Jumaat, 24 April 2009

Kaji Semula Duti Import Produk Keselamatan Jalan

Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya mengkaji semula kadar cukai import yang dikenakan ke atas produk keselamatan jalan raya memandangkan harga barangan tersebut yang agak tinggi di pasaran. Ketua Pengarah JKJR Datuk Suret Singh berkata sememangnya harga barangan keselamatan jalan raya seperti kon keselamatan, lampu magnetik berkelip dan jaket keselamatan berlampu agak tinggi ketika ini tetapi pembekal dan penjual produk tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka juga terpaksa mengeluarkan modal yang besar bagi membawa masuk barangan tersebut dari luar negara.



Barangan tersebut dijual dengan harga antara RM100 dan RM200 setiap satu dan ia memang agak mahal tetapi kebanyakan penjual memberi alasan cukai import yang tinggi membuatkan mereka mengenakan kadar harga tersebut. Beliau telah berbincang dengan pembekal produk dan meminta mereka mengemukakan cadangan bagaimana untuk mengatasi masalah tersebut dan JKJR akan bertindak sebagai orang tengah dalam urusan dengan kerajaan. Kesimpulan daripada cadangan tersebut akan diserahkan kepada kerajaan selewat-lewatnya sebelum pembentangan belanjawan akan datang.



Sementara itu, JKJR kini dalam proses membuka kedai menjual peralatan keselamatan yang dikenali One Stop Centre Road Safety Shop di beberapa kawasan Rehat dan Rawat (RnR) terpilih di sepanjang lebuh raya seluruh negara. JKJR juga sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa lebuh raya dan mensasarkan untuk membuka kedai pertama Jun ini. Dengan adanya kedai seperti itu di RnR, semua pengguna yang berhenti rehat di lokasi tersebut mampu untuk membeli barangan keselamatan dan ini secara tidak langsung akan membantu memupuk kesedaran di kalangan pengguna jalan raya tentang barangan keselamatan yang perlu mereka miliki ketika perjalanan.



Berhubung dengan harga barangan, JKJR akan berunding dengan pembekal bagi mencadangkan satu harga runcit yang lebih berpatutan bagi penjualan barangan tersebut di kedai berkenaan supaya pengguna mampu membelinya.Kebanyakan pengguna belum sedar tentang produk-produk yang berada di pasaran yang boleh meningkatkan tahap keselamatan mereka ketika dalam perjalanan dan JKJR memohon kerjasama pihak berkuasa lebuh raya, badan bukan kerajaan dan media supaya menyebarkan maklumat kebaikan dan kepentingan produk keselamatan tersebut untuk pengetahuan semua pengguna jalan raya di seluruh negara.

Tiada ulasan: