Jumaat, 25 Disember 2009

CALON BN BARU UNTUK KAWASAN DUN N11 BATU LINTANG

Bekas ADUN SUPP-BN kawasan N11 Batu Lintang menegaskan beliau tidak akan bertanding semula pada pilihan raya DUN Sarawak yang akan datang. Beliau telah mengumumkan keputusan tersebut sebaik selepas Pilihan Raya DUN Sarawak pada tahun 2006.
Menurut beliau, AJK dan EXCO Cawangan SUPP Batu Lintang telah memutuskan untuk mencalonkan calon dari golongan pemuda dan wanita untuk bertanding pada pilihan raya yang akan datang. Calon yang diputuskan pada awal tahun ini adalah:
Pertama, ENCIK SIH HUA TONG, Ketua Pemuda Parti SUPP dan Ketua Pemuda Cawangan SUPP Batu Lintang yang juga bergiat aktif dalam pelbagai persatuan kemasyarakatan tempatan.
Kedua, PUAN CHENG YI, Ketua Wanita Cawangan SUPP Batu Lintang, yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sarawak.
Ketiga, ENCIK STEPHEN NGUI, Bendahari Pemuda Cawangan SUPP Batu Lintang, yang juga Ahli Majlis kepada Majlis Bandaraya Kuching Selatan.
Pemilihan calon dibuat berpandukan kepada prestasi perkhidmatan mereka dalam perlaksanaan aktiviti parti, penyelesaian permasalahan setempat dan juga penglibatan dalam NGOs. Walaubagaimanapun senarai pencalonan tersebut telah diserahkan kepada kepimpinan SUPP, keputusan maktamad akan dibuat oleh Presiden Parti SUPP dan Kepimpinan BN Sarawak.

KEJATUHAN PEMIMPIN DAP

Pemilihan JAWATANKUASA DAP SARAWAK pada 13.12.2009 menyaksikan ramai daripada pemimpin DAP memperolehi undian yang lebih rendah berbanding pada tahun 2006. Keadaan berlaku di mana wujudnya kumpulan yang cuba menjatuhkan kepimpinan DAP Sarawak WONG HO LENG yang telah lama memegang jawatan tersebut. Akan tetapi motif tersebut tidak berjaya dan kumpulan tersebut kalah dengan teruk dalam pemilihan tersebut.


Di antaranya Voon Lee Shan bekas bendahari DAP Sarawak kalah dengan teruk dan disingkirkan dari Jawatankuasa DAP Sarawak bersama kuncu-kuncunya.. Selepas pemilihan tersebut beliau enggan mengulas banyak mengenai kekalahannya dan hanya menonjol jari kepada pihak yang merancang untuk menjatuhkan beliau. Akan tetapi sekiranya beliau tidak terlibat dengan kumpulan menjatuhkan WONG HO LENG, takkan beliau dan pengikutnya yang bertanding semuanya kalah dengan undi yang banyak.


Juga dipertikaikan beliau seringkali menimbulkan isu sensitif yang membawa permasalahan kepada parti DAP sehinggakan kepimpinan DAP mahu menyingkirkan beliau daripada AJK Negeri dan juga kemungkinan besar disingkirkan dari senarai calon bertanding DAP pada pilihan raya yang akan datang. Beliau kini sudah kehilangan kuasa dan sokongan ahli parti kerana dipertikaikan cuba menjatuhkan kepimpinan DAP.

Beliau juga tidak sependapat dengan kepimpinan golongan muda DAP masa kini dan seringkali bertindak seorang diri tanpa melibatkan ahli parti di kawasan.. AJK DAP tidak berpuas hati dengan tindakannya membawa masuk pemimpin DAP dari kawasan lain tetapi tidak menghiraukan ahli parti kawasan. Ianya dipertikaikan untuk menguatkan kuasanya dalam parti untuk memperjuangkan jawatan yang lebih tinggi. Tetapi semua ini telah dikesan dan diketahui oleh pemimpin generasi muda yang berjaya mengagalkan usaha beliau. Kedudukan beliau sebagai Wakil Rakyat DAP kawasan DUN Batu Lintang kini tergugat dan kemungkinan besar akan digantikan oleh calon baru yang lebih muda.. Rebutan calon bertanding akan memudaratkan sokongan DAP pada pilihan raya yang akan datang...dan peluang untuk BN mengambil balik kerusi ini semakin cerah... namun isu IKON PEMIMPIN DAP BANDAR KUCHING masih mempengaruhi sokongan pengundi.

Jumaat, 18 Disember 2009

Polis Disaran Guna Facebook Untuk Selesai Kes Jenayah

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dicadangkan supaya menggunakan khidmat laman web sosial 'facebook' sebagai alternatif dalam usaha untuk menyelesaikan kes-kes jenayah. Ketua Makmal Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan jenayah, Abdul Aziz Md Noor berkata memandangkan laman web berkenaan kini diguna secara meluas sebagai medium perantara oleh masyarakat, ia dapat membantu pihak berkuasa keselamatan itu dalam memerangi jenayah.

Sebelum ini kita menggunakan khidmat SMS melalui Rakan Cop tetapi dengan pendekatan baru ini, diharap kes-kes jenayah dapat diselesaikan dengan segera. Contohnya dengan memaparkan gambar suspek bagi satu-satu kes melalui facebook, secara tidak langsung orang awam dapat menyalurkan maklumat berkaitan kes itu kepada polis. Selain dapat membantu polis, penggunaan laman web sosial itu juga dapat merapatkan hubungan antara PDRM dan masyarakat.

Orang awam juga boleh membuat sebarang laporan dan aduan berkaitan masalah jenayah kepada polis menerusi laman web itu. Masalah jenayah sukar dibendung secara bersendirian oleh polis tanpa bantuan dan sokongan masyarakat. Jika masyarakat bersama-sama membantu melaporkan apa sahaja kejadian jenayah kepada polis, kita percaya sasaran untuk mengurangkan jenayah menjelang akhir tahun depan akan dapat dicapai. Orang awam disarankan supaya mendaftar sebagai Rakan Cop bagi memudahkan polis memperoleh maklumat dengan cepat. Orang ramai tidak perlu lagi ke balai polis atau berjumpa dengan mana-mana pegawai polis bagi menyalurkan maklumat...hanya guna SMS sahaja. Segala respons dan cadangan dari orang awam yang telah dikemukakan menerusi program yang diadakan ini, akan diserahkan ke Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) untuk diteliti.

PERGOLAKAN DALAMAN PAKATAN RAKYAT

Walaupun barisan pakatan pembangkang menang 6-2, iaitu enam daripada lapan pilihan raya kecil yang diadakan sepanjang tahun 2009. Namun disebalik kejayaan tersebut, PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membentuk pakatan pembangkang masih mencari formula terbaik ke arah mewujudkan persefahaman jitu sesama mereka. Matlamat jangka pendek adalah jelas iaitu untuk membentuk kerajaan baru, namun dalam jangka panjang, perjuangan Pas untuk menubuhkan negara Islam tidak boleh diterima DAP.

Tanggungjawab untuk membawa ketiga-tiga parti kepada pemuafakatan terletak di bahu ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berusaha agar percanggahan matlamat antara Pas dan DAP tidak menggugat keutuhan pakatan tersebut. Namun begitu, riak-riak pergolakan tetap berlaku. Suatu ketika Pengerusi DAP Karpal Singh mengancam supaya DAP menarik diri jika PAS masih mahu melaksanakan hukum Hudud dan qisas sekiranya gabungan itu berjaya mengambil alih pemerintahan negara.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak pula bertegas bahawa PAS juga boleh membuat kenyataan berbentuk ugutan kepada DAP dan PKR sekiranya mereka enggan menerima cara Islam yang dibawa oleh parti itu. Dalam pada itu, parti yang menerajui pentadbiran di negeri masing-masing berdepan pelbagai isu yang menggugat kewibawaan mereka.


Antaranya di Pulau Pinang, pentadbiran Lim Guan Eng berdepan dengan kemelut penduduk setinggan Kampung Buah Pala manakala Azizan di Kedah menghadapi isu perobohan pusat penyembelihan babi oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) sehingga wakil DAP Kedah/Perlis bertindak keluar dari gabungan di Kedah.

Di Selangor, kontroversi tercetus ekoran timbul isu moral berhubung exco kerajaan Negeri Selangor yang juga ADUN Bukit Lanjan Elizabeth Wong apabila gambar bogelnya tersiar di khalayak selain isu "kepala lembu" kerana bantahan penduduk terhadap cadangan memindahkan kuil.


Pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim juga teruja oleh desakan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali supaya kedudukan Exco dari DAP Ronnie Liu dikaji semula kerana didakwa campur tangan dalam beberapa isu penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan termasuk melibatkan penjualan arak di kawasan majoriti Melayu. PAS mahu Selangor menguatkuasakan garis panduan larangan penjualan arak secara terbuka sepertimana dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu tetapi ditolak oleh Menteri Besar yang menyifatkannya sebagai bukan isu.

Di Kelantan, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga tidak sunyi daripada kontroversi terutama yang melibatkan menantunya yang menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan dan tawaran menunai haji untuk beliau oleh sebuah syarikat swasta. Lebih hangat lagi ialah apabila Nik Abdul Aziz mencadangkan supaya PAS mengadakan Muktamar Agung Luar Biasa bagi menukar "dua tiga kerat" pemimpin parti itu yang dikatakan merujuk kepada Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hassan Ali. Ini kerana Nik Abdul Aziz dikatakan tidak boleh menerima apa jua cadangan ke arah kerajaan perpaduan dengan Umno dan BN.


Di Sabah, PKR dilanda krisis kepimpinan berikutan pelantikan Mohamed Azmin Ali sebagai ketua perhubungan negeri oleh Anwar yang mendorong Datuk Dr Jeffrey Kitingan meletak jawatan sebagai naib presiden PKR.

Tetapi tamparan paling hebat bagi pakatan tersebut ialah apabila pakatan itu hilang kuasa di Perak ekoran tindakan tiga wakil rakyat iaitu dua daripada PKR dan satu dari DAP mengisytiharkan diri menjadi anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas dan menyokong BN pada Februari lepas. Dalam kemelut itu, pemimpin mereka dianggap "menderhaka" dan biadap dalam tindak-tanduk mereka terutama kerana tindakan undang-undang terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah. Ekoran itu, Karpal dengan marah menuduh Anwar tidak layak menjadi pemimpin bagi pakatan kerana mendakwa Anwar bertanggungjawab mempromosikan budaya lompat parti.


Seterusnya kenyataan anggota Parlimen Shah Alam dari PAS, Khalid Abdul Samad mengenai bai'ah atau sumpah taat setia bahawa akan jatuh talak tiga terhadap isteri masing-masing jika wakil rakyat mereka mengkhianati parti, juga mencetuskan kontroversi hebat. Kontroversi yang berlarutan menimbulkan tanda tanya apakah laluan ke Putrajaya masih lagi jelas seperti dibayangkan Anwar awal tahun ini. Yang jelasnya ianya tidak akan berlaku kerana masing-masing memperjuangkan ideologi yang berlainan.

Lebih ramai penjawat awam Cina, India jika pemohon ditambah

Lebih ramai penjawat awam keturunan Cina dan India akan dilantik memasuki perkhidmatan awam sekiranya bilangan pemohon dari kaum terbabit dapat ditambah. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, ini kerana kadar berjaya bagi pemohon Cina dan India memasuki perkhidmatan awam adalah lebih tinggi berbanding kadar berjaya bagi pemohon Melayu.

Walaupun bilangan pemohon Cina dan India sangat rendah berbanding dengan bilangan pemohon Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak, kadar berjaya bagi pemohon Cina dan India masing-masing adalah tiga kali dan hampir dua kali lebih tinggi daripada kadar berjaya bagi pemohon Melayu. Ini bermakna bahawa sekiranya bilangan pemohon Cina dan India dapat ditingkatkan, lebih ramai penjawat awam keturunan Cina dan India akan berjaya dilantik.

Berdasarkan statistik pemohon dan pengambilan penjawat awam bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, daripada lebih sejuta pemohon, didapati 82 peratus dan 11 peratus masing-masing dari keturunan Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak, berbanding tidak sampai dua peratus dari keturunan Cina dan hampir tiga peratus India.

Statistik pelantikan pula, menunjukkan bahawa 25,587 daripada 822,583 pemohon Melayu berjaya dilantik yang merupakan kadar berjaya sebanyak 3.11 peratus, berbanding dengan 1,841 dari 18,916 pemohon Cina atau kadar berjaya 9.73 peratus dan 1,593 daripada 29,801 pemohon India atau kadar berjaya 5.35 peratus. Kadar berjaya bagi Bumiputera Sabah dan Sarawak adalah di lingkungan 3.3 peratus hingga 3.8 peratus.

Berhubung pemilihan seseorang calon memasuki perkhidmatan awam, ia dibuat berdasarkan prestasi dalam sesi temu duga dan hanya calon yang terbaik sahaja akan ditawarkan sesuatu jawatan. Oleh itu, pemilihan seseorang calon ke dalam perkhidmatan awam adalah mengikut merit dan bukannya berdasarkan kepada sistem kuota kaum. Dalam melaksanakan urusan pengambilan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) sentiasa berusaha untuk menggalakkan penyertaan kaum bukan Melayu menyertai perkhidmatan awam, selaras dengan hasrat kerajaan. Kerajaan adalah serius dan jujur dalam menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia keturunan Cina dan India untuk turut menyertai perkhidmatan awam. Adalah diharapkan dengan langkah-langkah serta dorongan daripada para pemimpin masyarakat, ibu bapa dan guru, lebih ramai rakyat Malaysia keturunan Cina dan India akan tampil ke hadapan untuk mengisi jawatan dalam sektor awam.

Sabtu, 5 Disember 2009

Calon SPM boleh tambah 2 subjek

Pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dibenarkan mengambil tambahan dua mata pelajaran tetapi keputusan keseluruhan akan tetap mengambil kira 10 mata pelajaran teras, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kabinet membuat keputusan itu setelah mengambil kira rayuan yang dibawa oleh Menteri Sumber Manusia Datuk S. Subramaniam yang mewakili banyak pihak. Penjelasan menyeluruh berhubung perkara itu akan dibuat oleh Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Md Dom.


Pokoknya 10 subjek utama itu kekal tetapi memberi kelonggaran bahawa pelajar boleh membuat pilihan untuk mengambil mata pelajaran bahasa Cina atau Tamil dan sastera Cina atau sastera Tamil. Keputusan mata pelajaran tambahan itu tidak akan diambil kira dalam pemberian biasiswa dan sebagainya. Pelajar kini boleh mengambil 12 atau 11 subjek tetapi itu tidak mengambil kira dalam perkara 10 subjek asas dan elektif. Sebelum ini, mereka tidak boleh mengambil, jadi kerajaan tidak mahu sekat dan memberi mereka kelonggaran.

Langkah itu akan membolehkan pelajar berkenaan menggunakan keputusan yang diperolehnya dalam subjek tambahan itu untuk menjadi guru bahasa Tamil atau sebagainya. Bulan lepas, Dr Subramaniam berkata akan mengusulkan kepada Kabinet agar membenarkan pelajar India mengambil maksimum 12 mata pelajaran bagi peperiksaan SPM. Dr Subramaniam yang juga naib presiden MIC berharap Kementerian Pelajaran akan membenarkan pelajar India mengambil subjek Bahasa Tamil dan Kesusasteraan Tamil selain 10 mata pelajaran yang ditetapkan kementerian berkenaan.

Khamis, 3 Disember 2009

Pelaksanaan GST Akan Bantu Malaysia Atasi Penurunan Hasil Cukai

Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan membantu Malaysia mengatasi penurunan dalam hasil cukai, selari dengan penurunan rizab minyak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Walaupun pendapatan dan pertumbuhan negara bergantung kepada hasil minyak, sumber pendapatan akan habis perlahan-lahan memandangkan sumbernya tidak dapat ditentukan.


Bagi meneruskan GST, kerajaan akan laksanakannya secara berstruktur dan perlahan-lahan, dengan cukai diperkenalkan secara semula jadi, selari dengan paras semasa perkhidmatan dan cukai jualan supaya ia tidak membebankan. Barangan asas dan keperluan akan dikecualikan bagi memastikan kutipan cukai pada tahap yang cekap. Sistem kutipan akan sentiasa dianalisis bagi memastikan tahap kutipan cukai yang cekap.



Matamat kerjaan bukan cukai asas barangan dan perkhidmatan, tetapi meluaskan asas kutipan hasil supaya negara tidak terlalu bergantung kepada satu sektor untuk menjana pertumbuhan masa depan negara.

Jangan Samakan Bong Dengan Chin Peng

Keputusan kerajaan tidak membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia adalah tepat kerana sejarah membuktikan bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya itu tidak berminat untuk membuang ideologi komunis, kata bekas Ketua Menteri Sarawak Tun Rahman Yaakub. Tun Rahman, yang bertanggungjawab menamatkan ancaman komunis di Sarawak setelah memeterai Perjanjian Sri Aman pada 21 Ogos 1973, berkata Chin Peng tidak boleh disamakan dengan Bong Chee Kok, ketua Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (Paraku), sayap angkatan bersenjata Biro Kedua Parti Komunis Kalimantan Utama (PPKU).

Ancaman komunis yang diketuai Bong telah menjadi ancaman utama kepada keselamatan negeri pada ketika itu tetapi Bong dibenarkan kembali ke pangkuan masyarakat apabila beliau menunjukkan keikhlasan untuk menamatkan peperangan bersenjata berbanding Chin Peng. Isu Chin Peng timbul apabila beliau menyatakan hasrat untuk pulang ke Malaysia bagi menziarahi keluarganya di Sitiawan, Perak, tetapi ini dibantah keras khususnya oleh bekas anggota tentera yang pernah berdepan dengan kekejaman komunis.

Juga diulas semasa di hutan, Bong tidak banyak melakukan kekejaman berbanding Chin Peng manakala pendekatan dan perwatakan kedua-duanya juga berbeza. Bong telah menunjukkan keikhlasannya untuk mencari jalan damai dan mengakhiri perjuangannya sebagai komunis. Komitmen Bong untuk mencari jalan damai terbukti apabila tidak lama selepas pertemuan mereka berdua, Perjanjian Sri Aman dimeterai antara kerajaan negeri dan Paraku dan ancaman komunis diketuai oleh Bong turut berakhir. Bong kemudian meletak senjata dan memulakan satu perusahaan ternakan.