Ahad, 2 Ogos 2009

Beri Pandangan Mengenai ISA Bukannya Melalui Demonstrasi

Rakyat sepatutnya memberi cadangan atau pandangan untuk memperbaiki Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan bukannya mengadakan demonstrasi untuk menyokong atau membantah pelaksanaan undang-undang itu. Perdana Menteri berkata cadangan untuk mengkaji semula ISA tidak harus dipolitikkan kerana apa yang penting sekarang ialah untuk menggubal satu bentuk undang-undang yang sesuai dengan kehendak zaman, citarasa dan aspirasi rakyat Malaysia.


Kerajaan telah pun mengambil pendirian untuk mengkaji ISA dan dalam proses itu yang penting ialah untuk (rakyat) memberi pandangan, cadangan, idea bernas bagaimana kita boleh memperbaiki undang-undang seperti ini. Dalam proses itu kita buat perbincangan dan mendapatkan maklum balas daripada rakyat dan sebagainya, dan bukannya melalui perarakan demonstrasi sepertimana yang dicetuskan oleh pihak pembangkang. Demonstrasi tidak boleh menghuraikan apa perkara yang hendak dipertimbangkan oleh kerajaan. Perhimpunan yang sengaja dirancang semata-mata untuk memenuhi kepentingan politik pihak tertentu.


Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpendapat adalah mustahil untuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, tetapi ia boleh dipinda atau ditukar namanya supaya lebih bersesuaian dengan keadaan semasa. Negara memerlukan undang-undang seperti ISA yang boleh menahan seseorang itu untuk disoal siasat sebelum sesuatu perkara atau kes itu dibawa ke mahkamah, selain turut memerlukan undang-undang lain. Janganlah kita lihat dalam negara kita sahaja, lihatlah di negara jiran kita atau di negara-negara lain. Mereka pun mempunyai undang-undang yang lebih kurang sama atau yang lebih keras daripada itu.
Maka ianya (ISA) adalah bertujuan untuk mewujudkan kestabilan ekonomi dan politik supaya tidak menimbulkan permasalahan agama, kaum dan budaya dan inilah yang mahu ditekankan oleh pihak kerajaan. Mengulas mengenai perhimpunan yang diadakan di ibu negara oleh dua badan bukan kerajaan iaitu Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) yang membantah undang-undang itu, pihak berkenaan tidak perlu takut dengan kewujudan ISA jika mereka tidak melakukan kesalahan.
Selain daripada itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan berkata pembangkang cuma mahu mengambil kesempatan untuk mengadakan demonstrasi sedangkan mereka sudah tahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan merombak ISA. Mereka hendaklah memberikan pandangan-pandangan secara bijaksana, bertulis, menggunakan fakta-fakta jika ingin membuat apa-apa cadangan, bukan dengan cara menyusahkan rakyat, sehingga jalan sesak.


BUDAYA DEMONSTRASI hendaklah diHARAMkan.

Tiada ulasan: