Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) nanti. Menterinya Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata pada satu mesyuarat semalam, kabinet bersetuju untuk memberi tumpuan kepada Rancangan Tebatan Banjir bagi menangani masalah banjir yang melanda beberapa negeri setiap tiba musim tengkujuh. Kabinet bersetuju untuk menggunakan pelbagai pendekatan termasuk inisiatif pembiayaan swasta untuk membiayai projek-projek tebatan banjir. Dengan inisiatif ini, lebih banyak projek dapat dilaksanakan. Merujuk kepada RMK-10 yang dijadual akan dibentangkan di Parlimen pada Jun tahun depan, projek di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan lebih mesra rakyat. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar ketika ini sedang gigih turun padang untuk melihat dan menyenaraikan projek-projek yang perlu dicadang dan dilaksanakan sepanjang tempoh RMK-10. Ini selaras dengan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya semua pihak menyusun program dan projek yang bermesra rakyat agar sejajar dengan konsep 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan