Selasa, 13 April 2010

Yayasan 1Malaysia Sambut Baik Penubuhan Jawatankuasa Kerja Antara Agama

Yayasan 1Malaysia berkata penubuhan Jawatankuasa Kerja Antara Agama merupakan langkah baik dan ia amat bermakna kerana institusi Islam dan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) mempunyai wakil masing-masing dalam jawatankuasa itu. Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan 1Malaysia Dr Chandra Muzaffar berkata walaupun kedudukan dan struktur jawatankuasa serta keanggotaannya berbeza dengan apa yang dicadangkan Yayasan 1Malaysia awal tahun ini, adalah menjadi harapan ia akan dapat menyelesaikan kontroversi berkaitan isu agama yang menjadi cabaran negara kebelakangan ini.

Jawatankuasa itu, yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, bukan sahaja hanya menyediakan penyelesaian konkrit isu-isu yang menghimpit masyarakat pelbagai agama tetapi juga mengubah corak pemikiran segmen masyarakat utama negara ini tentang bagaimana mereka memahami dan mengamalkan kepercayaan masing-masing. Ini merupakan tugas yang perlu ditangani jawatankuasa dengan sokongan dan kerjasama pelbagai kumpulan dalam masyarakat yang turut komited kepada transformasi tingkah laku berpengaruh terhadap agama di Malaysia hari ini. Chandra berkata jawatankuasa itu perlu mengkaji undang-undang dan dasar-dasar di negara-negara penduduknya beragama Islam yang turut berhadapan dengan cabaran-cabaran serupa dalam hubungan mereka dengan kaum-kaum minoriti bukan Islam.


Pengalaman-pengalaman dalam masyarakat lain mungkin dapat membantu kita untuk memahami keadaan sendiri dengan lebih baik ketika kita mencari kaedah dan jalan penyelesaian dalam situasi yang dihadapi. Beliau juga berpendapat jawatankuasa perlu mengadakan perbincangan dengan kumpulan-kumpulan dan para individu yang mempunyai pengetahuan dan pemahaman mengenai isu-isu yang ditangani jawatankuasa.

Jawatankuasa ini mungkin mahu bertemu dengan tokoh-tokoh Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam (IAIS), yang banyak melakukan penyelidikan berhubung isu-isu perundangan Islam dalam dunia kontemporari dan hubungan antara agama. Beliau turut mencadangkan jawatankuasa agar melihat semula draf laporan yang disediakan sebuah jawatankuasa di bawah Peguam Negara, yang meliputi badan-badan Islam, wakil-wakil pelbagai agama, badan-badan bukan kerajaan (NGOs) yang berbincang sejak 2005 hingga 2007.


Jawatankuasa itu membincangkan isu-isu mengenai pertukaran dan penjagaan anak-anak, hak pasangan apabila seorang daripada pasangan memeluk agama lain, status seseorang yang pegangan agamanya dipertikaikan dan beberapa perkara berkaitan. Walaupun laporan itu tidak mendapat persetujuan daripada seluruh anggota jawatankuasa, banyak penyelesaian yang dicadangkan adalah seimbang, rasional dan inklusif. Jika mereka boleh melihat semula dengan fikiran terbuka, Jawatankuasa Kerja Antara Agama akan dapat memudahkan tanggungjawabnya.

Tiada ulasan: