Jumaat, 25 September 2009

Penguatkuasaan Secara Elektronik Untuk Kurangkan Kelajuan Dan Kemalangan Jalan Raya

Kelajuan itu membunuh tetapi fakta itu tidak dapat menimbulkan rasa serik di kalangan para pemandu rakyat negara ini jika dilihat secara relatif dengan bilangan kes kemalangan yang tinggi akibat kecuaian semasa memandu.Hampir setiap hari media melaporkan mengenai kemalangan ngeri di Malaysia. Menurut Kementerian Pengangkutan, lebih daripada 7,000 hingga 7,500 orang terbunuh setiap tahun di atas jalan raya dan lebuh raya di negara ini setiap tahun antara 2001 dan 2007, jumlah yang agak tinggi memandangkan bilangan penduduk di negara ini hanya 27 juta orang.
Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat berkata memandu melebihi had laju biasanya menyumbang 60 hingga 70 peratus kepada kemalangan. Satu kajian oleh Institut Pentadbiran Sains Antarabangsa dua tahun lalu mendapati bahawa kelajuan telah dikenalpasti sebagai faktor risiko utama dalam kecederaan di jalan raya yang mempengaruhi kedua-dua risiko kemalangan jalan raya dan kecederaan teruk akibat daripada kedua-dua faktor itu. Kelajuan yang tinggi membawa kepada risiko nahas di jalan raya dan kemungkinan besar menyebabkan kecederaan serius, jika ia berlaku. Ini kerana, dengan meningkatnya kelajuan, begitu juga dengan jarak perjalanan dengan reaksi masa pemandu dan jarak perjalanan yang memerlukan beliau berhenti. Dan begitu juga dengan kelajuan yang tinggi, kesilapan pemandu juga lebih besar.Apa yang menarik, sebab yang biasa dilaporkan atau alasan di kalangan pemandu di negara ini apabila mereka terbabit dalam kemalangan adalah: "Saya hilang kawalan kenderaan saya."
Jarang sekali pesalah jalan raya ini akan mengaku bahawa mereka memandu laju. Dari segi perbandingan, amatlah mudah menyalahkan orang lain atau perkara lain kecuali diri sendiri. Kemungkinan sikap memandu mungkin berubah jika terdapat penguatkuasaan dan pemantauan yang efisyen menerusi kaedah elektronik 24 jam bagi menyaman pemandu di kawasan-kawasan strategik tanpa rasa takut dan bimbang, dan dengan itu juga dapat menghapuskan kecenderungan untuk rasuah. Satu lagi perkara yang boleh diberi perhatian ialah mengenai kadar denda kerana memandu laju, yang secara perbandingannya adalah mampu dijelaskan menyebabkan usaha itu terhalang. Di Malaysia, denda RM300 dikenakan bagi memandu laju sudah pasti jauh berbeza daripada penalti maksimum sebanyak RM19,290 di Perancis atau RM12,860 di Portugal. Di Singapura, mereka yang bersalah kerana memandu laju didenda RM490, di Filipina RM370 dan di Thailand RM1,040. Di negara-negara lain, yang mungkin menyebabkan para pemandu berfikir dua kali mengenai memandu laju ialah Britain (RM1,880), Jerman (RM2,190), Sweden (RM2,210), Australia (RM3,040), Amerika Syarikat (RM4,710) dan Itali (RM7,370).Menurut Laporan Keselamatan Global Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengenai Keselamatan Jalan Raya 2008 menunjukkan bahawa Malaysia, dengan 16.8 juta kenderaan yang berdaftar pada 2007, secara puratanya 3.7 kematian akibat kemalangan jalan raya bagi setiap 10,000 kenderaan.
Ini menjadikan Malaysia mempunyai kadar kematian yang tertinggi bagi setiap 10,000 kenderaan di Asean memandangkan Indonesia mempunyai kadar 2.6, Singapura (2.5), Filipina (2.1) dan Brunei Darussalam (1.8).Untuk menyedapkan hati, sebenarnya kadar kematian itu telah dikurangkan agak banyak selepas Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Kementerian Pengangkutan, ditubuhkan beberapa tahun sebelum ini, memandangkan kadar kematian pada 1996 ialah 8.2 bagi setiap 10,000 kenderaan.Di kalangan negara maju, Amerika mencatatkan 1.7 kematian akibat kemalangan jalan raya bagi setiap 10,000 kenderaan, Australia (1.1), United Kingdom (1.0), Jerman (0.9) dengan Jepun dan Switzerland merekodkan kadar paling rendah iaitu 0.7.Malaysia telah menetapkan sasaran 2.0 kematian bagi setiap 10,000 kenderaan menjelang 2010.Mampukah kita mencapainya apabila para pengguna jalan raya tidak mempedulikannya?Sebagai contoh, kempen Ops Sikap yang sedang berjalan sekarang bagi mengurangkan bilangan kemalangan jalan raya.
Walaupun dengan kehadiran 2,000 anggota polis di sepanjang lebuh raya utama dan jalan utama, jumlah kematian antara 13 dan 24 Sept ialah 210 atau secara puratanya 17.5 kematian setiap hari. Dalam Ops Sikap pertama pada 2002 menyaksikan purata kematian ialah 14.9 orang setiap hari. Hari ini, kita masih berada dalam jumlah yang sama, jika tidak lebih tinggi.Ia adalah satu yang menakutkan apabila memikirkan bahawa hampir 18 orang mati akibat kemalangan jalan raya setiap hari semasa musim perayaan. Ini bermakna bahawa setiap sejam 20 minit, akan ada kawan seseorang atau anggota keluarga mati akibat kemalangan jalan raya. Sedangkan pada setiap musim perayaan, ia sepatutnya menimbulkan suasana ceria dan kemeriahan tetapi bagi banyak rakyat Malaysia, mereka juga terpaksa hidup dalam kesedihan dan kenangan pahit apabila kehilangan nyawa dan anggota di kalangan anggota keluarga mereka dan rakan-rakan dalam kemalangan yang berlaku semasa musim perayaan. Ini ditambah dengan beban menjaga mereka yang cedera dan tidak boleh lagi bekerja.
Adalah dianggarkan bahawa kemalangan jalan raya dam kesan daripadanya menyebabkan kerajaan menanggung hampir 2.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar. Bagi Malaysia, ini menyumbang kepada hampir RM9 bilion setiap tahun daripada KDNK iaitu kira-kira RM523 bilion.Pelan tindakan lima tahun Kementerian Pengangkutan yang diputuskan Kabinet pada 15 Mac, 2006 telah menggariskan sembilan strategi bagi menangani keselamatan jalan raya dengan mensasarkan bidang pendidikan, penguatkuasaan, kejuruteraan dan alam sekitar.Yang paling utama dalam pelan ini ialah menjadikan Malaysia setanding dengan amalan terbaik di peringkat dunia dalam keselamatan jalan raya menjelang 2010.
Satu daripada strategi utama ialah penggunaan kaedah teknologi terkini bagi membantu dalam soal penguatkuasaan yang lebih berkesan. Dalam menangani jumlah kematian yang tinggi di jalan raya, Jabatan Pengangkutan Jalan telah mula meneliti pelbagai pilihan yang membawa kepada jalan raya yang lebih selamat termasuk penggunaan teknologi yang lebih baik untuk mengawasi pemandu yang degil.Mungkin Malaysia perlu melihat kepada contoh di Britain. Berikutan penggunaan teknologi bagi penguatkuasaan yang lebih efisyen, Britain mencatatkan penurunan 42 peratus dalam kematian dan kecederaan serius dan penurunan 22 peratus dalam kemalangan yang menyebabkan kecederaan individu di kawasan di bawah pengawasan.Dengan rekod puratanya sebanyak 1,745 yang terbunuh atau mangsa yang cedera teruk setiap tahun, Jabatan Pengangkutan United Kingdom melaporkan bahawa ini bermakna ia dapat menjimatkan 258 juta atau RM1.5 bilion bagi masyarakat Britain bagi tahun kewangan 2003/04.Hasil yang sama juga berlaku di Perancis dan Jerman berikutan penggunaan kaedah automasi untuk mengawal kelajuan yang meningkatkan usaha pencegahan ke atas pesalah yang berpotensi dan mengurangkan kejadian melebihi had laju.
Pengawasan secara automasi dan penguatkuasaan juga menyumbang kepada penurunan dalam kelajuan dan bilangan mangsa yang cedera akibat kemalangan.Kaedah sedemikian merupakan satu kejayaan dalam bidang teknologi yang kerap menghasilkan keputusan yang memberangsangkan dan pada kos yang jauh lebih rendah memandangkan ia boleh berfungsi 24 jam.Para penyokong bagi penguatkuasaan yang efisyen berkata dengan kadar kemalangan yang relatif seperti yang digambarkan dalam musim perayaan sekarang, sudah tiba masanya Malaysia menilai mengenai pelaksanaan pengawasan secara elektronik bagi mengurangkan kematian secara besar-besaran di jalan raya di samping kehilangan nyawa dan harta benda dari segi ekonomi.

Cadangan Langkah Cegah Wanita Penan Daripada Penderaan Seks

Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (SWFC) Jumaat mencadangkan beberapa langkah pencegahan bagi mengelakkan penderaan seksual di kalangan wanita dan anak gadis kaum Penan kepada Kabinet negeri. Pengerusinya Datin Fatimah Abdullah berkata majlis itu mencadangkan program kesedaran undang-undang, keselamatan diri dan pendidikan seks dilaksanakan bagi mendidik dan memberi kesedaran di kalangan wanita dan anak gadis Penan mengenai hak mereka daripada segi undang-undang dan melindungi diri mereka daripada penderaan seksual. SWFC telah membincangkan dengan panjang lebar langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil bagi membantu dan mengelakkan wanita dan anak gadis Penan daripada eksploitasi seks. SWFC ingin membela mereka dan memperbaiki taraf hidup mereka, dan mencadangkan kepada Biro Wanita Sarawak untuk menggiatkan usaha dalam pendidikan dan program kesedaran kesihatan di tempat-tempat yang berisiko tinggi.
SWFC, sebuah badan penasihat kepada kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan mesyuarat hari ini kepada Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya. Laporan Jawatankuasa Bertindak itu antara lain menyatakan kebergantungan kepada kenderaan syarikat-syarikat balak untuk berulang-alik ke sekolah dari rumah panjang mereka menyebabkan anak-anak gadis kaum Penan terdedah kepada penderaan seksual.Laporan itu mendakwa sekurang-kurangnya lapan kes rogol dan mencabul kehormatan kanak-kanak perempuan kaum Penan oleh pekerja syarikat. Bagi mengurangkan kebergantungan anak-anak kepada kenderaan syarikat pembalakan untuk ke sekolah, SWFC mencadangkan agar Kementerian Pelajaran menyediakan kenderaan pacuan empat roda bagi sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman, yang hanya boleh dilalui melalui jalan balak. Majlis juga bersetuju dengan cadangan Jawatankuasa Bertindak supaya lebih ramai Pembantu Pengurusan Murid dilantik untuk mengiringi anak-anak Penan ke sekolah.

Ahad, 20 September 2009

PM Seru Rakyat Perkukuhkan Muhibah Dan Hapuskan Prasangka

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru umat Islam dan rakyat Malaysia memperkukuhkan semangat muhibah dan memecahkan benteng-benteng prasangka demi masa depan generasi muda. "Marilah kita memanfaatkan hari perayaan sebegini untuk memulihkan dan memperbaiki hubungan yang telah dingin dan retak sesama kita umat Islam dan juga sesama kita rakyat Malaysia," katanya dalam perutusan Aidilfitri.



Beliau mengajak rakyat memperbaiki jambatan yang sedia ada dan membina rangkaian jambatan-jambatan persefahaman yang baru. Pecahkan benteng-benteng prasangka, kebencian dan ketidakpedulian yang ada demi masa depan lebih baik untuk anak-anak kita. Umat Islam Malaysia harus menjadi pembawa obor perpaduan dan kemajuan, dan selaku kaum majoriti di negara ini, mereka bukan sahaja mempunyai hak tetapi yang lebih penting, mereka mempunyai tanggungjawab untuk digalas, katanya.

Beliau juga menggalakkan tradisi rumah terbuka diteruskan bukan sahaja untuk membuka pintu rumah tetapi juga "pintu hati" kepada semua termasuk mereka yang bukan beragama Islam. Konsep rumah terbuka yang diamalkan selama ini menjadi manifestasi tuntas kepada gagasan 1Malaysia. Teruskan tradisi yang mulia ini kerana kita semua adalah sebuah keluarga besar. Keluarga 1Malaysia. Umat Islam di negara ini mempunyai banyak sebab untuk bersyukur kerana dapat hidup dalam sebuah negara yang merdeka dan diberkati keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan dalam suasana majoriti umat Islam di seluruh dunia hidup tertekan baik dalam politik, ekonomi atau peperangan.Keadaan ini bukan terjelma secara sendiri tetapi "hasil pengorbanan darah, keringat dan air mata bapa-bapa kita", pejuang kemerdekaan dan pasukan keselamatan negara.

Walaupun sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan kepelbagaian, Malaysia telah berjaya menguruskannya menjadi pemangkin kepada kesatuan dan kemajuan. Sayangnya, ada pedagang dan penjaja kebencian yang cuba menafikan hakikat ini. Mereka cuba menanam ajaran tidak bersyukur dalam benak rakyat dalam usaha mencapai matlamat sempit ini. Mereka mendakwa bahawa semua kerajaan di dunia adalah sama baik, bahawa kemakmuran, keselamatan dan kemajuan boleh dicapai tanpa perancangan, usaha gigih dan pemantauan yang rapi. Jika dakwaan mereka itu benar, mengapa wujud perbezaan di antara negara yang maju dan mundur dan masih ada kebuluran dan berlakunya pembunuhan atas nama etnik.

Projek Mitigasi Banjir Kuching

Beberapa kawasan kerap banjir di sekitar bandar raya ini akan bebas daripada masalah itu setelah Projek Mitigasi Banjir Kuching yang meliputi Sungai Padungan Fasa Dua siap sepenuhnya pada Ogos tahun depan. Projek Jabatan Pengaliran dan Saliran (DID) yang menelan kos berjumlah RM18.4 juta itu merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk mengatasi masalah banjir di bandar raya ini.

Menteri Pembangunan Urbanisasi dan Pelancongan, Datuk Michael Manyin berkata, kerja mitigasi itu mungkin menyebabkan sedikit masalah dan kesulitan kepada orang ramai disebabkan penutupan beberapa jalan dan lencongan. Oleh itu, orang ramai diharap bersabar sehingga perlaksanaan fasa projek itu siap sepenuhnya tahun depan. Namun, kementerian beliau juga telah memaklumkan kepada pihak kontraktor untuk mengurangkan masalah sebanyak yang mampu.

Beliau juga telah mengarahkan DID agar bekerjasama dengan pihak kontraktor untuk menyediakan papan tanda yang berkenaan bagi kesenangan pengguna jalan raya. Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak juga telah mengumumkan bahawa kerajaan persekutuan telah bersetuju menyediakan peruntukan berjumlah RM50 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua untuk melakukan kerja-kerja mitigasi banjir di bandar raya ini.

Sementara itu, Perunding Ju-rutera Minsar Sdn Bhd, Ronald Chai berkata, setelah projek fasa kedua itu siap nanti ia akan menyalurkan air parit dengan lebih berkesan dan mengurangkan banjir kilat, terutamanya di kawasan Jalan Mendu. Kawasan tadahan itu yang meliputi 400 hektar mengalir menerusi Sungai Padungan ke Sungai Sarawak berdekatan Pasar Petanak.


Laluan sistem perparitan fasa dua itu adalah sepanjang Jalan Mendu, Jalan Ellis, Jalan Pinang dan Jalan Tan Sri Datuk William Tan. Projek itu apabila siap nanti dapat mencegah banjir kilat di sekitar Jalan Mendu terutama di Sekolah Rendah Chug Hua No5. "Namun jika banjir besar berlaku akibat limpahan air Sungai Sarawak, saya tidak pasti. Apa yang kita dapat lakukan adalah mengurangkan kesannya,” kata Chai.

Rakyat hendaklah renung usaha-usaha kerajaan selama ini

Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menegur sikap segelintir pihak yang menurut beliau hanya pandai mengkritik kelemahan kerajaan tanpa merenung usaha-usaha kerajaan selama ini demi kebaikan bersama. Rakyat negeri ini seharusnya bersyukur dan berasa bangga kerana memiliki pemimpin yang sentiasa mengambil berat soal kebajikan rakyat dan berusaha mencari jalan penyelesaian untuk mengurangkan penderitaan rakyat.

Perkara penting yang berlaku ketika ini adalah berkaitan dengan keadaan cuaca dunia yang telah berubah sehingga membawa pelbagai masalah kepada manusia dan rakyat Sarawak tidak terkecuali. Di Sarawak kita telah dilanda masalah jerebu dan kemarau panjang selepas kita mengalami banjir besar yang banyak merosakkan harta benda. Banyak mangsa menderita tetapi dengan bantuan kerajaan kesusahan dialami rakyat dapat dikurangkan. Oleh itu, renunglah apa yang telah dilakukan kerajaan kita untuk kita demi manfaat kita bersama. Jangan hanya mengkritik kerajaan sahaja seperti yang dilakukan sesetengah pihak, katanya dalam perutusan beliau sempena Hari Raya Aidilfitri 2009. Keamanan yang dikecapai rakyat hari ini adalah hasil perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan terdahulu dan harus dipelihara supaya keamanan kekal, sekali gus membolehkan rakyat menyambut setiap perayaan dengan meriah.

Rakyat negara ini amnya dan Sarawak khasnya sangat beruntung kerana mempunyai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempunyai kelayakan sebagai seorang pemimpin dan sentiasa mengambil berat masalah rakyat. Beliau sentiasa mencari jalan dan langkah-langkah membina untuk membantu rakyat tanpa mengira keturunan dan latar belakang agama. Tujuannya hanya satu mengurangkan beban rakyat, semenjak beberapa tahun lepas kerajaan pusat telah membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk mengatasi kesusahan rakyat.

Selain itu, kerajaan negeri juga telah berbelanja lebih dalam berbentuk ‘perbelanjaan kecemasan’ untuk rakyat bagi mengurangkan kesusahan yang dihadapi rakyat. Selama 46 tahun negeri ini menyertai Malaysia, Sarawak telah mengecapi pelbagai ‘keuntungan besar’ terutama daripada segi peruntukan ekonomi daripada kerajaan pusat. Peruntukan yang diterima itu telah membantu meningkat serta merancakkan pembangunan negeri ini, lebih-lebih lagi daripada segi kemudahan asas dan infrastruktur, seperti jalan raya yang menjadi penghubung antara kawasan bandar dan luar bandar. Secara tidak langsung ekonomi penduduk akan bertambah baik. Justeru itu rakyat harus bersyukur dengan segala yang dikecapi sekarang kerana walaupun berdepan pelbagai musibah, Hari Raya Aidilfitri masih dapat diraikan dalam suasana aman dan selesa.


Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam dan semoga hari lebaran tahun ini memberi makna kepada kita semua.

Khamis, 10 September 2009

Bantuan Khas RM500 Untuk Penjawat Awam Kumpulan Sokongan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Rabu mengumumkan berita gembira untuk 860,000 penjawat awam kumpulan sokongan iaitu pemberian bantuan khas kewangan RM500 bagi kumpulan itu. Bayaran khas kewangan itu akan dibuat dua kali iaitu RM250 dibayar sebelum Aidilfitri manakala bakinya pada bulan Disember. Keputusan ini diambil setelah mengambil kira kebajikan kakitangan awam dalam kumpulan ini terutama bagi meringankan beban kos persediaan musim perayaan dan juga persediaan persekolahan pada hujung tahun ini. Implikasi kewangan kepada kerajaan bagi bayaran itu adalah sebanyak RM430 juta.

Kabinet Lulus Dasar Khusus Untuk Kebajikan 10.5 Juta Kanak-kanak Malaysia

Dasar Kanak-kanak Negara dan Dasar Perlindungan Kanak-kanak Negara yang diluluskan Jemaah Menteri pada 29 Julai lepas merupakan penggubalan dasar yang khusus dan menyeluruh bagi kesejahteraan dan kebajikan 10.5 juta kanak-kanak di Malaysia.
Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dasar Kanak-kanak Negara menyokong dan melengkapi matlamat Dasar Sosial Negara dengan memberi hala tuju kepada semua pihak yang berkepentingan untuk memperdanakan kesejahteraan kanak-kanak dalam arus pembangunan negara.Ia merupakan dasar mengenai hak kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak agar dapat menikmati peluang dan ruang untuk mencapai perkembangan holistik dalam persekitaran yang kondusif.

Pernyataan dasar itu penting dan bertujuan melahirkan individu yang sihat, cergas, berilmu, inovatif, kreatif, berjati diri, berdaya saing, progresif dan mempunyai nilai-nilai murni, kata kementerian itu dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa. Secara amnya, enam objektif utama digariskan di bawah Dasar Kanak-kanak Negara iaitu setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup dengan diberi jagaan, pemeliharaan, kasih sayang, perkhidmatan kesihatan, sokongan dan bantuan sosial, selain setiap mereka termasuk kanak-kanak kurang upaya mempunyai hak untuk dilindungi daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi, dan seterusnya diberi habilitasi, rehabilitasi dan diintegrasi ke dalam keluarga dan masyarakat.

Dasar itu juga menetapkan bahawa kanak-kanak mempunyai hak untuk bersuara, menyertai dan melibatkan diri mengikut tahap keupayaan dalam perkara-perkara dengan kepentingan terbaik dan kesejahteraan mereka. Menurut kementerian, penyelidikan dan pembangunan mengenai kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan kanak-kanak dilaksanakan dari semasa ke semasa. Berdasarkan objektif itu, sebanyak 29 strategi dirangka dan disusun di bawah teras-teras utama Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak iaitu kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan penyertaan serta komponen advokasi serta penyelidikan dan pembangunan. Selaras dengan penggubalan dasar itu, kementerian menyediakan Pelan Tindakan Kanak-kanak Negara yang memperuntukkan program atau tindakan yang perlu dijalankan oleh pihak-pihak terlibat dalam tempoh tertentu iaitu jangka pendek, sederhana dan panjang.

Dasar Perlindungan Kanak-kanak Negara (DPKK) pula merupakan satu dasar yang mengandungi pernyataan mengenai prinsip perlindungan kanak-kanak selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) dan Akta Kanak-kanak 2001. PKK bertujuan memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi disamping menjadi pemangkin kepada kesedaran dan komitmen semua pihak termasuk setiap anggota masyarakat dalam melindungi kanak-kanak. Dasar itu penting memandangkan golongan ini merupakan kumpulan masyarakat yang perlu diberi perlindungan dan perhatian oleh ibu bapa, penjaga, masyarakat dan kerajaan agar mereka dapat berkembang dalam suasana persekitaran yang selamat dan sejahtera. Strategi turut dirangka di bawah dasar ini dengan mengambil kira tumpuan kepada aspek advokasi, pencegahan, khidmat sokongan serta penyelidikan dan pembangunan bagi memastikan objektif DPKK tercapai. Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-kanak juga disediakan dengan memberikan tumpuan khusus kepada tiga perkara iaitu Program Kesedaran Masyarakat, Kursus Perlindungan Kanak-kanak dan 'Template' Dasar Perlindungan Kanak-kanak.

Rabu, 9 September 2009

JPJ akan bertindak tegas terhadap ibu bapa yang membenarkan anak memandu kenderaan tanpa lesen

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak memberi amaran akan bertindak tegas terhadap pemilik kenderaan yang membenarkan anak-anak atau ahli keluarga lain memandu kenderaan mereka tanpa lesen. Ramai kalangan ibu bapa yang memandang remeh soal itu dengan meminjamkan kenderaan kepada anak-anak tanpa memikirkan aspek keselamatan. Ibu bapa yang membenarkan anak-anak memandu kenderaan mereka tanpa lesen boleh dikenakan hukuman maksimum denda RM1,000 dan penjara tiga bulan mengikut Seksyen 26(1)(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Tindakan ini telah dikuatkuasakan di Semenanjung Malaysia, namun belum ada lagi tindakan sama dikenakan kepada ibu bapa di Sarawak setakat ini tetapi JPJ akan mengambil langkah serupa pada masa akan datang.
Penunggang dan pembonceng motosikal dikenal pasti sebagai penyumbang terbesar kes kemalangan jalan raya di negeri dan negara ini. Daripada 40,000 kenderaan baru yang didaftarkan di bahagian Kuching pada setiap bulan, 18,000 adalah motosikal, tiada lagi alasan untuk tidak memiliki lesen motosikal selepas kerajaan mengumumkan bayaran mendapatkan lesen itu dikurangkan kepada RM211 mulai 1 September lalu. Bagaimanapun, JPJ belum lagi merancang untuk mengkaji semula had umur maksimum pemilik lesen kenderaan di negara ini. Pemilik kenderaan dinasihatkan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan memuaskan sebelum memulakan perjalanan balik kampung sempena perayaan ini.

Jumaat, 4 September 2009

Selesai isu insurans pihak ketiga

Persatuan Pengangkutan Lori Sarawak (SLTA) amat berharap isu insurans pihak ketiga untuk kereta-kereta bermotor dan kenderaan berat dapat diselesai dengan segera. Pengerusinya Jong Foh Jit berkata syarikat-syarikat insurans seharusnya mempercepatkan pembayaran semula premium lebihan yang dikenakan ke atas pelanggan bagi polisi kemalangan peribadi (PA) apabila mereka membeli insurans pihak ketiga.

Baru-baru ini akhabar tempatan melaporkan syarikat insurans telah memulangkan premium polisi PA kepada pelanggan mereka sebelum tuntutan bayaran semula dibawa ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia bulan lepas. Ini membuktikan syarikat insurans terbabit sedar mereka telah membuat kesilapan dan saya berharap syarikat yang membuat kesilapan sama akan memulangkan premiun kepada pemilik kenderaan atau lori.

Juga dipertikaikan kelewatan syarikat terbabit memulangkan premium polisi PA kepada pelanggan dan perlu menunggu sehingga perkara itu mahkamah. Bank Negara seharusnya memandang serius perkara itu bagi memastikan pelanggan tidak dieksploitasi oleh syarikat-syarikat insurans. Bulan Jun lepas Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin memberitahu Parlimen bahawa syarikat-syarikat insurans yang memaksa pelanggannya mengambil polisi insurans PA hanya untuk mendapatkan insurans pihak ketiga adalah tindakan yang bertentangan dengan dasar Bank Negara.

Mengenai perkembangan lain, persatuan itu telah memohon kebenaran dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) agar ahli-ahlinya dibenarkan menggunakan tayar celup yang memenuhi spesifikasi MS224, UNECE108/109, DOT dan FMUSS. Puspakom juga seharusnya tidak menetapkan lori mesti menggunakan tayar asli sebelum ia boleh dibawa ke sana untuk diperiksa.

SUPP Cawangan Bintangor Perlu Adakan Pemilihan Baru Sebelum 30 Oktober

Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) cawangan Bintangor yang digantung sejak tahun lepas, perlu mengadakan pemilihan baru menjelang 30 Oktober. Setiausaha Penganjur SUPP Datuk Peter Chin Fah Kui berkata jawatankuasa kerja pusat (CWC) parti memutuskan perlu diadakan pemilihan baru pada mesyuarat mereka bulan lepas. CWC juga telah melantik Datuk Peter Chin untuk mengetuai jawatankuasa bagi mengendalikan pemilihan itu. Beliau akan dibantu Timbalan Setiausaha Penganjur SUPP Datuk Francis Harden dan beberapa anggota CWC.

Mempunyai lebih 5,000 anggota berdaftar, cawangan itu dilanda krisis pada tahun lepas, selepas dua pemilihan diadakan yang melantik dua kumpulan pemegang jawatan. CWC parti SUPP kemudian membatalkan keputusan itu dan menggantung cawangan itu, menyebabkan Bintangor kehilangan hak untuk menghantar perwakilan ke persidangan perwakilan tiga tahun sekali (TDC) parti yang diadakan di Kuching pada November lepas. Bagaimanapun, keputusan itu tidak menjejaskan keputusan pemilihan sayap Wanita dan Pemuda cawangan itu yang menurut CWC telah dijalankan dengan betul.

Bagi pemilihan cawangan akan datang, mereka yang telah dipilih pada pemilihan peringkat cawangan tahun lepas, layak untuk bertanding dengan syarat mereka menjelaskan yuran keanggotaan menjelang 30 September ini. Sambil memberikan jaminan yang beliau akan cuba mengendalikan pemilihan itu secara adil dan saksama, Datuk Peter Chin mengingatkan anggota SUPP di Bintangor bahawa keputusannya kelak amat penting untuk memperkukuhkan kedudukan parti di kawasan itu. SUPP tewas di kerusi Meradong di Bintangor kepada DAP dalam pilihan raya negeri Sarawak pada 2006. Perpaduan ahli-ahli parti SUPP Bintangor dapat membantu untuk meningkatkan semangat perjuangan ahli parti untuk merampas kembali kerusi tersebut daripada Parti DAP.

Sambutan Hari Jadi TYT Sarawak Ditunda

Sambutan hari jadi ke-88 Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng tahun ini, yang sepatutnya diadakan pada 12 Sept di Bintulu, ditunda kepada 24 Oktober. Kerajaan Sarawak telah membuat keputusan itu sebagai menghormati bulan Ramadan. Oleh itu, hari kelepasan am 12 Sept ditukar kepada hari berkenaan. Sektor kerajaan, swasta, persatuan serta orang awam diminta untuk mengambil maklum mengenai perkara tersebut.

Pembangkang Perak Tak Hormat Perlembagaan Negara

Tindakan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak daripada pakatan pembangkang yang mengadakan mesyuarat menyerupai persidangan di sebuah hotel disifatkan ‘tidak menghormati’ perlembagaan dan sistem demokrasi negara. Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ahli-ahli DUN daripada pakatan pembangkang dilihat sengaja berbuat demikian untuk menjatuhkan kerajaan negeri yang sah ketika ini.

Lazimnya persidangan DUN boleh diadakan di mana-mana lokasi asalkan ia mendapat perkenan atau persetujuan daripada ketua sesebuah negeri. Merujuk kes di Perak, ia tidak menjadi satu kesalahan mengadakan mesyuarat menyerupai persidangan DUN di hotel (Hotel Heritage) asalkan Sultan Perak telah bersetuju dan mengeluarkan notis tarikh dan tempat persidangan diadakan. Tetapi jika tidak, maka ia dilihat sebagai ‘mencabar’ perlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen negara.

Tindakan ADUN pakatan rakyat berbuat demikian hanya untuk mewujudkan kekeliruan di kalangan rakyat. Jika mereka (ADUN Pakatan Rakyat) mengatakan kerajaan sekarang yang diketuai Datuk Seri Zambry Abdul Kadir tidak sah, maka mereka tidak perlu menghadiri persidangan yang dijalankan kerajaan negeri. Tindakan sedemikian adalah tidak bertanggungjawab dan mengadaikan hak rakyat yang mengundi mereka pada pilihan raya tahun lepas.