Selasa, 10 November 2009

Pembangunan tetap diutamakan oleh Kerajaan BN Sarawak

Pembangunan masih diutamakan menerusi Bajet Negeri 2010 dengan memperuntukkan RM2,777 juta atau 70 peratus, manakala RM1,318 juta dikhususkan untuk perbelanjaan mengurus. Bagaimanapun, ia merupakan penurunan daripada RM3,075 juta diperuntukkan untuk tujuan itu (pembangunan), manakala perbelanjaan mengurus sebanyak RM1,287 juta menerusi Bajet Negeri 2009. Bajet itu merupakan surplus sebanyak RM160 juta. Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, tumpuan lebih kepada pembangunan itu merupakan antara lapan strategi yang dirangka oleh kerajaan bagi menggerakkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri. Bajet ini dirangka selepas mengambil kira strategi-strategi dan kesinambungan Bajet Negara 2010 dan mengambil kira senario ekonomi global, serantau dan negara pada 2010. Dana sebanyak RM2,777 juta itu dipecahkan kepada RM1,271 juta atau 46 peratus bagi membangunkan sektor perdagangan dan industri. Ia merangkumi geran pembangunan dan pinjaman kewangan kepada badan-badan berkanun. Manakala, RM493 juta atau 18 peratus adalah untuk sektor kemudahan awam. Ia khusus untuk menaik taraf pelbagai kemudahan awam, khusus bagi bekalan air di bandar atau luar bandar. RM316 juta atau 11 peratus untuk pentadbiran am yang bermaksud untuk menambah baik kemudahan kerajaan agar dapat meningkatkan sistem penyampaian. RM213 juta atau 8 peratus untuk pembangunan sektor pertanian, tanah dan luar bandar. Ia khusus untuk program pembangunan ladang, bantuan kepada petani, veterinar, perikanan, penyelidikan pertanian dan perhutanan.

RM277 juta atau 10 peratus adalah untuk memperbaiki kemudahan pengangkutan dan perhubungan terutama jalan raya, jambatan dan pelabuhan. RM207 juta atau 7 peratus adalah untuk pembangunan masyarakat dan sosial seperti skim perumahan dan penempatan semula, kemudahan rekreasi dan sukan serta perkhidmatan masyarakat dan kebajikan. Cadangan peruntukan sebanyak RM2,777 juta pada 2010 maka keseluruhan peruntukan untuk Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) menjadi RM12.5 bilion, iaitu, RM2.5 bilion lebih daripada peruntukan asal sebanyak RM10 bilion. Wang ini akan dibelanjakan dengan sebaik mungkin bagi tujuan pembangunan negeri dan manfaat rakyat.


Perbelanjaan mengurus sebanyak RM1,318 juta akan dibahagi kepada lima bahagian. RM479 juta atau 36 peratus adalah untuk emolumen kakitangan. RM466 juta atau 35 peratus adalah untuk perkhidmatan dan pembekalan. RM348 juta atau 26 peratus adalah untuk geran dan bayaran tetap yang akan diperuntukkan kepada agensi-agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun. RM20 juta adalah untuk perolehan asset. RM5 juta adalah untuk perbelanjaan-perbelanjaan lain. Peruntukan RM1,318 juta bagi perbelanjaan berulang pada tahun depan adalah rendah sebanyak tiga peratus berbanding RM1,357 juta untuk 2009.

Bagaimanapun, terdapat peningkatan emolumen kakitangan berikutan, terutamanya, pertambahan kakitangan dan penyerapan kakitangan bergaji hari kepada jawatan tetap. Pendapatan kerajaan negeri pada tahun depan dijangka mencecah RM3,579 juta. Angka itu merupakan penurunan sebanyak RM310 juta atau 8 peratus berbanding jangkaan pendapatan sebanyak RM3,889 juta untuk tahun ini. Penurunan pendapatan adalah berikutan jangkaan lebih rendah daripada minyak dan gas lanjutan harga yang rendah terhadap komoditi tersebut pada tahun depan.

Tiada ulasan: