Kerajaan telah bersetuju supaya pengenalan Dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan ditarik balik setelah mengambil kira pandangan rakyat dan selaras dengan konsep rakyat didahulukan. Sejak langkah itu diumumkan, kerajaan telah menerima banyak aduan dari orang ramai yang rata-rata tidak bersetuju dengan langkah pemeriksaan mandatori tahunan ini, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). MITI, pada 28 Oktober, telah mengumumkan Dasar Automotif Nasional (NAP) termasuk Dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan yang memperkenalkan pemeriksaan mandatori tahunan sebagai keperluan pembaharuan cukai jalan untuk kenderaan berusia 15 tahun dan ke atas.
Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia menyambut baik langkah kerajaan menarik balik syarat pemeriksaan mandatori ke atas kereta yang berusia lebih 15 tahun sebelum memperbaharui cukai jalan. Keputusan itu diterima baik oleh kira-kira 500,000 pesara di negara ini. Mereka mengucapkan terima kasih kepada kerajaan khususnya Timbalan Perdana Menteri kerana mendengar masalah rakyat. Kebanyakan pesara menggunakan kereta ketika dibeli semasa berkhidmat dengan kerajaan dan kini tidak lagi mampu membeli kereta baru. Jika peraturan itu dikuatkuasakan, ia akan membebankan pesara tetapi menghargai hasrat kerajaan meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.
Kerajaan harus meningkatkan pengawasan terhadap kenderaan komersial yang mengeluarkan asap hitam, sistem brek yang kurang berkesan serta melanggar pejalan kaki yang tidak berdosa. Pemansuhan syarat pemeriksaan kereta lama merupakan berita baik kedua kepada pesara selepas kerajaan melanjutkan pembayaran khas RM500 yang dinikmati oleh petugas awam kepada pesara kerajaan pada Bajet 2010 bulan lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan