Jumaat, 27 November 2009

Parti Politik Menghalang Media Membuat Liputan

Pusat bagi Kewartawanan Bebas (CIJ) menggesa parti-parti politik tidak menghalang mana-mana organisasi media daripada membuat sebarang liputan majlis. Persatuan itu tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan Selangor pimpinan pakatan pembangkang yang tidak membenarkan Utusan Malaysia daripada membuat liputan sidang media yang diadakan. Pengamal media adalah profesional, tanpa mengira parti politik mana yang menjadi gabungan media itu, mereka seharusnya dibenarkan membuat liputan majlis yang dianjurkan oleh kerajaan negeri.


Rabu lepas, wartawan Utusan Malaysia Abdul Yazid Alias mendakwa beliau telah dihalang menghadiri sidang akhbar Setiausaha Persatuan Pegawai Wakil Rakyat Pakatan Rakyat Selangor (Selproa), Ng Yap Hwa. CIJ selain daripada menekankan perlunya pihak media dibenarkan membuat liputan sebarang majlis dan isu-isu yang menarik perhatian orang ramai, pihak media juga perlu memberikan liputan yang adil. CIJ turut menegaskan apa-apa bentuk halangan terhadap mana-mana organisasi media daripada membuat sebarang liputan adalah tidak boleh diterima. Oleh itu, kepentingan awam hanya boleh dipenuhi jika media dibenarkan untuk melakukan tugas mereka berdasarkan prinsip-prinsip keadilan dan objektif. CIJ inginkan masyarakat yang demokratik, bebas di mana rakyat menikmati kebebasan media dan kebebasan untuk mendedahkan, mencari dan menyampaikan maklumat.

Hakikatnya Pakatan Rakyat yang selama ini menyatakan kerajaan BN tidak boleh menyekat liputan media, tetapi mereka sendiri mengamalkan sekatan liputan media dan menyembunyikan maklumat yang benar. Mereka mahu menyembunyikan sesuatu yang TIDAK BETUL daripada pengetahuan orang ramai.

Kursus Biro Tata Negara

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kursus Biro Tata Negara (BTN) tidak bermotifkan doktrinasi politik sebaliknya ia menerapkan semangat kenegaraan dan perpaduan masyarakat selaras dengan konsep 1Malaysia. Kursus BTN tidak bertujuan untuk membawa peserta-peserta kepada Umno dan Barisan Nasional. Ia tidak mempunyai niat yang jahat, ia mempunyai tujuan-tujuan yang baik.


Kerajaan Selangor melarang kakitangannya dan pelajar institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri itu daripada menghadiri kursus BTN berkuatkuasa serta merta dengan alasan kononnya kursus BTN adalah satu proses doktrinasi oleh kerajaan Barisan Nasional. Kerajaan negeri Selangor dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah diberi gambaran yang salah tentang BTN. Masyarakat dan syarikat-syarikat swasta tidak sepatutnya dihalang daripada menghadiri kursus-kursus yang dianjurkan BTN. Surat arahan berkaitan larangan itu akan dikeluarkan segera kepada semua jabatan, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) serta anak-anak syarikat milik penuh kerajaan negeri Selangor.

Hakikatnya, Menteri Besar Selangor tidak mempunyai kuasa untuk menghalang kakitangan awam persekutuan, masyarakat dan syarikat swasta daripada menghadiri kursus anjuran BTN. Kakitangan persekutuan, tidak tertakluk kepada arahan kerajaan negeri Selangor itu. Menteri Besar Selangor tidak mempunyai kuasa menghalang orang ramai daripada mengikuti kursus BTN. Di manakah peruntukan undang-undang yang membolehkan Menteri Besar untuk berbuat demikian? Tak ada pun peruntukan sedemikian dalam perundangan. Juga Kerajaan BN selama ini tidak pernah menyekat anjuran kursus yang diadakan oleh parti pembangkang walaupun intipati kursus adalah bertentangan dengan ideologi BN.


Kerajaan persekutuan, tetap akan meneruskan kursus-kursus BTN walaupun Selangor mengambil tindakan sedemikian. Jikalau Kerajaan Selangor tidak mahu, tidak mengapa. Kerajaan Persekutuan tidak boleh halang jika orang ramai mahu mendalami konsep 1Malaysia, semangat kenegaraan dan perpaduan masyarakat.

Isnin, 16 November 2009

Pindaan Laporan Audit Hutan Sarawak Akan Beri Perspektif Seimbang

Jabatan Audit Negara (JAN) bersetuju membuat pindaan sewajarnya terhadap Laporan Ketua Audit Negara 2008 mengenai pengurusan hutan di Sarawak. Laporan awal yang dikeluarkan jabatan itu tidak menggambarkan keadaan menyeluruh dengan membuat kesimpulan secara rambang tentang pengurusan hutan secara lestari di negeri ini. Dengan mengambil kira maklum balas daripada Jabatan Hutan Sarawak, perspektif yang lebih seimbang dan tepat (mengenai pengurusan hutan di negeri ini) akan diberi pengiktirafan sewajarnya. Ketua Audit Negara telah menulis kepada JAN tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pengurusan hutan dan maklum balas yang dikemukakan oleh Jabatan Hutan juga tidak diambil kira dalam laporan awal audit.

Berkenaan kelemahan pengurusan hutan yang dibangkitkan oleh pembangkang, isu dan tohmahan mengenai segelintir pegawai Jabatan Hutan yang dikatakan "kaki lepak" merupakan satu episod sejarah yang berlalu kerana tindakan pembetulan dan penambahbaikan telah dilakukan. Isu berkaitan dengan tindakan undang-undang yang dibawa oleh Kesatuan Pekerja Jabatan Hutan ke mahkamah telah selesai dan tidak perlu digembar-gemburkan lagi.

Pencelaan Voon Lee Shan (Batu Lintang-DAP) terhadap anggota Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) sebagai "Yes Men" dan "rubber stamps" merupakan satu penghinaan terhadap Dewan Undangan Negeri Sarawak yang mulia dan kewibawaan wakil rakyat yang menyokong undang-undang Ordinan Perbadanan Perhutanan Sarawak.

Mengenai penyeludupan kayu balak dari negara jiran, kerajaan negeri tidak membenarkan pengimportan balak dari negara luar, termasuk negara jiran yang bertindak mengharamkan pengeksportan balak, kecuali dengan dokumentasi yang dikeluarkan oleh negara asal. Amalan pengurusan hutan secara lestari dilaksanakan di kawasan Hutan Simpan Kekal, dengan keluasan 5.2 juta hektar yang diwartakan, serta kawasan Terlindung Sepenuhnya (0.7 juta hektar) yang meliputi 56 peratus daripada 12.4 juta hektar keluasan tanah Sarawak.

Sabtu, 14 November 2009

Rancangan Tebatan Banjir Jadi Tumpuan Di Bawah RMK-10

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) nanti. Menterinya Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata pada satu mesyuarat semalam, kabinet bersetuju untuk memberi tumpuan kepada Rancangan Tebatan Banjir bagi menangani masalah banjir yang melanda beberapa negeri setiap tiba musim tengkujuh. Kabinet bersetuju untuk menggunakan pelbagai pendekatan termasuk inisiatif pembiayaan swasta untuk membiayai projek-projek tebatan banjir. Dengan inisiatif ini, lebih banyak projek dapat dilaksanakan. Merujuk kepada RMK-10 yang dijadual akan dibentangkan di Parlimen pada Jun tahun depan, projek di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan lebih mesra rakyat. Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar ketika ini sedang gigih turun padang untuk melihat dan menyenaraikan projek-projek yang perlu dicadang dan dilaksanakan sepanjang tempoh RMK-10. Ini selaras dengan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya semua pihak menyusun program dan projek yang bermesra rakyat agar sejajar dengan konsep 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Jumaat, 13 November 2009

WAKIL RAKYAT DAP MENCARI POPULARITI DENGAN MENIPU



SUPP Cawangan Batu Lintang mempertikaikan kenyataan wakil rakyat DAP Batu Lintang yang mencari populariti dengan memburuk-burukkan parti SUPP. Parti SUPP tidak pernah ditugaskan untuk menyampaikan wang ehsan bantuan mangsa banjir semasa insiden banjir pada awal tahun 2009, parti tersebut hanya memenuhi perjuangan parti untuk membantu rakyat mendaftar dengan Pejabat Bahagian Kuching untuk mendapatkan bantuan. Dan kenyataan wakil rakyat DAP nyatanya tidak berasas dan berunsur penipuan.

(Gambar: Pemuda SUPP Cawangan Batu Lintang mempertikaikan kenyataan Wakil Rakyat DAP Batu Lintang dalam Sidang Akhbar semalam. AJK Pemuda juga menunjukkan gambar-gambar ahli-ahli parti yang membantu dalam kerja menyelamat dan pemindahan mangsa banjir.)

Mengikut laporan yang diperolehi, sebanyak 60 keluarga dari Kampung Kudei dipindahkan ke pusat pemindahan mangsa banjir pada 11.1.2009. Dan mereka telah memperolehi bantuan daripada jabatan kebajikan dan persatuan tempatan. Kerajaan juga telah memberi wang ehsan bantuan mangsa banjir RM500.

Banjir berlaku semula pada 29.1.2009 dan penduduk Kampung Kudei terpaksa di pindah semula ke pusat permindahan dan memperolehi bantuan dari pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan tempatan termasuk Cawangan SUPP Batu Lintang. Parti SUPP telah membantu agensi kerajaan untuk mendaftarkan mangsa banjir dan sebanyak 800 lebih keluarga mangsa banjir di sekitar kawasan Sungai Maong telah didaftarkan dan telah diberikan wang ehsan bantuan mangsa banjir sebanyak RM300 sekeluarga.

Juga dipertikaikan 150 keluarga Kampung Kudei yang masih belum menerima bantuan mangsa banjir sepertimana yang dinyatakan oleh wakil rakyat DAP. Siapa yang akan dibayar sekiranya tidak mendaftar dengan Pejabat Residen? Ataupun angka tersebut adalah REKAAN sahaja semata-mata untuk mencari populariti.

SUPP Cawangan Batu Lintang juga telah mendapatkan derma daripada CIMB untuk memperbaiki 2 buah titian jalan kaki di Kampung Kudei yang telah rosak akibat banjir. Dan parti SUPP tidak meminta apa-apa pulangan. Juga disarankan pertubuhan kebajikan, pertubuhan Cina dan Persatuan Bulan Sabit Merah telah menyumbangkan tenaga dan barangan keperluan untuk membantu mangsa banjir. Ahli-ahli parti SUPP Cawangan Batu Lintang juga turun padang untuk membantu kerja menyelamat, dan bukannya seperti wakil rakyat DAP yang hanya pegang payung dan bergambar di kawasan banjir sahaja.


Oleh itu siapakah yang bercakap BOHONG selama ini.... WAKIL RAKYAT DAP sahaja yang pandai berbohong. Dan bukannya untuk isu ini saja... beliau juga sanggup berbohong mengenai persiapan kerja penyelenggaraan jalan raya dan sistem pemparitan dengan menyatakan ianya adalah usahanya, walaupun kenyataan sebenar kerja-kerja penyelenggaraan diadakan atas permohonan projek dan peruntukan yang dilakukan oleh wakil rakyat BN dan parti SUPP.



Selasa, 10 November 2009

Pembangunan tetap diutamakan oleh Kerajaan BN Sarawak

Pembangunan masih diutamakan menerusi Bajet Negeri 2010 dengan memperuntukkan RM2,777 juta atau 70 peratus, manakala RM1,318 juta dikhususkan untuk perbelanjaan mengurus. Bagaimanapun, ia merupakan penurunan daripada RM3,075 juta diperuntukkan untuk tujuan itu (pembangunan), manakala perbelanjaan mengurus sebanyak RM1,287 juta menerusi Bajet Negeri 2009. Bajet itu merupakan surplus sebanyak RM160 juta. Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, tumpuan lebih kepada pembangunan itu merupakan antara lapan strategi yang dirangka oleh kerajaan bagi menggerakkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri. Bajet ini dirangka selepas mengambil kira strategi-strategi dan kesinambungan Bajet Negara 2010 dan mengambil kira senario ekonomi global, serantau dan negara pada 2010. Dana sebanyak RM2,777 juta itu dipecahkan kepada RM1,271 juta atau 46 peratus bagi membangunkan sektor perdagangan dan industri. Ia merangkumi geran pembangunan dan pinjaman kewangan kepada badan-badan berkanun. Manakala, RM493 juta atau 18 peratus adalah untuk sektor kemudahan awam. Ia khusus untuk menaik taraf pelbagai kemudahan awam, khusus bagi bekalan air di bandar atau luar bandar. RM316 juta atau 11 peratus untuk pentadbiran am yang bermaksud untuk menambah baik kemudahan kerajaan agar dapat meningkatkan sistem penyampaian. RM213 juta atau 8 peratus untuk pembangunan sektor pertanian, tanah dan luar bandar. Ia khusus untuk program pembangunan ladang, bantuan kepada petani, veterinar, perikanan, penyelidikan pertanian dan perhutanan.

RM277 juta atau 10 peratus adalah untuk memperbaiki kemudahan pengangkutan dan perhubungan terutama jalan raya, jambatan dan pelabuhan. RM207 juta atau 7 peratus adalah untuk pembangunan masyarakat dan sosial seperti skim perumahan dan penempatan semula, kemudahan rekreasi dan sukan serta perkhidmatan masyarakat dan kebajikan. Cadangan peruntukan sebanyak RM2,777 juta pada 2010 maka keseluruhan peruntukan untuk Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) menjadi RM12.5 bilion, iaitu, RM2.5 bilion lebih daripada peruntukan asal sebanyak RM10 bilion. Wang ini akan dibelanjakan dengan sebaik mungkin bagi tujuan pembangunan negeri dan manfaat rakyat.


Perbelanjaan mengurus sebanyak RM1,318 juta akan dibahagi kepada lima bahagian. RM479 juta atau 36 peratus adalah untuk emolumen kakitangan. RM466 juta atau 35 peratus adalah untuk perkhidmatan dan pembekalan. RM348 juta atau 26 peratus adalah untuk geran dan bayaran tetap yang akan diperuntukkan kepada agensi-agensi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun. RM20 juta adalah untuk perolehan asset. RM5 juta adalah untuk perbelanjaan-perbelanjaan lain. Peruntukan RM1,318 juta bagi perbelanjaan berulang pada tahun depan adalah rendah sebanyak tiga peratus berbanding RM1,357 juta untuk 2009.

Bagaimanapun, terdapat peningkatan emolumen kakitangan berikutan, terutamanya, pertambahan kakitangan dan penyerapan kakitangan bergaji hari kepada jawatan tetap. Pendapatan kerajaan negeri pada tahun depan dijangka mencecah RM3,579 juta. Angka itu merupakan penurunan sebanyak RM310 juta atau 8 peratus berbanding jangkaan pendapatan sebanyak RM3,889 juta untuk tahun ini. Penurunan pendapatan adalah berikutan jangkaan lebih rendah daripada minyak dan gas lanjutan harga yang rendah terhadap komoditi tersebut pada tahun depan.

Pembetungan pelihara sumber air

Kerajaan Negeri Sarawak kini berdepan cabaran hebat dalam usaha mengekalkan sumber bekalan air bersih di negeri ini. Untuk me-mastikan sumber bekalan air bersih di negeri ini terus terpelihara usaha harus bermula dengan pembinaan sistem pembetungan bersepadu yang benar-benar berkualiti. Bagaimanapun peruntukan yang banyak amat diperlukan kerana kos membina sistem pembetungan bersepadu yang diiktiraf kualitinya sangat mahal. Tidak ada satupun negeri di Malaysia dapat membiayai pembinaan sistem pembetungan bersepadu yang terbukti berkualiti tetapi kerajaan negeri akan melakukan yang terbaik untuk memiliki sistem ini dan bantuan kerajaan pusat sangat diperlukan.

Menyedari kepentingan sistem itu dipraktikkan di negeri ini, pada Oktober 2008 kerja-kerja pembinaan pakej pertama projek berkenaan yang meliputi lima kawasan utama di bandar raya Kuching di-mulakan dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2012. Disebabkan pembinaan sistem tersebut membabitkan kos yang tinggi ia dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan berdasarkan keperluan sesuatu kawasan. Pembinaan sistem pembetungan bersepadu ini membabitkan empat pakej dengan kos keseluruhan dianggarkan RM2 bilion dan pakej pertama sahaja melibatkan kos berjumlah RM530 juta. Tetapi kerajaan tiada pilihan kerana tidak boleh terus membiarkan air sisa domestik (grey water) dan air sisa tangki septik (black water) terus disalurkan ke sungai yang akhirnya menyebabkan Sungai Sarawak tercemar.

Pembinaan sistem pembetungan bersepadu itu penting bagi memastikan bandar raya Kuching terus selamat, bersih dan selesa untuk didiami selain persekitaran yang kondusif untuk ekonomi moden. Justeru itu rakyat hendaklah memberi kerjasama kepada kerajaan dan pihak berkuasa tempatan dalam usaha mewujudkan serta mengekalkan standard kehidupan yang lebih baik terutamanya di sekitar bandar raya Kuching. Kerajaan mungkin mampu membina sistem ini tetapi untuk memastikan ia dapat diselenggara dan beroperasi dengan baik kerjasama daripada rakyat amat perlu. Kos operasi dan selenggaraan sistem ini perlu dikongsi dengan rakyat menerusi bayaran (cukai) tertentu tetapi menjamin ia pada kadar yang amat berpatutan.

Pelaksanaan projek tersebut juga dapat mengurangkan dengan berkesan pencemaran air dan pada masa sama meningkatkan kualiti air Sungai Sarawak. Dengan sistem ini air sisa buangan dari hartanah individu dapat disalurkan terus ke loji rawatan dan selepas menjalani beberapa proses rawatan sisa yang dibuang ke Sungai Sarawak lebih bersih berbanding sebelum ini (Standard A) dan selamat untuk semua aktiviti rekreasi air. Kerajaan merancang untuk melanjutkan pembinaan sistem tersebut di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) dengan cadangan pakej kedua meliputi kawasan-kawasan di timur dan barat pusat bandar raya Kuching manakala pakej ketiga melibatkan kawasan utara tebingan Sungai Sarawak. Projek berkenaan dikendalikan Kumpulan-Nishimatsu-Hock Seng Lee Consortium.

Sabtu, 7 November 2009

Sarawak Percepatkan Rancangan Peluasan Penjanaan Kuasanya

Sarawak akan mempercepatkan rancangan peluasan penjanaan kuasanya bagi menampung permintaan industri tempatan dan juga menjual kuasa ke Semenanjung Malaysia. Projek Empangan Hidroelektrik Bakun untuk menghasilkan 2,400MW menjelang 2011 dan projek empangan Murum bernilai RM3 bilion untuk menjana kuasa 900MW menjelang 2013 tidak mampu memenuhi permintaan industri berintensif tenaga yang dirancang untuk Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) pada 2015. Contohnya, kilang pelebur memerlukan minimum 776MW dan akan terdapatnya empat kilang pelebur di SCORE menjelang 2015. Keutamaan Kerajaan Negeri Sarawak ialah memenuhi permintaan industri. Dengan Bakun beroperasi sepenuhnya beserta dengan kemunculan kilang-kilang pelebur, kami tiada pilihan tetapi perlu mempercepatkan rancangan peluasan penjanaan kuasa, diharapkan ianya boleh menjana 3,000MW kuasa menjelang 2015. Imbang Penuh

Selain daripada permintaan kuasa dalam industri berintensif tenaga di dalam negeri, Negeri Sarawak juga menjual kira-kira 1,700 MW kuasa dari Bakun kepada Semenanjunga Malaysia menerusi kabel submarin. Projek Empangan Hidroeletrik Bakun dijangka mula menjana 300MW tenaga elektrik pada bulan Oktober atau November tahun depan apabila satu daripada lapan turbinnya mula dilaksanakan. Empangan itu yang akan beroperasi sepenuhnya menjelang 2011 dan sebahagian besar elektrik akan dieksport ke Semenanjung Malaysia menerusi kabel submarin dasar laut, dijangka siap pada 2016. Selain daripada projek empangan hidroelektrik, Negeri Sarawak juga akan mengembangkan kilang arang batunya. Kerajaan akan tembusi sumber arang batu kerana kita Negeri Sarawak mempunyai rizab arang batu yang banyak.


Jumaat, 6 November 2009

Lebih 200,000 Keluarga Bakal Dapat Manfaat Subur

Mulai 1 Dis, lebih 200,000 keluarga di seluruh negara bakal menikmati Subsidi Beras Untuk Rakyat (SUBUR) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Melalui SUBUR golongan miskin, miskin tegar termasuk golongan Orang Asli dan Bumiputera Sabah dan Sarawak mendapatkan baucar-baucar untuk ditukarkan bagi mendapatkan atau membeli beras terutamanya beras Super Tempatan 15 peratus (ST15).


Bagi golongan miskin tegar mereka akan mendapat baucar bernilai RM24 yang membolehkan mereka mendapat sekampit beras 10kg bernilai RM24 dan dengan tiga baucar bernilai RM24 diberi dalam sebulan, mereka akan mendapat 30kg beras secara percuma. Kalau 30kg cukup, kalau makan sepinggan cukup, kalau dua pinggan pun cukup. Bagi golongan miskin, mereka akan diberikan baucar bernilai RM10 di mana mereka perlu menambah RM14 bagi mendapatkan sekampit beras seberat 10kg.

Jangan diperlekehkan Barisan Nasional kerana ia merupakan kerajaan yang menjadi juara kepada rakyat kerana ia banyak membela nasib rakyat. Program ini dirangka bagi memastikan subsidi beras menepati sasaran kerana sebelum ini berlaku ketirisan di mana beras ST15 boleh dibeli oleh pendatang asing dan juga pengusaha-pengusaha bihun. Jika ada di antara golongan miskin dan miskin tegar yang tidak tersenarai di dalam senarai penerima baucar ini mereka boleh mendaftarkan nama mereka di agensi-agensi kementerian dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.

Kerajaan Tarik Balik Dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan

Kerajaan telah bersetuju supaya pengenalan Dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan ditarik balik setelah mengambil kira pandangan rakyat dan selaras dengan konsep rakyat didahulukan. Sejak langkah itu diumumkan, kerajaan telah menerima banyak aduan dari orang ramai yang rata-rata tidak bersetuju dengan langkah pemeriksaan mandatori tahunan ini, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). MITI, pada 28 Oktober, telah mengumumkan Dasar Automotif Nasional (NAP) termasuk Dasar Tempoh Jangka Hayat Kenderaan yang memperkenalkan pemeriksaan mandatori tahunan sebagai keperluan pembaharuan cukai jalan untuk kenderaan berusia 15 tahun dan ke atas.

Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia menyambut baik langkah kerajaan menarik balik syarat pemeriksaan mandatori ke atas kereta yang berusia lebih 15 tahun sebelum memperbaharui cukai jalan. Keputusan itu diterima baik oleh kira-kira 500,000 pesara di negara ini. Mereka mengucapkan terima kasih kepada kerajaan khususnya Timbalan Perdana Menteri kerana mendengar masalah rakyat. Kebanyakan pesara menggunakan kereta ketika dibeli semasa berkhidmat dengan kerajaan dan kini tidak lagi mampu membeli kereta baru. Jika peraturan itu dikuatkuasakan, ia akan membebankan pesara tetapi menghargai hasrat kerajaan meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya.

Kerajaan harus meningkatkan pengawasan terhadap kenderaan komersial yang mengeluarkan asap hitam, sistem brek yang kurang berkesan serta melanggar pejalan kaki yang tidak berdosa. Pemansuhan syarat pemeriksaan kereta lama merupakan berita baik kedua kepada pesara selepas kerajaan melanjutkan pembayaran khas RM500 yang dinikmati oleh petugas awam kepada pesara kerajaan pada Bajet 2010 bulan lepas.

Majikan perlu awasi pergerakan pembantu rumah

Majikan yang menggaji pembantu rumah warga asing diingatkan supaya sentiasa mengawasi pergerakan orang gaji mereka agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini. Hasil siasatan mendapati sesetengah kes rompakan yang berlaku melibatkan pembabitan pembantu rumah. Ini berpunca daripada kegagalan para majikan yang pernah menjadi mangsa rompakan meneliti sepenuhnya pergerakan pembantu rumah mereka sehingga memudahkan orang luar yang tidak dikenali memasuki rumah. Oleh yang demikian, pergerakan pembantu rumah hendaklah sentiasa dipantau termasuk merancang dengan teliti tugas harian pembantu rumah mereka terutamanya yang membabitkan urusan keluar dan masuk rumah.