Khamis, 28 Januari 2010

Pelan Hala Tuju GTP Untuk Membanteras Rasuah

Berikut adalah intipati Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) untuk membanteras rasuah:

*Meningkatkan Skor Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI) dari 4.5 kepada 4.9 tahun ini


*Meningkatkan peratusan yang menjawab "berkesan" dalam Kajian Global Corruption Barometer TI terhadap tindakan kerajaan dalam membanteras rasuah dari 28 peratus sekarang kepada 37 peratus tahun ini.


*Meningkatkan jumlah kes didakwa berbanding jumlah tangkapan pengedaran dan pemilikan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya dari 75 peratus ke 80 peratus tahun ini


*Meningkaktan jumlah saman yang diselesaikan berbanding dengan saman yang dikeluarkan polis dari 50 peratus kepada 61 peratus dan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dari 60 peratus kepada 78 peratus


*Meningkatkan jumlah kes didakwa berbanding jumlah tangkapan dan tahanan di bawah Undang-undang Imigresen dari 53 peratus ke 60 peratus tahun ini


*Meningkatkan cukai yang diperoleh semula daripada barangan yang diisytihar di bawah harga sebenar daripada RM9 juta kepada RM21 juta tahun ini


*Jumlah penemuan audit terhadap salah urus perolehan setiap kementerian daripada 11.2 kepada 10.6 tahun ini.


*Meningkatkan peratusan perbicaraan diselesaikan dalam setahun daripada 8.5 peratus kepada 30 peratus


*Mesasarkan sebanyak 80 jumlah individu dalam pangkalan data pesalah daripada sifar pada tahun ini.


Kerajaan akan memantap dan memperkukuhkan unit-unit pematuhan dengan sasaran meraih semula keyakinan terhadap agensi pengawalseliaan dan penguatkuasaan -- Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Imigresen dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).


Untuk itu, kerajaan antara lain akan melantik kakitangan unit pematuhan dengan sewajarnya, memberikan kuasa kepada unit untuk bertindak di bawah pengawasan langsung ketua agensi dan sebuah Suruhanjaya Bebas selain mewujudkan sebuah rangka kerja penyokong.



Bagi mengurangkan peluang berlakunya amalan rasuah, turut dilaksanakan ialah penggiliran kerja untuk menghalang pegawai penguatkuasa daripada membentuk hubungan kerjasama dengan organisasi jenayah dan mewujudkan carta liga prestasi bagi semua pihak berkuasa tempatan.Parameter surat sokongan, yang kerap diguna untuk mempengaruhi kakitangan kerajaan bagi memintasi dasar dan tatacara standard kerajaan dalam mendapatkan kontrak, akan diperjelaskan amalannya dan akan dikurangkan secara berperingkat.


Butiran kontrak perolehan kerajaan akan didedahkan di mana kementerian perlu menerbitkan maklumat secara berpusat di portal e-kerajaan ringkasan projek-projek di mana perolehan dirancang dan dianugerah oleh kementerian berkenaan.Orang ramai akan dihubungkan dengan laman web kementerian berkenaan untuk mendapatkan butiran selanjutnya mengenai projek atau perolehan itu.Untuk meningkatkan ketelusan pembiayaan politik, undang-undang sedia ada akan dikuatkuasakan dan kajian untuk mengubahsuai pembiayaan politik akan dilaksanakan.


Kerajaan juga mencadangkan supaya ahli politik dan parti politik disyaratkan mendedahkan sumber pembiayaan dan perbelanjaan mereka kepada agensi yang bersesuaian.Dasar toleransi sifar terhadap rasuah akan disokong dengan perlindungan pemberi maklumat dengan penggubalan Undang-udang Perlindungan Pemberi Maklumat.Semua kes rasuah yang dilapor akan disiasat sepenuhnya tanpa mengira kedudukan dan butiran mengenai pesalah yang disabitkan kesalahan akan didedah kepada orang ramai sebagai tindakan pencegahan dan hukuman yang cepat dan keras terhadap mereka yang didapati bersalah kerana rasuah.


Kebebasan institusi utama akan diperkukuhkan dan ini antara lain melibatkan kajian terhadap Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) untuk mencari jalan memperkukuh peranannya dalam mencadangkan pelantikan kehakiman.Akta untuk mendakwa kes rasuah dalam setahun juga digubal terutama yang membabitkan kepentingan awam dan dalam hal ini untuk memastikan pendakwaan yang segera dan cekap, tatacara bagi rakaman kenyataan saksi dan penyampaian sepina akan diperkukuh.


Selain itu jadual pelaksanaan ketat akan dikuatkuasa terhadap semua proses dan tatacara pendakwaan dan keupayaan pengendalian kes mahkamah akan ditingkat menerusi pelantikan Timbalan Pendakwa Raya tambahan dan penubuhan mahkamah rasuah khas.Akta SPRM akan dipinda untuk mengenakan hukuman yang lebih keras berdasarkan keseriusan kesalahan memandangkan pada masa sekarang tidak ada hukuman minimum ditetapkan.Di samping itu, struktur hukuman lebih keras juga akan dilaksana terhadap pegawai awam yang disabitkan kesalahan (kakitangan awam dan ahli pentadbiran, perundangan dan kehakiman).


Pangkalan data pesalah 'namakan dan malukan', pendekatan dalam bentuk pangkalan data awam yang menyenaraikan pesalah rasuah akan dilaksanakan dan pangkalan data ini juga akan berfungsi mempermudah keputusan pengambilan kerja, terutama bagi jawatan sensitif yang melibatkan kuasa dan amanah.

Tiada ulasan: