Jumaat, 21 November 2008

Ceramah anti-ISA tiada permit polis

Polis menolak permohonan mendapatkan permit untuk mengadakan ceramah umum di padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Ahad ini kerana ia diadakan di tempat terbuka. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abd Jalil Hassan berkata ceramah terbuka "Mansuhkan ISA" itu boleh mengganggu ketenteraman awam dan menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar.

Permohonan bagi mengadakan ceramah umum itu dibuat oleh setiausaha Dewan Pemuda PAS Pandan, Nik Mohd Rasyid Nik Mohd Yusoff pada 17 Nov lepas. Kita telah berjumpa dan berbincang dengan penganjur pada pukul 10 pagi tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dan telah menasihatkan mereka supaya ceramah tersebut diadakan di dewan-dewan tertutup MPAJ yang ada. Setelah kita kaji dan teliti permohonan tersebut dan juga aduan-aduan yang kita terima daripada orang ramai berhubung ceramah yang akan diadakan itu, kita mengambil keputusan untuk tidak meluluskan permohonan permit itu. Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak menghadiri ceramah di padang tersebut kerana tiada permit dikeluarkan dan akan menyalahi undang-undang.


Jika ceramah tersebut akan terus diadakan di kawasan itu dan orang ramai terlibat dalam ceramah itu, tindakan undang-undang akan diambil ke atas mereka. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual melancarkan kempen tersebut yang akan berlangsung di Dataran MPAJ, Pandan Indah pada jam 9 malam. Kempen anjuran gabungan NGO dan parti pembangkang itu Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) bagi mendesak kerajaan memansuhkan akta tersebut sebelum acara kemuncaknya dalam perhimpunan besar-besaran di Kuala Lumpur, Mac tahun depan. Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan tokoh utama DAP Lim Kit Siang dijangka turut serta dalam majlis hujung minggu ini.


Penganjuran perhimpunan dan aktiviti yang haram dan tidak mendapat permit semakin berleluasa sejak kebelakangan ini dan tindakan tegas hendaklah diambil untuk mengalang anjuran aktiviti sedemikian dengan menggunakan akta-akta yang berkaitan dengan ancaman keamanan dan perpaduan masyarakat dan negara ini.

Tiada ulasan: