Jumaat, 27 November 2009

Kursus Biro Tata Negara

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kursus Biro Tata Negara (BTN) tidak bermotifkan doktrinasi politik sebaliknya ia menerapkan semangat kenegaraan dan perpaduan masyarakat selaras dengan konsep 1Malaysia. Kursus BTN tidak bertujuan untuk membawa peserta-peserta kepada Umno dan Barisan Nasional. Ia tidak mempunyai niat yang jahat, ia mempunyai tujuan-tujuan yang baik.


Kerajaan Selangor melarang kakitangannya dan pelajar institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri itu daripada menghadiri kursus BTN berkuatkuasa serta merta dengan alasan kononnya kursus BTN adalah satu proses doktrinasi oleh kerajaan Barisan Nasional. Kerajaan negeri Selangor dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah diberi gambaran yang salah tentang BTN. Masyarakat dan syarikat-syarikat swasta tidak sepatutnya dihalang daripada menghadiri kursus-kursus yang dianjurkan BTN. Surat arahan berkaitan larangan itu akan dikeluarkan segera kepada semua jabatan, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta anak-anak syarikat milik penuh kerajaan negeri Selangor.

Hakikatnya, Menteri Besar Selangor tidak mempunyai kuasa untuk menghalang kakitangan awam persekutuan, masyarakat dan syarikat swasta daripada menghadiri kursus anjuran BTN. Kakitangan persekutuan, tidak tertakluk kepada arahan kerajaan negeri Selangor itu. Menteri Besar Selangor tidak mempunyai kuasa menghalang orang ramai daripada mengikuti kursus BTN. Di manakah peruntukan undang-undang yang membolehkan Menteri Besar untuk berbuat demikian? Tak ada pun peruntukan sedemikian dalam perundangan. Juga Kerajaan BN selama ini tidak pernah menyekat anjuran kursus yang diadakan oleh parti pembangkang walaupun intipati kursus adalah bertentangan dengan ideologi BN.


Kerajaan persekutuan, tetap akan meneruskan kursus-kursus BTN walaupun Selangor mengambil tindakan sedemikian. Jikalau Kerajaan Selangor tidak mahu, tidak mengapa. Kerajaan Persekutuan tidak boleh halang jika orang ramai mahu mendalami konsep 1Malaysia, semangat kenegaraan dan perpaduan masyarakat.

Tiada ulasan: