangan orang kurang upaya (OKU) menerima bantuan kewangan sebanyak RM300 sebulan. Pembiayaan bantuan ini berbeza dengan pinjaman lain yang mereka perolehi walaupun sudah mendapat pinjaman PTPTN. Seramai 133 pelajar turut diberikan biasiswa pelajar cemerlang pada tahun ini dalam tumpuan untuk menjadi sumber tenaga akademik di IPTA pada masa hadapan. Program ini merupakan tambahan pada program pembiayaan pasca ijazah untuk menampung kekurangan tenaga akademik khusus dalam bidang sains dan sains tulen.

Jumaat, 21 Ogos 2009

Sarawak Akan Mempunyai Makmal Ujian A (H1N1) Bulan Depan

Sarawak akan mempunyai makmal ujian sendiri menjelang pertengahan bulan depan bagi membolehkan Hospital Besar Sarawak (SGH) melakukan ujian penyakit influenza A(H1N1). Makmal itu dapat mempercepatkan ujian influenza A(H1N1) tanpa perlu menghantar sampel ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) atau Hospital Queen Elizabeth (QEH) di Sabah. Empat petugas perubatan kini mengikuti latihan untuk menjalankan ujian manakala sudah ada beberapa peralatan di sini dan beberapa lagi akan dibeli.


Menjelang pertengahan September, Hospitak Umum Sarawak mampu menjalankan ujian sampel sendiri. Sebelum ini, sampel kahak atau tekak pesakit untuk ujian A(H1N1) dihantar ke IMR atau QEH di mana keputusan biasanya diketahui dalam tempoh 24 jam tetapi memandangkan kes tertangguh, hasil keputusan mengambil masa yang lama. Jawatankuasa Bantuan Bencana Negeri meminta orang ramai bersedia menghadapi kemuncak wabak itu, dengan memberi pembayang bahawa keadaan buruk masih belum tiba. Bilangan orang yang cuba mendapatkan rawatan berkaitan penyakit selesema (ILI) serta mereka yang perlu dimasukkan ke wad terus meningkat.


Pada pertengahan Julai lepas kira-kira 0.5 peratus jumlah pesakit luar di klinik kerajaan menunjukkan ILI tetapi sebulan kemudian jumlah itu meningkat kepada 5.5 peratus pada pertengahan bulan berikutnya. Jumlah kes kluster di sekolah, institut pengajian tinggi dan pusat penjagaan kanak-kanak di Kuching, Sibu dan Miri telah menurun secara mendadak sejak keadaan menjadi kemuncak pada minggu pertama Ogos. Kerajaan menasihatkan wanita mengandung supaya mengambil langkah pencegahan kerana separuh daripada enam kematian dilaporkan di negeri Sarawak ada berkaitan dengan wanita mengandung. Ibu mengandung harus elak tempat yang sesak, mengamalkan kebersihan khususnya mencuci tangan, guna topeng muka dan mendapatkan rawatan awal jika ada tanda-tanda dan simptom selesema.

Pelaksanaan Projek Infrastruktur Luar Bandar Di Sarawak Dipercepatkan

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur luar bandar di Sarawak terutamanya melibatkan pembinaan jalan raya, perumahan, bekalan air dan bekalan elektrik. Menterinya Datuk Seri Shafie Apdal berkata keutamaan pelaksanaan segera projek infrastruktur luar bandar itu adalah berdasarkan kriteria tertentu. Kementerian akan mempercepatkan projek di kawasan yang mempunyai jumlah penduduk yang ramai.


Projek-projek di luar bandar Sarawak kali ini akan dilaksanakan berdasarkan keperluan golongan akar umbi di kawasan terbabit dan bukannya atas kehendak pengurusan atasan. Antara projek-projek yang akan dipercepatkan dalam tempoh terdekat ialah pembinaan jalan raya membabitkan peruntukan RM4 bilion bagi Sabah dan Sarawak. Sabah mendapat RM2 bilion manakala Sarawak RM2 bilion bagi pembinaan jalan raya, Kementerian sedang mengenal pasti keutamaan pelaksanaan projek tersebut. Mekanisme yang akan digunakan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek luar bandar di Sarawak ialah berdasarkan pengalaman Rancangan Malaysia Kesembilan dan kerjasama yang erat antara agensi kerajaan pusat dan negeri.

Topeng Penutup Mulut Dan Hidung Diisytihar Barangan Kawalan Sementara

Topeng penutup hidung dan mulut diisytiharkan sebagai barangan kawalan sementara berkuatkuasa serta merta dengan harga berkisar antara tujuh sen hingga RM6 seunit berdasarkan kualiti. Dalam keadaan sekarang, ramai orang perlukan topeng ini dan pihak berkuasa akan memantau perkara ini. Paling penting sekali ialah kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada pihak kementerian sekiranya ada kedai yang menjual lebih daripada harga yang ditetapkan. Kementerian boleh mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga 1946 di mana mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak lebih daripada RM15,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Bagi syarikat yang ingkar pula boleh didenda tidak lebih daripada RM25,000, katanya. Orang ramai boleh menelefon nombor tol percuma di talian 1-800-886-800 atau datang ke pejabat kementerian terdekat untuk membuat aduan sekiranya ada kedai yang menjual pada harga yang tinggi.
Harga maksimum borong bagi satu kotak (100 keping) selapis bergelung ialah RM5 sekotak dan harga maksimum runcit ialah RM7 sekotak. Bagi dua lapis bergelung, harga maksimum borong ialah RM8 sekotak (100 keping) dan harga maksimum runcit ialah RM 10 sekotak iaitu 20 sen seunit."Untuk tiga lapis bergelung, harga maksimum borong ialah RM25 sekotak (50 keping) dan harga maksimum runcit ialah 80 sen seunit. Bagi tiga lapis bertali, harga maksimum borong ialah RM 30 sekotak (50 keping) dan harga maksimum runcitnya pula ialah 80 sen seunit. Akhir sekali bagi jenis N95, harga maksimum borong ialah RM100 sekotak (20 keping) dan harga maksimum runcit ialah RM6 seunit.
Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan menasihatkan supaya tidak menggunakan topeng selapis dan dua lapis kerana ia tidak berkesan untuk mencegah penularan Influenza A H1N1. Mengenai kebanyakan farmasi yang tidak mempunyai bekalan topeng yang mencukupi, ketika ini kerajaan di dalam proses untuk mengimport lebih banyak bekalan bagi memenuhi kehendak pasaran.
SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN DAN SELAMAT BERPUASA