Khamis, 28 Januari 2010

Pelan Hala Tuju GTP Untuk Membanteras Rasuah

Berikut adalah intipati Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) untuk membanteras rasuah:

*Meningkatkan Skor Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI) dari 4.5 kepada 4.9 tahun ini


*Meningkatkan peratusan yang menjawab "berkesan" dalam Kajian Global Corruption Barometer TI terhadap tindakan kerajaan dalam membanteras rasuah dari 28 peratus sekarang kepada 37 peratus tahun ini.


*Meningkatkan jumlah kes didakwa berbanding jumlah tangkapan pengedaran dan pemilikan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya dari 75 peratus ke 80 peratus tahun ini


*Meningkaktan jumlah saman yang diselesaikan berbanding dengan saman yang dikeluarkan polis dari 50 peratus kepada 61 peratus dan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dari 60 peratus kepada 78 peratus


*Meningkatkan jumlah kes didakwa berbanding jumlah tangkapan dan tahanan di bawah Undang-undang Imigresen dari 53 peratus ke 60 peratus tahun ini


*Meningkatkan cukai yang diperoleh semula daripada barangan yang diisytihar di bawah harga sebenar daripada RM9 juta kepada RM21 juta tahun ini


*Jumlah penemuan audit terhadap salah urus perolehan setiap kementerian daripada 11.2 kepada 10.6 tahun ini.


*Meningkatkan peratusan perbicaraan diselesaikan dalam setahun daripada 8.5 peratus kepada 30 peratus


*Mesasarkan sebanyak 80 jumlah individu dalam pangkalan data pesalah daripada sifar pada tahun ini.


Kerajaan akan memantap dan memperkukuhkan unit-unit pematuhan dengan sasaran meraih semula keyakinan terhadap agensi pengawalseliaan dan penguatkuasaan -- Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Imigresen dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).


Untuk itu, kerajaan antara lain akan melantik kakitangan unit pematuhan dengan sewajarnya, memberikan kuasa kepada unit untuk bertindak di bawah pengawasan langsung ketua agensi dan sebuah Suruhanjaya Bebas selain mewujudkan sebuah rangka kerja penyokong.



Bagi mengurangkan peluang berlakunya amalan rasuah, turut dilaksanakan ialah penggiliran kerja untuk menghalang pegawai penguatkuasa daripada membentuk hubungan kerjasama dengan organisasi jenayah dan mewujudkan carta liga prestasi bagi semua pihak berkuasa tempatan.Parameter surat sokongan, yang kerap diguna untuk mempengaruhi kakitangan kerajaan bagi memintasi dasar dan tatacara standard kerajaan dalam mendapatkan kontrak, akan diperjelaskan amalannya dan akan dikurangkan secara berperingkat.


Butiran kontrak perolehan kerajaan akan didedahkan di mana kementerian perlu menerbitkan maklumat secara berpusat di portal e-kerajaan ringkasan projek-projek di mana perolehan dirancang dan dianugerah oleh kementerian berkenaan.Orang ramai akan dihubungkan dengan laman web kementerian berkenaan untuk mendapatkan butiran selanjutnya mengenai projek atau perolehan itu.Untuk meningkatkan ketelusan pembiayaan politik, undang-undang sedia ada akan dikuatkuasakan dan kajian untuk mengubahsuai pembiayaan politik akan dilaksanakan.


Kerajaan juga mencadangkan supaya ahli politik dan parti politik disyaratkan mendedahkan sumber pembiayaan dan perbelanjaan mereka kepada agensi yang bersesuaian.Dasar toleransi sifar terhadap rasuah akan disokong dengan perlindungan pemberi maklumat dengan penggubalan Undang-udang Perlindungan Pemberi Maklumat.Semua kes rasuah yang dilapor akan disiasat sepenuhnya tanpa mengira kedudukan dan butiran mengenai pesalah yang disabitkan kesalahan akan didedah kepada orang ramai sebagai tindakan pencegahan dan hukuman yang cepat dan keras terhadap mereka yang didapati bersalah kerana rasuah.


Kebebasan institusi utama akan diperkukuhkan dan ini antara lain melibatkan kajian terhadap Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) untuk mencari jalan memperkukuh peranannya dalam mencadangkan pelantikan kehakiman.Akta untuk mendakwa kes rasuah dalam setahun juga digubal terutama yang membabitkan kepentingan awam dan dalam hal ini untuk memastikan pendakwaan yang segera dan cekap, tatacara bagi rakaman kenyataan saksi dan penyampaian sepina akan diperkukuh.


Selain itu jadual pelaksanaan ketat akan dikuatkuasa terhadap semua proses dan tatacara pendakwaan dan keupayaan pengendalian kes mahkamah akan ditingkat menerusi pelantikan Timbalan Pendakwa Raya tambahan dan penubuhan mahkamah rasuah khas.Akta SPRM akan dipinda untuk mengenakan hukuman yang lebih keras berdasarkan keseriusan kesalahan memandangkan pada masa sekarang tidak ada hukuman minimum ditetapkan.Di samping itu, struktur hukuman lebih keras juga akan dilaksana terhadap pegawai awam yang disabitkan kesalahan (kakitangan awam dan ahli pentadbiran, perundangan dan kehakiman).


Pangkalan data pesalah 'namakan dan malukan', pendekatan dalam bentuk pangkalan data awam yang menyenaraikan pesalah rasuah akan dilaksanakan dan pangkalan data ini juga akan berfungsi mempermudah keputusan pengambilan kerja, terutama bagi jawatan sensitif yang melibatkan kuasa dan amanah.

Program Transformasi Kerajaan


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis melancarkan kerangka penting dalam usaha mentransformasikan kerajaan bagi menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat selaras dengan dasar pentadbiran beliau iaitu "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) itu merupakan langkah penting dalam perjalanan negara untuk mencapai aspirasi Wawasan 2020 bagi mencapai status negara maju.


Najib memperkenalkan gagasan 1Malaysia dan GTP pada April tahun lepas, bulan yang sama beliau mengambil alih tampuk pimpinan negara, dan turut mengumumkan enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam usaha menangani perkara yang menjadi kebimbangan utama rakyat.


Enam bidang NKRA itu ialah mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, mempertingkatkan pencapaian pelajar, mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar dan mempertingkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam bandar.Kerajaan komited untuk terus melakukan perubahan melalui pelaksanaan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sehinggalah rakyat mengalami sendiri penambahbaikan dalam kehidupan mereka, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.


Perdana Menteri berkata kerajaan bersikap telus dalam melaksanakan perubahan-perubahan itu kerana sedar akan prinsip kebertanggungjawaban sebagai kerajaan."Kerajaan tidak akan berhenti sehingga rakyat boleh melihat, menyentuh dan mengalami penambahbaikan kehidupan mereka. IsyaAllah, dengan komitmen semua pihak dan dengan izin Allah, kita akan berjaya," katanya ketika berucap melancarakan Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) di sini pada Khamis.


Majlis itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kedua-dua bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, menteri-menteri kabinet dan pegawai-pegawai kerajaan.Najib berkata kerajaan bersedia untuk dinilai oleh rakyat sama ada ia telah berjaya melaksanakan janji-janjinya kepada rakyat apabila sampai masanya kelak."Dalam sistem demokrasi berparlimen, kalau rakyat buat kesimpulan bahawa kita ini tidak dapat memenuhi janji kita kepada rakyat, kita sedar risikonya. Tetapi sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kita reda dinilai dan ditentukan oleh rakyat apabila sampai masanya. Inilah sebenarnya komitmen ikhlas kita kepada rakyat."


Ketelusan kerajaan juga boleh dilihat melalui kesediaannya mendedahkan Laporan Tahunan Pelan Hala Tuju GTP yang boleh dilihat sendiri oleh rakyat dalam menilai prestasi pentadbiran, kata Najib.Perdana Menteri berkata pelaksanaan GTP dan NKRA adalah metadologi baru yang diperkenalkan kerajaan seiring dengan pertukaran persekitaran.Bagaimanapun, katanya, metadologi baru itu bukan bermakna kerajaan hari ini adalah kerajaan baru, sebaliknya ia dirangka bagi memastikan kerajaan dapat mencapai matlamat-matlamat nasional, baik yang baru mahupun yang telah digariskan sebelum ini, termasuk Wawasan 2020 dan misi membasmi kemiskinan.


Beliau berkata tahun-tahun awal merdeka telah menyaksikan langkah berani, kreatif dan inovatif kerajaan khususnya dalam bidang pembaharuan tanah melalui pembukaan Felda, pembangunan sistematik kawasan luar bandar melalui sistem Bilik Gerakan serta kaedah Buku Merah, rancangan pembangunan lima tahun dan penggubalan dasar ekonomi yang bertunjangkan pembasmian kemiskinan juga pertumbuhan ekuiti."Hasilnya kita mencapai kemajuan sosioekonomi yang membanggakan. Tetapi bagi memastikan kejayaan itu berterusan, kita harus sentiasa berada di hadapan keluk perubahan dan pembangunan. Sebab itu hari ini dengan GTP, jika berjaya, bermakna Malaysia telah melakukan perubahan yang cukup besar dan sekali lagi kita berada di hadapan keluk perubahan," katanya.


Najib berkata bagi memastikan segala pendekatan dalam transformasi kerajaan itu dapat direalisasikan sepenuhnya, kerjasama semua pihak khususnya penjawat awam menjadi pra-syarat utama."Tetapi saya beri jaminan daripada Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Sidek Hassan) sehinggalah ke bawah semuanya komited pada program transformasi kerajaan ini."Buktinya apabila saya atau menteri turun ke makmal (NKRA), saya tengok pegawai-pegawai kerajaan yang bertugas di situ menunjukkan semangat yang luar biasa. Malah ada yang beri penerangan panjang lebar, tak henti-henti dan ada yang kata mereka bermesyuarat hingga pukul 5 pagi, sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini," katanya yang disambut tepukan gemuruh hadirin.


Perdana Menteri bagaimanapun mengingatkan penjawat awam selaku peneraju program transformasi berkenaan agar menggunakan pendekatan 'big and bold' dalam pelaksanaan program-program di bawah NKRA itu."Kalau dibuat secara pertambahan, rakyat tidak nampak 'big and bold' tetapi bila dua B ini digunakan, rakyat akan rasa akan adanya perubahan besar dan bermakna kepada sosio-ekonomi negara," katanya.Pelan Hala Tuju GTP yang dilancarkan Perdana Menteri pada Khamis turut didokumenkan dalam bentuk buku setebal 261 muka surat, 37 muka surat, 20 muka surat selain dalam bentuk cakera padat.


Berikut ialah antara intipati Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) untuk mengurangkan jenayah :


*Mengurangkan jenayah indeks keseluruhan jenayah jalanan sebanyak lima peratus bagi tahun 2010 hingga 2012.


*Mengurangkan kes kecurian ragut dan samun yang dilaporkan sebanyak 20 peratus untuk tempoh tahun yang sama (2010-2012) berbanding tahun lepas.


*Mempertingkatkan prestasi di seluruh sistem keadilan jenayah dengan menambahkan bilangan pesalah jenayah kekerasan yang dibawa ke muka pengadilan sebanyak 2,000 (2010-2012) berbanding tahun lepas.


*Mempertingkatkan persepsi awam tentang keselamatan.


*Menambahkan kepuasan awam terhadap polis atas unsur-unsur khidmat pelanggan.


*Penyingkiran bengkel-bengkel haram untuk tangani kes kecurian.


Kementerian Dalam Negeri selaku agensi yang terlibat secara penuh dalam usaha merancang pelbagai program dan pelan yang dirancang dilihat mampu menjayakan usaha kerajaan untuk mengurangkan jenayah.Jika dilihat pada usaha untuk pengurangan jenayah jalanan, kerajaan bercadang mewujudkan kehadiran polis di mana-mana dengan mengenalpasti 50 kawasan panas berlakunya jenayah di empat negeri - Kuala Lumpur, Johor, Selangor dan Pulau Pinang.


Selain itu, kerajaan bercadang untuk menempatkan 500 kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan panas untuk mencegah penjenayah dan untuk membolehkan polis mengenal pasti pesalah. Kebanyakan daripadanya akan dihubungkan kepada bilik kawalan daerah untuk membolehkan tindak balas segera.Bagi mencapai KPI untuk mengurangkan kes kecurian kenderaan, ragut dan samun, kerajaan bercadang untuk menyingkirkan bengkel-bengkel haram yang bertindak sebagai saluran kepada penjual pasaran gelap alat ganti kenderaan yang diceraikan.


Selain inisiatif itu, kerajaan juga bercadang untuk memberi ganjaran kepada pemilik-pemilik yang memasang ciri-ciri keselamatan yang dipentingkan di mana pemberi insurans digalakkan melaraskan premium insurans menurut ciri-ciri keselamatan yang dipasang.Ini bermakna premium yang lebih rendah bagi sesetengah pemilik, bergantung kepada ciri-ciri keselamatan yang dipasang dalam kereta, motosikal dan rumah mereka.Bagi mencapai KPI untuk mempertingkatkan prestasi di seluruh sistem keadilan jenayah, kerajaan merancang untuk melaksanakan hukuman khidmat masyarakat untuk mencegah kesalahan berulang khasnya bagi pesalah bawah umur dan pesalah kali pertama.


Selain inisiatif itu, langkah lain adalah mewujudkan mahkamah khas bagi jenayah jalanan supaya kes-kes ini dapat dibicarakan dengan lebih cepat lagi.Sementara itu, bagi mencapai KPI untuk mempertingkatkan persepsi awam tentang keselamatan ialah dengan menugaskan kembali pegawai kanan polis berpangkat Inspektor dan ke atas dalam tinjauan mesra di kawasan komersil, jalanan dan kawasan perumahan.Ini juga termasuk mengadakan inisiatif supaya kesemua kenderaan peronda polis (MPV) dan Polis Masyarakat (POLMAS) akan berhenti untuk berbual bersama orang awam selama 10 hingga 15 minit bagi setiap jam ketika rondaan biasa.


Langkah lain adalah memperbaiki dan memperluas program 'Feet on Street' dengan membuat rondaan bersama sukarelawan polis, Rela dan Jabatan Pertahanan Awam di kawasan panas dan meyakinkan masyarakat tentang keselamatan bersama.Dalam usaha menambahkan kepuasan awam terhadap polis atas unsur-unsur khidmat pelanggan, kerajaan bercadang untuk menambah jumlah pegawai dan anggota polis di Jabatan Siasatan Jenayah seluruh negara.Selain itu, kerajaan juga merancang untuk membenarkan orang awam melaporkan kejadian jenayah kepada polis yang membuat rondaan bagi memudahkan laporan disiapkan dengan cepat tanpa perlu ke balai.



Secara keseluruhannya, segala bidang tumpuan yang dirancang kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri untuk mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang disasar di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) memerlukan kerjasama semua pihak termasuk rakyat sendiri.Ini kerana akhirnya rakyat sendiri yang akan menilai sejauh mana KPI itu mampu dicapai untuk mewujudkan kerajaan yang telus dalam setiap perkara yang dirancang dan dilakukan.Lokasi tempat beribadat dan isu yang berbangkit daripada perkahwinan campuran yang begitu sensitif dan memerlukan perhatian dalam pelan hala tuju 1Malaysia.


Menurut pelan hala tuju dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis, usaha berterusan diperlukan bagi mengembangkan zon merangkumi semua supaya mekanisme yang dapat diterima berada di tempatnya bagi menangani pertikaian yang timbul.Usaha perlu dilakukan bagi menggalakkan persefahaman yang lebih baik dengan memperluaskan zon merangkumi semua dengan mengadakan panel perunding mengenai keharmonian sosial dan perpaduan nasional di peringkat negeri dan persekutuan bagi menggalakkan persefahaman antara etnik dan antara kepercayaan.


Penyertaan semua rakyat Malaysia yang menganut semua kepercayaan dalam kerja amal masyarakat dan usaha kebajikan juga perlu digalakkan."Daripada hanya memberi tumpuan kepada perbezaan dan pertikaian yang berpotensi berlaku, kita perlu bersama-sama memanfaatkan masyarakat yang berbilang agama dan budaya," menurut pelan hala tuju itu.Menurut pelan hala tuju GTP itu, ia boleh dilakukan dengan meneroka potensi ekonomi dalam bidang pertumbuhan baru dalam kewangan Islam, makanan hahal dan produk kesihatan herba dan menggalakkan pelancongan keagamaan.Inklusif dalam konsep 1Malaysia perlu digalakkan dalam media agar mereka sensitif terhadap perasaan pelbagai masyarakat, menurut Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP).


Pelan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis menekankan kepada keperluan menyemai sikap profesionalisma kewartawanan dengan mengambil kira kepelbagaian latar belakang negara ini."Oleh itu meskipun penapisan adalah bertentangan dengan demokrasi, terdapat keperluan untuk memperkenalkan, memupuk serta mendalami komitmen terhadap profesionalisma kewartawanan, iaitu rasa tanggungjawab dan kawal diri dengan bersikap sensitif terhadap pandangan serta perasaan berbeza masyarakat pelbagai kaum di Malaysia," katanya.


Terdapat kebimbingan bahawa sesetengah penulis menyalahgunakan kebebasan bersuara dengan menggunakan bahasa serta meluahkan perasaan yang bersifat perkauman khususnya dalam media elektronik yang boleh membangkitkan reaksi berlebihan di kalangan masyarakat yang lebib besar.Pelan itu menyebut media cetak dan elektronik telah berkembang pesat dalam empat bahasa utama iaitu bahasa Malaysia, Cina, Inggeris dan Tamil manakala sisipan dalam bahasa Kadazan-Dusun dan Iban-Dayak disertakan dalam sesetengah akhbar bahasa Malaysia dan Inggeris di Sabah dan Sarawak.


Ketika akhbar bahasa Inggeris memenuhi keperluan pembaca daripada semua latar belakang etnik, akhbar bahasa Malaysia, Cina dan Tamil pula lebih memenuhi keperluan komuniti etnik mereka masing-masing.Ini telah menyebabkan rakyat Malaysia dari pelbagai etnik mempunyai pengetahuan mendalam dan ini merupakan satu kelebihan kepada negara.Bagaimanapun, pelan itu menyebut kaedah pelaporan dan penulisan berbentuk terlalu berpusatkan sesebuah etnik boleh memperkukuhkan lagi tembok perkauman daripada menggalakan persefahaman dan perpaduan.

Selasa, 26 Januari 2010

Kehilangan Enjin Jet TUDM Tiada Kaitan Pegawai Atasan

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menutup siasatan kes kecurian enjin jet F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan memutuskan tidak ada pegawai kanan pasukan itu terlibat dalam kes berkenaan. Kesimpulan itu dibuat setelah PAC mendapati tidak ada sebarang bukti yang boleh mengaitkan mana-mana pegawai kanan pasukan itu dalam kes berkenaan. PAC mendapati memang ada kelemahan dalaman (TUDM) berlaku tetapi tidak nampak ada penyelewengan di peringkat atasan.

PAC juga mengesahkan bahawa pemecatan seorang Brigedier Jeneral tahun lepas tidak ada kena-mengena dengan kes kecurian enjin jet berkenaan. Berdasarkan siasatan, kehilangan enjin jet itu bukan berlaku semasa penghantaran sebaliknya hilang dalam simpanan berdasarkan tiada rekod penghantaran keluar. Enjin jet itu didapati hilang daripada Bangunan Material Processing Shed (MATRA 1), Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi di mana kedua-dua enjin jet pejuang disimpan. Berdasarkan itu PAC tidak menafikan kemungkinan kes itu membabitkan kecurian terancang dengan kerjasama orang dalam. Ini melibatkan orang yang memang berniat untuk mencuri dan telah merancang rapi, telah mengkaji kelemahan dalaman dan menggunakan kelemahan itu untuk mengeluarkan barang-barang tersebut.


MATRA 1 menyimpan lebih 400 ribu alat ganti dan peralatan milik TUDM. Bagaimanapun, berdasarkan siasatan tidak ada peralatan lain yang hilang daripada tempat simpanan berkenaan. TUDM sedang menambah baik sistem pentadbirannya termasuk sistem pengurusan asetnya, daripada sistem manual kepada perkomputeran sepenuhnya bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berulang lagi. Nilai enjin jet berkenaan adalah kira-kira RM300,000 setiap satu dan bukannya RM50 juta seperti yang dilaporkan sebelum ini oleh pihak yang tidak vbertanggungjawab.

Media baru-baru ini melaporkan kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E yang dikatakan hilang sejak 2007 dan dijual kepada sebuah syarikat antarabangsa luar negara. TUDM mula mengoperasikan pesawat F-5E itu pada 1974, dan pada 1999 perkhidmatan pesawat itu ditamatkan dengan tugas sebagai pesawat tempur barisan hadapan diambil alih oleh pesawat MiG-29N dan F/A-18D. Bagaimanapun, pada 2003 pesawat itu diaktifkan semula sebagai pesawat latihan dan tinjauan bagi menampung keperluan semasa.

Awal bulan ini, seorang anggota tentera udara berpangkat sarjan dan seorang ahli perniagaan yang juga pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya berhubung kehilangan dua enjin pesawat itu. Kerajaan kini berusaha untuk mendapatkan kembali kedua-dua enjin itu yang dikesan di Uruguay.

Tindakan Ke Atas Kontraktor Jalan Raya Abai Keselamatan Pengguna

Kerajaan Sarawak meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil tindakan terhadap kontraktor yang mengabaikan aspek keselamatan pengguna ketika melakukan kerja-kerja pembaikan jalan raya di negeri ini. Ramai kontraktor yang melaksanakan projek membaiki dan menaiktaraf jalan raya di negeri Sarawak mengambil mudah aspek keselamatan dan gagal memberi amaran secukupnya kepada pengguna jalan raya. Ada kontraktor tidak meletakkan papan tanda atau pagar mahupun lampu pada persekitaran jalan yang sedang dibina atau diperbesarkan bagi memberi amaran kepada pengguna jalan raya menggunakan jalan itu, sikap sedemikian tidak boleh diterima memandangkan ia melibatkan nyawa orang ramai. Di Australia misalnya walaupun ianya melibatkan pembaikan lopak kecil di jalan raya, kontraktor diarah untuk memasang pagar dan lampu dengan segera supaya pemandu mengetahui ada proses pembinaan berlaku.

Khamis, 14 Januari 2010

Sarawak Berazam Sifar Setinggan Melalui Tiga Strategi Perumahan

Kerajaan negeri melalui Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar mahu menjadikan negeri ini sebagai negeri "sifar" setinggan melalui tiga pendekatan program pembangunan perumahan sejajar dengan teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah.

Menteri berkenaan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata terdapat kira-kira 10,000 penempatan setinggan di seluruh Sarawak yang kebanyakannya di kawasan bandar utama seperti Miri (kira-kira 4,000), Bintulu (3,000), Kuching (1,800) dan Sibu. "Kita mahu jadikan negeri ini sifar setinggan melalui tiga pendekatan projek perumahan," katanya dalam temuramah eksklusif dengan Bernama di sini.

RUMAH KEKALKAN TRADISI KAMPUNG

Beliau berkata pendekatan pertama ialah melalui program Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang mengutamakan kepada usaha untuk menyusun atur semula kampung-kampung tradisi tanpa menjejaskan budaya kehidupan kampung.Melalui program RMR, masyarakat kampung terutama yang berpendapatan rendah berpeluang memiliki rumah yang lebih baik serta dapat tinggal dalam persekitaran yang mempunyai frasarana yang lengkap.

Menurut beliau kementerian melalui Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) juga memberi jaminan RMR akan memastikan konsep hidup ataupun budaya kampung akan dikekalkan kerana perpaduan merupakan asas kepada kesejahteraan hidup masyarakat negeri ini."Dalam program RMR kita mahu wujudkan persekitaran hidup kampung tradisi yang lebih mesra melalui pendekatan pembesaran kampung yang lebih terancang tanpa merosakkan budaya masyarakat di kawasan terbabit," katanya.

Di bawah program RMR, tumpuan utama ialah kawasan bandar dengan membaik pulih kampung-kampung sedia ada secara membesarkan lagi kawasan kampung yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.Jelas beliau setakat ini program RMR mendapat sambutan yang baik di kalangan penduduk di samping banyak membantu golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah yang lebih baik.

RUMAH REKA BENTUK BARU

Abang Johari berkata kementerian melalui HDC turut merancang untuk meningkatkan lagi jumlah rumah mampu milik di negeri ini selain menampilkan reka bentuk rumah yang lebih menarik, luas dan mesra pengguna pada kadar harga berpatutan.Konsep rumah mampu milik yang sedia ada perlu diubah agar pembeli dapat tinggal dalam rumah selesa tanpa perlu membuat pengubahsuaian yang akan menelan kos yang tinggi pada masa akan datang. "Kita tidak mahu lagi projek perumahan mampu milik yang nampak berbaris-baris panjang serta sempit dengan reka bentuk yang kurang menarik," katanya.

Tumpuan HDC ialah kepada projek rumah mampu milik setingkat dan dua tingkat yang turut mempunyai kelengkapan frasarana yang lengkap serta mempunyai lebih banyak persekitaran hijau di sekeliling kawasan rumah. Penekanan juga kepada kemudahan seperti tempat riadah serta ruang untuk mengadakan majlis seperti kenduri ataupun aktiviti penduduk setempat. Ketika ini HDC mengenal pasti beberapa reka bentuk rumah yang sesuai dengan harga rumah mampu milik dan berharap ia dapat dilaksana dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

RUMAH PANGSA UNTUK BANDAR UTAMA

Kerajaan turut memberi perhatian kepada projek pembangunan rumah pangsa yang boleh mengatasi masalah kekurangan rumah di kawasan berpenduduk padat seperti kawasan bandar utama di negeri ini. Abang Johari berkata HDC dan beberapa syarikat swasta telahpun membangunkan beberapa projek rumah pangsa yang semakin mendapat sambutan baik penduduk negeri ini khasnya di kawasan bandar."Tumpuan utama projek rumah pangsa ialah untuk mereka yang berpendapatan bawah RM1,500 iaitu melalui konsep sewa sebelum mereka mampu memiliki rumah sendiri," katanya.

Penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar mendorong kepada permintaan yang tinggi bagi rumah di bandar-bandar utama seperti Kuching."Kebanyakan penduduk terbabit tidak mempunyai saudara mara di bandar dan tidak mempunyai pekerjaan tetap yang menyukarkan lagi mereka untuk membuat pinjaman perumahan."Saya yakin dengan adanya konsep sewa untuk rumah pangsa ini, mereka yang bergaji rendah dan tidak bekerja tetap berpeluang mempunyai tempat tinggal yang lebih baik," katanya.

SASARAN 50 RIBU UNIT RUMAH DALAM RMK-10

Sarawak menyasar untuk membina 50,000 unit lagi rumah di seluruh negeri ini termasuk 20,000 yang akan dibangunkan oleh pihak kerajaan.Abang Johari berkata kerajaan juga menetapkan syarat kepada pemaju perumahan yang ingin membangunkan projek perumahan di kawasan lebih 4.4 hektar (10 ekar) perlu menyediakan 30 peratus untuk projek rumah mampu milik. Dalam pada itu, Sarawak meletakkan harapan tinggi agar kerajaan pusat menyediakan peruntukan yang secukupnya untuk pembinaan lebih banyak rumah bagi kumpulan berpendapatan rendah di negeri ini dalam RMK-10.

SISTEM PENGANGKUTAN AWAM AKAN DIROMBAK

Abang Johari juga berkata sistem pengangkutan awam terutama di kawasan bandar utama di negeri ini akan dirombak semula untuk memastikan mutu perkhidmatan dapat ditingkatkan. "Kami bukan sahaja mahu menyediakan pengangkutan awam yang baru malah sistem pengurusan perjalanan pengangkutan awam yang lebih bersepadu dan praktikal dengan mengguna teknologi seperti GPS (Sistem Penentu Posisi Global)," katanya.

Sebagai permulaan kerajaan berusaha menaik taraf kemudahan frasarana pengangkutan awam di Kuching dengan pembinaan Kuching Central di Batu 6 Jalan Kuching-Serian yang dijangka siap tidak lama lagi. Selain pembinaan Kuching Central, beberapa lagi hub mini untuk pengangkutan awam akan dibina di beberapa kawasan strategik di bandar raya Kuching.

Ketika ini orang ramai kurang menggunakan perkhidmatan awam kerana beberapa faktor seperti masa perkhidmatan yang tidak konsisten dan bas yang uzur, katanya."Saya yakin selepas ini orang ramai akan kembali menggunakan bas, bukan sahaja golongan berpendapatan rendah malah kumpulan berpendapatan sederhana dan para eksekutif."Kami ada pendekatan baru yang mungkin tidak pernah diperkenal di bandar lain di negara ini," katanya.

Jumaat, 8 Januari 2010

Klinik 1Malaysia


Doktor swasta tidak perlu bimbang bahawa pendapatan mereka akan terjejas dengan kewujudan klinik 1Malaysia, kerana 50 klinik 1Malaysia yang diwujudkan di seluruh negara hanya akan menumpukan kepada pemeriksaan kesihatan yang biasa seperti memeriksa tekanan darah dan kandungan gula.


Sebenarnya mereka tidak terjejas sebab kes-kes daripada sini akan kita rujuk kepada mereka… umpamanya jika pesakit ada hubungan dengan mana-mana doktor swasta, kita akan rujuk kepada mereka. Tetapi ini memudahkan rakyat jelata untuk membuat pemeriksaan biasa seperti paras gula dalam darah, periksa tekanan darah kalau mereka hipertensi… untuk pemeriksaan lebih lanjut, mereka akan pergi ke klinik swasta atau hospital kerajaan.Ianya sebenarnya adalah win-win situation (keadaan yang memberi manfaat kepada semua)… rakyat mudah, dan klinik swasta pun akan dapat pelanggan seperti biasa.


Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai kebimbangan yang disuarakan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berhubung kewujudan klinik 1Malaysia yang dianggap boleh menjejaskan pendapatan mereka. Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai akan mengadakan sesi dialog dengan anggota MMA mengenai perkara berkenaan.


Perdana Menteri menegaskan bahawa klinik 1Malaysia, yang setakat ini 44 daripadanya sudah beroperasi di seluruh negara, diwujudkan untuk kepentingan rakyat. Beliau yang juga Menteri Kewangan, menganggap pencapaian Kementerian Kesihatan mewujudkan 44 klinik dalam masa dua bulan sebagai satu rekod dalam Bajet 2010 kerana sasaran untuk membuka 50 buah klinik 1Malaysia hampir dicapai dalam masa begitu singkat.


Mengenai cadangan untuk menambah bilangan Klinik 1Malaysia, pihaknya akan membuat penilaian berdasarkan sambutan dan kesan yang diperoleh melalui pendekatan perkhidmatan kesihatan menerusi klinik berkenaan. Kerajaan akan buat penilaian, jika mendapat sambutan hangat dan kesan yang begitu baik, kemungkinan boleh ditambah bilangannya. Tetapi biarlah kita buat penilaian dahulu sebab 50 buah klinik inipun bilangannya begitu besar, kerajaan juga perlu tentukan keberkesanan klinik dan pendekatan baru, dan daripada situ akan dibuat ketetapan.


Kebanyakan Klinik 1Malaysia terletak di kawasan bandar memandangkan di luar bandar terdapat 2,000 Klinik Desa sejak merdeka. Untuk 50 klinik, kerajaan peruntukan RM10 juta, tetapi RM10 juta ini bukan untuk bangunan, ianya adalah untuk penyediaan peralatan dalaman dan ubat-ubatan.


Klinik 1Malaysia amat menepati konsep 1Malaysia kerana ia benar-benar terbuka kepada semua kaum di negara ini terutama golongan berpendapatan rendah. Konsep Klinik 1Malaysia yang diperkenal dan dilaksanakan kerajaan bertujuan memastikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti di negara ini boleh dinikmati secara adil, saksama dan menyeluruh oleh semua rakyat, sejajar hasrat kerajaan. Dan akses untuk perkhidmatan kesihatan sedemikian mestilah pada kos yang paling minimum iaitu RM1, iaitu yang termurah di dunia atau boleh disifatkan sebagai hampir percuma. Selain itu, pesakit tidak perlu tunggu lama kerana Klinik 1Malaysia akan memberikan layanan pantas.


Dalam keadaan ini, Kementerian Kesihatan mendapat untung kerana boleh mengurangkan kesesakan di hospital kerajaan bagi mereka yang ingin mendapatkan rawatan asas. Klinik 1Malaysia akan beroperasi setiap hari, tujuh hari seminggu dan masa perkhidmatan adalah dari jam 10 pagi hinggga 10 malam dengan dikendalikan oleh kumpulan paramedik yang terdiri daripada Penolong Pegawai Perubatan dan Jururawat Terlatih.

BN bantu sekolah Cina, Tamil RM1 bilion

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mengabaikan kepentingan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) dalam sistem pendidikan negara. Kerajaan membelanjakan RM1 bilion setahun untuk membayar gaji guru sekolah berkenaan meliputi 90 peratus bagi SJKC dan 10 peratus SJKT. Jadi jika ada orang kata kerajaan BN tidak menyokong sekolah Cina, ianya adalah bohong. Beliau menegaskan ramai menteri termasuk Perdana Menteri telah memberi banyak bantuan.


SJKC dan SJKT menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan. Kerajaan bukan saja sokong tetapi juga membantu dari segi kewangan, tanah, bayaran gaji guru. Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, hanya memberi RM2 juta kepada sekolah aliran Cina di negeri itu tetapi ‘heboh seluruh dunia’.

Hormati Islam sebagai agama rasmi: Seri Paduka

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menitahkan semua pihak supaya sentiasa menghormati kesucian ajaran dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara, Seri Paduka yang memandang serius isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah Herald-The Catholic Weekly dan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung perkara itu, baru-baru ini juga meminta rakyat menghormati tempat ibadat agama masing-masing tanpa mengira kaum. Seri Paduka amat berharap semangat perpaduan dan hormat menghormati antara kaum dan agama yang menjadi tunjang kekuatan negara sentiasa dijaga.


Selain itu, baginda menitahkan semua pihak, terutama umat Islam bertenang berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan penggunaan kalimah Allah.Memandangkan kerajaan sedang mengambil langkah perlu, semua pihak diminta menghormati kesucian ajaran dan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia seperti termaktub dalam perlembagaan. Bagi menjamin suasana aman dan harmoni di antara penganut yang berlainan agama, maksud dan rujukan kalimah Allah dalam konteks umum hendaklah menepati sifat yang ditetapkan oleh Islam kerana amalan ini sejak sekian lama diterima baik oleh semua penganut agama lain di Malaysia,” titah Seri Paduka.

Jumaat, 1 Januari 2010

Harga Gula Naik 20 Sen Mulai 1 Januari 2010

Harga runcit gula dinaikkan sebanyak 20 sen sekilogram iaitu RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak mulai 1 Januari 2010, demikian pengumuman Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Mohd Zain Mohd Dom. Kerajaan turut membuat keputusan tidak akan memberi subsidi bagi roti putih mulai 1 Januari 2010 dan barangan tersebut akan ditarik keluar dari skim kawalan harga.


Kenaikan harga gula sebanyak 20 sen itu perlu berikutan kenaikan harga gula mentah dunia dan kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM1.008 bilion setahun dengan kadar subsidi sebanyak 80 sen sekilogram. Subsidi bagi gula masih dikekalkan dan jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding tanggungan subsidi pada 2009 iaitu sebanyak RM720 juta setahun. Tetapi memandangkan harga gula mentah dunia telah naik dengan tinggi khususnya mulai bulan Ogos hingga hari ini, sebelum ini 14-16 sen US bagi satu satu paun, telah naik hingga 27 sen US, kerajaan perlu menaikkan harga gula. Jika tidak, tanggungan subsidi gula yang perlu ditampung oleh kerajaan akan meningkat kepada RM1.26 bilion bagi tahun 2010. Jumlah itu adalah berdasarkan anggaran penggunaan gula dalam negara pada tahun depan sebanyak 1.26 juta tan metrik.



Kenaikan harga runcit gula sebanyak 20 sen sekilogram itu secara relatifnya masih rendah berbanding negara-negara Asean yang lain iaitu Thailand RM2.50 sekilogram, Singapura (3.05), Indonesia (3.40) dan Filipina (3.62). Berdasarkan analisis kementerian, kesan kenaikan harga ke atas produk berasaskan gula adalah sangat minimum iaitu kira-kira 1 sen seperti bagi minuman dalam tin dan secawan teh tarik. Bagi minuman dalam tin, jika beratnya 325ml dengan anggaran kandungan gula 39 gram dan secawan teh tarik dengan anggaran kandungan gula 40 gram, kesan kepada kos kepada kedua-kedua barangan itu ialah 0.8 sen. Tertinggi ialah krimer pekat manis, jika beratnya 505 gram dengan anggaran kandungan gula sebanyak 228 gram, kesannya ialah 4.6 sen iaitu kurang daripada 5 sen.



Sehubungan itu, kementerian akan mengadakan perbincangan dengan persatuan tertentu bagi memberi nasihat agar tidak menaikkan harga barangan berasaskan gula kerana kesannya sangat minimum. Pegawai penguatkuasa dan pegawai pemantau harga juga akan turun padang untuk melihat keadaan harga barangan yang berasaskan gula, dan jika ada kenaikan harga yang begitu tinggi, pihak kementerian akan menasihatkan agar tidak berbuat demikian.



Bagi roti putih pula, peniaga boleh menaikkan harga mulai 1 Januari 2010 berasaskan pertimbangan mereka.