Sabtu, 24 Oktober 2009

Bajet 2010 Batu Loncatan Ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi

Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat membentangkan Bajet 2010 berjumlah RM191.5 bilion yang mengandungi tiga strategi utama iaitu untuk memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistik dan mapan, dan mengutamakan kesejahteraan rakyat. Najib dalam bajet sulungnya sebagai Perdana Menteri yang bertemakan 1Malaysia, Kemakmuran Bersama memperuntukkan RM138.3 bilion atau 72.2 peratus untuk perbelanjaan mengurus dan RM53.2 bilion atau 27.8 peratus untuk perbelanjaan pembangunan. Peruntukan belanjawan 2010 ini merupakan pengurangan sebanyak 11.2 peratus berbanding dengan jumlah peruntukan belanjawan 2009 sebanyak RM215.7 bilion.


Dalam strategi bagi memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, kerajaan akan menggalakkan pelaburan swasta, mempergiat penyelidikan pembangunan dan pengkomersilan, memanfaatkan sepenuhnya bidang khusus, memajukan sektor pertanian, menggalakkan industri pembinaan, memperkasa industri kecil dan sederhana, membangunkan teknologi hijau dan menggalakkan industri kreatif.

Bagi strategi kedua iaitu memastikan pembangunan holistik dan mapan, kerajaan akan meningkatkan modal insan berkemahiran tinggi, memantapkan sistem perbankan dan kewangan, memerangi rasuah, pembangunan wilayah koridor, dan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pengurusan kerajaan.

Dalam strategi ketiga pula, kerajaan akan berusaha mencegah jenayah, meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat, memperkasa prasarana luar bandar serta pedalaman, dan menambahbaik pengangkutan awam.

Dalam langkah pertama ke arah meningkatkan pelaburan swasta, kerajaan akan menyediakan persekitaran mesra pelanggan, meningkatkan pelaburan swasta, pelaksanaan inisiatif penswastaan, meningkatkan inisiatif projek awam-swasta dan mempergiatkan kemasukan pelaburan asing. Bagi memanfaatkan sepenuhnya pembangunan bidang khusus pula, kerajaan akan merancakkan industri pelancongan, memantapkan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan mempergiatkan industri halal, tambahnya. Juga di bawah strategi memacu ekonomi berpendapatan tinggi, Najib berkata kerajaan akan memajukan sektor pertanian, menggalakkan industri pembinaan, memperkasa perusahaan kecil dan sederhana, pembangunan industri hijau yakni menggalakkan pembangunan bangunan hijau, dan menggalakkan industri kreatif.

Perdana Menteri berkata bagi mencapai strategi kedua iaitu pembangunan holistik dan mapan, langkah pertama membabitkan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi yang akan ditingkatkan manakala akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan akan diperluaskan. Seterusnya, kerajaan akan menjaga kebajikan golongan pelajar, menggilap kemahiran tenaga kerja, mempergiatkan program Permata, dan memperkasa institusi pengajian tinggi awam.Bagi langkah kedua strategi itu , kerajaan juga akan memantapkan sistem perbankan dan kewangan dengan cara mencergaskan pasaran saham, memajukan lagi sistem kewangan Islam, memperluaskan program mikro kredit Ar Rahnu.

Di bawah peruntukan mengurus, sejumlah RM42.2 bilion adalah bagi emolumen dan RM20.8 bilion bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Sebanyak RM73.9 bilion diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap manakala sejumlah RM524 juta disediakan bagi pembelian aset dan baki RM800 juta untuk perbelanjaan lain.

Bagi peruntukan pembangunan pula, sebanyak RM25.4 bilion disediakan bagi menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar.Perdana Menteri berkata sejumlah RM20.3 bilion diperuntukkan untuk sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

Sebanyak RM3.7 bilion diperuntukkan untuk pembangunan sektor keselamatan, RM1.8 bilion bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka. (133) Najib berkata kutipan hasil kerajaan Persekutuan bagi tahun 2010 dijangka berkurangan 8.4 peratus kepada RM148.4 bilion berbanding RM162.1 bilion pada 2009.Bagaimanapun, katanya defisit kerajaan Persekutuan bagi tahun 2010 dijangka lebih baik pada paras 5.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding 7.4 peratus pada tahun 2009.

Walaupun bajet 2010 merupakan bajet terakhir bagi tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), ia amat penting sebagai asas pembentukan model ekonomi baru dan pembuka tirai kepada Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10). Sejak beliau menerajui kerajaan kira-kira enam bulan lepas, beliau telah mengambil langkah-langkah bagi merangsangkan ekonomi negara demi menjamin kesejahteraan rakyat. Merujuk kepada Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, beliau berkata ia adalah berteraskan nilai-nilai murni berpaksikan keadilan sosial, prinsip penerimaan dan meraikan kemajmukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Maksudnya, dalam apa jua yang dilakukan, kita perlu sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara. Oleh itu setiap langkah diambil memerlukan pengorbanan dan kerjasama padu daripada semua lapisan masyarakat. Kerajaan akan mengambil pendekatan baru berpaksikan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi bagi melonjakkan negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi. Langkah ini akan meningkatkan pendapatan per kapita rakyat lebih dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Pada penghujung ucapannya yang mengambil masa lebih dua jam, Najib menggesa seluruh rakyat supaya bersama-sama dalam usaha membentuk satu cita untuk Malaysia tercinta. Bersama api semangat Bagan Pinang yang masih bergejolak dan membakar sukma, bersama harapan yang marak lagi menyala, marilah kita membuat satu transformasi besar-besaran seraya menjulang Malaysia tercinta ini ke persadanya. Sesungguhnya, inilah bajet yang menelusuri keperluan dan meresapi denyut nadi rakyat. Sesungguhnya inilah satu persembahan yang tulus dan ikhlas daripada kerajaan yang menjiwai rakyat. Bulatkanlah tekad, tetapkanlah hasrat, menjunjung gagasan 1Malaysia, segala yang mustahil kan pasti menjadi nyata. 1Malaysia, Kemakmuran Bersama.

Tiada ulasan: