Komuniti perniagaan di Perak bimbang kemelut politik yang berterusan di negeri itu akan mencacatkan lagi kemajuan ekonomi dan kemasukan pelaburan ke negeri itu. Ahli perniagaan hartanah dan pelaburan berpendapat keadaan kucar-kacir yang berlaku di Perak sedang diperhati oleh orang luar terutama pelabur. Pelabur akan berfikir beberapa kali sama ada mahu melabur atau membeli hartanah di negeri ini. Apabila aktiviti ekonomi tidak berkembang dan sumber pendapatan tidak mengalir sempurna, maka rakyat akhirnya akan menderita.
Para peniaga menyeru pemimpin-pemimpin politik supaya menyelesaikan apa juga masalah dengan sebaiknya dan berharap mereka meletakkan kepentingan politik ke tepi, kerana jika tidak, kehidupan rakyat terjejas. Tidak menafikan bahawa akibat ketidaktentuan dalam senario politik di Perak, keadaan ekonomi sedia ada di negeri itu turut terjejas. Krisis perlembagaan di Perak boleh menimbulkan kekeliruan kepada golongan pelabur. Contohnya, mereka hendak tahu siapa menteri besar dan kerajaan negeri yang sah pada masa sekarang. Apa yang lebih penting pada masa sekarang ialah semua pihak, tanpa mengira fahaman politik, bekerja untuk menyelesaikan dan menjaga ekonomi di negeri itu supaya kehidupan rakyat tidak bertambah teruk.
Walau apapun, semua pihak perlu mengetepikan perbezaan politik sekiranya benar-benar mahu membantu rakyat dan ekonomi negeri. Perlantikan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar yang baru telah memberi nafas lega kepada rakyat.Pelabur memerlukan sebuah kerajaan yang stabil sebelum mereka datang. Keadaan politik yang tidak stabil di sesebuah negeri akan menyebabkan pelabur tidak akan mengambil risiko bagi membuat pelaburan besar dan mereka boleh memilih cara lain iaitu melabur di negeri yang lebih aman serta cukup stabil daripada segi politik.Krisis politik dan perlembagaan di Perak berlanjutan lebih sebulan apabila pakatan DAP, PKR dan PAS tidak dapat menerima bahawa kerajaan negeri itu diambil alih Barisan Nasional pada 6 Feb lepas setelah tiga wakil rakyat mereka keluar parti masing-masing untuk menyokong BN.
Apa yang berlaku di Perak adalah satu contoh yang jelas kepada rakyat Sarawak untuk mempertahankan kestabilan politik negeri untuk menjayakan kemajuan ekonomi negeri apatah lagi dalam keadaan krisis ekonomi sedunia yang semakin serius. Rakyat hendaklah bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk memastikan bajet mini dilaksanakan dengan sepenuhnya untuk mengharungi cabaran masa kini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan