Selasa, 14 Julai 2009

Sarawak Umum Dasar Baru Surat Hak Milik Tanah

Pemilik tanah di Sarawak kini boleh memperbaharui surat hak milik tanah pada bila-bila masa serta boleh memilih tempoh pemilikan antara 60 tahun dan 99 tahun, kata Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.



Pemilik tanah sebelum ini terpaksa menunggu selama lima tahun sebelum tempoh pemilikan tamat untuk membolehkan proses pembaharuan dapat diuruskan oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak. Langkah-langkah ini merupakan satu pembaharuan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak bertujuan membolehkan orang ramai memperbaharui surat hak milik tanah dengan lebih mudah. Pembayaran premium tanah juga kini telah dipermudahkan bagi meringankan beban kewangan pemilik tanah di negeri ini. Pemilik tanah kini boleh membuat pembayaran premium ke atas tanah mereka sehingga 10 tahun secara beransur-ansur. Sambil memberi jaminan kadar bayaran premium dikenakan adalah berpatutan, hasil daripada kutipan bayaran premium tersebut digunakan untuk pelbagai tujuan pembangunan infrastruktur negeri ini seperti pembinaan jalan raya.

Bagi memberi kefahaman yang mendalam terhadap pelbagai isu tanah di Sarawak, kerajaan negeri bercadang menganjurkan "Seminar Perihal Tanah" yang telah diadakan di Bintulu. Kerajaan Negeri akan mengadakan seminar ini di Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sibu, Sarikei, Mukah dan Kapit bagi mengurangkan masalah jurang informasi antara kerajaan negeri dan masyarakat. Seminar tersebut akan melibatkan kehadiran ketua-ketua jabatan, pemimpin masyarakat dan wakil rakyat bagi membolehkan pemimpin semua peringkat termasuk peringkat akar umbi memahami pelbagai isu tanah di negeri ini.

Pemilik tanah di Sarawak mengambil inisiatif sendiri sekiranya berdepan dengan masalah berkaitan tanah milik mereka bagi mempermudahkan urusan. Pemilik tanah digalakkan pergi sendiri ke Jabatan Tanah dan Survei berdekatan dengan tempat masing-masing untuk bersemuka dan berbincang dengan pegawai-pegawai di pejabat itu bagi menyelesaikan masalah membabitkan tanah milik mereka. Keadaan ini dapat memudahkan dan mempercepatkan urusan pemprosesan di mana segala permasalahan yang timbul dapat diselesaikan dengan segera dengan kehadiran pemilik tanah.

Tiada ulasan: