Isnin, 29 September 2008

MERCUN "MEMBUNUH"

ADIK Mohd Nur Amzar menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Star, semalam selepas hampir separuh mukanya melecur terkena letupan mercun. Beliau nyaris buta selepas terkena letupan mercun bola di rumahnya di Alor Merah malam kelmarin. Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa dikatakan meleraikan mercun itu sebelum menyalakannya menyebabkan api menyambar mukanya. Letupan itu mengakibatkan mata Mohd Nur Amzar bengkak dan kabur, manakala hampir separuh mukanya melecur.

"Pada mulanya saya sangka mercun itu tidak menyala, tetapi tiba-tiba ia meletup terkena muka hingga menyebabkan penglihatan saya kabur."

Ayahnya seringkali melarang anak bongsunya itu bermain mercun tetapi tidak diendahkan. "Saya tidak tahu di mana dan bila dia beli mercun itu. Kalau saya tahu sudah tentu saya tidak akan benarkannya bermain mercun," katanya.

MERCUN satu "alat hiburan" yang meletup dan merbahaya kepada mereka yang menyalahgunakannya. Kerajaan telah melarang kemasukan barangan ini ke negara dan hanya dibenarkan kepada syarikat pengurus program kebesaran sahaja.

Mengapakah mercun dan bunga api masih terdapat di pasaran? Mengapa pula pihak ibu bapa tidak memantau anak mereka sehinggakan mereka ini membeli mercun dan bunga api tanpa pengetahuan ibu bapa... Di sekolah juga guru juga mengajar murid betapa bahayanya mercun. Namun budak-budak sekolah ini masih mahu bermain kononnya kawannya ajak mereka bermain bersama. Ada segelintir ibu bapa pula yang membeli kononnya sayang kepada anak mereka, tetapi selalunya berlakunya kejadian tidak diingini. BEGITULAH yang sering terpapar dalam akhbar atau berita radio dan TV menjelangnya hari perayaan... ramai yang menjadi mangsa dan tidak siapa yang mahu mengaku kesalahan dan seringkali menunjuk jari terhadap orang lain.

SEBENARNYA semua ini boleh dihindarkan, Ibu Bapa hendaklah mengawasi pergerakan anak mereka menjelang hari perayaan khususnya dalam permainan mercun atau bunga api yang merbahaya, mereka juga hendaklah melaporkan kepada pihak penguatkuasa sekiranya adanya peniaga yang menjual barang larangan ini. Ibu bapa diingatkan jangan membeli mercun atau bunga api untuk anak mereka demi untuk keselamatan anak-anak mereka. Mereka bolehlah menggantikannya dengan buku-buku atau hadiah-hadiah yang lebih berfaedah dengan harga yang berpatutan, berbanding dengan harga mercun dan bunga api yang MAHAL...

Tiada ulasan: