Sabtu, 20 Mac 2010

Cabaran ekonomi berpendapatan tinggi

Kekurangan tenaga mahir yang tepat dengan keperluan industri merupakan antara cabaran perlu diatasi Sarawak ketika memasuki era ekonomi berpendapatan tinggi dalam fasa kedua politik pembangunan. Industri berteknologi tinggi yang tercetus menerusi pelaksanaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) menurut Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud memerlukan ramai pekerja mahir. Tetapi sumber manusia diperlukan bukan seperti yang diperlukan dalam fasa pertama politik pembangunan. Ini adalah satu masalah dan peluang yang mencetuskan strategi baru dalam bidang pendidikan dan kemahiran tinggi.



Tenaga mahir itu mencakupi pelbagai bidang kejuruteraan dan teknologi maklumat yang akan membantu para pelabur menggerakkan operasi industri-industri berat. Menerusi fasa kedua, Sarawak katanya berjaya menarik kemasukan syarikat-syarikat asing untuk menanam modal dalam SCORE – satu kawasan yang merentasi antara Tanjung Manis di Mukah dan Similajau di Bintulu. Antara industri yang muncul menerusi SCORE ialah peleburan aluminium, industri makanan halal, tenaga, perkayuan dan industri-industri sokongan. Fasa kedua dapat menarik para pelabur dari luar negara dan dapat membuka kilang besar yang berjumlah RM8 bilion untuk tanam modal di Sarawak.


Menyedari hakikat itu kerajaan negeri memberi tumpuan terhadap penyediaan institusi pengajian tinggi dan pusat-pusat kemahiran agar para belia dilengkapi pendidikan serta kemahiran bersesuaian dengan permintaan industri-industri. Antaranya, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Teknologi MARA, Curtin University dan Swinburne University of Technology. Untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi, sumber-sumber asli dimiliki Sarawak perlu dibangunkan dengan tujuan memberi manfaat kepada rakyat. Matlamat mencapai kemakmuran ekonomi merangkumi usaha membangunkan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) menerusi konsep baru iaitu perladangan kelapa sawit.


Kerajaan mensasarkan sejuta hektar tanah untuk ditanam dengan kelapa sawit dan kini kira-kira 90 peratus sasaran itu telah dicapai. Menerusi pelbagai usaha, kini Sarawak mampu menurunkan kadar kemiskinan kepada empat peratus. Usaha itu akan diteruskan sehingga mencapai matlamat. Sekarang tumpuan kerajaan adalah untuk meningkatkan pembangunan modal insan agar Sarawak terus maju ekonominya. Masa sudah tiba untuk kita mencapai ekonomi berpendapatan tinggi seperti yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tiada ulasan: