Jumaat, 18 Disember 2009

Lebih ramai penjawat awam Cina, India jika pemohon ditambah

Lebih ramai penjawat awam keturunan Cina dan India akan dilantik memasuki perkhidmatan awam sekiranya bilangan pemohon dari kaum terbabit dapat ditambah. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, ini kerana kadar berjaya bagi pemohon Cina dan India memasuki perkhidmatan awam adalah lebih tinggi berbanding kadar berjaya bagi pemohon Melayu.

Walaupun bilangan pemohon Cina dan India sangat rendah berbanding dengan bilangan pemohon Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak, kadar berjaya bagi pemohon Cina dan India masing-masing adalah tiga kali dan hampir dua kali lebih tinggi daripada kadar berjaya bagi pemohon Melayu. Ini bermakna bahawa sekiranya bilangan pemohon Cina dan India dapat ditingkatkan, lebih ramai penjawat awam keturunan Cina dan India akan berjaya dilantik.

Berdasarkan statistik pemohon dan pengambilan penjawat awam bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, daripada lebih sejuta pemohon, didapati 82 peratus dan 11 peratus masing-masing dari keturunan Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak, berbanding tidak sampai dua peratus dari keturunan Cina dan hampir tiga peratus India.

Statistik pelantikan pula, menunjukkan bahawa 25,587 daripada 822,583 pemohon Melayu berjaya dilantik yang merupakan kadar berjaya sebanyak 3.11 peratus, berbanding dengan 1,841 dari 18,916 pemohon Cina atau kadar berjaya 9.73 peratus dan 1,593 daripada 29,801 pemohon India atau kadar berjaya 5.35 peratus. Kadar berjaya bagi Bumiputera Sabah dan Sarawak adalah di lingkungan 3.3 peratus hingga 3.8 peratus.

Berhubung pemilihan seseorang calon memasuki perkhidmatan awam, ia dibuat berdasarkan prestasi dalam sesi temu duga dan hanya calon yang terbaik sahaja akan ditawarkan sesuatu jawatan. Oleh itu, pemilihan seseorang calon ke dalam perkhidmatan awam adalah mengikut merit dan bukannya berdasarkan kepada sistem kuota kaum. Dalam melaksanakan urusan pengambilan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) sentiasa berusaha untuk menggalakkan penyertaan kaum bukan Melayu menyertai perkhidmatan awam, selaras dengan hasrat kerajaan. Kerajaan adalah serius dan jujur dalam menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia keturunan Cina dan India untuk turut menyertai perkhidmatan awam. Adalah diharapkan dengan langkah-langkah serta dorongan daripada para pemimpin masyarakat, ibu bapa dan guru, lebih ramai rakyat Malaysia keturunan Cina dan India akan tampil ke hadapan untuk mengisi jawatan dalam sektor awam.

Tiada ulasan: