YB Wan Junaidi dalam kenyataan yang disiarkan akhbar pada Jumaat lepas, seolah-olah memberi pujian kepada Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen daripada parti pembangkang. Wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN) juga melaksanakan peranan seperti yang sepatutnya.
Ditemui pemberita selepas satu majlis pada Khamis lepas, Wan Junaidi berkata peranan Ahli Parlimen bukan sekadar menghadiri persidangan untuk memenuhi kerusi dewan tetapi turut serta dalam memberi pandangan untuk kepentingan rakyat. “Ahli Parlimen dari Sarawak kurang lantang dan agresif dalam persidangan berbanding Ahli Parlimen dari Semenanjung Malaysia dan Sabah. “Selaku wakil rakyat anda seharusnya turut serta dalam membincangkan perkara-perkara yang dibangkitkan dalam Dewan. Kalau hanya duduk dan mendengar buat apa?,” kata Wan Junaidi dipetik sebagai berkata dalam laporan sebelum ini.
Akan tetapi Wakil Rakyat BN Sarawak tidak pernah ketinggalan berucap dalam Persidangan Dewan Rakyat. Orang ramai mungkin percaya dengan kenyataan Wan Junaidi memandangkan ucapan atau perbahasan mereka tidak disiarkan dalam televisyen atau dilaporkan dalam akhbar. Suara Ahli-ahli Parlimen dari Sarawak ketika berucap mungkin tidak selantang dan seagresif seperti rakan-rakan dari Sabah. Ini memungkin kehadiran mereka dalam Dewan kurang disedari dan tidak menarik perhatian media.
Mereka mempunyai cara tersendiri dan tidak perlu terikut-ikut dengan gaya Ahli-ahli Parlimen dari Sabah dan pembangkang. Dengan cara tersendiri (tidak lantang dan agresif) intipati perkara yang hendak disampaikan masih juga dapat didengar. Masalah penduduk di kawasan yang diwakili mereka katanya tidak pernah diabaikan pada Persidangan Dewan Rakyat. Malah Wakil Rakyat BN mengakui kehadiran utama mereka di Dewan Rakyat adalah untuk menyuarakan masalah rakyat agar sampai ke perhatian kera-jaan dan seterusnya tindakan selanjutnya dilaksanakan.
Selain daripada itu, Ahli Parlimen BN dari Sarawak juga terbabit dalam perbahasan dan ada kala mencelah terutama apabila perbincangan menyentuh mengenai Sarawak. Tetapi jika peluang untuk berbahas tidak ada bagaimana hendak berucap dalam persidangan. Ahli Parlimen yang hadir dalam persidangan bukan sedikit tetapi melebihi 100 orang. Mengenai liputan media, lazimnya wartawan lebih tertarik dengan isu-isu hangat seperti kritikan terhadap kerajaan.
Media kurang tertarik, jika sekadar menyentuh isu pembangunan yang diperlukan sesebuah kawasan.
Juga dipertikaikan kenyataan Wan Junaidi akan bertambah buruk jika pembangkang sengaja membesar-besarkan isu berkenaan untuk meraih sokongan politik terutama menjelang pilihan raya kelak. Apa yang lebih merisaukan ialah apabila orang ramai menganggap Wakil Rakyat BN sebagai wakil rakyat yang tidak menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh para pengundi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan