Selasa, 10 November 2009

Pembetungan pelihara sumber air

Kerajaan Negeri Sarawak kini berdepan cabaran hebat dalam usaha mengekalkan sumber bekalan air bersih di negeri ini. Untuk me-mastikan sumber bekalan air bersih di negeri ini terus terpelihara usaha harus bermula dengan pembinaan sistem pembetungan bersepadu yang benar-benar berkualiti. Bagaimanapun peruntukan yang banyak amat diperlukan kerana kos membina sistem pembetungan bersepadu yang diiktiraf kualitinya sangat mahal. Tidak ada satupun negeri di Malaysia dapat membiayai pembinaan sistem pembetungan bersepadu yang terbukti berkualiti tetapi kerajaan negeri akan melakukan yang terbaik untuk memiliki sistem ini dan bantuan kerajaan pusat sangat diperlukan.

Menyedari kepentingan sistem itu dipraktikkan di negeri ini, pada Oktober 2008 kerja-kerja pembinaan pakej pertama projek berkenaan yang meliputi lima kawasan utama di bandar raya Kuching di-mulakan dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2012. Disebabkan pembinaan sistem tersebut membabitkan kos yang tinggi ia dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan berdasarkan keperluan sesuatu kawasan. Pembinaan sistem pembetungan bersepadu ini membabitkan empat pakej dengan kos keseluruhan dianggarkan RM2 bilion dan pakej pertama sahaja melibatkan kos berjumlah RM530 juta. Tetapi kerajaan tiada pilihan kerana tidak boleh terus membiarkan air sisa domestik (grey water) dan air sisa tangki septik (black water) terus disalurkan ke sungai yang akhirnya menyebabkan Sungai Sarawak tercemar.

Pembinaan sistem pembetungan bersepadu itu penting bagi memastikan bandar raya Kuching terus selamat, bersih dan selesa untuk didiami selain persekitaran yang kondusif untuk ekonomi moden. Justeru itu rakyat hendaklah memberi kerjasama kepada kerajaan dan pihak berkuasa tempatan dalam usaha mewujudkan serta mengekalkan standard kehidupan yang lebih baik terutamanya di sekitar bandar raya Kuching. Kerajaan mungkin mampu membina sistem ini tetapi untuk memastikan ia dapat diselenggara dan beroperasi dengan baik kerjasama daripada rakyat amat perlu. Kos operasi dan selenggaraan sistem ini perlu dikongsi dengan rakyat menerusi bayaran (cukai) tertentu tetapi menjamin ia pada kadar yang amat berpatutan.

Pelaksanaan projek tersebut juga dapat mengurangkan dengan berkesan pencemaran air dan pada masa sama meningkatkan kualiti air Sungai Sarawak. Dengan sistem ini air sisa buangan dari hartanah individu dapat disalurkan terus ke loji rawatan dan selepas menjalani beberapa proses rawatan sisa yang dibuang ke Sungai Sarawak lebih bersih berbanding sebelum ini (Standard A) dan selamat untuk semua aktiviti rekreasi air. Kerajaan merancang untuk melanjutkan pembinaan sistem tersebut di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) dengan cadangan pakej kedua meliputi kawasan-kawasan di timur dan barat pusat bandar raya Kuching manakala pakej ketiga melibatkan kawasan utara tebingan Sungai Sarawak. Projek berkenaan dikendalikan Kumpulan-Nishimatsu-Hock Seng Lee Consortium.

Tiada ulasan: