Khamis, 28 Januari 2010

Program Transformasi Kerajaan


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Khamis melancarkan kerangka penting dalam usaha mentransformasikan kerajaan bagi menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat selaras dengan dasar pentadbiran beliau iaitu "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) itu merupakan langkah penting dalam perjalanan negara untuk mencapai aspirasi Wawasan 2020 bagi mencapai status negara maju.


Najib memperkenalkan gagasan 1Malaysia dan GTP pada April tahun lepas, bulan yang sama beliau mengambil alih tampuk pimpinan negara, dan turut mengumumkan enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam usaha menangani perkara yang menjadi kebimbangan utama rakyat.


Enam bidang NKRA itu ialah mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, mempertingkatkan pencapaian pelajar, mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar dan mempertingkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam bandar.Kerajaan komited untuk terus melakukan perubahan melalui pelaksanaan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sehinggalah rakyat mengalami sendiri penambahbaikan dalam kehidupan mereka, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.


Perdana Menteri berkata kerajaan bersikap telus dalam melaksanakan perubahan-perubahan itu kerana sedar akan prinsip kebertanggungjawaban sebagai kerajaan."Kerajaan tidak akan berhenti sehingga rakyat boleh melihat, menyentuh dan mengalami penambahbaikan kehidupan mereka. IsyaAllah, dengan komitmen semua pihak dan dengan izin Allah, kita akan berjaya," katanya ketika berucap melancarakan Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) di sini pada Khamis.


Majlis itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, kedua-dua bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, menteri-menteri kabinet dan pegawai-pegawai kerajaan.Najib berkata kerajaan bersedia untuk dinilai oleh rakyat sama ada ia telah berjaya melaksanakan janji-janjinya kepada rakyat apabila sampai masanya kelak."Dalam sistem demokrasi berparlimen, kalau rakyat buat kesimpulan bahawa kita ini tidak dapat memenuhi janji kita kepada rakyat, kita sedar risikonya. Tetapi sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kita reda dinilai dan ditentukan oleh rakyat apabila sampai masanya. Inilah sebenarnya komitmen ikhlas kita kepada rakyat."


Ketelusan kerajaan juga boleh dilihat melalui kesediaannya mendedahkan Laporan Tahunan Pelan Hala Tuju GTP yang boleh dilihat sendiri oleh rakyat dalam menilai prestasi pentadbiran, kata Najib.Perdana Menteri berkata pelaksanaan GTP dan NKRA adalah metadologi baru yang diperkenalkan kerajaan seiring dengan pertukaran persekitaran.Bagaimanapun, katanya, metadologi baru itu bukan bermakna kerajaan hari ini adalah kerajaan baru, sebaliknya ia dirangka bagi memastikan kerajaan dapat mencapai matlamat-matlamat nasional, baik yang baru mahupun yang telah digariskan sebelum ini, termasuk Wawasan 2020 dan misi membasmi kemiskinan.


Beliau berkata tahun-tahun awal merdeka telah menyaksikan langkah berani, kreatif dan inovatif kerajaan khususnya dalam bidang pembaharuan tanah melalui pembukaan Felda, pembangunan sistematik kawasan luar bandar melalui sistem Bilik Gerakan serta kaedah Buku Merah, rancangan pembangunan lima tahun dan penggubalan dasar ekonomi yang bertunjangkan pembasmian kemiskinan juga pertumbuhan ekuiti."Hasilnya kita mencapai kemajuan sosioekonomi yang membanggakan. Tetapi bagi memastikan kejayaan itu berterusan, kita harus sentiasa berada di hadapan keluk perubahan dan pembangunan. Sebab itu hari ini dengan GTP, jika berjaya, bermakna Malaysia telah melakukan perubahan yang cukup besar dan sekali lagi kita berada di hadapan keluk perubahan," katanya.


Najib berkata bagi memastikan segala pendekatan dalam transformasi kerajaan itu dapat direalisasikan sepenuhnya, kerjasama semua pihak khususnya penjawat awam menjadi pra-syarat utama."Tetapi saya beri jaminan daripada Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Sidek Hassan) sehinggalah ke bawah semuanya komited pada program transformasi kerajaan ini."Buktinya apabila saya atau menteri turun ke makmal (NKRA), saya tengok pegawai-pegawai kerajaan yang bertugas di situ menunjukkan semangat yang luar biasa. Malah ada yang beri penerangan panjang lebar, tak henti-henti dan ada yang kata mereka bermesyuarat hingga pukul 5 pagi, sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini," katanya yang disambut tepukan gemuruh hadirin.


Perdana Menteri bagaimanapun mengingatkan penjawat awam selaku peneraju program transformasi berkenaan agar menggunakan pendekatan 'big and bold' dalam pelaksanaan program-program di bawah NKRA itu."Kalau dibuat secara pertambahan, rakyat tidak nampak 'big and bold' tetapi bila dua B ini digunakan, rakyat akan rasa akan adanya perubahan besar dan bermakna kepada sosio-ekonomi negara," katanya.Pelan Hala Tuju GTP yang dilancarkan Perdana Menteri pada Khamis turut didokumenkan dalam bentuk buku setebal 261 muka surat, 37 muka surat, 20 muka surat selain dalam bentuk cakera padat.


Berikut ialah antara intipati Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) untuk mengurangkan jenayah :


*Mengurangkan jenayah indeks keseluruhan jenayah jalanan sebanyak lima peratus bagi tahun 2010 hingga 2012.


*Mengurangkan kes kecurian ragut dan samun yang dilaporkan sebanyak 20 peratus untuk tempoh tahun yang sama (2010-2012) berbanding tahun lepas.


*Mempertingkatkan prestasi di seluruh sistem keadilan jenayah dengan menambahkan bilangan pesalah jenayah kekerasan yang dibawa ke muka pengadilan sebanyak 2,000 (2010-2012) berbanding tahun lepas.


*Mempertingkatkan persepsi awam tentang keselamatan.


*Menambahkan kepuasan awam terhadap polis atas unsur-unsur khidmat pelanggan.


*Penyingkiran bengkel-bengkel haram untuk tangani kes kecurian.


Kementerian Dalam Negeri selaku agensi yang terlibat secara penuh dalam usaha merancang pelbagai program dan pelan yang dirancang dilihat mampu menjayakan usaha kerajaan untuk mengurangkan jenayah.Jika dilihat pada usaha untuk pengurangan jenayah jalanan, kerajaan bercadang mewujudkan kehadiran polis di mana-mana dengan mengenalpasti 50 kawasan panas berlakunya jenayah di empat negeri - Kuala Lumpur, Johor, Selangor dan Pulau Pinang.


Selain itu, kerajaan bercadang untuk menempatkan 500 kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan panas untuk mencegah penjenayah dan untuk membolehkan polis mengenal pasti pesalah. Kebanyakan daripadanya akan dihubungkan kepada bilik kawalan daerah untuk membolehkan tindak balas segera.Bagi mencapai KPI untuk mengurangkan kes kecurian kenderaan, ragut dan samun, kerajaan bercadang untuk menyingkirkan bengkel-bengkel haram yang bertindak sebagai saluran kepada penjual pasaran gelap alat ganti kenderaan yang diceraikan.


Selain inisiatif itu, kerajaan juga bercadang untuk memberi ganjaran kepada pemilik-pemilik yang memasang ciri-ciri keselamatan yang dipentingkan di mana pemberi insurans digalakkan melaraskan premium insurans menurut ciri-ciri keselamatan yang dipasang.Ini bermakna premium yang lebih rendah bagi sesetengah pemilik, bergantung kepada ciri-ciri keselamatan yang dipasang dalam kereta, motosikal dan rumah mereka.Bagi mencapai KPI untuk mempertingkatkan prestasi di seluruh sistem keadilan jenayah, kerajaan merancang untuk melaksanakan hukuman khidmat masyarakat untuk mencegah kesalahan berulang khasnya bagi pesalah bawah umur dan pesalah kali pertama.


Selain inisiatif itu, langkah lain adalah mewujudkan mahkamah khas bagi jenayah jalanan supaya kes-kes ini dapat dibicarakan dengan lebih cepat lagi.Sementara itu, bagi mencapai KPI untuk mempertingkatkan persepsi awam tentang keselamatan ialah dengan menugaskan kembali pegawai kanan polis berpangkat Inspektor dan ke atas dalam tinjauan mesra di kawasan komersil, jalanan dan kawasan perumahan.Ini juga termasuk mengadakan inisiatif supaya kesemua kenderaan peronda polis (MPV) dan Polis Masyarakat (POLMAS) akan berhenti untuk berbual bersama orang awam selama 10 hingga 15 minit bagi setiap jam ketika rondaan biasa.


Langkah lain adalah memperbaiki dan memperluas program 'Feet on Street' dengan membuat rondaan bersama sukarelawan polis, Rela dan Jabatan Pertahanan Awam di kawasan panas dan meyakinkan masyarakat tentang keselamatan bersama.Dalam usaha menambahkan kepuasan awam terhadap polis atas unsur-unsur khidmat pelanggan, kerajaan bercadang untuk menambah jumlah pegawai dan anggota polis di Jabatan Siasatan Jenayah seluruh negara.Selain itu, kerajaan juga merancang untuk membenarkan orang awam melaporkan kejadian jenayah kepada polis yang membuat rondaan bagi memudahkan laporan disiapkan dengan cepat tanpa perlu ke balai.



Secara keseluruhannya, segala bidang tumpuan yang dirancang kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri untuk mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang disasar di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) memerlukan kerjasama semua pihak termasuk rakyat sendiri.Ini kerana akhirnya rakyat sendiri yang akan menilai sejauh mana KPI itu mampu dicapai untuk mewujudkan kerajaan yang telus dalam setiap perkara yang dirancang dan dilakukan.Lokasi tempat beribadat dan isu yang berbangkit daripada perkahwinan campuran yang begitu sensitif dan memerlukan perhatian dalam pelan hala tuju 1Malaysia.


Menurut pelan hala tuju dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis, usaha berterusan diperlukan bagi mengembangkan zon merangkumi semua supaya mekanisme yang dapat diterima berada di tempatnya bagi menangani pertikaian yang timbul.Usaha perlu dilakukan bagi menggalakkan persefahaman yang lebih baik dengan memperluaskan zon merangkumi semua dengan mengadakan panel perunding mengenai keharmonian sosial dan perpaduan nasional di peringkat negeri dan persekutuan bagi menggalakkan persefahaman antara etnik dan antara kepercayaan.


Penyertaan semua rakyat Malaysia yang menganut semua kepercayaan dalam kerja amal masyarakat dan usaha kebajikan juga perlu digalakkan."Daripada hanya memberi tumpuan kepada perbezaan dan pertikaian yang berpotensi berlaku, kita perlu bersama-sama memanfaatkan masyarakat yang berbilang agama dan budaya," menurut pelan hala tuju itu.Menurut pelan hala tuju GTP itu, ia boleh dilakukan dengan meneroka potensi ekonomi dalam bidang pertumbuhan baru dalam kewangan Islam, makanan hahal dan produk kesihatan herba dan menggalakkan pelancongan keagamaan.Inklusif dalam konsep 1Malaysia perlu digalakkan dalam media agar mereka sensitif terhadap perasaan pelbagai masyarakat, menurut Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP).


Pelan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis menekankan kepada keperluan menyemai sikap profesionalisma kewartawanan dengan mengambil kira kepelbagaian latar belakang negara ini."Oleh itu meskipun penapisan adalah bertentangan dengan demokrasi, terdapat keperluan untuk memperkenalkan, memupuk serta mendalami komitmen terhadap profesionalisma kewartawanan, iaitu rasa tanggungjawab dan kawal diri dengan bersikap sensitif terhadap pandangan serta perasaan berbeza masyarakat pelbagai kaum di Malaysia," katanya.


Terdapat kebimbingan bahawa sesetengah penulis menyalahgunakan kebebasan bersuara dengan menggunakan bahasa serta meluahkan perasaan yang bersifat perkauman khususnya dalam media elektronik yang boleh membangkitkan reaksi berlebihan di kalangan masyarakat yang lebib besar.Pelan itu menyebut media cetak dan elektronik telah berkembang pesat dalam empat bahasa utama iaitu bahasa Malaysia, Cina, Inggeris dan Tamil manakala sisipan dalam bahasa Kadazan-Dusun dan Iban-Dayak disertakan dalam sesetengah akhbar bahasa Malaysia dan Inggeris di Sabah dan Sarawak.


Ketika akhbar bahasa Inggeris memenuhi keperluan pembaca daripada semua latar belakang etnik, akhbar bahasa Malaysia, Cina dan Tamil pula lebih memenuhi keperluan komuniti etnik mereka masing-masing.Ini telah menyebabkan rakyat Malaysia dari pelbagai etnik mempunyai pengetahuan mendalam dan ini merupakan satu kelebihan kepada negara.Bagaimanapun, pelan itu menyebut kaedah pelaporan dan penulisan berbentuk terlalu berpusatkan sesebuah etnik boleh memperkukuhkan lagi tembok perkauman daripada menggalakan persefahaman dan perpaduan.

Tiada ulasan: