Jumaat, 14 Ogos 2009

Banteras penyeludupan gula ke negara jiran

Kerajaan Negeri Sarawak akan memperketatkan dan sentiasa memantau semua kawasan di negeri ini termasuk sempadan dalam mengawal penyeludupan gula ke negara jiran. Ketua Seksyen Penguat Kuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDN-KK) Mohd Rahim Ibrahim berkata, pihaknya sentiasa menghantar pegawai-pegawai setiap hari di semua kawasan termasuk memantau para pembekal.

Kementerian dengan kerjasama Polis dan Tentera membuat pemantauan dari setiap pelabuhan yang ada di negeri ini sehingga ke pembekal utama, malahan juga akan mengikuti ke mana agihan gula akan dibekalkan selain daripada pemantauan biasa di peringkat pemborong dan peruncit. Kementerian baru-baru ini juga turut mengadakan perjumpaan dengan pihak berkuasa di sempadan termasuk askar yang membuat kawalan di kawasan berkenaan, bagi meningkatkan mutu kawalan kita yang mungkin sebelum ini tidak begitu tegas


Minggu lepas pihak KPDNKK berjaya menahan sebuah lori yang membawa 200 kampit gula yang berjumlah 10 tan dipercayai dalam perjalanan menuju ke sempadan antara Sarawak dan Kalimantan, Indonesia. Justeru itu Kementerian dengan kerjasama daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan pemantauan dalam mengesan cubaan menyeludup gula ke negara jiran. Pihak KPDNKK mengakui ada sesetengah premis terputus bekalan sejak kebelakangan ini tetapi bukan bermakna ia kekurangan bekalan gula. Ia cuma berlaku masalah pergerakan pengangkutan untuk menghantar bekalan, lagipun di kawasan bandar kita masih mempunyai stok yang mencukupi.

Apabila keadaan sedemikian berlaku ia menimbulkan rasa panik kepada semua pihak yang mengatakan kekurangan bekalan gula. Khabar yang mengatakan bekalan gula berpunca dari penyeludupan ke negara jiran, ia adalah tidak benar sama sekali kerana ia sebenarnya berpunca daripada dalaman. Apabila isu ini timbul di Semenanjung Malaysia, kita di sini juga turut kena tempias. Selain daripada itu, pemborong gula yang didapati menyelewengkan bekalan gula sehingga menimbulkan masalah kekurangan bahan itu di pasaran bakal berhadapan tindakan tegas termasuk lesen perniagaan mereka dibatalkan. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemborong gula yang didapati bersalah dan tidak akan melayan sebarang rayuan mereka selepas lesen dibatalkan.

Sementara itu mengulas mengenai spekulasi harga telur ayam naik di negeri ini, Mohd Rahim menegaskan pihaknya masih lagi menjalankan siasatan dan kajian mengenainya. Ini kerana daripada apa yang kita dengar ia adalah kerana persatuan yang mencadangkan untuk menaikkan harga telur. Justeru bagi mengetahui perkara yang sebenarnya dan tujuan mereka, pihak KPDNKK akan menjalankan kajian.

Tiada ulasan: