Kerajaan tidak akan mengetepikan langkah pencegahan jangkitan enterovirus 71 (EV71) yang melibatkan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), meskipun kini tumpuan lebih diberi kepada usaha membendung wabak Influenza A (H1N1).
Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Bencana Alam Negeri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata jangkitan HFMD dijangka meningkat tahun ini berdasarkan trendnya yang berlaku setiap tiga tahun sekali. Sarawak agak berpengalaman luas dalam kes seperti ini dan salah satu langkah terbaik untuk menanganinya ialah mempraktikkan tahap kebersihan yang ketat. Setakat enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 8,205 kes HFMD dikesan di seluruh negeri berbanding 2,428 kes pada 2008 pada tempoh yang sama. Meskipun Sarawak mencatatkan beberapa kes HFMD yang serius, namun tiada kematian dilaporkan setakat ini.
Dr Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri memberitahu kempen kesedaran kebersihan yang dilaksanakan selama ini dikatakan berjaya mengurangkan kes jangkitan berkenaan. Langkah penjagaan kesihatan dan kebersihan yang efektik dapat mencegah virus penyakit itu. Seperti yang kita tahu apabila penyakit SARS dahulu, kita dapat mengatasinya dengan begitu baik kerana mempraktikkan tahap kesihatan yang tinggi. Oleh itu, rakyat diingatkan agar tidak memandang ringan dengan wabak ini ke-rana ia masih dianggap serius.
Dalam perkembangan lain, Dr Chan memberitahu dua lagi kes positif H1N1 dilaporkan semalam sekali gus mencatatkan kes yang ke-33 di negeri ini. Menurutnya, kedua-dua kes berkenaan ialah jangkitan tempatan melibatkan dua wanita tempatan yang berusia 26 dan 34 tahun, manakala sembilan kes masih menunggu keputusan ujian klinikal. Kesemua pesakit postif telah dibenarkan keluar hospital kerana tiada kes-kes serius dilaporkan. Semua mereka akan di-kuarantin di kediaman masing-masing selama tujuh hari. “Kita akan memastikan mereka mempraktikkan tahap kesihatan dan kebersihan diri yang tinggi bagi membendung wabak ini,” tambah Dr Chan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan