Ahad, 2 Ogos 2009

50,000 Pelajar IPTA Tahun Satu Diberi 100 Unit Percuma Saham 1Malaysia

Seramai 50,000 pelajar tahun satu peringkat ijazah pertama Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang mendaftar pada sesi pendaftaran pertengahan tahun ini diberikan 100 unit Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia) yang bernilai RM100 secara percuma sebagai insentif untuk mereka melabur dalam saham tersebut. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengumumkannya pada Jumaat yang lalu dan berkata sumbangan itu diberikan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan ejen-ejen Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) iaitu Malayan Banking Berhad, CIMB Bank Berhad, RHB Bank Berhad dan Pos Malaysia Berhad.
Kita tidak melupakan kepentingan generasi muda di dalam membina bangsa akan datang. Sebagai pewaris negara, kita mahu melihat golongan muda ini mendapat pendidikan sekurang-kurangnya peringkat ijazah agar mereka menjadi warganegara yang berwawasan dan progresif. Mereka harus bijak membuat keputusan terutama di dalam bidang pelaburan dan perancangan kewangan, katanya semasa melancarkan dana AS 1Malaysia yang lahir dari visi 1Malaysia yang menjadi gagasan pentadbirannya di sini.AS 1Malaysia ialah dana ekuiti harga tetap iaitu RM1 seunit, dengan saiz dana berjumlah 10 bilion unit, yang merupakan tawaran dana terbesar oleh PNB setakat ini dan akan dibuka kepada langganan awam selama 30 hari.
Pelaburan awal minimun bagi AS 1Malaysia ialah 100 unit manakala pelaburan tambahan minimum sebanyak satu unit. Pelancaran dana yang dijanjikan beliau ketika berucap sempena 100 hari pentadbirannya pada 11 Julai lepas menunjukkan komitmen kerajaan dalam merealisasikan apa jua yang dijanjikan. Sebelum ini beliau telah janjikan pada 100 hari akan lancarkan satu tabung dana khas yang diberi nama AS 1Malaysia. Hari ini genap congak 128 hari pentadbirannya dan Alhamdulillah janji telah pun ditunaikan. Selari dengan konsep 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, rakyat Malaysia tidak kira kaum dan agama perlu bergerak bersama dalam memberi sumbangan kepada negara kerana impaknya tentu sekali amat besar.
Rakyat didahulukan ini mengingatkan kita tentang kewujudan pelbagai institusi termasuk PNB untuk kemudahan rakyat. Pencapaian diutamakan pula kalau kita hendak buat sesuatu, perlu buat dengan secepat mungkin supaya impak dapat dirasai oleh rakyat tepat pada masanya. Pelancaran dana itu juga amat bermakna kerana bersempena dengan sambutan Hari Pahlawan yang disambut pada 31 Julai setiap tahun. Ada dua tunjang untuk pembangunan negara iaitu keamanan dan kebebasan. Bila kita sebut Hari Pahlawan, kita mesti ingat tiada apa dicapai secara percuma , malah kebebasan dan keselamatan. Semuanya mempunyai harga yang perlu dijelaskan. Kepimpinan negara yang sejak merdeka tepat pada masanya dengan cara dan kaedah yang tersendiri tetapi tetap berpaksi pada prinsip dan martabat untuk terus membangunkan agama dan membela rakyat.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya syorkan agar skim ini turut diberikan kepada pelajar di IPTS. Jika kita ingin merealisaikan 1Malaysia, saya percaya pelajar di IPTS tidak sepatutnya di anak tirikan oleh Kerajaan. Peluang yang sama patut diberikan.