Ahad, 8 Mac 2009

SAMBUTAN HARI WANITA

KEGANASAN ke atas wanita dan kanak-kanak atau erti kata lain keganasan rumah tangga merupakan isu yang sehingga kini tidak dapat dikawal, umpama wabak yang berjangkit dalam masyarakat tanpa ada sempadan negara, bangsa, warna kulit, status mahupun agama. Tiada satu bangsa di dunia yang mampu mengaku bahawa masyarakatnya bebas daripada isu tersebut. Ianya adalah agenda utama pertubuhan-pertubuhan wanita di negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain, Jepun dan sebagainya.

Sekali lagi isu ini diangkat sebagai tema sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2009 yang disambut 8 Mac ini (Ahad) di seluruh dunia. Tema kali ini dianggap lebih menarik dengan penambahan sesuatu yang cukup relevan iaitu Wanita dan Lelaki Bersama Menentang Keganasan Ke atas Wanita dan Kanak-Kanak. Memasukkan perkataan 'lelaki' dalam tema tersebut bermakna golongan lelai juga dibabitkan secara langsung dalam program-program kesedaran yang selama ini hanya dijuarai oleh golongan wanita. Menteri juga mengakui keganasan rumah tangga akan terus relevan untuk diperbincangkan dan dicari jalan penyelesaian sama ada di peringkat kerajaan mahu pun badan-badan bukan kerajaan (NGO).
Pihak kementerian juga sedang berusaha keras mempercepatkan usul pindaan Akta Keganasan Rumah Tangga dengan memasukkan penderaan emosi sebagai sebahagian daripada bentuk keganasan rumah tangga yang harus dilayan sebagaimana penderaan fizikal.
Keganasan rumah tangga tidak seperti keganasan fizikal yang mudah dilihat atau dirasai, penderaan emosi sukar untuk dibuktikan namun kesannya sama besar atau mungkin lebih teruk dengan penderaan fizikal. Tidak dinafikan mungkin sukar untuk membuktikan penderaan emosi, namun sesuatu harus dilakukan agar wanita memahami bahawa terdapat undang-undang yang komprehensif yang melindungi mereka daripada sebarang bentuk keganasan rumah tangga sama ada berbentuk fizikal mahupun emosi.

Berdasarkan pada perangkaan kes keganasan ke atas wanita dan kanak-kanak tidak pernah surut, bahkan semakin meningkat bilangannya. Sebagai contoh, pada tahun lalu sehingga bulan November saja sebanyak 3,445 kes keganasan ke atas wanita dilaporkan, manakala pada 2007 sebanyak 3,756 kes berbanding 2006 (2,264 kes) dan 2005 (2,093 kes). Kemungkinan keganasan rumah tangga akan lebih ketara tahun ini impak daripada pergolakan ekonomi dunia yang sedang berlaku sekarang. Berdasarkan kajian-kajian sebelum ini, institusi keluarga antara yang awal terkena tempias apabila berlaku sesuatu krisis ekonomi, di mana ia mewujudkan suasana tegang dan konflik dalam keluarga yang secara tidak langsung akan mencetuskan kemungkinan berlaku keganasan .

Negara Britain telah mencatatkan peningkatan dua kali ganda dalam kes-kes keganasan rumah tangga berikutan krisis ekonomi yang dilanda. Kementerian akan mengambil langkah proaktif dengan merancang program-program yang dapat membantu membentuk keluarga mapan dan tahan cabaran. Ini terutama di kalangan keluarga yang berisiko seperti pasangan muda dan yang menghadapi cabaran kewangan.

Begitu juga dengan pertubuhan-pertubuhan NGO dan parti politik yang juga telah mengadakan pelbagai aktiviti untuk sambutan Hari Wanita. Yang hairan sesetengah parti contohnya PKR yang hanya membuat kenyataan akhbar dengan gambar sahaja tanpa sebarang aktiviti sambutan, mereka ini hanya membuat beberapa kain rentang mengucapkan selamat menyambut Hari Wanita tetapi tidak mengadakan sebarang aktiviti sambutan untuk golongan wanita. Kenapa pula mereka dapat berbelanja lebih untuk majlis makan malam untuk DSAI tetapi tidak rela untuk adakan aktiviti sambutan untuk golongan wanita??

Tiada ulasan: