Jumaat, 30 Oktober 2009

Lumpuhnya Kerjasama Pakatan Rakyat

Bagi kebanyakan pemimpin dan pemerhati politik, krisis dalaman yang sedang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS di Selangor sejak kebelakang ini bukan sesuatu yang memeranjatkan. Malah ada di antara mereka percaya masalah ini akhirnya akan melumpuhkan kerjasama tidak rasmi di antara parti-parti pembangkang itu. Inilah yang akan berlaku apabila beberapa parti bergabung secara tidak rasmi untuk mentadbir kerajaan. Mereka bekerjasama dengan parti yang berlainan ideologi untuk mentadbir rakyat, tapi pada masa yang sama nak kena jaga wakil rakyat dan pemimpin masing-masing. Inilah yang berlakunya di mana Anggota Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah mengambil tindakan keluar dari PKR sebagai bukti kegagalan PKR menjaga wakil rakyatnya. Juga dijangkakan akan ada lagi wakil rakyat-wakil rakyat kerajaan pakatan pembangkang ini yang akan keluar parti, masing-masing sebab tak puas hati.

Permasalahan yang melanda PKR dan PAS dan kesan permasalahan itu kepada pakatan pembangkang, keadaan mungkin berpunca daripada dasar `ketelusan' yang cuba diamalkan oleh kerajaan pakatan, selain kegagalan pemimpin-pemimpin parti memisahkan ideologi parti dan dasar kerajaan. Kadang-kadang ada keputusan kerajaan tidak disenangi oleh beberapa pemimpin parti dan mereka meluahkan perasaan masing-masing berasaskan prinsip ketelusan, tetapi dalam hal ini akan ada pihak dari parti lain yang tersinggung maka timbullah masalah baru.



Semua itu berpunca daripada perbezaan ideologi parti masing-masing dan ketiadaan saluran rasmi untuk menyelesaikan masalah berbangkit telah memburukkan keadaan. Tidak seperti Barisan Nasional (BN) yang mempunyai saluran rasmi dan setiap masalah diselesaikan melalui saluran itu, pakatan pembangkang tidak ada dan ini menyukarkan mereka untuk bekerja menyelesaikan masalah antara parti. Cara terbaik untuk pakatan pembangkang menyelesaikan masalah di antara mereka adalah menubuhkan gabungan secara rasmi. Sekarang cuma bergabung secara `sleeping partners', tak ada satu ideologi yang dipersetujui semua, justeru tidak boleh mentadbir sebagai satu parti. BN walaupun dianggotai pelbagai parti tetapi mereka mentadbir sebagai satu parti.

Tambahan pula ROS (Pendaftar Pertubuhan) dah kata syarat tujuh anggota itu tidak terpakai kepada parti politik, jadi apa lagi yang ditunggu? Rasmikan saja dan jadikan sistem politik negara kita sebagai sistem dua parti. Bagaimanapun agak sukar untuk pakatan pembangkang merasmikan gabungan mereka. Masing-masing berpakat cuma untuk menang pilihan raya, dan sama sekali tidak mempunyai kesefahaman daripada segi ideologi, khususnya antara PAS dan DAP, malah PAS dan PKR pun. Malah tidak pasti perbezaan ideologi antara PAS dan DAP ini boleh diatasi sebab terlalu jauh berbeza.

Ketiga-tiga parti itu memerlukan masa yang lebih lama untuk membentuk gabungan rasmi kerana ada isu-isu tertentu seperti penentuan parti induk dan ideologi bersama yang harus dipersetujui terlebih dahulu. Pakatan pembangkang adalah rapuh dan hanya berpaut pada satu dahan iaitu ketua pembangkang dan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar hanyalah sebagai gam yang menyatukan ketiga-tiga parti ini tetapi sekarang beliau sendiri menghadapi masalah, yang akan menjejaskan kerjasama pakatan itu sendiri. Kegagalan parti-parti pakatan pembangkang menyelesaikan masalah dalaman masing-masing akan beransur-ansur melumpuhkan kerjasama di antara mereka.

Kalau dasar-dasar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diterima baik rakyat, tidak mustahil pakatan pembangkang akan menghadapi masalah mengekalkan pentadbiran di negeri-negeri yang ditawan mereka sekarang. Adalah mustahil untuk parti PAS bertunjangkan agama Islam itu mengenepikan matlamat mereka iaitu menubuhkan negara Islam. Perbezaan ideologi adalah antara faktor utama yang menyumbang kepada pertelingkahan antara PAS dan DAP di Selangor. Pemimpin PAS juga mengakui memang payah untuk pakatan ini menjadi satu gabungan rasmi sebab PAS tidak akan sekali-kali mengetepikan perjuangannya untuk menubuhkan negara Islam, dan DAP pula tidak akan bersetuju.

Oleh itu pilihlah parti kerajaan yang benar-benar dapat memperjuangkan kepentingan rakyat dan berpengalaman untuk mentadbir negara.. iaitu BARISAN NASIONAL.

Tiada ulasan: