Khamis, 3 Disember 2009

Jangan Samakan Bong Dengan Chin Peng

Keputusan kerajaan tidak membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia adalah tepat kerana sejarah membuktikan bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya itu tidak berminat untuk membuang ideologi komunis, kata bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Rahman Yaakub. Tun Rahman, yang bertanggungjawab menamatkan ancaman komunis di Sarawak setelah memeterai Perjanjian Sri Aman pada 21 Ogos 1973, berkata Chin Peng tidak boleh disamakan dengan Bong Chee Kok, ketua Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (Paraku), sayap angkatan bersenjata Biro Kedua Parti Komunis Kalimantan Utama (PPKU).

Ancaman komunis yang diketuai Bong telah menjadi ancaman utama kepada keselamatan negeri pada ketika itu tetapi Bong dibenarkan kembali ke pangkuan masyarakat apabila beliau menunjukkan keikhlasan untuk menamatkan peperangan bersenjata berbanding Chin Peng. Isu Chin Peng timbul apabila beliau menyatakan hasrat untuk pulang ke Malaysia bagi menziarahi keluarganya di Sitiawan, Perak, tetapi ini dibantah keras khususnya oleh bekas anggota tentera yang pernah berdepan dengan kekejaman komunis.

Juga diulas semasa di hutan, Bong tidak banyak melakukan kekejaman berbanding Chin Peng manakala pendekatan dan perwatakan kedua-duanya juga berbeza. Bong telah menunjukkan keikhlasannya untuk mencari jalan damai dan mengakhiri perjuangannya sebagai komunis. Komitmen Bong untuk mencari jalan damai terbukti apabila tidak lama selepas pertemuan mereka berdua, Perjanjian Sri Aman dimeterai antara kerajaan negeri dan Paraku dan ancaman komunis diketuai oleh Bong turut berakhir. Bong kemudian meletak senjata dan memulakan satu perusahaan ternakan.

Tiada ulasan: