Jumaat, 22 Mei 2009

Jenayah ancam ekonomi


Jenayah merupakan faktor ketiga daripada 15 faktor yang paling bermasalah dalam menjalankan perniagaan. Dua faktor utama yang paling bermasalah untuk menjalankan perniagaan ialah birokrasi kerajaan yang tidak cekap dan gejala rasuah. Ini bukan sahaja menunjukkan jenayah menimbulkan ancaman kepada keselamatan sosial tetapi juga menyumbang secara langsung kepada kerugian ekonomi.

Usaha untuk membendung jenayah memerlukan kerjasama antara masyarakat dengan pihak berkuasa (polis). Justeru itu, usaha memastikan masyarakat selamat membabitkan lebih daripada sekadar mencegah jenayah dan huru-hara, tetapi yang penting masyarakat juga harus mewujudkan perubahan sosial dan ekonomi. Memandangkan jenayah terus berlaku terutama pada waktu kegawatan ekonomi sekarang, penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak memadai untuk menangani jenayah. Sehubungan itu, kerajaan perlu mempromosikan program dan dasar sosial yang berkesan dalam membendung masalah ini. Usaha untuk membanteras jenayah adalah berdasarkan dua pendekatan iaitu kadar segera dan jangka panjang.

Untuk kadar segera, rangka kerja yang boleh dilaksanakan harus wujud yang membolehkan semua pihak relevan dan pelbagai lapisan masyarakat untuk bekerjasama secara bersepadu dalam memastikan persekitaran selamat tanpa jenayah. Sementara bagi jangka panjang, punca jenayah perlu dikenal pasti dan dikaji. Faktornya mungkin bersifat ekonomi, sosial atau psikologi.

Sikap masyarakat yang hanya mengharapkan pihak polis sahaja untuk menangani jenayah tidak akan mencapai hasil yang diingini. Kebanyakan masyarakat kini masih menyangka menangani jenayah adalah kewajipan pihak polis. Mereka harus memikirkan kenyataan bahawa tugas mencegah jenayah adalah tanggungjawab bersama dan dengan itu jenayah akan dapat ditangani dengan efektif. Oleh itu marilah berusaha dan bekerjasama dengan agensi terlibat untuk mengurangkan kejadian jenayah di kawasan anda....

Tiada ulasan: