Sabtu, 10 April 2010

Portal MyPROCUREMENT


Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, Malaysia telah banyak mengecap kejayaan, namun ia tidak terkecuali daripada dilanda oleh gejala rasuah, seperti negara-negara lain juga. Rasuah adalah ibarat barah yang boleh menghancurkan masyarakat dan negara. Komitmen kerajaan terhadap usaha memerangi rasuah terbukti melalui penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan hakikat bahawa salah satu dari enam bidang keberhasilan utama (NKRA) negara adalah memerangi rasuah.

Sehubungan dengan itu Kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif untuk membanteras gejala rasuah. Usaha-usaha ini memerlukan keazaman politik yang kuat dengan kerjasama dan sokongan sektor awam, sektor swasta dan semua lapisan masyarakat. Ini merupakan prasyarat utama bagi mewujudkan sebuah negara yang bersih dari amalan rasuah. Sejajar dengan aspirasi untuk menghapuskan rasuah ini, Kerajaan telah mengumumkan inisiatif ”Membanteras Rasuah” sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP). Antara aspek yang ditekankan adalah untuk menumpukan usaha ke arah meningkatkan tahap ketelusan dan integriti dalam urusan perolehan Kerajaan.

Salah satu langkah terkini yang diambil ialah membangunkan Portal MyPROCUREMENT - Pusat Maklumat Perolehan Kerajaan yang boleh dicapai menerusi laman web Perbendaharaan. Matlamat utama Portal MyPROCUREMENT ini ialah untuk meningkatkan ketelusan dan memastikan keseragaman dalam penyebaran maklumat berkaitan perolehan Kerajaan. Melalui laman web ini, Kerajaan akan memaparkan pelbagai maklumat berkaitan perolehan Kerajaan seperti:

· iklan tender;

· keputusan tender;

· dasar perolehan Kerajaan;

· tatacara perolehan Kerajaan;

· soalan-soalan lazim;

· Integrity Pact, dan lain-lain.

Sebagai permulaan, portal ini memaparkan senarai iklan tender dan keputusan tender semua Kementerian dari bulan Jun 2009 sehingga yang terkini. Untuk mendapatkan butiran terperinci tender, pautan ke laman web kementerian yang berkaitan turut disediakan. Di masa akan datang, portal ini akan dilengkapi dengan lebih banyak maklumat bagi membantu orang awam atau syarikat yang mengambil bahagian dalam urusan perolehan Kerajaan. Portal MyPROCUREMENT ini akan memaparkan maklumat berkaitan perolehan bagi memudahkan orang ramai mendapat maklumat yang diperlukan. Sebelum ini, maklumat berkaitan tatacara perolehan telah pun sedia dipaparkan di dalam laman web Perbendaharaan, manakala maklumat berkaitan iklan dan keputusan tender boleh dilayari di laman web setiap Kementerian ataupun di portal MyGovernment.

Untuk memperkemaskan peraturan dan prosedur perolehan sedia ada, banyak usaha telah diambil oleh Kementerian Kewangan antaranya melalui ;

· Surat Pekeliling Perbendaharaan (SPP) Bil. 5 Tahun 2007 mengenai Tatacara Pengurusan Perolehan Kerajaan Secara Tender;

· SPP Bil. 5 Tahun 2009 mengenai Tatacara Pengurusan Perolehan Secara Sebut Harga;

· SPP Bil. 9 Tahun 2009 berkaitan Had Kuasa Lembaga Perolehan Agensi;

· SPP Bil. 5 Tahun 2000 mengenai Pelaksanaan ePerolehan Di Bawah Program Kerajaan Elektronik;

· SPP Bil. 3 Tahun 2009 mengenai Tatacara Pengurusan Perolehan Kerajaan Secara eBidding Melalui Sistem ePerolehan;

· Surat Arahan Perbendaharaan (SAP) Bertarikh 21 Mac 2008 mengenai Garis Panduan Penilaian Tender; dan

· SAP bertarikh 28 Februari 2009 mengenai Peringatan Mengenai Kesalahan Rasuah Dalam Dokumen Perolehan Kerajaan

Dengan adanya portal MyPROCUREMENT ini, diharapkan agar semua pihak akan mendapat maklumat yang tepat mengenai perolehan Kerajaan serta mengetahui perkembangan dan pembaharuan dalam perolehan Kerajaan. Portal ini adalah penting sebagai pusat pengumpulan maklumat perolehan daripada semua Kementerian. Semua Pegawai Pengawal hendaklah memberi komitmen untuk memastikan semua maklumat berkaitan iklan dan keputusan tender Kementerian masing-masing sentiasa dikemas kini dan dimuat naik dalam laman web masing-masing. Maklumat yang dimuat naik mestilah tepat dan cepat (timely) bagi menjamin integriti data tersebut agar tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak memandangkan maklumat tersebut dipaparkan untuk pengetahuan umum.

Selain daripada itu, sebagai langkah untuk meningkatkan integriti dan mengelakkan rasuah dalam urusan perolehan Kerajaan, mulai 28 Februari 2009 Kementerian Kewangan telah pun mensyaratkan satu klausa khas berkaitan Integrity Pact dimasukkan dalam semua teks perjanjian yang berkaitan dengan kontrak perolehan Kerajaan. Sebagai tambahan, mulai 1 April 2010 iaitu mulai hari ini, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:

·Kesemua pembida dikehendaki menandatangani Surat Akuan Pembida;

·Pembida berjaya dikehendaki menandatangani Surat Akuan Pembida Berjaya; dan

·Seterusnya menandatangani teks perjanjian yang mengandungi Klausa Pencegahan Rasuah Dalam Perolehan Kerajaan

Semua inisiatif ini dilakukan demi untuk memperbaiki dan memperkukuhkan tahap integriti dan ketelusan sistem perolehan Kerajaan. Untuk maklumat lanjut, layarilah http://myprocurement.treasury.gov.my.

Tiada ulasan: