Ahad, 28 Jun 2009

Biasiswa Nasional JPA

Kerajaan akan mewujudkan pemberian biasiswa khas dikenali sebagai Biasiswa Nasional yang berasaskan kepada merit sepenuhnya oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mulai tahun depan. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata biasiswa tersebut akan diberikan kepada pelajar-pelajar terbaik yang layak dan tanpa mengira kaum. Biasiswa tersebut diwujudkan selaras dengan keputusan Kementerian Pelajaran untuk mengkaji semula pemberian biasiswa kerajaan. Kalau individu tersebut benar-benar layak untuk biasiswa itu, ia adalah atas keputusan mereka yang benar-benar terbaik, tanpa mengira kaum atau keturunan. Hanya mereka yang terbaik daripada yang terbaik layak untuk diberikan biasiswa ini. Inilah hasrat kerajaan supaya mendahulukan kepentingan rakyat. Kepentingan rakyat hendaklah diambil perhatian.
Najib memberitahu, Biasiswa Nasional tidak diperkenalkan tahun ini berikutan keputusan Kementerian Pelajaran untuk menghadkan jumlah subjek dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kerajaan akan umumkan tahun depan, lebih-lebih lagi kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pelajaran baru sahaja mengumumkan bahawa jumlah subjek yang boleh diambil oleh calon dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dihadkan kepada 10 subjek sahaja. Muhyiddin juga telah diberi mandat untuk menilai semula sistem pendidikan negara kerana pembangunan modal insan adalah pemangkin kepada pembentukan dan perkembangan ekonomi negara.

Model ekonomi baru yang diperkenalkan juga meletakkan pembangunan modal insan sebagai kriteria utama untuk mewujudkan pendapatan negara yang lebih kukuh. Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM90 juta di bawah pusingan pertama pakej rangsangan khusus bagi membina 90 buah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) manakala RM50 juta lagi diperuntukkan untuk kerja-kerja membaik pulih SJKC tententu. Usaha membaik pulih dan pembangunan SJKC ini adalah gambaran keyakinan kerajaan terhadap SJKC. Setiap tahun pula kerajaan membelanjakan RM1.8 bilion untuk saraan guru-guru SJKC dan ia merupakan jumlah yang besar.

Jangan sekali-kali lupa bahawa ini adalah sumbangan dan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap kebajikan kaum Tionghua di negara ini. Beliau juga usik Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew sewaktu beliau datang ke Malaysia baru-baru ini. Saya katakan di Malaysia ada SJKC, tapi di Singapura tidak ada. Kerajaan sedang dalam proses untuk mengiktiraf beberapa universiti di China bagi membolehkan kedua-dua negara memperolehi manfaat yang besar pada masa akan datang. Kalau kerajaan iktiraf universiti di China, kedua-dua negara akan beroleh manfaat yang sangat besar.

Hayatilah Konsep 1Malaysia

Gagasan '1Malaysia' perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini supaya tidak terpesong dengan dakyah parti pembangkang yang hanya mahu memperalatkan konsep itu demi kepentingan politik masing-masing. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata di sebalik gagasan itu terkandung hasrat pucuk pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mengutamakan kepentingan rakyat supaya negara kekal bersatu padu.
Rakyat pelbagai kaum dan keturunan, agama dan budaya akan dapat terus kekal di bawah lembayung BN, meneruskan segala usaha memajukan negara untuk menjadi negara maju. Ia satu gagasan yang penting untuk membentuk semangat kerjasama dan perpaduan tulen di kalangan rakyat. Gagasan yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya telah lama dijadikan asas dalam membentuk kerjasama dalam BN demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Konsep yang diperkenalkan BN itu ternyata terbukti banyak memberi faedah serta menjamin hak rakyat. Oleh itu, tidak harus wujud kelompok dalam masyarakat merasa terabai dan tidak menerima perhatian adil atau saksama dari kerajaan, katanya.
Pembangkang sengaja menceritakan segala kelemahan, membawa cerita tidak tepat selain pelbagai tuduhan terhadap kerajaan. Bagaimanapun, tiada siapa pun yang ada dalam negara kita tidak boleh menafikan kenyataan bahawa konsep atau pendekatan yang kita guna selama ini sebenarnya berjaya memupuk semangat kerjasama dan perpaduan. Juga dimaklumkan Pelan perancangan Rancangan Malaysia ke-10 (2011 hingga 2015) akan mengutamakan semua isu dan masalah rakyat semua kaum yang belum diselesaikan sebelum ini. Oleh itu marilah kita semua menghayati dan meneliti dengan mendalam lagi konsep 1 MALAYSIA.

RM277.5juta untuk membiayai pembinaan 3 jalan raya

Satu lagi berita baik buat Sarawak.......Kerajaan negeri semalam menerima peruntukan sebanyak RM277.5 juta daripada kerajaan persekutuan bagi membiayai tiga projek pembinaan jalan raya. Projek berkenaan terdiri daripada Jalan Isthmus dan Jalan Bau/Semadang, Bengoh-Bau di sini, serta Jalan Serdeng ke Kampung Rajang di Mukah. Peruntukan itu diterima oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan disampaikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah yang kini berada di Sarawak untuk lawatan kerja empat hari bermula 25 hingga 28 Jun ini.

Penyerahan itu dilakukan ketika rombongan pegawai-pegawai kanan Perbendaharaan melakukan kunjungan di pejabat Ketua Menteri di sini, semalam. Dana itu merupakan sebahagian daripada peruntukan khas sebanyak RM1 bilion diberi kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri. Peruntukan khas itu diumumkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menjadi Perdana Menteri pada tahun lepas. Aziz bersama rombongan dijangka mengadakan lawatan ke beberapa projek dibiayai kerajaan persekutuan di sini, Sri Aman, Betong dan Lubok Antu.

Rabu, 17 Jun 2009

Bersama Perangi Denggi

Kementerian Kesihatan meminta orang ramai segera bekerjasama dengannya bagi memerangi demam denggi memandangkan jumlah kematian akibat penyakit itu semakin meningkat dan pihak berkuasa kesihatan tidak berupaya membasmi penyakit itu secara bersendirian. Sambil melahirkan rasa bimbangnya, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata walaupun kementerian telah mengambil pelbagai langkah pencegahan, namun jumlah kes terutama yang melibatkan kematian, terus meningkat. Sejak awal tahun ini hingga sekarang, kementerian menerima laporan mengenai 22,000 kes demam denggi, yang melibatkan 57 kematian.

Peningkatan ini disebabkan oleh banyak faktor termasuk kesedaran orang ramai yang masih kurang. Mereka perlu tampil memberi bantuan. Februari lepas, Kementerian Kesihatan telah mengisytiharkan perang terhadap demam denggi. Sebaik saja mengenal pasti kawasan yang ada pentyakit ini, pihak kementerian akan masuk dan hapuskan nyamuk. Setiap orang perlu memainkan peranan dalam membersihkan kawasan. Jika kita bersihkan tempat yang boleh menjadi tempat ia membiak, saya rasa nyamuk tidak akan selamat.

Pada musim kemarau sekarang, orang ramai perlu berwaspada. Jentik-jentik boleh hidup selama enam bulan dalam longkang. Telur akan menetas apabila hujan. Musim kemarau sekarang adalah masa paling baik untuk menghapuskan denggi. Kementerian Kesihatan telah menubuhkan satu pasukan petugas dikenali sebagai COMBI bagi melatih sukarelawan serta menggunakan khidmat mereka untuk meyakinkan orang ramai tentang pentingnya mereka memberi kerjasama dalam memerangi denggi. Kementerian telah menjalankan pelbagai kempen kesedaran. Orang ramai boleh memainkan peranan mereka dengan pergi ke klinik apabila demam dan doktor pula perlu melaporkan kes berkenaan dengan segera kepada Kementerian Kesihatan.
Sebanyak 66 peratus penghidap denggi berjaya disembuhkan jika segera dirawat, dan ini terbukti kerana daripada 57 kes bahaya yang dilaporkan sebelum ini, 38 pesakit berjaya disembuhkan. Kementerian akan terus melawan penyakit ini walaupun kelihatan seolah-olah tewas. Kementerian Kesihatan ingin menegaskan sekali lagi tentang komitmen kementerian dalam memerangi denggi dan akan berusaha secara habis-habisan bagi mengawalnya. Dalam minggu pertama tahun ini, sebanyak 1,600 kes denggi dilaporkan tetapi menurun kepada 630 minggu lepas. Secara menyeluruh, dari 2003 hingga 30 Mei tahun ini, sebanyak 264,289 kes dilaporkan, 49 peratus daripadanya dicatat di Lembah Klang. Walaupun secara perbandingan, jumlah tahun ini lebih rendah berbanding tahun lepas, tapi jumlah kematian amat tinggi.

Namun demikian, kementerian tetap yakin mampu mengurangkannya dan pengurangan jumlah kes yang dilaporkan minggu lepas merupakan petanda baik ke arah ini. Dalam kaji selidik kementerian itu baru-baru ini, 90 peratus responden berkata mereka tahu tentang denggi, manakala 80 peratus lagi berkata mereka tidak dapat mengenal pasti tempat nyamuk aedes membiak. Bagaimanapun, apabila ditanya tentang penyertaan mereka dalam kerja kemasyarakatan, hanya 13 peratus berkata mereka sedia mengambil bahagian, manakala selebihnya enggan berbuat demikian kerana berpendapat kerja pembersihan perlu dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan kerana setiap tahun, mereka membayar cukai taksiran.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sendiri melahirkan kebimbangan yang amat mendalam tentang keadaan denggi di negara ini berikutan jumlah kematian yang dilaporkan sejak awal tahun ini. Menteri Kesihatan melaporkan keadaan tersebut kepada Kabinet dari semasa ke semasa dan cabaran paling besar ialah untuk menggerakkan orang ramai supaya sama-sama berusaha membanterasnya. Oleh itu sama-samalah kita bekerjsama dengan kementerian untuk perangi penyakit Denggi. Hapuskan Aedes, Hapuslah Denggi.....

Perdana Menteri Perjelas Konsep 1Malaysia

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15.6.2009 memberi penjelasan mengenai gagasan "IMalaysia" dari segi pelaksanaan dan penerapannya kepada masyarakat majmuk di negara ini serta bagaimana gagasan ini akan dapat lebih bermanfaat dalam menterjemahkan kejayaan Wawasan 2020. Sejak beliau mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada 3 April lepas, konsep 1Malaysia diketengahkannya dan perkara itu sering dibincang dan dibahaskan di kalangan rakyat di semua peringkat. Malah pihak pembangkang tidak membuang masa untuk memutarbelit dan mentafsirkan gagasan ini mengikut definisi mereka sendiri, semata-mata dengan niat mengelirukan rakyat.
1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru dan matlamat akhirnya iaitu perpaduan nasional juga merupakan wawasan utama pemimpin-pemimpin negara yang terdahulu, yang diterjemah dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan sepanjang lebih lima dekad negara merdeka. Dalam erti kata lain, 1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. 1Malaysia bukan satu pendekatan yang terpisah daripada dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara. Makanya, 1Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang menjadi pra-syarat bagi memastikan aspirasi negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 tercapai, jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.

Jika `Bangsa Malaysia' yang diilhamkan melalui Wawasan 2020 adalah matlamat akhir perjalanan ini, maka 1Malaysia adalah penunjuk haluan ke arah matlamat itu. Najib berkata perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dengan konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. 1Malaysia juga sangat berbeza daripada konsep "Malaysian Malaysia" parti pembangkang kerana 1Malaysia tidak menyimpang daripada ruh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada secara tersurat atau tersirat. Gagasan 1Malaysia, kekal menjunjung kesemua peruntukan teras yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Oleh yang demikian, janganlah mana-mana pihak berasa khuatir atau menaruh syak serta bimbang bahawa konsep ini akan terpesong daripada apa yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh bapa-bapa negara suatu ketika yang lalu. Sebaliknya 1Malaysia menghargai dan menghormati identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan. 1Malaysia menekankan sikap "penerimaan" di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar kita dapat hidup bersama dalam keadaan saling hormat-menghormati sebagai rakyat dalam satu negara. Ia adalah peningkatan ketara daripada sikap toleransi semata-mata.

Apa yang menjadi asas gagasan 1Malaysia adalah prinsip keadilan untuk semua kaum dan ini bermaksud nasib semua rakyat Malaysia akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil kira taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan. 1Malaysia merupakan penerusan agenda membina negara dan untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

Formula 1Malaysia yang digagaskan akan terlaksana dalam dua aspek utama dengan yang pertama ialah penerapan Teras-Teras Perpaduan manakala aspek kedua adalah penerapan Nilai-Nilai Aspirasi. Teras-teras perpaduan adalah tiga perkara iaitu pertama, sikap penerimaan antara semua kaum dan rakyat Malaysia; kedua, prinsip-prinsip kenegaraan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara; dan ketiga adalah keadilan sosial. Teras-teras perpaduan ini pula didokong oleh nilai-nilai murni yang perlu menjadi sebahagian daripada budaya hidup rakyat Malaysia termasuk nilai-nilai seperti hormat-menghormati, tawaduk, kesederhanaan dalam tingkah laku dan tuturkata serta kebijaksanaan dalam sebarang keputusan dan tindakan.

Aspek kedua formula 1Malaysia pula menekankan elemen-elemen yang perlu menjadi amalan mana-mana masyarakat yang ingin berdaya maju dan berjaya. Elemen-elemen itu merangkumi budaya kecemerlangan dalam melaksanakan semua tugas dan tanggungjawab; budaya ketepatan dari segi menghormati waktu serta meningkatkan kecekapan; keberanian untuk berinovasi dan meneroka peluang-peluang baru serta meritokrasi dalam memberikan tugasan kepada yang paling layak melaksanakannya berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan dasar negara. Selain itu, kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada tanah air tercinta; ketabahan dalam mengharungi sebarang cabaran yang mendatang dan integriti dalam segala urusan dan transaksi.

Pembudayaan nilai-nilai aspirasi ini akan menyerlahkan Masyarakat Malaysia yang berwibawa, dihormati dan disegani, bersesuaian dengan identiti sebuah negara bangsa yang maju dan berjaya. Najib berkata dalam melaksanakan komitmennya terhadap rakyat, kerajaan telah mengutarakan tema "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" sebagai sebahagian daripada konsep 1Malaysia. Tema ini membawa maksud bahawa di samping menekankan peri pentingnya perpaduan rakyat Malaysia, kerajaan juga akan memberikan keutamaan kepada isu-isu yang dianggap penting oleh rakyat. Kerajaan juga menekankan prestasi dan pencapaian oleh semua kakitangannya apabila berurusan dengan rakyat. Dalam kata lain, kerajaan amat memahami betapa pentingnya kecekapan dan kualiti perkhidmatan awam dalam meningkatkan mutu hidup rakyat, justeru itu pendekatan mesra-rakyat akan diberi keutamaan oleh semua agensi-agensi kerajaan.

Sehubungan itu, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) akan digunapakai dalam urusan kerajaan bermula dengan pemantauan KPI bagi semua menteri. Dan seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri ditugaskan khas untuk memastikan kelancaran pelaksanaan KPI dan menteri berkenaan akan memberi penerangan selanjutnya tentang KPI dan perancangan spesifik yang akan dilaksanakan bagi menterjemahkan hasrat kerajaan. Segala inisiatif-inisiatif ini diharapkan akan membawa perubahan yang nyata bukan sahaja kepada urusan pentadbiran negara, tetapi lebih penting ia akan membawa penambahbaikan kepada kualiti hidup rakyat Malaysia. Di atas segalanya, 1Malaysia `Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' diyakini akan menjana satu transformasi ketara, ke arah sebuah negara Malaysia yang maju, didokongi oleh rakyat yang utuh perpaduannya dan tinggi martabatnya pada pandangan dunia.

Ahad, 14 Jun 2009

5,000 Rumah Panjang Di Sarawak Akan Menyertai Kempen 1Malaysia

Kempen 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan diteruskan ke 5,000 buah rumah panjang di seluruh Sarawak, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim. Berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Gawai Dayak 2009 di Kuching, Rais berkata rakyat Sarawak tidak kira di mana mereka berada tidak akan terlepas daripada sama-sama untuk merealisasikan kempen 1Malaysia yang menjadi asas kepada perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.


Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan memastikan semua rumah panjang iaitu sebanyak 5,000 buah terlibat dalam program lanjutan seperti gawai malam ini melalui program yang akan diatur oleh pihak kementerian. Menurutnya sambutan MRTM Gawai Dayak 2009 yang bertemakan "1Malaysia Segulai Sejalai," merupakan satu anugerah kepada rakyat Malaysia di atas keistimewaan negara ini yang mempunyai penduduk pelbagai kaum, agama dan bangsa dengan perasaan keseronokan serta muhibbah pada ketika ini tidak dapat dirasai oleh kebanyakan penduduk negara lain.

Kementerian bersedia memberikan khidmat nasihat dan menghulur bantuan kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk aktivis budaya dan cendekiawan, yang ingin melaksanakan gagasan tersebut bagi menjayakannya. Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata sejak 1965 sambutan Gawai Dayak telah dinaikkan menjadi satu sambutan nasional oleh seluruh masyarakat berbilang kaum di Sarawak. Rakyat berbilang kaum di negeri ini perlu meneruskan sokongan dan kerjasama mereka dengan kaum lain di Malaysia untuk memastikan mereka kekal dapat terus maju bersama. Selepas 45 tahun kita merdeka dalam Malaysia, kaum di negeri ini telah dapat bersatu dan maju kehadapan walaupun agak sedikit perlahan, tetapi apa yang pasti identiti anak Sarawak tetap kita pertahankan. Langkah untuk mempertahankan dan memperkayakan lagi budaya masyarakat berbilang kaum di negeri ini akan diteruskan.

Kempen '1 Sarawak, 1 Harga' Atasi Beban Pengguna Luar Bandar

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan melancarkan kempen "1 Sarawak 1 Harga" bermula 1 Julai ini sebagai langkah untuk membantu meringankan beban pengguna di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak. Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pengguna di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak masih lagi menghadapi masalah harga barang yang tinggi termasuk harga barang kawalan yang telahpun diberi subsidi oleh pihak kerajaan seperti gula pasir, roti putih, petrol dan gas petroleum cecair (LPG).

Walaupun terdapat akta kawalan harga untuk mengatasi masalah kenaikan harga barang, namun penjual di kawasan pedalaman masih lagi menjual barang seperti gula dan petrol pada harga yang tinggi daripada harga subsidi dan ia pastinya tidak adil kepada pengguna di luar bandar yang turut melibatkan golongan berpendapatan rendah. Melalui kempen itu, satu daripada koperasi di sesuatu kawasan itu akan dipilih untuk menjadi pemborong kepada koperasi lain di kawasan terbabit dan segala kos pengangkutan barangan akan ditanggung oleh kerajaan.

Melalui kempen itu, harga barangan akan diseragamkan katanya dan menurutnya projek perintis kempen itu akan bermula di Daerah Serian di sini melibatkan 10 buah koperasi. Menurutnya jika projek perintis itu berjaya, ia akan diperluaskan ke kawasan luar bandar dan pedalaman lain di Sarawak dan juga Sabah. Konsep koperasi dilihat satu konsep yang baik kerana ia bukan menguntungkan sesuatu pihak sahaja sebaliknya kepada ahli koperasi yang biasanya akan menerima dividen dan rebat setiap tahun selain pengguna termasuk bukan ahli koperasi akan berpeluang menikmati harga barang yang sama seperti di bandar.

Sarawak mempunyai 498 koperasi dengan 413,125 anggota dan tahun lalu berjaya mencatat keuntungan sebanyak RM13.4 juta. Selain koperasi, kementerian juga akan melantik syarikat pemborong dan pembekal yang terpilih di sesuatu kawasan luar bandar atau pedalaman untuk menjadi pusat pengedaran utama kepada kedai-kedai runcit berdekatan. Kementerian akan cuba memastikan masalah harga barang yang tinggi di luar bandar dan pedalaman dapat segera diatasi sebelum tahun 2010.

Keadilan Untuk Semua

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tidak ada satu kaum atau wilayah pun akan ketinggalan daripada menikmati pembangunan menerusi gagasan 1Malaysia. Gagasan 1Malaysia menekankan penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum yang menerima keunikan kaum lain dengan satu matlamat untuk membentuk negara maju dan kukuh perpaduan. "Pengertian 1Malaysia daripada perspektif kerajaan ialah semua kaum wajar mendapat bantuan daripada kerajaan yang akan mewujudkan negara berpaksi kepada konsep keadilan sosial" katanya berucap dalam majlis Rumah Terbuka Malaysia Gawai Dayak di Stadium Perpaduan di Kuching pada 13 Jun 2009.



Najib yang pertama kali mengadakan kunjungan ke Sarawak selepas mengambil alih jawatan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, berkata kerajaan dalam melaksanakan pembangunan akan terus mengambil kira taraf kemajuan yang dicapai oleh sesuatu kaum atau kedudukan geografi penduduk.


Penduduk di pedalaman berbanding yang berada di bandar-bandar seperti Kuala Lumpur akan terus mendapat perhatian lebih agar mereka tidak terpencil daripada arus pembangunan. Berasaskan konsep inilah maka 1Malaysia mengutarakan prinsip keadilan untuk semua kaum. Ini membawa maksud bahawa nasib semua kaum termasuk kaum-kaum etnik di Sarawak akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Pada masa yang sama beliau mengucapkan tahniah kepada Taib kerana berjaya membangunkan Sarawak secara dinamik.

Terdahulu, Taib berkata masyarakat Dayak di Sarawak kini sudah muncul dengan identiti tersendiri di kalangan masyarakat Malaysia. Menerusi perayaan Gawai Dayak misalnya, kerajaan cuba menunjukkan pengiktirafan terhadap kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.
Dalam rancangan pembangunan, kerajaan tidak mengetepikan soal-soal ke-budayaan setiap etnik.

Majlis gilang-gemilang itu diselang-selikan dengan persembahan kebudayaan, ratu cantik Kumang Iban, Keligiti Orang Ulu, Dayung Temengun Bidayuh serta nyanyian daripada para pe-nyanyi Dayak. Bertemakan ‘1Malaysia, Segulai Sejalai’, majlis itu turut mementaskan drama mu-zikal ‘Simpang Impang’ yang mengisahkan seorang petani Iban oleh kumpulan daripada Kampung Budaya Sarawak.

Ahli Parlimen S’wak sentiasa menyuarakan permasalahan rakyat dalam Persidangan Parlimen

Perasaan beberapa Ahli Parlimen dari Sarawak terguris berikutan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan mereka sekadar berdiam diri ketika hadir ke Persidangan Dewan Rakyat. Tindakan Wan Junaidi itu mungkin mendatangkan persepsi negatif di kalangan orang ramai, terutama penduduk dari kawasan yang diwakili mereka. Ahli-ahli Parlimen dari Sarawak akan membincangkan bentuk tindakan yang akan diambil. Mereka tidak akan berdiam diri.

YB Wan Junaidi dalam kenyataan yang disiarkan akhbar pada Jumaat lepas, seolah-olah memberi pujian kepada Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen daripada parti pembangkang. Wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN) juga melaksanakan peranan seperti yang sepatutnya.

Ditemui pemberita selepas satu majlis pada Khamis lepas, Wan Junaidi berkata peranan Ahli Parlimen bukan sekadar menghadiri persidangan untuk memenuhi kerusi dewan tetapi turut serta dalam memberi pandangan untuk kepentingan rakyat. “Ahli Parlimen dari Sarawak kurang lantang dan agresif dalam persidangan berbanding Ahli Parlimen dari Semenanjung Malaysia dan Sabah. “Selaku wakil rakyat anda seharusnya turut serta dalam membincangkan perkara-perkara yang dibangkitkan dalam Dewan. Kalau hanya duduk dan mendengar buat apa?,” kata Wan Junaidi dipetik sebagai berkata dalam laporan sebelum ini.

Akan tetapi Wakil Rakyat BN Sarawak tidak pernah ketinggalan berucap dalam Persidangan Dewan Rakyat. Orang ramai mungkin percaya dengan kenyataan Wan Junaidi memandangkan ucapan atau perbahasan mereka tidak disiarkan dalam televisyen atau dilaporkan dalam akhbar. Suara Ahli-ahli Parlimen dari Sarawak ketika berucap mungkin tidak selantang dan seagresif seperti rakan-rakan dari Sabah. Ini memungkin kehadiran mereka dalam Dewan kurang disedari dan tidak menarik perhatian media.

Mereka mempunyai cara tersendiri dan tidak perlu terikut-ikut dengan gaya Ahli-ahli Parlimen dari Sabah dan pembangkang. Dengan cara tersendiri (tidak lantang dan agresif) intipati perkara yang hendak disampaikan masih juga dapat didengar. Masalah penduduk di kawasan yang diwakili mereka katanya tidak pernah diabaikan pada Persidangan Dewan Rakyat. Malah Wakil Rakyat BN mengakui kehadiran utama mereka di Dewan Rakyat adalah untuk menyuarakan masalah rakyat agar sampai ke perhatian kera-jaan dan seterusnya tindakan selanjutnya dilaksanakan.

Selain daripada itu, Ahli Parlimen BN dari Sarawak juga terbabit dalam perbahasan dan ada kala mencelah terutama apabila perbincangan menyentuh mengenai Sarawak. Tetapi jika peluang untuk berbahas tidak ada bagaimana hendak berucap dalam persidangan. Ahli Parlimen yang hadir dalam persidangan bukan sedikit tetapi melebihi 100 orang. Mengenai liputan media, lazimnya wartawan lebih tertarik dengan isu-isu hangat seperti kritikan terhadap kerajaan.
Media kurang tertarik, jika sekadar menyentuh isu pembangunan yang diperlukan sesebuah kawasan.

Juga dipertikaikan kenyataan Wan Junaidi akan bertambah buruk jika pembangkang sengaja membesar-besarkan isu berkenaan untuk meraih sokongan politik terutama menjelang pilihan raya kelak. Apa yang lebih merisaukan ialah apabila orang ramai menganggap Wakil Rakyat BN sebagai wakil rakyat yang tidak menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan oleh para pengundi.

Ahad, 7 Jun 2009

Basmi Iklan Ah Long

Dewan Banda-raya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) digesa lebih tegas melakukan penguatkuasaan bagi membasmi iklan-iklan syarikat pinjaman wang tanpa lesen atau ah long yang ditampal secara haram di tempat awam seperti perhentian bas, tiang telefon, lampu jalan dan papan tanda ‘mencemar’ pemandangan.

Dalam pada itu, pegawai majlis perbandaran yang ditemui memberitahu, semua iklan yang dipamerkan dalam kawasan bidang kuasa majlis tempatan perlu memohon permit. Bagaimanapun, kebanyakan iklan ah long yang ditampal di kawasan kemudahan awam bukan hanya tidak mempunyai permit, malah tidak menepati standard sehingga mencacatkan pandangan terutama dengan penggunaan kad dan kertas kecil serta papan.

Majlis perbandaran perlu mengambil langkah drastik memusnahkan iklan-iklan tanpa permit yang ditampal sesuka hati oleh ah long di kawasan awam untuk menarik perhatian peminjam menggunakan perkhidmatan mereka. Masyarakat juga dinasihatkan tidak mendekati ah long untuk mendapatkan pinjaman segera sebaliknya menggunakan kemudahan yang disediakan oleh institusi kewangan seperti bank dan koperasi. Peminjam memang terpaksa memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan oleh institusi kewangan berlesan dalam urusan membuat pinjaman tetapi itu lebih selamat berbanding menggunakan perkhidmatan ah long.Kerajaan menyediakan pelbagai bantuan kepada usahawan untuk memulakan perniagaan tanpa perlu meminjam dengan ah long termasuk melalui pinjaman TEKUN dan AIM yang menawarkan kadar bayaran balik jauh lebih murah.

Pelancong asing kagumi Kompleks DUN baru

Pembinaan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak baru yang pernah dilabelkan oleh parti pembangkang sebagai pembaziran. Tetapi pelancong asing melihat pembinaan bangunan yang tersergam indah di tebing Sungai Sarawak itu sebagai satu mercu tanda bandar raya Kuching. Sebagai mercu tanda, ia menurut pelancong asing yang ditemui Utusan Borneo di sini semalam, bakal menarik perhatian para pelancong.

Pedro Nogueira, 42, dari Portugal memuji keindahan struktur binaan bangunan yang dibina dengan kos kira-kira RM300 juta itu. Dia yang pertama kali menjejakkan kaki ke Bumi Kenyalang berkata beliau tidak pernah melihat bangunan seindah ini di tebing Sungai Sarawak. Kelihatan sungguh tenang, tidak ada pengawal mengelilingi bangunan itu, malah tidak seperti bangunan-bangunan di kebanyakan negara di Eropah yang pernah beliau lawati. Ia boleh menjadi mercu tanda baru untuk bandar raya ini. Mercu tanda ini lebih bermakna lagi kerana ia melambangkan demokrasi, perpaduan dan keindahan negara.

Sementara itu, Dalia Cristovao, 36, juga pelancong dari Portugal berkata pada mulanya dia tidak mengetahui Kompleks DUN berkenaan semasa beliau bersiar-siar di Tebingan Kuching, terlihat bangunan itu tetapi kurang pasti bangunan apa. Lantas beliau bertanya kepada orang di sini, ada di antara mereka, tidak pasti bangunan apa, ada di antara mereka memberitahu beliau bahawa itu adalah Kompleks DUN baru negeri ini. Beliau menyifatkannya sungguh mengkagumkan, dan mencadangkan bangunan tersebut menjadi sebahagian daripada landskap yang indah untuk bandar raya Kuching.

Dibina di atas keluasan 172 ekar, bangunan itu menurut beliau menampilkan ciri-ciri budaya timur yang boleh menjadi tarikan unik pelancong. Pelancong berharap pihak berkuasa pelancongan akan membenarkan kami melawat bangunan itu suatu hari nanti. Bangunan baru DUN ini terletak di atas tanah seluas 172 ekar dan pernah dikatakan akan menjadi mercu tanda seperti Sydney Opera House di Australia dan Eiffel Tower di Paris, Perancis. Ia boleh memuatkan 108 orang Ahli Dewan Undangan Negeri, masing-masing dengan pejabat mereka sendiri, dan kompleks baru ini juga mempunyai dewan bankuet yang boleh memuatkan 1,000 orang, taman letak kereta yang boleh memuatkan 315 kereta dengan padang kawat berhadapan dengan tebingan sungai.

Terri Gordon-Davis, 30-an, dari Dunedin, New Zealand turut kagum dengan keindahan bangunan ini ketika pertama kali dia melihatnya dari bangunan Dewan Bandaraya Kuching Utara. Beliau yang baru saja tiba di bandar raya ini beberapa hari lepas, bersama teman-temannya yang lain dibawa melawat Muzium Kucing di bangunan Dewan Badaraya Kuching Utara, Petra Jaya. Dari situlah, beliau melihat bangunan yang tersergam indah dari seberang, iaitu bangunan DUN baru itu. Beliau sungguh terpegun melihatnya kerana keunikannya ditambah lagi lokasinya terletak di tebing sungai Sarawak. Sememangnya bangunan ini boleh dijadikan mercu tanda yang baru buat Sarawak. Beliau berkesempatan melihat bangunan ini secara dekat apabila saya bersiar-siar di Tebingan Kuching.

Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) baru yang bernilai RM300 juta akan dibuka secara rasmi pada 27 Julai depan dalam satu majlis gilang-gemilang oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan sehari selepas pembukaannya, tiga majlis akan diadakan di kompleks tersebut iaitu Mesyuarat Pra Persidangan Majlis Raja-Raja pada 28 Julai, sementara Persidangan Majlis Raja-Raja akan diadakan pada 29 dan 30 Julai.

Sabtu, 6 Jun 2009

Manifesto BN terbukti bawa pembangunan

Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Lee Kim Shin berkata, manifesto dan agenda kerajaan Barisan Nasional (BN) terbukti membawa perubahan dan pembangunan kepada Malaysia termasuk Sarawak. “Kita (BN) bukanlah kerajaan yang sempurna. Tetapi kita telah beri pembangunan kepada rakyat dan negara,” jelasnya pada majlis pengibaran bendera Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sempena ulang tahun ke-50 parti itu pada 4.6.2009. Sehubungan itu, Lee yang juga Penolong Setiausaha Jawatankuasa Kerja Pusat SUPP, menggesa ahli-ahli parti untuk terus memberi sokongan kepada perjuangan parti BN.

Idea-idea baru juga diperlukan dalam parti agar mampu merealisasikan semangat 1Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Ayuh kita semua dalam SUPP dan sebagai komponen BN untuk memberi sokongan penuh dan berusaha memastikan konsep 1Malasyia dilaksanakan demi kepentingan dan masa depan negara dan rakyat. Beliau juga menggesa SUPP agar mengukuhkan kerjasama dengan parti-parti komponen BN yang lain. BN merupakan model terbaik kepada rakyat kerana telah membuktikan keupayaannya menyatukan rakyat pelbagai kaum untuk maju bersama.

Mengulas tentang parti, Lee memberitahu, ahli dan pemimpin SUPP telah mengharungi cabaran dan membuat pengorbanan untuk rakyat serta mengukuhkan kerjasama dengan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini. Konsep SUPP ialah untuk membawa keamanan, keharmonian, perpaduan dan kestabilan yang boleh membawa pembangunan dan kejayaan negeri ini. Sekarang ialah peluang untuk pemimpin muda kita meneruskan amalan dan perjuangan ahli sebelum ini. Kita mahu mereka perkuatkan persefahaman dan keyakinan untuk terus bergerak maju bersama. Adalah amat penting untuk pemimpin dan ahli memahami perubahan yang dilalui oleh masyarakat dan kepercayaan yang telah diberikan kepada mereka.

Konsep 1Malaysia Tidak Menyimpang Daripada Perlembagaan Persekutuan

Konsep 1Malaysia tidak sekali-kali menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan sama ada secara tersurat atau secara tersirat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru, sebaliknya matlamat akhir konsep 1Malaysia iaitu perpaduan nasional menjadi wawasan utama pemerintah terdahulu yang telah diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan prakarsa sepanjang lebih lima dekad yang lepas.

Jika disingkap kembali sejarah, semenjak mula para patriot memperjuang kemerderkaan tanah air hingga ke hari ini, usaha mencapai perpaduan nasional telah, sedang dan tetap menjadi keutamaan kerana semua pihak sedar tanpa perpaduan yang mantap dan jitu, tidak mungkin segala matlamat dan wawasan nasional dapat diterjemahkan. Jika diamati, apa yang berubah adalah pendekatan dan gerak kerja menurut kesesuaian zaman dan generasi yang silih berganti.

Mengambil iktibar pemerintahan terdahulu, Najib berkata Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj telah mengasaskan penubuhan Parti Perikatan yang merupakan langkah konkrit sulung dalam sejarah negara bagi mencapai perpaduan di bidang politik. Perkara ini juga terbukti apabila masyarakat pelbagai ras di bumi tercinta ini bersatu hati, bersatu tekad dan berkongsi matlamat mereka mampu mendaki tembok yang paling tinggi, menuruni lurah yang paling curam dan menyelami lautan yang paling dalam. Perkara ini terbukti apabila negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan tertubuhnya Malaysia tanggal 16 September 1963.

Selain itu, dalam ucapannya, Najib berkata bertitik tolak daripada kejadian 13 Mei, Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kedua telah memperluas konsep kerjasama antara kaum melalui penubuhan Barisan Nasional (BN) termasuklah penggubalan Dasar Ekonomi Baru dan penciptaan ideologi kebangsaan iaitu Rukun Negara. Usaha-usaha murni ini telah dilangsungkan oleh Allahyarham Tun Hussein Onn. Kemudiannya prakarsa-prakarsa ini telah dilonjak ke tahap baru oleh Tun Dr Mahathir (Mohamad) melalui konsep Bangsa Malaysia dan Gagasan Wawasan 2020 yang selepas itu dilestarikan pula oleh Tun Abdullah (Ahmad Badawi) melalui misi Nasional.

Dalam pada itu, kerajaan di bawah pemerintahan Tuanku Mizan Zainal Abidin akan kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti Perkara 3, Perkara 4, Perkara 152, Perkara 153, Bahagian 2, Bahagian 3 seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, janganlah mana-mana pihak berasa gundah gulana atau menaruh syak (dan) juga bimbang bahawa konsep ini akan terpesong dari apa yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh bapa-bapa kita suatu ketika yang lalu. Kerajaan mengangkat konsep 1Malaysia sebagai paksi pentadbiran yang berasaskan kepada beberapa teras utama antaranya penghijrahan daripada perpaduan yang berpaksikan toleransi kepada yang berlandaskan penerimaan, keadilan sosial dan nilai-nilai dikongsi bersama yang mengambil kira realiti sejarah berpandukan keluhuran perlembagaan serta prinsip Rukun Negara.

Matlamat perpaduan nasional tidak dapat dijayakan jika pendekatan ke arah pencapaiannya tidak berpijak di bumi nyata dan bersifat utopia, serta tidak mengendahkan sensitiviti dan realiti kontemporari. Bagi mengurus kemajmukan kaum di Malaysia, ia menuntut hemah dan hikmah yang tinggi. Seandai dan sekiranya tidak berwaspada, akan muncul sama ada satu suasana rasisme di mana kaum minoriti ditindas oleh kaum majoriti ataupun situasi aparteid di mana kaum minoriti pula akan menindas kaum majoriti.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan melakukan pembaharuan dan perubahan struktural secara komprehensif kepada ekonomi negara berasaskan satu model baru ekonomi.Katanya, langkah itu bertujuan memastikan matlamat negara untuk berubah dari negara berpendapatan menengah tinggi kepada kerajaan berpendapatan tinggi, tercapai. Kerajaan juga akan menimbang opsyen termasuklah yang bersifat tidak konvensional dan di luar kebiasaan pemikiran lazim untuk diperhalusi. Model baru ekonomi ini akan menuas kreativiti, menuil inovasi serta menunjang nilai tinggi. Sehubungan itu, sebuah majlis penasihat ekonomi telah dibentuk untuk menjayakan hasrat pembentukan model baru ekonomi ini.

Kerajaan juga telah mengemas kini dan menggubal dasar-dasar bagi mendepani kemelut ekonomi global. Prioriti utama adalah memastikan negara akan mengalami impak seminimum mungkin kesan kegawatan ekonomi global, kedua berusaha untuk keluar dari kemelut ekonomi dan kewangan yang ada dengan kadar paling pantas dan ketiganya secara keseluruhan membantu rakyat menangani keperitan hidup yang dialami. Salah satu teras utama perpaduan adalah keadilan sosial berasaskan kepada pengagihan yang saksama. Untuk hal ini dimanifestasikan, negara memerlukan kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan dan dinamik. Lagipun, kekayaan tidak boleh diagihkan jika kek ekonomi tidak tumbuh dan membesar.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga mengambil langkah untuk melihat semula sistem pendidikan negara dengan memasukkan elemen inovasi, kreativiti, keusahawanan dan nilai-nilai budaya tinggi. Langkah itu diharap akan dapat melahirkan guna tenaga yang akan mampu menghadapi cabaran dan persaingan era ekonomi baru. Kerajaan juga akan menyemak kembali dasar-dasar, undang-undang dan peraturan yang sedia wujud bagi memastikan persekitaran pelaburan yang lebih kondusif untuk merangsang pelaburan terus asing dalam membantu merealisasikan model baru ekonomi itu.

Rakyat Perlu Hayati Konsep 1Malaysia, Titah Tuanku Mizan

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mahu segenap lapisan rakyat menghayati konsep 1Malaysia yang telah diketengahkan sebagai kesinambungan kepada usaha kerajaan dalam memupuk perpaduan nasional yang telah disemai sejak lebih 50 tahun kemerdekaan negara. Semua rakyat juga mempunyai tanggungjawab yang besar dalam hal ini kerana mereka yang akan menentukan jatuh bangun, maju mundur dan jaya gagalnya sesebuah negara itu. Baginda juga berharap rakyat Malaysia akan terus bersatu mengekalkan perpaduan, berkongsi rahmat dan tanggungjawab terhadap tanahair yang berdaulat, kerana ia merupakan keunikan dan sumber kekuatan negara.

"Beta amat sukacita kerana rakyat telah membuktikan bahawa kepelbagaian bangsa dan etnik yang menganuti agama yang berbeza, serta mengamalkan budaya dan gaya hidup yang berbagai juga dapat hidup bersama dalam keadaan aman harmoni dan saling menghormati," titah Baginda sempena ulang tahun Hari Keputeraan Baginda di Istana Negara. Tuanku Mizan turut melahirkan rasa sukacita terhadap konsep 1Malaysia yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berprinsipkan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Bagaimanapun, kerajaan perlu terus memperkemas dan mempertingkat jentera pentadbiran dan pelaksanan negara, yang menjadi nadi penting pembangunan negara, agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat. Baginda juga mahu generasi muda negara ini supaya melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran. "Sesungguhnya Malaysia satu-satunya negara kita, harta yang paling berharga, lambang maruah dan kehormatan bersama dan apa yang telah kerajaan lakukan hari ini akan diwariskan kepada anda semua untuk meneruskan perjuangannya," titah baginda.

Dalam pada itu, baginda dan Raja Pemaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah mengucapkan terima kasih kepada Najib, yang mewakili kerajaan, anggota perkhidmatan awam dan anggota keselamatan serta rakyat dalam menyembahkan ucapan tahniah dan ikrar taat setia kepada baginda. Tuanku Mizan turut melahirkan rasa syukur kerana proses peralihan teraju kepimpinan negara pada April lepas telah berjalan dengan lancar dan sempurna. "Kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, syabas Beta ucapkan kerana telah dilantik menjadi Perdana Menteri serta telah menunjukkan kepimpinan dan komitmen yang dinamik sepanjang pentadbiran beliau, sejak April yang lalu," titah baginda.

Baginda turut merakamkan ucapan terima kasih kepada mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi atas jasa dan kepimpinan yang telah beliau sumbangkan kepada negara ini. Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong berharap agar pakej-pakej rangsangan ekonomi yang telah dilancarkan dapat disampaikan kepada kumpulan sasar.Baginda bertitah ini amat penting khasnya dalam keadaan dunia hari ini yang berhadapan dengan tekanan ekonomi yang mencabar dan hampir tidak terduga dan oleh itu pelaksanaan pembangunan perlu disegerakan bagi kepentingan seluruh rakyat.

Baginda juga melahirkan rasa gembira kerana kerajaan akan mengubal satu model baru ekonomi yang baginda yakin dapat mencipta kapasiti baru kepada pertumbuhan ekonomi mampan.Baginda juga percaya bahawa kerajaan dapat menggunakan sepenuhnya kebijaksanaan bagi meningkatkan lagi usaha untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dengan mengambil kira keperluan sosial masyarakat bagi menghasilkan ketenteraman dan kesejahteraan kepada rakyat agar tiada kaum atau golongan termasuk wanita, belia, orang tua dan yang kurang upaya daripada tercicir.

"Sesungguhnya, dasar kerajaan yang sedia ada telah berjaya mewujudkaan keseimbangan sosial di kalangan rakyat pelbagai kaum dengan strategi pembangunan ekonomi yang bijak."Beta berpuas hati kerana golongan rakyat yang ketinggalan dalam arus kemajuan negara semakin kecil jumlahnya," titah baginda.Kerajaan telah melancarkan dua pakej rangsangan ekonomi tahun lepas yang keseluruhannya bernilai RM67 bilion.

Lawatan PM Ke China Amat Berjaya

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan lawatan rasmi empat hari ke negara China amat berjaya, kerana beberapa perkara substantif dapat dibincangkan dalam pertemuan dengan Presiden Hu Jintao dan Perdana Menteri Wen Jiabao. Ia jelas menunjukkan bahawa kepimpinan kerajaan China amat berhasrat untuk memperkukuhkan hubungan kita dan membawa hubungan Malaysia-China kepada peringkat atau tahap yang jauh lebih tinggi.

Antara kejayaan signifikan adalah satu dokumen yang merupakan pelan tindakan strategik dan ia menjadi garis panduan kepada hubungan Malaysia-China. Pelan itu meliputi atau menjangkau 13 bidang utama yang telahpun ditandatangani. Dokumen itu akan dijadikan sebagai panduan kepada menteri-menteri dan pegawai-pegawai berkenaan untuk menterjemahkan dalam bentuk program susulan supaya hubungan dua hala dapat dibangunkan seperti mana yang diharapkan. Selaras dengan hasrat ini, sudah tentu hubungan ekonomi merupakan tiang seri kepada usaha kita untuk mengembangkan hubungan Malaysia dan China. Sehubungan dengan ini, maka potensi untuk kita mengembangkan perdagangan dua hala yang sudah melepasi garis AS$50 bilion iaitu perkiraan negara China mempunyai potensi yang amat besar untuk diperkembangkan lagi.


Najib berkata beberapa perkara telah dibincangkan kepimpinan negara China dan ini termasuk hasrat negara itu untuk membeli banyak lagi minyak kelapa sawit dari Malaysia. Malaysia telahpun mengenal pasti beberapa bidang potensi untuk penyertaan oleh syarikat besar dari China seperti pembangunan infrastruktur, tenaga, pekilangan tertentu dan sektor perkhidmatan dan kewangan. Ia akan lebih daripada sebuah perbandaran, ia akan merupakan pembangunan serantau yang besar. Banyak syarikat Malaysia yang lain akan dijemput untuk turut serta dalam projek itu.

Ketika ditanya sama ada hubungan erat yang wujud antara pemimpin Malaysia dan China akan turut membantu membawa lebih banyak peluang kepada syarikat Malaysia di China, Perdana Menteri berkata terdapat sentimen yang positif dan kukuh terhadap Malaysia daripada kerajaan China. Kita perlu mengambil peluang daripada keadaan ini untuk menjayakannya dan menghasilkan lebih banyak peluang, sama ada dalam perniagaan, pendidikan, kesihatan, pelancongan atau apa sahaja. Terdapat banyak sektor yang kita boleh mendapat faedah daripadanya.

Juga dimaklumkan dalam perbincangan dengan pihak China, mereka berpendapat bahawa pendekatan dalam kerjasama antara Petronas dengan China National Oil Corporation dalam mengeluarkan minyak mentah di Sudan boleh diterima pakai oleh pihak-pihak lain daripada kedua-dua negara dalam usaha bekerjasama di negara ketiga. Pihak Malaysia akan mengkaji kemungkinan memberi pengiktirafan kepada ijazah dari institusi pengajian tinggi terkemuka di negara China dan di samping itu akan menggalakkan banyak lagi pelajar bukan Cina untuk mempelajari bahasa Mandarin di Beijing Foreign Studies University.

Perdana Menteri juga berpendapat bahawa betapa pentingnya untuk menggalakkan hubungan antara rakyat kedua buah negara kerana ini akan membantu sektor pelancongan. Satu persefahaman yang dicapai oleh Malaysia dan China adalah dalam isu tuntutan kawasan bertindih dan kedua-dua pihak bersetuju merunding semula perkara itu supaya ia tidak menjadi hambatan kepada perkembangan hubungan dua hala yang amat baik. Perdana Menteri juga menjemput Hu dan Wen untuk melawat Malaysia dalam masa terdekat. Pihak China juga mempelawa Malaysia menyertai World Expo di Shanghai pada 2010.

Kegiatan Ah Long Kini Berunsur Jenayah

Kegiatan ah long /ceti haram akan dibanteras sehabis-habisnya kerana ia bukan lagi hanya berkisar kepada aktiviti peminjaman wang tetapi berkait dengan jenayah seperti pengedaran dadah, pelacuran dan samseng. Isu itu sudah berada pada tahap yang amat serius dan membimbangkan, polis akan terus bertindak tegas bagi menyekat kegiatan ah long daripada terus berleluasa.

Polis telah mengenal pasti dan sedang memantau kegiatan beberapa kumpulan ah long khususnya di kawasan Lembah Klang, Selangor, Johor dan Pulau Pinang yang didapati bertindak kejam dan ganas terhadap peminjam, termasuk kegiatan ahli-ahli kumpulan Kristal 9-Gem Enterprise (K9) yang disyaki terlibat dengan kes tiga peminjam wang yang dikurung dan dirantai seperti binatang di sebuah rumah kedai di Serdang, minggu lalu. Saki baki kumpulan ini sedang diburu polis.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein telah mengarahkan timbalannya Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Mahmood Adam menghidupkan semula jawatankuasa yang telah wujud sebelum ini bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Penerangan bagi menangani isu ah long secara menyeluruh. Pihak polis akan memantau kegiatan pemberi pinjaman wang berlesen yang berdaftar di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Usaha ini penting bagi memastikan pemberi pinjaman wang berlesen ini tidak terlibat dengan amalan atau corak perniagaan ala ah long. Jika didapati terlibat dengan kegiatan seperti itu, kementerian akan mengambil tindakan tegas termasuk mendapatkan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menggantung atau membatalkan lesen pemberi pinjaman wang berlesen itu.