Jumaat, 31 Oktober 2008

Jaring Keselamatan Sosial Dirangka Bantu Pekerja Diberhentikan

Kementerian Sumber Manusia sedang merangka satu dasar berkaitan jaring keselamatan sosial bagi membantu pekerja-pekerja yang diberhentikan oleh majikan masing-masing. Dasar ini dirangka untuk melatih semula pekerja-pekerja terbabit bagi mencari pekerjaan baru selepas diberhentikan, di mana hampir kesemua negara maju mempraktikkan dasar tersebut.

Kementerian juga akan mewujudkan pusat pemulihan bagi melatih pekerja-pekerja yang ditimpa kemalangan di tempat kerja agar dapat kembali bekerja di tempat kerja lama dalam jawatan lama atau baru, atau bekerja dengan majikan baru. Pusat pemulihan itu merupakan yang pertama di negara ini. Kita mengakui sumbangan majikan dan pekerja kepada pembangunan negara amat besar. Pekerja dan majikan adalah aset penting negara dan peranan mereka saling berkait serta mempunyai kesinambungan dalam mewujudkan industri yang sihat ke arah peningkatan ekonomi negara.

Pendekatan kerajaan melalui konsep tripartisme iaitu kerajaan, majikan dan pekerja saling bekerjasama secara matang dan toleransi hendaklah dikekalkan bagi mewujudkan industri yang harmoni. Sejak awal tahun ini, kementerian berjaya membantu 45,000 pencari kerja menerusi penganjuran Karnival Pekerjaan, sistem pencarian pekerjaan secara dalam talian Job Malaysia, Temuduga Terbuka dan Mini Karnival Pekerjaan untuk mendapat pekerjaan di dalam pelbagai sektor pekerjaan di negara ini. Kementerian juga akan menjenamakan semula sistem pencarian pekerjaan dalam talian daripada Electronic Labour Exchange/Job Clearing System kepada Jobs Malaysia.

Tiada ulasan: