Khamis, 18 Februari 2010

Sarawak mohon RM30 juta

Kementerian Alam Sekitar dan Kesihatan Awam negeri akan memohon peruntukan pembangunan sebanyak RM30 juta daripada kerajaan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10). Menteri Muda Alam Sekitar negeri, Datuk Peter Nansian Ngusie berkata, cadangan peruntukan itu akan dikemukakan bagi melaksanakan kerja-kerja pembangunan tapak pelupusan sampah yang baru membabitkan kawasan majlis-majlis tempatan. Ketika ini, majoriti tapak pelupusan sampah di kawasan berkenaan belum lagi mencapai tahap satu bagi menguruskan sistem pelupusan sisa pepejal domestik dengan efektif.
Meskipun Sarawak mempunyai tapak pelupusan sisa pepejal yang agak banyak, namun ia tidak mencukupi untuk menampung jumlah sampah yang dihasilkan. Bayangkan di bandar raya ini sahaja dianggarkan 500 tan metrik sampah dilupuskan sehari. Bukan itu sahaja, tapak pelupusan sampah konvensional berisiko tinggi terhadap alam sekitar dan manusia. Justeru, kita memohon peruntukan RM30 juta ini bagi mewujudkan kemudahan pelupusan sampah yang baik seperti pelupusan sanitari secara timbusan.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Taman Pengurusan Sisa Bersepadu Kuching dekat Mambong yang membabitkan kos RM116 juta. Ketika ini, Sarawak mempunyai 41 buah tapak pelupusan sampah. Pembuangan sampah sesuka hati serta sistem pelupusan yang tidak teratur merupakan beberapa masalah yang perlu ditangani segera. Sebagai contoh, katanya, walaupun lebih 90 peratus kawasan di bandar raya ini disediakan tong sampah beroda serta pusat pengumpulan sampah, namun penduduk masih membuang sampah sesuka hati. Sampah pepejal yang sukar dilupus seperti plastik, tayar dan lain-lain mengambil ruang yang besar di tapak pelupusan sampah serta merosakkan keindahan alam sekitar kita. Beliau berharap masyarakat lebih bertanggungjawab dan bekerjasama untuk memastikan alam sekitar kita bersih dan terpelihara.

Tiada ulasan: