Ahad, 25 April 2010

PNB serah zakat perniagaan RM2.48 juta kepada Sarawak

Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM2.48 juta bagi tahun kewangan 2009 kepada negeri Sarawak. Cek zakat perniagaan kumpulan PNB diserahkan oleh Pengerusi PNB Tun Ahamd Sarji Abdul Hamid kepada Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bagi pihak Majlis Islam Sarawak.


Sarawak merupakan negeri pertama yang menerima zakat perniagaan daripada institusi pelaburan utama negara, PNB bagi tahun kewangan 2009. Pada tahun lepas Sarawak telah menerima zakat perniagaan berjumlah RM2.7 juta bagi tahun kewangan 2008. Zakat perniagaan merupakan satu kewajipan yang ditunaikan oleh PNB dalam membantu mereka yang layak menerimanya dan akan terus dilaksanakan di negeri-negeri lain dari semasa ke semasa.


Zakat yang dibayar adalah hasil keuntungan PNB daripada perniagaan dalam pegangan pelaburan, pengurusan harta, pengurusan unit amanah dan hartanah, khidmat perundingan pengurusan dan pengurusan pelaburan. Pembayaran zakat oleh Kumpulan PNB ini dikira mengikut haul dan nisab yang sudah ditetapkan dan ia tidak meliputi agihan pendapatan untuk pemegang unit amanah yang melabur dalam tabung yang dikendalikan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Oleh itu pemegang akaun dinasihatkan melunaskan sendiri zakat bagi pelaburan dalam setiap unit amanah berkenaan.

Tiada ulasan: