Kerajaan bersetuju untuk membayar elaun bulanan sebanyak RM200 kepada kira-kira 33,000 pegawai dan anggota lain-lain pangkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan tugas-tugas am. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemberian elaun itu akan membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM84 juta setahun. Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan berita baik bagi para anggota polis berpangkat Konstabel hingga Koperal yang akan menikmati kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan.Melalui pindaan Pekeliling Perkhidmatan 2009, anggota berpangkat Konstabel akan dinaikkan pangkat ke Lans Koperal selepas tiga tahun perkhidmatan, dan Lans Koperal dinaikkan pangkat ke Koperal selepas lima tahun, katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Polis Ke-203. Inisiatif penambahbaikan ini akan melibatkan lebih 52,000 anggota lain-lain pangkat. Beliau turut mencadangkan supaya balai polis yang cemerlang diberikan penghargaan khas berdasarkan prestasi dan pencapaian mereka. Apa yang diberikan hari ini sebagai menunjukkan sokongan dan dorongan kerajaan atas jasa anggota polis yang bertugas demi bangsa dan negara.
Selain itu, beliau menekankan tiga nilai utama iaitu integriti, keberkesanan dan keberhasilan yang perlu dipegang oleh seluruh warga PDRM dalam menjalankan tanggungjawab mereka kepada masyarakat terutama untuk memastikan negara dalam keadaan aman dan selamat. iga nilai itu penting terutama dalam usaha mengurangkan kadar jenayah yang menjadi satu daripada enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).
Mengurangkan jenayah merupakan satu misi nasional yang menjadi agenda penting kerajaan. Tugas tersebut bukan sahaja menjadi tanggungjawab polis tetapi juga Menteri Dalam Negeri serta saya sendiri sebagai ketua kerajaan yang turut bertanggungjawab kepada rakyat untuk menjayakan matlamat ini. Sejak NKRA diumumkan tahun lepas dengan mensasarkan penurunan kadar jenayah sebanyak lima peratus menjelang tahun 2010, ia mula menunjukkan tanda positif apabila dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, ia turun sebanyak 13 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Permulaan ini memberi petanda serta dorongan yang baik bagi meneruskan momentum untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Jika nak berjaya perangi jenayah perlu tentukan kekuatan dalam semua aspek bukan sahaja anggota dan tiga nilai yang dinyatakan tetapi juga kemahiran-kemahiran baru seperti teknologi, alat komunikasi terbaik serta dalam semua aspek. Perdana Menteri memberi contoh balai polis bergerak yang ada perlu mempunyai kelengkapan alat komunikasi lebih efisyen agar para anggota di balai mudah berhubung dan mengambil tindakan secepat mungkin sekiranya kejadian jenayah berlaku.
Bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Adenan Satem dilantik sebagai Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri Sarawak yang bertanggungjawab dalam hal ehwal awam berkuatkuasa 2 April ini. Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata jawatan Adenan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Datu itu setaraf dengan jawatan menteri penuh. "Berdasarkan kepada pengalaman Datuk Seri Adenan kita berharap beliau boleh melaksanakan tanggungjawab dalam jawatan baru beliau ini khasnya berkaitan bidang maklumat dan penyiaran," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet negeri di Wisma Bapa Malaysia di sini pada 25.3.2010.
Abdul Taib juga menaikkan jawatan menteri penuh kepada Menteri Muda di pejabat Ketua Menteri (Sumber Manusia dan latihaan) dan Menteri Muda Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (Pembangunan Wanita) dan Menteri Muda Pemodenan Pertanian (ekonomi Rumah Tangga dan Latihan) Datin Fatimah Abdullah sebagai Menteri di Pejabat Ketua Menteri. Beliau yang juga Adun Dalat bertanggungjawab dalam pendidikan awal kanak-kanak, pembangunan keluarga selain menjaga bahagian perancangan dan latihan."Fatimah dilihat berjaya melaksanakan beberapa program khasnya yang melibatkan pendidikan awal kanak-kanak serta pembangunan keluarga dan kita mahu ada seorang menteri penuh untuk melaksanakan dan memantapkan lagi tugas ini," katanya.



