Jumaat, 24 Julai 2009

Iban Tuntut Permohonan Maaf Bagi Kenyataan Menghina

Pemakaian cawat menimbulkan kemelut politik di Negeri Kenyalang ini. Ia bermula dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyalahkan kekalahan pembangkang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Batang Ai pada April, yang menurutnya disebabkan pengundi yang memakai cawat tidak tahu mengundi dengan betul.

Kenyataannya itu dilaporkan dalam portal berita Malaysiakini pada 11 Julai, dan menimbulkan kemarahan kerana ia bukan berdasarkan fakta, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu yang mahu Hadi meminta maaf kepada masyarakat Iban, terutamanya di Lubok Antu. Walaupun Presiden PAS berhak memberikan pandangan, beliau terbukti salah kerana orang yang bijak mengundi Barisan Nasional (BN) dan kenyataan menghina beliau itu merendah-rendahkan pengundi.
Pada pilihan raya kecil 7 April itu, BN mengekalkan kerusi majoriti kaum Iban itu selepas muka baru Malcolm Mussen Lamoh menewaskan bekas anggota Parlimen Lubok Antu selama lima penggal Jawah Gerang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kesal dengan kenyataan Hadi itu yang dibuat menjelang pilihan raya kecil DUN Manik Urai di Kelantan yang dimenangi oleh PAS, sesiapa yang menghina masyarakat itu patut meminta maaf jika beliau seorang yang bertanggungjawab.

Tan Sri sering melawat Lubok Antu, iaitu sebelum pilihan raya kecil, semasa dan selepasnya dan dalam keadaan biasa, anda tidak lihat sesiapa yang memakai cawat, kecuali semasa persembahan tarian tradisional dan semasa pakaian tradisional dipamerkan dan ini menunjukkan BN amat kukuh di Sarawak.

Mengulas isu yang sama, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Seri Dr James Masing berkata kenyataan seumpama itu boleh menimbulkan ketegangan kaum di negara ini kerana ia mencadangkan yang pengundi adalah tidak bertamadun. Menggelar pengundi Dayak sebagai tidak bertamdun adalah amat tidak wajar. Ini menunjukkan betapa PAS tidak mengetahui langsung mengenai keadaan di Batang Ai.

Sementara itu, Tan Sri Dr George Chan, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata beliau kesal dengan kenyataan Hadi itu. Pemimpin politik perlu sensitif dan bertanggungjawab apabila membuat kenyataan media untuk mengelakkan ketegangan dalam sebuah negara pelbagai kaum. Sebagai seorang ahli politik berpengalaman, Presiden PAS patut sedar akan tanggungjawabnya.

'Thinking Culture' Asas Kepada Masyarakat Maju

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru masyarakat memperluaskan penghayatan budaya fikir "thinking culture" dan menjadikannya sebahagian daripada budaya hidup mereka sebagai sebuah masyarakat maju. Budaya fikir inilah yang akan menjadi faktor penentu utama yang bakal menjamin pembangunan tamadun baru dan kewujudan bangsa yang cemerlang pada masa depan.


Beliau juga menyeru masyarakat membuang sindrom kelesuan, kemalasan dan kelemahan berfikir. "Sekiranya kita lesu daya fikir dan lemah kekuatan minda, serta terus khayal dengan aktiviti yang melekakan, akhirnya masyarakat kita akan ketandusan jiwa." Kita perlu menjana masyarakat yang berbudaya fikir tinggi dengan kecenderungan untuk membuat kajian, melakukan penganalisaan, menerbitkan karya ilmiah berkualiti, mencintai ilmu, menggemari wacana ilmiah, dan menghargai serta menyanjung golongan ilmuan.


Beliau juga menekankan perlunya masyarakat membina generasi muda yang berpegang kepada nilai-nilai kudus yang kental jati diri, berkeperibadian mulia, berketrampilan, tinggi daya tahan dan daya juang. Kekhuatiran terhadap kualiti generasi muda dalam menangani cabaran masa depan bukanlah suatu yang tidak berasas langsung. Kita dapati penglibatan generasi muda di dalam masalah-masalah sosial kian kritikal.


Justeru itu generasi kini dan seterusnya mestilah dibina dengan penjiwaan dan penghayatan agama dan tidak tenggelam dalam arus kebendaan. Tanpa dorongan dan landasan keagamaan, masyarakat kita akan menjadi seperti masyarakat sekular Barat yang melihat sesuatu dari sudut yang begitu relatif, pragmatik, dan rationalistik semata-mata. Ini akan mengakibatkan kepincangan pembangunan dan mencetuskan keruntuhan generasi seperti yang sedang berlaku di negara mereka," katanya.

Khamis, 16 Julai 2009

Kerajaan tidak ketepikan langkah cegah HFMD di samping wabak H1N1

Kerajaan tidak akan mengetepikan langkah pencegahan jangkitan enterovirus 71 (EV71) yang melibatkan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), meskipun kini tumpuan lebih diberi kepada usaha membendung wabak Influenza A (H1N1).

Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana Alam Negeri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata jangkitan HFMD dijangka meningkat tahun ini berdasarkan trendnya yang berlaku setiap tiga tahun sekali. Sarawak agak berpengalaman luas dalam kes seperti ini dan salah satu langkah terbaik untuk menanganinya ialah mempraktikkan tahap kebersihan yang ketat. Setakat enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 8,205 kes HFMD dikesan di seluruh negeri berbanding 2,428 kes pada 2008 pada tempoh yang sama. Meskipun Sarawak mencatatkan beberapa kes HFMD yang serius, namun tiada kematian dilaporkan setakat ini.



Dr Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri memberitahu kempen kesedaran kebersihan yang dilaksanakan selama ini dikatakan berjaya mengurangkan kes jangkitan berkenaan. Langkah penjagaan kesihatan dan kebersihan yang efektik dapat mencegah virus penyakit itu. Seperti yang kita tahu apabila penyakit SARS dahulu, kita dapat mengatasinya dengan begitu baik kerana mempraktikkan tahap kesihatan yang tinggi. Oleh itu, rakyat diingatkan agar tidak memandang ringan dengan wabak ini ke-rana ia masih dianggap serius.


Dalam perkembangan lain, Dr Chan memberitahu dua lagi kes positif H1N1 dilaporkan semalam sekali gus mencatatkan kes yang ke-33 di negeri ini. Menurutnya, kedua-dua kes berkenaan ialah jangkitan tempatan melibatkan dua wanita tempatan yang berusia 26 dan 34 tahun, manakala sembilan kes masih menunggu keputusan ujian klinikal. Kesemua pesakit postif telah dibenarkan keluar hospital kerana tiada kes-kes serius dilaporkan. Semua mereka akan di-kuarantin di kediaman masing-masing selama tujuh hari. “Kita akan memastikan mereka mempraktikkan tahap kesihatan dan kebersihan diri yang tinggi bagi membendung wabak ini,” tambah Dr Chan.

Selasa, 14 Julai 2009

Sarawak Umum Dasar Baru Surat Hak Milik Tanah

Pemilik tanah di Sarawak kini boleh memperbaharui surat hak milik tanah pada bila-bila masa serta boleh memilih tempoh pemilikan antara 60 tahun dan 99 tahun, kata Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.



Pemilik tanah sebelum ini terpaksa menunggu selama lima tahun sebelum tempoh pemilikan tamat untuk membolehkan proses pembaharuan dapat diuruskan oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak. Langkah-langkah ini merupakan satu pembaharuan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak bertujuan membolehkan orang ramai memperbaharui surat hak milik tanah dengan lebih mudah. Pembayaran premium tanah juga kini telah dipermudahkan bagi meringankan beban kewangan pemilik tanah di negeri ini. Pemilik tanah kini boleh membuat pembayaran premium ke atas tanah mereka sehingga 10 tahun secara beransur-ansur. Sambil memberi jaminan kadar bayaran premium dikenakan adalah berpatutan, hasil daripada kutipan bayaran premium tersebut digunakan untuk pelbagai tujuan pembangunan infrastruktur negeri ini seperti pembinaan jalan raya.

Bagi memberi kefahaman yang mendalam terhadap pelbagai isu tanah di Sarawak, kerajaan negeri bercadang menganjurkan "Seminar Perihal Tanah" yang telah diadakan di Bintulu. Kerajaan Negeri akan mengadakan seminar ini di Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sibu, Sarikei, Mukah dan Kapit bagi mengurangkan masalah jurang informasi antara kerajaan negeri dan masyarakat. Seminar tersebut akan melibatkan kehadiran ketua-ketua jabatan, pemimpin masyarakat dan wakil rakyat bagi membolehkan pemimpin semua peringkat termasuk peringkat akar umbi memahami pelbagai isu tanah di negeri ini.

Pemilik tanah di Sarawak mengambil inisiatif sendiri sekiranya berdepan dengan masalah berkaitan tanah milik mereka bagi mempermudahkan urusan. Pemilik tanah digalakkan pergi sendiri ke Jabatan Tanah dan Survei berdekatan dengan tempat masing-masing untuk bersemuka dan berbincang dengan pegawai-pegawai di pejabat itu bagi menyelesaikan masalah membabitkan tanah milik mereka. Keadaan ini dapat memudahkan dan mempercepatkan urusan pemprosesan di mana segala permasalahan yang timbul dapat diselesaikan dengan segera dengan kehadiran pemilik tanah.

Ahad, 12 Julai 2009

11 Berita Gembira Untuk Rakyat

Sempena 100 hari sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan 11 berita yang pasti menggembirakan semua lapisan rakyat dalam usaha kerajaan memberikan masa depan lebih baik, makmur dan terjamin untuk mereka.

1.Pengguna kad prabayar, Smart Tag dan Touch n Go yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan, mereka layak menerima diskaun 20 peratus.

2. Kerajaan akan tawarkan 44,000 unit perumahan rakyat untuk dijual kepada penyewa di Wilayah Persekutuan.

3. Penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan akan menikmati potongan sebanyak 50 peratus bagi pembaharuan lesen baru mereka berkuat kuasa serta-merta.

4. Kerajaan menambah 3,000 lagi permit teksi yang permohonannya diluluskan dalam masa tiga bulan akan datang.

5. Langkah-langkah drastik bagi mengurangkan jenayah dan memerangi rasuah.

6. Permohonan pendaftaran kelahiran dipermudahkan di Sabah dan Sarawak.

7. Pembinaan jalan ditambah di Sabah dan Sarawak.

8. Bekalan air dan elektrik ditingkatkan di Sabah dan Sarawak.

9. Kadar bayaran latihan menunggang motosikal bagi kelas B2 iaitu 250cc ke bawah dikurangkan kepada RM211 mulai 1 September.

10. Peruntukan untuk Tekun ditambah RM150 juta dan RM15 juta disediakan untuk usahawan muda kaum India.

11. Tabung unit amanah baru dinamakan Amanah Saham 1Malaysia dengan saiz 10 bilion unit akan diperkenalkan.

Pembaharuan Dan Pencapaian

ANTARA Pembaharuan dan Pencapaian Datuk Seri Najib Tun Razak sejak dilantik sebagai Perdana Menteri keenam pada 3 April lepas:

1. KESEJAHTERAAN RAKYAT- Memperkenalkan konsep 1Malaysia : Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.- Melakukan tinjauan mesra untuk mengetahui denyut nadi rakyat.- Kawasan yang telah dilawati ialah Vista Angkasa, Kampung Kerinchi; Jalan Petaling; Puduraya; Brickfields; Jalan Tuanku Abdul Rahman; Jalan Masjid India; Pasar Kraf Kota Kinabalu; Pasar Besar Kota Kinabalu; Kampung Bintawa, Kuching; Pasar Malam Sibu dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.- Mengarahkan satu kajian menyeluruh dilakukan untuk menangani isu kenaikan tol yang membebankan rakyat.- Mengumumkan kerajaan akan mengambil alih Sabah Medical Centre dengan harga RM280 juta untuk menampung keperluan rakyat Sabah yang meningkat di hospital-hospital kerajaan.- Mengarahkan langkah segera diambil untuk mengatasi kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur.- Mengarahkan supaya pembinaan kawasan letak kereta yang baru di Jalan Tuanku Abdul Rahman.- Mengarahkan projek Plaza Rakyat yang terbengkalai sejak beberapa tahun lalu disiapkan segera.- Meminta agensi kerajaan yang terlibat memperbaiki kemudahan di Puduraya demi keselesaan penumpang.- Memperkenalkan Biasiswa Nasional yang dikhususkan kepada para pelajar yang paling cemerlang di negara ini tanpa mengira kaum.

2. HAK ASASI DAN KEBEBASAN MEDIA- Membebaskan 13 tahanan ISA pada hari menyampaikan ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri.- Menarik balik penggantungan penerbitan akhbar parti pembangkang iaitu Harakah dan Suara Keadilan.- Mengumumkan akan mengkaji Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).- Membebaskan 13 lagi tahanan ISA termasuk para pemimpin Hindraf.- Media diberi kebebasan membuat liputan tetapi hendaklah adil dan bertanggungjawab.

3. EKONOMI DAN KEWANGAN- Melakukan liberalisasi ke atas 27 sub sektor perkhidmatan.- Mengumumkan liberalisasi sektor kewangan.- Mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM60 bilion.- Melancarkan laman web pakej rangsangan ekonomi untuk membolehkan rakyat memantau pelaksanaan projek.- Mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memudahkan pengeluaran lesen kepada para peniaga kecil dan penjaja.- Menubuhkan Majlis Ekonomi Negara yang akan mencari jalan untuk membentuk modal ekonomi baru yang berteraskan inovasi dan nilai tinggi.- Meminta bank terus mengeluarkan pinjaman kepada peniaga agar perniagaan mereka tidak terjejas pada masa sekarang.- Menubuhkan Danajamin Nasional Bhd (Danajamin) yang akan menyokong kerjasama dalam pasaran modal.- Melaksanakan kelonggaran ke atas garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC).- Menubuhkan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) dengan modal awal RM500 juta sebagai institusi pelaburan baru dalam negara.- Melancarkan Felda Global Ventures Holdings (Felda Global) ke arah menjadikan Felda sebagai sebuah syarikat multinasional dalam bidang tanaman pelbagai di peringkat antarabangsa.

4. PEMODENAN DAN PENINGKATAN KUALITI PERKHIDMATAN AWAM- Memperkenalkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk semua menteri, timbalan menteri dan semua sektor kerajaan.- Modenisasi perkhidmatan awam dengan melaksanakan dasar pintu terbuka, "multi oint entry" dan "cross fertilization" bagi membolehkan lebih ramai tenaga kerja terbaik di sektor swasta dapat diserap dalam perkhidmatan awam. Kakitangan kerajaan juga dibenarkan untuk meningkatkan pengetahuan dan kebolehan mereka dengan mendapat latihan bekerja di GLC.- Majlis yang dianjurkan oleh kerajaan perlu diringkaskan, tidak meleret-leret dan tidak terlalu memakan masa yang panjang.- Menjadikan Bidang Keputusan Utama Nasional (KRA) sebagai kaedah baru dalam pentadbiran kerajaan untuk memacu negara ke tahap lebih berjaya. Ia akan digabungkan dengan KPI.- Mengumumkan KPI dan KRA akan dijadikan asas untuk melonjakkan kecekapan perkhidmatan awam.- Memperkenalkan sambutan Hari Inovasi menggantikan Hari Q (Kualiti) yang diperkenalkan sejak tahun 1987.- Anggota awam kumpulan sokongan yang berkhidmat lebih 15 tahun dalam gred lantikan akan dinaikkan pangkat (176,066 orang).- Menggubal dua skim baru dan naik taraf lapan skim perkhidmatan (20,637) bermula 1 Julai 2009.

5. POLITIK- Mengarahkan kajian dilakukan terhadap perlembagaan Umno dan sistem pemilihan parti supaya lebih ramai ahli terlibat dalam urusan pemilihan pucuk pimpinan sekali gus dapat membendung gejala politik wang.

6. SOSIAL- Menjadikan tanah rancangan Felda di seluruh negara sebagai Gedung Makanan Negara.- Mengumumkan peningkatan peruntukan pembiayaan perumahan bagi generasi kedua Felda.- Mengkaji penubuhan skim pencen pekerja swasta dan tabung pemberhentian pekerja bagi pekerja yang kehilangan pekerjaan.- Mencadangkan penubuhan Baitulmal Kebangsaan dan memperkasakan Baitulmal negeri.- Skop dan peranan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) diperluaskan termasuk melibatkan hal perumahan, jenayah dan pengangkutan.

7. PEMBANGUNAN BARU- Mencadangkan agar kajian dilakukan terhadap pembangunan tenaga nuklear dan sumber tenaga baru di negara ini berasaskan teknologi hijau.- Meminta kajian dilakukan terhadap cadangan pembinaan jambatan ketiga yang menghubungkan Malaysia dan Singapura bertujuan melonjakkan pembangunan di timur Johor khasnya dan Wilayah Pantai Timur amnya.

8. DASAR LUAR- Melakukan lawatan rasmi ke China.- Melakukan kunjungan hormat ke atas pemimpin negara-negara jiran terdekat selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia iaitu Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura.

Ahad, 5 Julai 2009

Budaya “CAKAP TAK SERUPA BIKIN”


Budaya buruk “Cakap Tak Serupa Bikin” sudah lama wujud di masyarakat kita. Begitu juga yang berlaku dalam parti politik khususnya parti komponen Pakatan Rakyat. Saya memetik kenyataan pemimpin Pergerakan Pemuda Parti DAP pada satu majlis makan malam DAP baru-baru ini.

Beliau menyifatkan SUPP telah menjadi gadis Formula1 kepada Ketua Menteri Sarawak. Kerajaan BN tidak meneliti permasalahan yang timbul sehinggakan kehidupan semakin membebankan.

Kepada saya, ahli-ahli DAP Kuching adalah anak patung kepada Puppet Master DAP Kuching, di mana pada pilihan raya parti yang diadakan di kesemua cawangan sejak kebelakangan ini menyaksikan ahli keluarga dan saudara-mara pemimpin veteran DAP Chong serta pekerja kepada keluarga Encik Chong menguasai semua jawatan utama dalam cawangan termasuk jawatan pengerusi, timbalan pengerusi, setiausaha, bendahari dan lain-lain.

Encik Wong mempertikaikan tindakan parti SUPP yang hanya menyampaikan barangan makanan dan kegunaan untuk mangsa banjir pada awal tahun ini, dan tidak berusaha untuk mencari cara penyelesaian yang lebih baik untuk menghalang kejadian banjir terus berlaku di Sarawak.

Apa pula yang dilakukan oleh DAP? Mereka tidak keluar untuk membantu mangsa dan hanya muncul di akhbar selepas kejadian tersebut, dan menyatakan tugas tersebut adalah tugas pasukan tentera dan penyelamat yang telah di latih. Mengapa pula SUPP dapat mengerakkan Pergerakan Pemuda dan pertubuhan setempat untuk membantu dalam kerja menyelamat dan pemindahan banjir, sedangkan mereka ini tidak dilatih? JELAS sekali DAP tidak berhasrat untuk membantu mangsa banjir dan menuding jari kepada orang lain. Inikah yang dimaksudkan dengan konsep demokrasi yang diperjuangkan oleh DAP? CAKAP TAK SERUPA BIKIN.

Encik Wong menyatakan halatuju kerajaan Pakatan Rakyat adalah untuk menerajui kerajaan bersama rakyat.

Ternyata hujah ini tidak benar, lihatlah apa yang berlaku di Negeri Perak, Kedah dan Pulau Pinang sejak kebelakangan ini, rakyat tidak diutamakan langsung dan usaha yang dilakukan hanya untuk kepentingan kroni dan pemimpin Pakatan Rakyat, hak kepentingan rakyat diketepikan. Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang meletak jawatan kerana tidak menunjukkan prestasi yang baik atau tidak menjalinkan hubungan baik dengan pemimpin Pakatan Rakyat adalah tidak wajar, kerana ianya membazirkan duit rakyat dan tidak menghormati rakyat yang telah memilih mereka. Kita lihat sahaja berapa sudah wakil rakyat yang meletak jawatan, atas kepentingan peribadi dan juga memastikan kerusi yang dikosongkan dimonopolikan oleh Pakatan Rakyat.

BN dipertikaikan tidak berani untuk menerima pendapat rakyat berhubung isu tanah. DAP telah menimbulkan usul untuk memperbaharui geran tanah secara automatik untuk tempoh 99 tahun, dan pembatalan syarat Seksyen 47 secara automatik sekiranya tanah tersebut tidak digunapakai oleh kerajaan dalam tempoh 2 tahun. Namun Ahli Dewan Undangan Negeri SUPP telah meninggalkan persidangan sebaik sahaja YB Chong Chieng Jen mengemukakan usul tersebut, sehinggakan tidak cukup quorum dan usul tersebut terpaksa dibatalkan.

Tindakan meninggalkan persidangan dewan untuk membantah pembentangan sesuatu dasar dipraktikkan oleh parti pembangkang terdahulu. Mengapa pula parti komponen BN tidak boleh berbuat demikian? Apatah lagi usul yang dibentangkan sudah lapuk dan tidak logik. Pembaharuan geran tanah yang tamat secara automatik sememangnya tidak logik kerana tidak wajar untuk memperbaharui geran tanah di mana pemiliknya telah meninggal dunia dan tidak adil untuk memperbaharui geran tanah bagi tanah yang tidak digunapakaikan langsung dan dibiar terbiar begitu sahaja. Seksyen 47 diadakan sebagai satu alat untuk memudahkan pihak kerajaan melaksanakan projek pembangunan di kawasan untuk kepentingan masyarakat.

Encik Wong menyatakan Presiden SUPP selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak disifatkan sebagai pelapor cuaca dan tidak berusaha untuk menyelesaikan masalah jelebu yang mengancam kesihatan rakyat Sarawak.

Sejak perlantikan Timbalan Ketua Menteri sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, beliau telah menyatupadukan semula semua agensi kerajaan untuk membantu dalam melancarkan kerja pengurusan bencana alam termasuk banjir, jelebu, kejadian kemalangan kapal terbang, jangkitan penyakit cosackie, Influenza A H1N1 dan lain-lain. Oleh itu kenyataan yang dikatakan oleh pemimpin DAP adalah tidak benar, pelbagai usaha telah diadakan termasuk lawatan dan perbincangan serta penguatkuasaan antara Sarawak dengan Indonesia telah diadakan untuk menyelesaikan masalah jelebu yang berpunca dari negara jiran Indonesia. Sebaliknya pemimpin DAP adalah tukang cerita dongeng yang suka membuat cerita khayalan mengikut citarasa mereka. Mereka ini hanya pandai cakap sahaja, tetapi tidak dapat membuahkan hasil atau pendapat serta tindakan yang bernas untuk membantu usaha yang memanfaatkan rakyat khususnya dalam pengurusan bencana alam dan malapetaka.

Encik Wong berasa gembira kerana inilah julung kalinya pemimpin Parti Keadilan Rakyat menyertai majlis makan malam perpaduan anjuran Parti DAP.

Jelas sekali tiada persefahaman antara pemimpin PKR dan DAP di Sarawak dan mereka sering berebut bertanding dalam pilihan raya yang lepas. Pemimpin DAP juga merupakan Katak Politik yang pertama di Sarawak di mana wujudnya perpecahan kepimpinan pada tahun 1990an. Kalau diimbas kembali ini bukannya pertama kali pemimpin PKR menghadiri majlis makan malam DAP, sebelum ini pemimpin PKR yang merupakan bekas pemimpin DAP telah menghadiri pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh DAP di seluruh Sarawak.

Secara keseluruhannya DAP suka saja bercerita dongeng... cakap-cakap sahaja untuk memburuk-burukkan orang lain, tetapi sendirinya tidak berbuat apa-apa perkara yang baik pun.. Janganlah percaya kepada segala tomahan dan janji-janji yang dinyatakan oleh mereka ini... mereka ini Ahli Politik PEMBOHONG yang sudah lapuk...