Selasa, 26 Januari 2010

Kehilangan Enjin Jet TUDM Tiada Kaitan Pegawai Atasan

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menutup siasatan kes kecurian enjin jet F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan memutuskan tidak ada pegawai kanan pasukan itu terlibat dalam kes berkenaan. Kesimpulan itu dibuat setelah PAC mendapati tidak ada sebarang bukti yang boleh mengaitkan mana-mana pegawai kanan pasukan itu dalam kes berkenaan. PAC mendapati memang ada kelemahan dalaman (TUDM) berlaku tetapi tidak nampak ada penyelewengan di peringkat atasan.

PAC juga mengesahkan bahawa pemecatan seorang Brigedier Jeneral tahun lepas tidak ada kena-mengena dengan kes kecurian enjin jet berkenaan. Berdasarkan siasatan, kehilangan enjin jet itu bukan berlaku semasa penghantaran sebaliknya hilang dalam simpanan berdasarkan tiada rekod penghantaran keluar. Enjin jet itu didapati hilang daripada Bangunan Material Processing Shed (MATRA 1), Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi di mana kedua-dua enjin jet pejuang disimpan. Berdasarkan itu PAC tidak menafikan kemungkinan kes itu membabitkan kecurian terancang dengan kerjasama orang dalam. Ini melibatkan orang yang memang berniat untuk mencuri dan telah merancang rapi, telah mengkaji kelemahan dalaman dan menggunakan kelemahan itu untuk mengeluarkan barang-barang tersebut.


MATRA 1 menyimpan lebih 400 ribu alat ganti dan peralatan milik TUDM. Bagaimanapun, berdasarkan siasatan tidak ada peralatan lain yang hilang daripada tempat simpanan berkenaan. TUDM sedang menambah baik sistem pentadbirannya termasuk sistem pengurusan asetnya, daripada sistem manual kepada perkomputeran sepenuhnya bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berulang lagi. Nilai enjin jet berkenaan adalah kira-kira RM300,000 setiap satu dan bukannya RM50 juta seperti yang dilaporkan sebelum ini oleh pihak yang tidak vbertanggungjawab.

Media baru-baru ini melaporkan kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E yang dikatakan hilang sejak 2007 dan dijual kepada sebuah syarikat antarabangsa luar negara. TUDM mula mengoperasikan pesawat F-5E itu pada 1974, dan pada 1999 perkhidmatan pesawat itu ditamatkan dengan tugas sebagai pesawat tempur barisan hadapan diambil alih oleh pesawat MiG-29N dan F/A-18D. Bagaimanapun, pada 2003 pesawat itu diaktifkan semula sebagai pesawat latihan dan tinjauan bagi menampung keperluan semasa.

Awal bulan ini, seorang anggota tentera udara berpangkat sarjan dan seorang ahli perniagaan yang juga pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya berhubung kehilangan dua enjin pesawat itu. Kerajaan kini berusaha untuk mendapatkan kembali kedua-dua enjin itu yang dikesan di Uruguay.

Tiada ulasan: