Rabu, 29 April 2009

BN Mesti Penuhi Janji Kepada Pengundi Batang Ai

Barisan Nasional (BN) mesti menunaikan janji dan tanggungjawab yang telah dibuatnya kepada rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri Batang Ai, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. BN tidak boleh melupai keputusan penting yang dilakukan oleh pengundi di Batang Ai pada pilihan raya kecil kawasan itu pada 7 April lalu, yang memberi kemenangan kepada BN. Di mana BN telah berjaya mengekalkan kerusi di Batang Ai apabila calonnya Malcolm Mussen Lamoh dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) menewaskan bekas Anggota Parlimen Lubok Antu, Jawah Gerang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), dengan majoriti 1,854 undi.


Timbalan Perdana Menteri akan membawa perkara tersebut kepada perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai cara paling baik untuk membantu penduduk Batang Ai, bagi meningkatkan taraf hidup mereka seperti menerusi potensi ekopelancongan, tarikan hidupan liar, kraftangan dan budaya masyarakat Iban. Potensinya ada. Apa yang perlu dilakukan ialah mengadakan perancangan yang teratur, kewujudan sumber dan sudah tentu kemahuan politik. Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan RM1.5 juta untuk projek pembangunan di 150 buah Rumah Panjang di Batang Ai.

Dalam menyampaikan ucapan tahniah PM kepada BN Sarawak terutama PRS dan Mussen, hasil keputusan pilihan raya di Batang Ai membuktikan bahawa rakyat Sarawak masih mempunyai keyakinan kepada BN. Semasa beliau melawat dua buah Rumah Panjang yang disenarai sebagai kawasan hitam atau kubu kuat pembangkang, penduduknya sangat mesra. Mereka menyambut beliau dengan tangan terbuka malah melakukan upacara "miring". Ia merupakan petunjuk penting bahawa mereka gembira, bukan sahaja untuk menyambut saya tetapi dalam menerima kepimpinan BN.
Muhyiddin yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bercakap mengenai polisi baru yang perdana menteri mahu laksanakan serta minat dan keprihatinan perdana menteri dalam meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia dari segi pembangunan infrastruktur, pendidikan dan ekonomi. "Saya rasa kata-kata ini telah menarik perhatian rakyat yang walaupun menjalani kehidupan mudah, tetapi sangat bijak dan sebab itulah mereka memilih BN," katanya menceritakan semula pengalamannya semasa berkempan di Batang Ai yang mempunyai 8,006 pengundi berdaftar. Beliau pernah melintasi dengan kapal terbang kawasan Batang Ai pada 1985 sebagai Setiausaha Pemuda BN.Muhyiddin mencadangkan pembinaan landasan kapal terbang kecil di Batang Ai bagi memudahkan ia dihubungi terutama oleh para pelancong.


Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata Sarawak masih mengharapkan kesinambungan pembangunan pendidikan di kawasan luar bandarnya. Rakyat berharap Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dapat meningkatkan taraf pendidikan di Sarawak terutama dari segi prasarana asas seperti bangunan sekolah, kediaman guru dan asrama pelajar. Misalnya kita masih mempunyai sekolah di kawasan pedalaman dan di ulu-ulu sungai dan pesisir pantai yang bergantung kepada generator kecil untuk menjana elektrik, air hujan untuk bekalan air. Terdapat sekolah kita yang belum dibekalkan dengan kemudahan komputer untuk para guru dan pelajar.


Presiden PRS, Datuk Sri Dr James Jemut Masing berkata kemenangan BN di Batang Ai adalah bukti terhadap kerjasama yang padu antara semua komponen BN di Sarawak.Katanya komponen BN yang bersama-sama membantu Malcolm, bekerja dengan penuh semangat BN tanpa sebarang agenda terselindung. Malcolm pula berkata kemenangan BN di Batang Ai bukan hanya merupakan kemenangan dirinya, namun ia adalah amanah daripada rakyat dan beliau bersedia untuk meneruskan agenda BN dalam membantu masyarakat luar bandar di Sarawak.

Negara Bebas Dari Selesema Babi

Penduduk Malaysia tidak perlu bimbang mengenai wabak Swine Influenza atau selesema babi kerana Malaysia bebas daripada wabak itu. Daripada pemerhatian terhadap kes yang mempunyai tanda atau gejala 'influenza-like illness', tiada peningkatan kes dan kes berkelompok dilaporkan setakat ini. Bagi memastikan keadaan itu berkekalan, Kementerian Kesihatan telah mengaktifkan Bahagian Kawalan Penyakit semalam untuk memantau situasi wabak itu di samping mengadakan saringan tanda-tanda jangkitan selesema babi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta di semua pintu masuk utama negara.

Kementerian juga telah mengadakan satu mesyuarat bersepadu bersama beberapa agensi berkaitan bagi membincangkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mencegah dan mengawal penyebaran wabak itu. Sehubungan itu Kementerian akan membuat kenyataan akhbar dari masa ke semasa untuk memaklumkan kepada orang ramai perkembangan wabak itu serta langkah-langkah kawalan dan pencegahan yang diambil.



Mengenai perkembangan kes itu setakat ini, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan terdapat 40 kes berkaitan wabak Swine Influenza A (H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal dikesan di Amerika Syarikat serta tujuh kematian dicatat daripada 26 kes di Mexico. Sebanyak 1,840 kes yang disyaki H1N1 turut dilapor di Mexico yang mengakibatkan 104 kematian. Enam kes turut dikesan di Kanada, dua di Scotland serta satu di Sepanyol manakala 25 kes turut dilapor di New Zealand. Berikutan situasi terkini wabak itu, WHO telah meningkatkan amaran Influenza Pandemik dari Fasa 3 ke Fasa 4 dan peningkatan fasa itu menunjukkan terdapat kemungkinan berlakunya pandemik.


Fasa 4 bermaksud berlaku penularan antara manusia ke manusia dan boleh menyebabkan wabak di kalangan komuniti tetapi setakat ini WHO tidak mengenakan sebarang sekatan dari segi kesihatan, perjalanan dan perdagangan yang perlu dilakukan oleh setiap negara bagi perlindungan kesihatan antarabangsa. Peningkatan Fasa ini tidak bermakna pandemik tidak boleh dibendung tetapi ia boleh menurun dan meningkat ke Fasa lebih tinggi bergantung kepada situasi dan maklumat terkini wabak itu. Memandangkan WHO telah meningkatkan tahap wabak kepada Fasa 4 Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan lawatan antarabangsa terutama ke negara yang dilanda wabak itu. Juga dinasihatkan mana-mana individu yang jatuh sakit semasa dalam perjalanan antarabangsa supaya mendapatkan rawatan dengan kadar segera. Sebarang maklumat berkaitan wabak selesema babi boleh didapati menerusi talian 03-88810200 atau 03-88810300 atau layari laman web http://www.moh.gov.my/.

Sabtu, 25 April 2009

Datuk Amar Abang Johari Presiden Baru Saberkas

Menteri Perumahan negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg kini presiden baru SABERKAS, pertubuhan belia pelbagai kaum terbesar di Sarawak. Beliau dengan sebulat suara dilantik memegang jawatan itu apabila Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud memutuskan untuk melepaskan jawatan itu pada Perhimpunan Perwakilan tiga tahun ke-13 di sini hari ini, setelah menerajuinya sejak 28 tahun lepas.
Sebelum ini beliau memegang jawatan timbalan presiden SABERKAS. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar persekutuan Datuk Douglas Uggah Embass, salah seorang bekas naib presiden mengambil alih sebagai timbalan presiden baru SABERKAS apabila pencalonan beliau tidak dicabar. Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri persekutuan Datuk Jacob Sagan juga mengekalkan jawatan naib presiden tanpa bertanding sementara Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah persekutuan Datuk Joseph Entulu Belaun dipilih sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT).
SABERKAS akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas tidak lama lagi untuk mengkaji semula perlembagaannya yang belum pernah diubah sejak penubuhannya pada 1973. Kita perlu mengadakan pelbagai perubahan baru untuk menyesuaikannya dengan persekitaran sekarang. Sebagai contoh di bawah perlembagaan sekarang, tidak ada peruntukan untuk mengendalikan subjek ICT yang kini sangat penting. SABERKAS yang kini mempunyai 132,000 anggota, akan membincang dan mengenal pasti cara-cara yang sesuai untuk menggunakan pinjaman RM1 juta yang diberikan kerajaan negeri dalam mempromosikan kajian sains dan teknikal di kalangan orang muda di Sarawak. Ini penting untuk menyediakan mereka sebagai sumber manusia yang relevan untuk memastikan kejayaan pelaksanaan Koridor Pembangunan Wilayah negeri atau Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Jumaat, 24 April 2009

Lagi tambahan untuk S’wak

RM200 juta untuk baiki infrastruktur yang rosak akibat banjir, tambahan RM34 juta lagi wang ihsan untuk bantu mangsa banjir, petani.



Kerajaan Persekutuan memperuntukan RM234 juta untuk Sarawak bagi membantu mangsa banjir dan membaiki infrastruktur yang rosak berikutan banjir awal tahun ini, melebihi jumlah yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini. Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam dan Penyelamat Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata, Persekutuan bukan sahaja menunaikan janji untuk memberi bantuan kepada Sarawak, malah memberi peruntukan tambahan lebih RM100 juta.
Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri pada 13 Februari ketika berkunjung ke Sarawak tahun ini mengumumkan peruntukan RM115 juta untuk membantu Sarawak membina semula infrastuktur yang rosak selepas banjir Januari lalu.

Mereka bukan sahaja menunaikan janji, malah memberi lebih. Kita sudah menerima sebahagian daripada RM200 juta untuk membina semula kemudahan awam manakala bakinya akan disalurkan pada tahun ini atau 2010. Beliau yang merangkap Timbalan Ketua Menteri menambah, Sarawak turut mendapat peruntukan tambahan wang ihsan berjumlah RM34 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi membantu mangsa banjir dan petani yang terjejas teruk.
Katanya, banjir yang terburuk pernah berlaku di negeri ini dianggarkan menjejaskan kira-kira 50,000 penduduk manakala 17,815 petani mengalami kerugian besar.







Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka datang ke Sarawak minggu hadapan untuk menyampaikan sebahagian daripada wang ihsan kepada mangsa. Daripada jumlah itu sebanyak RM6 juta sudah diagihkan kepada mangsa banjir manakala RM28 juta lagi akan diagihkan mulai minggu depan. Pengagihan wang ihsan ini dibuat secara berperingkat-peringkat, apa yang penting kita mahu pastikan bantuan ini sampai kepada mangsa. Mangsa banjir memerlukan bantuan itu dalam masa terdekat bagi memastikan mereka dapat bercucuk tanam semula dan membina rumah semula.

ADUN Batang Ai Aktif Bantu Rakyat

Anggota Dewan Undangan Negeri Batang Ai yang memenangi pilihan raya kecil kawasan itu pada 7 April lalu, YB Malcolm Mussen menubuhkan dua pusat perkhidmatan untuk menolong rakyat di kawasannya. Pusat itu terletak berhampiran jeti di tasik elektrik hidro Batang Ai dan di Engkili. Pusat-pusat ini bagi membantu penduduk pedalaman terutamanya yang terpaksa membuat perjalanan satu setengah jam untuk ke Sri Aman bagi berurusan dan mendapat rawatan perubatan. Mussen akan mengangkat sumpah jawatan pada hari pertama mesyuarat Dewan Undangan Negeri Sarawak yang bermula dari 11 hingga 21 Mei. Antara keutamaan yang akan diberi perhatian ialah menaik taraf jalan sedia ada, menyediakan keperluan asas termasuk meningkatkan kemudahan di rumah-rumah panjang. Usaha juga akan dilakukan untuk membangunkan agropelancongan di Batang Ai seperti mewujudkan santuari Orang Utan.

Kaji Semula Duti Import Produk Keselamatan Jalan

Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya mengkaji semula kadar cukai import yang dikenakan ke atas produk keselamatan jalan raya memandangkan harga barangan tersebut yang agak tinggi di pasaran. Ketua Pengarah JKJR Datuk Suret Singh berkata sememangnya harga barangan keselamatan jalan raya seperti kon keselamatan, lampu magnetik berkelip dan jaket keselamatan berlampu agak tinggi ketika ini tetapi pembekal dan penjual produk tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka juga terpaksa mengeluarkan modal yang besar bagi membawa masuk barangan tersebut dari luar negara.



Barangan tersebut dijual dengan harga antara RM100 dan RM200 setiap satu dan ia memang agak mahal tetapi kebanyakan penjual memberi alasan cukai import yang tinggi membuatkan mereka mengenakan kadar harga tersebut. Beliau telah berbincang dengan pembekal produk dan meminta mereka mengemukakan cadangan bagaimana untuk mengatasi masalah tersebut dan JKJR akan bertindak sebagai orang tengah dalam urusan dengan kerajaan. Kesimpulan daripada cadangan tersebut akan diserahkan kepada kerajaan selewat-lewatnya sebelum pembentangan belanjawan akan datang.



Sementara itu, JKJR kini dalam proses membuka kedai menjual peralatan keselamatan yang dikenali One Stop Centre Road Safety Shop di beberapa kawasan Rehat dan Rawat (RnR) terpilih di sepanjang lebuh raya seluruh negara. JKJR juga sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa lebuh raya dan mensasarkan untuk membuka kedai pertama Jun ini. Dengan adanya kedai seperti itu di RnR, semua pengguna yang berhenti rehat di lokasi tersebut mampu untuk membeli barangan keselamatan dan ini secara tidak langsung akan membantu memupuk kesedaran di kalangan pengguna jalan raya tentang barangan keselamatan yang perlu mereka miliki ketika perjalanan.



Berhubung dengan harga barangan, JKJR akan berunding dengan pembekal bagi mencadangkan satu harga runcit yang lebih berpatutan bagi penjualan barangan tersebut di kedai berkenaan supaya pengguna mampu membelinya.Kebanyakan pengguna belum sedar tentang produk-produk yang berada di pasaran yang boleh meningkatkan tahap keselamatan mereka ketika dalam perjalanan dan JKJR memohon kerjasama pihak berkuasa lebuh raya, badan bukan kerajaan dan media supaya menyebarkan maklumat kebaikan dan kepentingan produk keselamatan tersebut untuk pengetahuan semua pengguna jalan raya di seluruh negara.

Anak Pasangan Tukar Agama Kekal Agama Asal

Kabinet membuat keputusan bahawa anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin, walaupun ibu atau bapa mereka kemudiannya memeluk agama lain. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata keputusan itu adalah antara penyelesaian jangka panjang yang dicapai oleh Kabinet memandangkan lebih banyak kes seperti yang melibatkan Mohd Ridzuan Abdullah dan isterinya Indra Gandhi, dijangka muncul pada masa akan datang.



Mohd Ridzuan, atau Patmanathan a/l Krishnan, 40, bekas penganut Hindu, yang kini memeluk Islam, dilaporkan telah menukar agama anaknya -- Tevi Darsiny, 12, Karan Dinesh, 11, dan Prasana Diksa, 1 -- kepada Islam pada 12 April serta memohon hak penjagaan terhadap mereka di Mahkamah Syariah walaupun emak mereka masih beragama Hindu. Penukaran agama tidak boleh dijadikan alasan untuk membubarkan sesuatu perkahwinan secara automatik atau untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap anak-anak. Mana-mana individu yang ingin menukar agama, perlu menyelesaikan semua masalah berkaitan tanggungjawabnya terlebih dulu, bagi mengelak pihak yang tidak bersalah, terutama kanak-kanak, menjadi mangsa.K



Kabinet juga membuat keputusan bahawa sekiranya sesuatu perkahwinan didaftarkan di mahkamah sivil, maka ia hanya boleh dibubarkan mengikut undang-undang sivil. Jangan jadikan agama, contohnya Islam, sebagai alat untuk melepaskan diri daripada perkahwinan kerana perbuatan seperti ini akan mencemarkan nama agama itu. Tarikh penguatkuasaan undang-undang Islam terhadap seseorang mualaf ialah tarikh dia memeluk agama itu. Bagi menguatkuasakan keputusan itu, Pejabat Peguam Negara akan diminta meneliti semua undang-undang berkaitan yang perlu dipinda, tetapi tidak termasuk undang-undang syariah, yang terletak di bawah bidang kuasa sultan. Sebagai langkah jangka pendek bagi kes Mohd Ridzuan, menteri yang bertanggungjaab bagi hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri senator Datuk Jamil Khir Baharom, diminta memberi kaunseling kepada Mohd Ridzuan.