Rabu, 29 April 2009

BN Mesti Penuhi Janji Kepada Pengundi Batang Ai

Barisan Nasional (BN) mesti menunaikan janji dan tanggungjawab yang telah dibuatnya kepada rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri Batang Ai, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. BN tidak boleh melupai keputusan penting yang dilakukan oleh pengundi di Batang Ai pada pilihan raya kecil kawasan itu pada 7 April lalu, yang memberi kemenangan kepada BN. Di mana BN telah berjaya mengekalkan kerusi di Batang Ai apabila calonnya Malcolm Mussen Lamoh dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) menewaskan bekas Anggota Parlimen Lubok Antu, Jawah Gerang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), dengan majoriti 1,854 undi.


Timbalan Perdana Menteri akan membawa perkara tersebut kepada perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai cara paling baik untuk membantu penduduk Batang Ai, bagi meningkatkan taraf hidup mereka seperti menerusi potensi ekopelancongan, tarikan hidupan liar, kraftangan dan budaya masyarakat Iban. Potensinya ada. Apa yang perlu dilakukan ialah mengadakan perancangan yang teratur, kewujudan sumber dan sudah tentu kemahuan politik. Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan RM1.5 juta untuk projek pembangunan di 150 buah Rumah Panjang di Batang Ai.

Dalam menyampaikan ucapan tahniah PM kepada BN Sarawak terutama PRS dan Mussen, hasil keputusan pilihan raya di Batang Ai membuktikan bahawa rakyat Sarawak masih mempunyai keyakinan kepada BN. Semasa beliau melawat dua buah Rumah Panjang yang disenarai sebagai kawasan hitam atau kubu kuat pembangkang, penduduknya sangat mesra. Mereka menyambut beliau dengan tangan terbuka malah melakukan upacara "miring". Ia merupakan petunjuk penting bahawa mereka gembira, bukan sahaja untuk menyambut saya tetapi dalam menerima kepimpinan BN.
Muhyiddin yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri bercakap mengenai polisi baru yang perdana menteri mahu laksanakan serta minat dan keprihatinan perdana menteri dalam meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia dari segi pembangunan infrastruktur, pendidikan dan ekonomi. "Saya rasa kata-kata ini telah menarik perhatian rakyat yang walaupun menjalani kehidupan mudah, tetapi sangat bijak dan sebab itulah mereka memilih BN," katanya menceritakan semula pengalamannya semasa berkempan di Batang Ai yang mempunyai 8,006 pengundi berdaftar. Beliau pernah melintasi dengan kapal terbang kawasan Batang Ai pada 1985 sebagai Setiausaha Pemuda BN.Muhyiddin mencadangkan pembinaan landasan kapal terbang kecil di Batang Ai bagi memudahkan ia dihubungi terutama oleh para pelancong.


Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata Sarawak masih mengharapkan kesinambungan pembangunan pendidikan di kawasan luar bandarnya. Rakyat berharap Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dapat meningkatkan taraf pendidikan di Sarawak terutama dari segi prasarana asas seperti bangunan sekolah, kediaman guru dan asrama pelajar. Misalnya kita masih mempunyai sekolah di kawasan pedalaman dan di ulu-ulu sungai dan pesisir pantai yang bergantung kepada generator kecil untuk menjana elektrik, air hujan untuk bekalan air. Terdapat sekolah kita yang belum dibekalkan dengan kemudahan komputer untuk para guru dan pelajar.


Presiden PRS, Datuk Sri Dr James Jemut Masing berkata kemenangan BN di Batang Ai adalah bukti terhadap kerjasama yang padu antara semua komponen BN di Sarawak.Katanya komponen BN yang bersama-sama membantu Malcolm, bekerja dengan penuh semangat BN tanpa sebarang agenda terselindung. Malcolm pula berkata kemenangan BN di Batang Ai bukan hanya merupakan kemenangan dirinya, namun ia adalah amanah daripada rakyat dan beliau bersedia untuk meneruskan agenda BN dalam membantu masyarakat luar bandar di Sarawak.

Negara Bebas Dari Selesema Babi

Penduduk Malaysia tidak perlu bimbang mengenai wabak Swine Influenza atau selesema babi kerana Malaysia bebas daripada wabak itu. Daripada pemerhatian terhadap kes yang mempunyai tanda atau gejala 'influenza-like illness', tiada peningkatan kes dan kes berkelompok dilaporkan setakat ini. Bagi memastikan keadaan itu berkekalan, Kementerian Kesihatan telah mengaktifkan Bahagian Kawalan Penyakit semalam untuk memantau situasi wabak itu di samping mengadakan saringan tanda-tanda jangkitan selesema babi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta di semua pintu masuk utama negara.

Kementerian juga telah mengadakan satu mesyuarat bersepadu bersama beberapa agensi berkaitan bagi membincangkan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mencegah dan mengawal penyebaran wabak itu. Sehubungan itu Kementerian akan membuat kenyataan akhbar dari masa ke semasa untuk memaklumkan kepada orang ramai perkembangan wabak itu serta langkah-langkah kawalan dan pencegahan yang diambil.



Mengenai perkembangan kes itu setakat ini, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan terdapat 40 kes berkaitan wabak Swine Influenza A (H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal dikesan di Amerika Syarikat serta tujuh kematian dicatat daripada 26 kes di Mexico. Sebanyak 1,840 kes yang disyaki H1N1 turut dilapor di Mexico yang mengakibatkan 104 kematian. Enam kes turut dikesan di Kanada, dua di Scotland serta satu di Sepanyol manakala 25 kes turut dilapor di New Zealand. Berikutan situasi terkini wabak itu, WHO telah meningkatkan amaran Influenza Pandemik dari Fasa 3 ke Fasa 4 dan peningkatan fasa itu menunjukkan terdapat kemungkinan berlakunya pandemik.


Fasa 4 bermaksud berlaku penularan antara manusia ke manusia dan boleh menyebabkan wabak di kalangan komuniti tetapi setakat ini WHO tidak mengenakan sebarang sekatan dari segi kesihatan, perjalanan dan perdagangan yang perlu dilakukan oleh setiap negara bagi perlindungan kesihatan antarabangsa. Peningkatan Fasa ini tidak bermakna pandemik tidak boleh dibendung tetapi ia boleh menurun dan meningkat ke Fasa lebih tinggi bergantung kepada situasi dan maklumat terkini wabak itu. Memandangkan WHO telah meningkatkan tahap wabak kepada Fasa 4 Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan lawatan antarabangsa terutama ke negara yang dilanda wabak itu. Juga dinasihatkan mana-mana individu yang jatuh sakit semasa dalam perjalanan antarabangsa supaya mendapatkan rawatan dengan kadar segera. Sebarang maklumat berkaitan wabak selesema babi boleh didapati menerusi talian 03-88810200 atau 03-88810300 atau layari laman web http://www.moh.gov.my/.

Sabtu, 25 April 2009

Datuk Amar Abang Johari Presiden Baru Saberkas

Menteri Perumahan negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg kini presiden baru SABERKAS, pertubuhan belia pelbagai kaum terbesar di Sarawak. Beliau dengan sebulat suara dilantik memegang jawatan itu apabila Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud memutuskan untuk melepaskan jawatan itu pada Perhimpunan Perwakilan tiga tahun ke-13 di sini hari ini, setelah menerajuinya sejak 28 tahun lepas.
Sebelum ini beliau memegang jawatan timbalan presiden SABERKAS. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar persekutuan Datuk Douglas Uggah Embass, salah seorang bekas naib presiden mengambil alih sebagai timbalan presiden baru SABERKAS apabila pencalonan beliau tidak dicabar. Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri persekutuan Datuk Jacob Sagan juga mengekalkan jawatan naib presiden tanpa bertanding sementara Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah persekutuan Datuk Joseph Entulu Belaun dipilih sebagai anggota Majlis Tertinggi (MT).
SABERKAS akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas tidak lama lagi untuk mengkaji semula perlembagaannya yang belum pernah diubah sejak penubuhannya pada 1973. Kita perlu mengadakan pelbagai perubahan baru untuk menyesuaikannya dengan persekitaran sekarang. Sebagai contoh di bawah perlembagaan sekarang, tidak ada peruntukan untuk mengendalikan subjek ICT yang kini sangat penting. SABERKAS yang kini mempunyai 132,000 anggota, akan membincang dan mengenal pasti cara-cara yang sesuai untuk menggunakan pinjaman RM1 juta yang diberikan kerajaan negeri dalam mempromosikan kajian sains dan teknikal di kalangan orang muda di Sarawak. Ini penting untuk menyediakan mereka sebagai sumber manusia yang relevan untuk memastikan kejayaan pelaksanaan Koridor Pembangunan Wilayah negeri atau Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Jumaat, 24 April 2009

Lagi tambahan untuk S’wak

RM200 juta untuk baiki infrastruktur yang rosak akibat banjir, tambahan RM34 juta lagi wang ihsan untuk bantu mangsa banjir, petani.



Kerajaan Persekutuan memperuntukan RM234 juta untuk Sarawak bagi membantu mangsa banjir dan membaiki infrastruktur yang rosak berikutan banjir awal tahun ini, melebihi jumlah yang dijanjikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini. Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam dan Penyelamat Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata, Persekutuan bukan sahaja menunaikan janji untuk memberi bantuan kepada Sarawak, malah memberi peruntukan tambahan lebih RM100 juta.
Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri pada 13 Februari ketika berkunjung ke Sarawak tahun ini mengumumkan peruntukan RM115 juta untuk membantu Sarawak membina semula infrastuktur yang rosak selepas banjir Januari lalu.

Mereka bukan sahaja menunaikan janji, malah memberi lebih. Kita sudah menerima sebahagian daripada RM200 juta untuk membina semula kemudahan awam manakala bakinya akan disalurkan pada tahun ini atau 2010. Beliau yang merangkap Timbalan Ketua Menteri menambah, Sarawak turut mendapat peruntukan tambahan wang ihsan berjumlah RM34 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi membantu mangsa banjir dan petani yang terjejas teruk.
Katanya, banjir yang terburuk pernah berlaku di negeri ini dianggarkan menjejaskan kira-kira 50,000 penduduk manakala 17,815 petani mengalami kerugian besar.







Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka datang ke Sarawak minggu hadapan untuk menyampaikan sebahagian daripada wang ihsan kepada mangsa. Daripada jumlah itu sebanyak RM6 juta sudah diagihkan kepada mangsa banjir manakala RM28 juta lagi akan diagihkan mulai minggu depan. Pengagihan wang ihsan ini dibuat secara berperingkat-peringkat, apa yang penting kita mahu pastikan bantuan ini sampai kepada mangsa. Mangsa banjir memerlukan bantuan itu dalam masa terdekat bagi memastikan mereka dapat bercucuk tanam semula dan membina rumah semula.

ADUN Batang Ai Aktif Bantu Rakyat

Anggota Dewan Undangan Negeri Batang Ai yang memenangi pilihan raya kecil kawasan itu pada 7 April lalu, YB Malcolm Mussen menubuhkan dua pusat perkhidmatan untuk menolong rakyat di kawasannya. Pusat itu terletak berhampiran jeti di tasik elektrik hidro Batang Ai dan di Engkili. Pusat-pusat ini bagi membantu penduduk pedalaman terutamanya yang terpaksa membuat perjalanan satu setengah jam untuk ke Sri Aman bagi berurusan dan mendapat rawatan perubatan. Mussen akan mengangkat sumpah jawatan pada hari pertama mesyuarat Dewan Undangan Negeri Sarawak yang bermula dari 11 hingga 21 Mei. Antara keutamaan yang akan diberi perhatian ialah menaik taraf jalan sedia ada, menyediakan keperluan asas termasuk meningkatkan kemudahan di rumah-rumah panjang. Usaha juga akan dilakukan untuk membangunkan agropelancongan di Batang Ai seperti mewujudkan santuari Orang Utan.

Kaji Semula Duti Import Produk Keselamatan Jalan

Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya mengkaji semula kadar cukai import yang dikenakan ke atas produk keselamatan jalan raya memandangkan harga barangan tersebut yang agak tinggi di pasaran. Ketua Pengarah JKJR Datuk Suret Singh berkata sememangnya harga barangan keselamatan jalan raya seperti kon keselamatan, lampu magnetik berkelip dan jaket keselamatan berlampu agak tinggi ketika ini tetapi pembekal dan penjual produk tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka juga terpaksa mengeluarkan modal yang besar bagi membawa masuk barangan tersebut dari luar negara.



Barangan tersebut dijual dengan harga antara RM100 dan RM200 setiap satu dan ia memang agak mahal tetapi kebanyakan penjual memberi alasan cukai import yang tinggi membuatkan mereka mengenakan kadar harga tersebut. Beliau telah berbincang dengan pembekal produk dan meminta mereka mengemukakan cadangan bagaimana untuk mengatasi masalah tersebut dan JKJR akan bertindak sebagai orang tengah dalam urusan dengan kerajaan. Kesimpulan daripada cadangan tersebut akan diserahkan kepada kerajaan selewat-lewatnya sebelum pembentangan belanjawan akan datang.



Sementara itu, JKJR kini dalam proses membuka kedai menjual peralatan keselamatan yang dikenali One Stop Centre Road Safety Shop di beberapa kawasan Rehat dan Rawat (RnR) terpilih di sepanjang lebuh raya seluruh negara. JKJR juga sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa lebuh raya dan mensasarkan untuk membuka kedai pertama Jun ini. Dengan adanya kedai seperti itu di RnR, semua pengguna yang berhenti rehat di lokasi tersebut mampu untuk membeli barangan keselamatan dan ini secara tidak langsung akan membantu memupuk kesedaran di kalangan pengguna jalan raya tentang barangan keselamatan yang perlu mereka miliki ketika perjalanan.



Berhubung dengan harga barangan, JKJR akan berunding dengan pembekal bagi mencadangkan satu harga runcit yang lebih berpatutan bagi penjualan barangan tersebut di kedai berkenaan supaya pengguna mampu membelinya.Kebanyakan pengguna belum sedar tentang produk-produk yang berada di pasaran yang boleh meningkatkan tahap keselamatan mereka ketika dalam perjalanan dan JKJR memohon kerjasama pihak berkuasa lebuh raya, badan bukan kerajaan dan media supaya menyebarkan maklumat kebaikan dan kepentingan produk keselamatan tersebut untuk pengetahuan semua pengguna jalan raya di seluruh negara.

Anak Pasangan Tukar Agama Kekal Agama Asal

Kabinet membuat keputusan bahawa anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin, walaupun ibu atau bapa mereka kemudiannya memeluk agama lain. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata keputusan itu adalah antara penyelesaian jangka panjang yang dicapai oleh Kabinet memandangkan lebih banyak kes seperti yang melibatkan Mohd Ridzuan Abdullah dan isterinya Indra Gandhi, dijangka muncul pada masa akan datang.



Mohd Ridzuan, atau Patmanathan a/l Krishnan, 40, bekas penganut Hindu, yang kini memeluk Islam, dilaporkan telah menukar agama anaknya -- Tevi Darsiny, 12, Karan Dinesh, 11, dan Prasana Diksa, 1 -- kepada Islam pada 12 April serta memohon hak penjagaan terhadap mereka di Mahkamah Syariah walaupun emak mereka masih beragama Hindu. Penukaran agama tidak boleh dijadikan alasan untuk membubarkan sesuatu perkahwinan secara automatik atau untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap anak-anak. Mana-mana individu yang ingin menukar agama, perlu menyelesaikan semua masalah berkaitan tanggungjawabnya terlebih dulu, bagi mengelak pihak yang tidak bersalah, terutama kanak-kanak, menjadi mangsa.K



Kabinet juga membuat keputusan bahawa sekiranya sesuatu perkahwinan didaftarkan di mahkamah sivil, maka ia hanya boleh dibubarkan mengikut undang-undang sivil. Jangan jadikan agama, contohnya Islam, sebagai alat untuk melepaskan diri daripada perkahwinan kerana perbuatan seperti ini akan mencemarkan nama agama itu. Tarikh penguatkuasaan undang-undang Islam terhadap seseorang mualaf ialah tarikh dia memeluk agama itu. Bagi menguatkuasakan keputusan itu, Pejabat Peguam Negara akan diminta meneliti semua undang-undang berkaitan yang perlu dipinda, tetapi tidak termasuk undang-undang syariah, yang terletak di bawah bidang kuasa sultan. Sebagai langkah jangka pendek bagi kes Mohd Ridzuan, menteri yang bertanggungjaab bagi hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri senator Datuk Jamil Khir Baharom, diminta memberi kaunseling kepada Mohd Ridzuan.

Penulis BLOG Harus Jayakan Konsep 1MALAYSIA

Penulis 'blog' harus turut menyemai dan menjayakan Konsep '1Malaysia', kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim. Menurutnya genre penulisan yang semakin popular menerusi internet itu boleh mendorong masyarakat untuk bekerja secara ikhlas dan bersatu-padu. Penulis blog "harus memberi markah positif" kepada perkara betul yang dilakukan kerajaan. Beliau mahu menghulurkan salam persahabatan dan bukan menyukarkan mana-mana pihak yang dapat menyumbang kepada budaya berfikir masyarakat.Sambil menyatakan beliau masih mencari perkataan yang sesuai untuk 'blog' dan blogger'.



Sejak munculnya Internet, "dunia maya" yang tidak mempunyai sempadan, budaya masyarakat di negara ini turut berubah. Media penulisan menerusi kertas menjadi kurang diminati generasi muda yang kini cenderung kepada genre internet -- "blog dan Facebook". Perkembangan itu memerlukan jentera dan keupayaan kerajaan mengimbas apa yang diperkatakan melalui blog dan menjawab secara intelektual. Penulis blog hendaklaj menggunakan fakta yang benar dalam tulisan mereka dan bukan menjadikan saluran itu untuk memfitnah. Reputasi akan luntur jika menggunakan fakta tidak benar kerana bagi penulis blog, kredibiliti adalah penting. Sebagaimana wartawan akhbar perlu mematuhi etika kewartawanan, penulis blog harus mempunyai etika tersendiri.

Isnin, 20 April 2009

Sarawak Perlukan Tempoh Pendaftaran Kewarganegaraan Fleksibel

Kerajaan negeri akan mengemukakan permintaan kepada kerajaan pusat agar tempoh pendaftaran kewarganegaraan khasnya di kawasan pedalaman Sarawak dipanjangkan kepada tempoh yang lebih fleksibel. Tempoh pendaftaran selama 15 hingga 42 hari bagi pendaftaran kelahiran misalnya tidak mencukupi bagi penduduk yang tinggal di kawasan yang sukar dihubungi seperti Ulu Baram, Ulu Kapit, Ulu Banga, Ulu Julau, juga Lubok Antu. Tempoh pendaftaran yang singkat itu telah menyebabkan berlakunya kelewatan pendaftaran di kalangan penduduk dari kawasan berkenaan.

Kerajaan Negeri Sarawak akan mengajukan masalah ini kepada kerajaan pusat dan meminta mereka mempertimbangkan permintaan kerajaan negeri supaya tempoh pendaftaran kelahiran termasuk kematian, perkahwinan dan sebagainya dipanjangkan lagi khasnya untuk penduduk di pedalaman Sarawak. Perkara ini mesti dirujuk kepada kerajaan pusat kerana mereka mesti mengetahui apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri dan jika tidak ia akan membahayakan sistem dan sistem disalahgunakan.



Walaubagaimanapun kerajaan negeri masih belum menentukan tempoh pendaftaran fleksibel yang dimaksudkan itu. Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Amar Wilson Baya Dandot) akan berbincang dengan Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi melihat cadangan yang boleh dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk dipertimbangkan. Kerajaan negeri juga akan membincangkan kadar bayaran bagi lewat pendaftaran dengan kerajaan persekutuan dengan mengambil kira masalah komunikasi atau perhubungan dan jelas dengan idea bayaran dikenakan.

Kerajaan Negeri Sarawak telah bersetuju untuk memberi semula kuasa kepada ketua-ketua masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak untuk membuat laporan kelahiran bayi di kawasan masing-masing. Masalah lewat pendaftaran kelahiran dan sebagainya (di kawasan pedalaman) Sarawak akan dapat dikendalikan dengan lebih baik, cekap dan cepat dengan bantuan tuai-tuai rumah, ketua-ketua kampung dan kapitan-kapitan Cina yang berpengalaman.



Setiap tuai rumah, ketua kampung dan kapitan Cina di kawasan pedalaman akan dibekalkan dengan borang maklumat daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan perlu diserahkan kepada penghulu untuk dihantar ke Pejabat Daerah sebelum diajukan kepada JPN. Semua tuai rumah, ketua kampung dan kapitan Cina terutama di kawasan pedalaman atau ulu sungai dikehendaki menjadikan kerja-kerja mendaftar kelahiran bayi di kawasan mereka sebagai tugas utama. Ketua masyarakat juga diingatkan agar merekod kelahiran dan maklumat ibu bapa bayi dengan tepat supaya status warganegara bayi berkenaan tidak akan dipersoalkan. Ianya penting kerana maklumat awal seperti ini akan mengelak semua masalah status bayi atau kanak-kanak yang dilahirkan sama ada rakyat Malaysia atau tidak.

74 Projek Prasarana Polis

Sebanyak 74 projek prasarana untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat dijalankan di seluruh negara. Kesemua projek terbabit yang menelan belanja kira-kira RM8 bilion dilaksanakan oleh Syarikat BLT Construction Sdn Bhd, yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan. Projek-projek melibatkan pembinaan kuarters, balai polis, ibu pejabat daerah (IPD), pusat latihan PDRM dan Pasukan Gerakan Am (PGA). Projek-projek tersebut yang dilengkapi dengan semua jenis kemudahan akan dilaksanakan secara ‘Fast Track’ untuk meningkatkan kebajikan dan keselesaan anggota polis.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 10 buah projek dilaksanakan di Sarawak, iaitu Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching Pakej 1, 2 dan 3, IPD Lubok Antu, Balai-balai Polis Sibu Jaya, Sungai Merah, Selangau, Gita dan Tabuan Jaya; PGA Kem Temudok (Sri Aman), PGA Miri dan Balai Polis Sentral Sibu. Projek-projek terbabit (di Sarawak) menelan belanja kira-kira RM1.36 bilion dan terbesar dalam senarai BLT. Segala penambahbaikan prasarana mahupun kelengkapan logistik membawa erti bahawa kerajaan dan masyarakat berkehendakkan sumbangan yang terbaik daripada pihak polis.

Ahad, 19 April 2009

'1Malaysia' Juga Perlu Membawa Maksud Malaysia Selamat Dan Terjamin

Konsep "1Malaysia" yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga perlu memastikan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat dan terjamin, iaitu bukan sahaja bebas daripada sebarang jenayah tetapi juga kejadian tidak diingini dan bencana angkara manusia.



Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata wujud keperluan untuk melaksanakan idea "komuniti selamat" selaras dengan konsep "1Malaysia" di mana warganya hidup, bekerja dan bermain dengan selamat dan sihat. Di samping meningkatkan kesejahteraan kehidupan individu, komuniti yang selamat akan mewujudkan banyak manfaat bersama seperti persekitaran selamat untuk orang ramai, jenayah berkurangan, meningkatkan produktiviti dan daya saing, kos penjagaan kesihatan lebih rendah dan pengurangan perbelanjaan bagi menangani masalah sosial lain.



Pendekatan komuniti selamat merupakan perkara paling penting bagi pemimpin masyarakat, majikan dan kakitangan, anggota polis, anggota bomba, profesional keselamatan dan mereka yang mahu mewujudkan keadaan yang lebih baik di tempat tinggal atau kerja mereka. Tempat kerja yang sihat dan selamat akan membawa kebaikan kepada syarikat kerana ia bukan sahaja mengurangkan kejadian kemalangan dan kos perubatan malah akan dapat meningkatkan produktiviti dan semangat pekerja. Program komuniti selamat merupakan pembangunan bersepadu bagi budaya mementingkan keselamatan dalam komuniti yang meliputi keselamatan tempat kerja, kawasan sekolah, kawasan rekreasi, pencegahan jenayah dan lainnya.

Kementerian Pelajaran Kaji Keperluan Tiga Peperiksaan Awam

Kementerian Pelajaran sedang mengkaji keperluan diadakan tiga peperiksaan awam iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kalau kita lihat daripada jumlah peperiksaan awam, adakah perlu kita adakan tiga peperiksaan awam sehingga ke SPM. Di sekolah rendah umpamanya, biasa kita lihat ibu bapa mengambil cuti menemani anak-anak mereka menghadapi sesuatu peperiksaan. Adakah itu yang kita nak?Kementerian tidak menolak kemungkinan jumlah peperiksaan awam itu mungkin dikurangkan.



Kita akan melihat semua kemungkinan, kalau kita buat peperiksaan berpusat di sekolah bermakna kita akan kurangkan peperiksaan secara berpusat. UPSR sekarang (penilaiannya) 100 peratus mungkin dikurangkan kepada 30 peratus, PMR 50 peratus dan SPM 70 peratus. Kementerian juga sedang mengkaji semula pendekataan sistem pendidikan negara sama ada memberikan penekanan kepada proses pembelajaran atau pencapaian akademik serta kerja kursus dari segi ko-kurikulum.
Sebelum ini kerajaan bercadang mengambil dua pendekatan yang membawa kepada transformasi dan rombakan yang radikal kepada sistem pendidikan negara menjelang tahun 2010 bagi membolehkan ia sesuai dengan tuntutan semasa khususnya melibatkan murid sekolah rendah dan pra-sekolah. Selain membangunkan sistem pentaksiran pendidikan kebangsaan (PPK) yang holistik untuk menilai bukan saja pencapaian akademik pelajar tetapi juga mengambil kira aspek intelek, rohani, jasmani, emosi dan secara bersepadu.

Ahad, 12 April 2009

Penggunaan KPI Diperluaskan Ke Universiti Awam

Kementerian Pengajian Tinggi akan memperluas penggunaan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang diperkenalkan untuk memantau prestasi menteri dan timbalan menteri di universiti-universiti awam negara ini. Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu membolehkan kementerian mengenalpasti kelemahan yang ada di setiap universiti supaya penambahbaikan dapat dilakukan.


Sebenarnya KPI di dalam Kementerian Pengajian Tinggi sudah dimulakan untuk mengukur pelaksanaan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, cuma kini diperluaskan penggunaannya untuk mencapai kualiti yang dimahukan. Tetapi, keputusan pencapaiannya itu nanti tidak akan didedahkan kepada umum kerana matlamat utama kita adalah untuk membantu meningkatkan prestasi universiti dan bukannya mengelirukan masyarakat mengenai baik atau buruk sesebuah universiti itu.



Pembentukan jawatankuasa khas untuk memantau prestasi menteri dan timbalan menteri serta menilai sama ada mereka berjaya memenuhi KPI yang ditetapkan. Jawatankuasa itu yang beroperasi secara bebas dan berkecuali akan turut merumuskan bentuk hukuman yang boleh dikenakan terhadap menteri atau timbalan menteri yang gagal memenuhi KPI berkenaan.



KPI sememangnya satu perlatan pengukur yang baik untuk mengetahui prestasi perlaksanaan dan kelemahan seseorang, sesebuah agensi dan juga syarikat. Saya sarankan supaya KPI dapat diterapkan dalam pelbagai agensi dan juga pentadbiran negeri serta pertubuhan NGOs... untuk meningkatkan prestasi dan juga mengenalpasti kelemahan untuk penambahbaikan.

Sabtu, 11 April 2009

Kuasa Hidro Penting Bagi Sarawak

Sarawak tidak akan membiarkan rancangannya bagi mempergunakan potensi penjanaan tenaga elektrik hidro dihalang oleh mereka yang tidak berminat untuk melihat rakyat negeri itu menikmati kehidupan lebih selesa. Melabelkan mereka yang menentang rancangan pembangunan berkenaan sebagai melakukan satu perjuangan sempit, kumpulan itu gagal melihat masalah membangunkan Sarawak secara menyeluruh.



Sarawak perlu memanfaatkan kekayaan sumber air sebagai satu komoditi yang menjana keuntungan bagi membiayai perbelanjaan yang semakin meningkat bagi melaksanakan projek pembangunan di negeri itu. Sebahagian daripada kuasa yang dijana daripada projek elektrik hidro akan digunakan dalam pembangunan industri di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score) yang akan membuka banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan kedudukan ekonomi negeri ini.



Sarawak merancang untuk membina 12 empangan elektrik hidro di sungai-sungai Ulu Air, Metjawah, Belaga, Baleh, Belepeh, Lawas, Tutoh, Limbang, Baram, Murum dan Linau. Rancangan itu turut menyaksikan pengembangan kepada Empangan Batang Ai. Kesemua empangan berkenaan akan menambah keupayaan penjanaan 2,400MW Empangan Bakun yang akan meningkatkan keupayaan penjanaan keseluruhan di Sarawak kepada 7,000MW menjelang 2020, satu peningkatan lebih 600 peratus daripada keupayaan semasa. Pengguna air akan berkongsi dengan kerajaan untuk menyediakan bekalan air bersih di negari ini.



Mengetepikan pendapat bahawa kerajaan sepatutnya tidak mengenakan bayaran terhadap pengguna bagi bekalan air, tugas untuk membekalkan air bersih kepada rakyat membabitkan perbelanjaan. Tidak ada mana-mana negeri yang boleh beri bekalan air bersih secara percuma, tidak kiralah parti mana yang berkuasa untuk memerintah. Tindakan kerajaan Selangor pimpinan PKR memberikan bekalan air bersih percuma 20 meter padu kepada rakyat negeri itu telah menyebabkan kerajaan berhutang 114 juta untuk tempoh 3 bulan pertama.

Datuk Seri Dr. Rais Yatim Rancang Wujud Segmen 'Bina Negara'

Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim telahpun mempunyai perancangan untuk memperkukuh dasar 'Satu Malaysia' dengan mewujudkan segmen 'membina negara' di dalam setiap program media cetak dan media elektronik. Inisiatif itu bagi memastikan semua media tidak hanya tertumpu kepada hiburan untuk menambah sumber pendapatan tetapi turut mengetengahkan informasi yang sihat kepada masyarakat.



Kementerian akan tekankan iaitu perlumbaan program (televisyen) misalnya harus berjalan cuma tanggungjawab terhadap negara dan bangsa mesti terselit di dalamnya. Ini bukan memaksa tetapi memberi satu ramuan baru ke arah Satu Malaysia seperti yang diharapkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.



Ketika ditanya apa yang dimaksudkan dengan membina negara, beliau berkata secara amnya ia adalah sebarang usaha yang boleh memperkukuh negara dan mempopularkan bangsa Malaysia. Misalnya hormat terhadap sistem perundangan kita, memperjuangkan hak-hak kaum yang telah ada dalam perlembagaan dan memberi semangat kepada kerajinan.



Mengenai penyusunan semula tiga komponen kementerian yang mewujudkan satu kementerian iaitu Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, penyusunan semula itu akan memberi kuasa kepada pihaknya dari segi undang-undang bagi memantau dan menyediakan infrastruktur kepada media swasta dan media kerajaan.

KPI - Tanda Keseriusan PM Laksana Agenda Pembangunan Negara

Pendekatan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diperkenalkan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menunjukkan keseriusannya melaksanakan segala agenda bagi pembangunan negara. Pendekatan yang baik ini sudah lama diguna pakai oleh sektor korporat di mana prestasi Ketua Pegawai Eksekutif diukur atas tahap apa yang telah diletakkan sebagai sasaran dan bagaimana ia dicapai.



Ini satu pendekatan yang cukup baik, di mana setiap menteri mesti sentiasa peka untuk bergerak dan menuju kepada sasaran yang ditetapkan serta sentiasa ada penilaian. Rakyat akan melihat keseriusan Perdana Menteri untuk melaksanakan segala agenda untuk pembangunan negara. Dauk Seri Najib ketika mengumumkan barisan kabinet baru berkata pendekatan KPI diperkenalkan yang menekankan impak, bukannya input, hasil, bukannya keluaran dan akan memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang berbaloi.Perdana Menteri juga akan terlibat secara peribadi dan langsung untuk mengkaji prestasi semua menteri pada setiap enam bulan.



Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Pelajaran menganggapnya perlantikannya sebagai satu tanggungjawab yang besar, memang berat tetapi akan dilaksanakannya sebaik mungkin. Jawatan Timbalan Perdana Menteri ialah untuk membantu Perdana Menteri dalam semua bidang tugas yang biasa diserah kepada timbalan untuk melaksanakannya dan ia selaras dengan hasrat beliau untuk melihat ini satu kabinet yang fokus, kabinet yang bekerja dan ada KPI yang ditetapkan untuk dilaksanakan. Dan beliau akan berusaha sedaya mungkin untuk memenuhi aspirasi pimpinan dan tentunya dalam soal pendidikan, satu daripada portfolio yang amat besar, tanggungjawab yang amat berat.Kerana ia berkaitan dengan soal meningkatkan mutu pendidikan negara ke tahap yang cemerlang, meningkatkan mutu pendidikan dan pembelajaran dalam negara, menjaga kebajikan dan meningkatkan martabat keguruan dalam negara. Muhyiddin juga menyifatkan pelantikannya sebagai Menteri Pelajaran sebagai satu cabaran baru tetapi bukan asing kepadanya kerana percaya dengan sokongan daripada semua pimpinan dalam kementerian, bidang keguruan, terutama masyarakat umum untuk mempertingkatkan kualiti pendidikan yang diharap akan berjaya.



Mengenai barisan kabinet yang diumumkan, yang cukup mantap dengan gandingan antara yang berpengalaman dan baru dan ia adalah satu pasukan kabinet yang bekerja selaras dengan hasrat Perdana Menteri untuk melihat kabinet yang berprestasi yang mempunyai tahap yang tinggi sekali. Ini adalah kabinet rakyat apalagi setelah menetapkan mesti mencapai satu tahap KPI, ada ukuran yang akan ditetapkan dan dibuat kajian enam bulan sekali. Di samping itu, barisan timbalan menteri dengan portfolio tertentu, bukan macam sekarang umum sahaja, ada tugas-tugasnya bermakna seluruh jemaah menteri sama ada menteri atau timbalan menteri akan menjadi satu barisan jemaah yang berkesan dan penting. Seperti Perdana Menteri katakan mesti ada impak kesan yang baik yang diharap akan tercapai dan yakin rakyat jelata menerima dengan baik barisan kabinet baru ini. Marilah kita rakyat Malaysia memberi sokongan kepada barisan baru ini.

Jumaat, 10 April 2009

Sarawak Yakin Kabinet Baru Bawa Transformasi

Sarawak yakin barisan Kabinet baru yang menampilkan tujuh muka baru bakal membawa satu membawa transformasi besar untuk negara, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam."Seperti slogan pentadbiran Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) Satu Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Barisan Kabinet yang lebih kecil kali ini dengan 25 kementerian dan 28 menteri menunjukkan Najib berhasrat melaksanakan pembaharuan demi masa depan negara."Kita mengharapkan banyak perubahan berlaku dan cara baru dalam melakukan perkara," katanya yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).
SUPP diwakili Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui,
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng dan
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau Hoi Chew.


Presiden Parti Rakat Sarawak (PRS), Datuk Dr James Masing berpuas hati apabila dua wakilnya iaitu Datuk Joseph Entulu dilantik sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan
Datuk Joseph Salang Gandum sebagai Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan.
Walaupun menaruh harapan tinggi untuk mendapat lebih ramai wakil dari Sarawak berdasarkan rekod cemerlang Barsian Nasional (BN), beliau berharap kerjaan pusat akan memberi peruntukan lebihan kepada Sarawak pada masa akan datang untuk membawa lebih banyak kemajuan dan pembangunan di negeri ini.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Datuk Daud Abdul Rahman menyifatkan senarai tersebut tidak seperti yang dijangkakan.Beliau yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) berkata PBB sebagai parti tulang belakang BN Sarawak mengharapkan pertambahan jawatan menteri penuh dan timbalan menteri dari Sarawak.

PBB diwakili Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Douglas Uggah Embas,
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Abdul Karim,
Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Seri Sulaiman Abdul Taib dan
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof.

Manakala Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) diwakili Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Jacob Dungau Sagan dan
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Jelaing Mersat.

Selasa, 7 April 2009

BN catat kemenangan selesa di Batang Air

REAKSI gembira Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (tengah) bersama dua timbalannya, Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Tan Sri George Chan (kanan) apabila mendapat keputusan BN di Batang Air menang besar apabila diberitahu oleh Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan di Batang Air, Lubok Antu dengan majoriti 1.854 di bilik gerakan Parti Pesaka Bumiputera (PBB), Petra Jaya. Keputusan ini menandakan sokongan pengundi Batang Ai kepada Perdana Menteri Baru untuk terus membaw pembangunan ke negeri Sarawak. Juga sebagai tanda Kaum Bumiputera Dayak Sarawak masih tidak menerima parti PKR dari LUAR SARAWAK.
Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan selesa dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air, apabila calonnya, Malcom Mussen Lamoh, 49, menang dengan majoriti 1,854 undi. Jumlah majoriti yang diperolehi itu juga lebih sekali ganda meningkat berbanding majoriti 806 undi yang diperolehi BN dalam pilihan raya umum negeri bagi kerusi berkenaan pada 2006. Mussen yang memperoleh 3,907 undi mengalahkan pencabar tunggalnya, Jawah Gerang, 55, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang hanya mendapat 2,053 undi.

Keputusan rasmi bagi pilihan raya kecil itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN Batang Air, Nelson Mujah Girie tepat jam 7.45 malam tadi. Keputusan itu juga satu kejutan buat PKR yang begitu yakin akan dapat memenangi pilihan raya kecil berkenaan, apa lagi Jawah yang dijadikan 'ayam sabung' PKR dalam pilihan raya kecil itu adalah bekas Ahli Parlimen Lubok Antu selama lima penggal. Malah kemenangan BN lebih bermakna apabila ia berjaya menawan lima daripada sembilan kawasan hitam yang menjadi kubu kuat Jawah, selain meningkatkan sokongan di empat lagi daerah mengundi yang menyaksikan PKR mendahului.


Kawasan hitam yang berjaya ditawan BN ialah Engkari, Delok, Beretik, Kachong, Bilararap dan Spaya. Hanya empat daripada 24 daerah mengundi menyaksikan kemenangan PKR iaitu di Sayat, Jela, Sempang dan Gugu, namun BN turut berjaya menambah jumlah undi di kawasan itu. Hanya calon BN berada di pusat penjumlahan undi ketika pengiraan undi dibuat dan apabila keputusan diumumkan. Mussen yang tiba di kompleks berkenaan pada jam 6.30 petang, meraikan kemenangan bersama Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Dr James Jemut Masing; Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari Openg dan Naib Presiden PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan serta pemimpin BN yang lain yang turut berada di pusat pejumlahan undi.


DUN Batang Air mempunyai 8,006 pengundi berdaftar dengan 7,963 adalah pemilih biasa dan 95 peratus daripada pengundi di situ adalah pengundi Iban. Cuaca yang baik juga membolehkan ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab, dengan peratusan pengundi yang keluar mengundi semalam meningkat kepada 75.32 peratus berbanding 73 peratus pada 2006.

BN MENANG DENGAN MAJORITI 1854 DI DUN N29 BATANG AI

Keputusan Penuh:
Jumlah Pengundi: 6,019
Malcolm Mussen anak Lamoh(BN): 3,907
Jawah anak Gerang, 55J(PKR):2,053
Majoriti: 1,854
Undi Rosak: 59
Jumlah Undi: 5,960
% Mengundi: 75.32%
Pemenang: Malcolm Mussen anak Lamoh (BN)

Tiga P/raya Kecil: Lima Faktor Bawa Kesan Baik Kepada BN

Barisan Nasional (BN) yakin memperoleh peluang baik berdasarkan lima faktor yang akan memberi kesan kepada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang serta dua lagi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dan Batang Ai.

5 faktor yang dilihat boleh membawa kejayaan BN pada ketiga-tiga pilihan raya kecil kali ini ialah apabila Datuk Seri Najib Tun Razak dilantik menjadi perdana menteri baru, kemasukan semula Tun Dr Mahathir Mohamad ke pangkuan Umno dan BN serta kedudukan calon terbaik BN bagi ketiga-tiga pilihan raya itu yang amat memahami aspirasi rakyat.

Faktor lain ialah keyakinan baru rakyat terhadap pemimpin negara selepas banyak masalah dan isu dapat dijelaskan dan selesaikan selain masalah dalaman yang melanda pakatan pembangkang apabila pemimpin mereka menghadapi kemelut pendapat yang bertentangan. Pembangkang bertentangan sesama mereka sendiri dalam banyak perkara tetapi tunjuk kepada rakyat seolah-olah mereka bersatu, dan sekarang calon mereka mula tidak diyakini dan dipercayai .

Bagi orang Melayu, isu penderhakaan Nizar tidak boleh diterima bagi orang Cina pula Nizar hanya berjanji dan gagal melaksanakan apa yang dijanjikan dalam tempoh 11 bulan memerintah.
Kehadiran Dr Mahathir ke Bukit Gantang dan Bukit Selambau ternyata memberi semangat dan harapan baru kepada pengundi di kawasan berkenaan untuk membuat keputusan tepat dengan mengundi calon BN, Ismail Saffian (Bukit Gantang) dan Datuk S. Ganesan (Bukti Selambau).

Dari kesemua faktor yang saya sebutkan, sudah ada perubahan sikap pengundi Melayu, Cina dan India serta bumiputera daripada kaum Iban di Sarawak. Atas dasar itu perubahan ini akan membawa kesan positif kepada BN untuk mencapai kemenangan di kawasan berkenaan.

Pilihan Raya Kecil N.29 Batang Ai


7.25 malam : Peti undi terakhir dari SK Lubok Antu tiba di pusat penjumlahan undi

6.05 petang : Sehingga kini, berbaki tiga peti undi dari SMK Lubok Antu (saluran satu), SMK Lubok Antu (Saluran dua) Dan SK Lubok Antu masih belum tiba di pusat penjumlahan undi

4.30 petang : Penyokong PKR tahan dua bas yang didakwa membawa pengundi hantu. Bas itu membawa kira-kira 80 penumpang

4.25 petang : 16 peti undi sudah tiba dan hanya berbaki 10 peti undi

3.45 petang : Peti undi ke-13 dari pusat pengundian Ulu Kesit tiba di pusat penjumlahan. Peti undi ketujuh dari rumah panjang Intang Mengiling mula dikira

3.15 petang : Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri James Jemut Masing tiba di pusat penjumlahan undi

3 petang : Proses pengiraan undi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air bermula jam 3 petang

2.40 petang : Peti undi ke-10 dan ke-11 daro SK Nanga Tibu dan SK Nanga menyebat tiba

2.13 petang : Peti undi kesembilan dari pusat mengundi di SK Nanga Kumpang Engkilili tiba

1.55 petang : Peti undi ke-8 dari SK Nanga Delok tiba

1.40 petang : Peti undi keenam dan ketujuh dari pusat pengundian di pejabat Pertanian Nanga Patoh dan rumah panjang Intang Mengiling tiba



Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padungan, Dominique Ng Kim Ho, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) "mendakwa" calon parti PKR, Jawah Gerang, yang bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air, sedang mendahului 60 peratus ketika ini.



12 tengah hari : Pusat pengundian dengan jumlah pengundi tidak ramai mula ditutup secara perperingkat

11 pagi : Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal melawat pusat penjumlahan undi di Kompleks Sukan Lubok Antu. Peratusan keluar mengundi mencatat sebanyak 70 peratus sehingga 11 pagi.

12.55 petang : Peti undi kelima dari pusat mengundi SK Nanga Aup tiba dengan helikopter

12 tengah hari : Empat peti undi dari pusat mengundi di SK Ulu Engkari, Tadika Kemas Sempang, Dewan Salcra SPS Batang Air dan SK Ulu Lemanak tiba di pusat penjumlahan undi kompleks sukan Lubok Antu



Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jawah Gerang berada di kawasan Ulu Lemanak bagi memantau proses penghantaran peti undi. Penghantaran peti undi terpaksa dilakukan dengan menggunakan helikopter berikutan lokasi pusat mengundi terlalu jauh.



8.30 pagi : Calon PKR, Jawah Gerang mengundi di SK Nangag Kumpang, Engkilili bersama dua penyokongnya

9.09 pagi : Calon BN, Malcolm Mussen tiba di pusat mengundi di rumah Renggie, Bukong