Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru masyarakat memperluaskan penghayatan budaya fikir "thinking culture" dan menjadikannya sebahagian daripada budaya hidup mereka sebagai sebuah masyarakat maju. Budaya fikir inilah yang akan menjadi faktor penentu utama yang bakal menjamin pembangunan tamadun baru dan kewujudan bangsa yang cemerlang pada masa depan.
Beliau juga menyeru masyarakat membuang sindrom kelesuan, kemalasan dan kelemahan berfikir. "Sekiranya kita lesu daya fikir dan lemah kekuatan minda, serta terus khayal dengan aktiviti yang melekakan, akhirnya masyarakat kita akan ketandusan jiwa." Kita perlu menjana masyarakat yang berbudaya fikir tinggi dengan kecenderungan untuk membuat kajian, melakukan penganalisaan, menerbitkan karya ilmiah berkualiti, mencintai ilmu, menggemari wacana ilmiah, dan menghargai serta menyanjung golongan ilmuan.
Beliau juga menekankan perlunya masyarakat membina generasi muda yang berpegang kepada nilai-nilai kudus yang kental jati diri, berkeperibadian mulia, berketrampilan, tinggi daya tahan dan daya juang. Kekhuatiran terhadap kualiti generasi muda dalam menangani cabaran masa depan bukanlah suatu yang tidak berasas langsung. Kita dapati penglibatan generasi muda di dalam masalah-masalah sosial kian kritikal.
Justeru itu generasi kini dan seterusnya mestilah dibina dengan penjiwaan dan penghayatan agama dan tidak tenggelam dalam arus kebendaan. Tanpa dorongan dan landasan keagamaan, masyarakat kita akan menjadi seperti masyarakat sekular Barat yang melihat sesuatu dari sudut yang begitu relatif, pragmatik, dan rationalistik semata-mata. Ini akan mengakibatkan kepincangan pembangunan dan mencetuskan keruntuhan generasi seperti yang sedang berlaku di negara mereka," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan