Ahad, 7 Jun 2009

Basmi Iklan Ah Long

Dewan Banda-raya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) digesa lebih tegas melakukan penguatkuasaan bagi membasmi iklan-iklan syarikat pinjaman wang tanpa lesen atau ah long yang ditampal secara haram di tempat awam seperti perhentian bas, tiang telefon, lampu jalan dan papan tanda ‘mencemar’ pemandangan.

Dalam pada itu, pegawai majlis perbandaran yang ditemui memberitahu, semua iklan yang dipamerkan dalam kawasan bidang kuasa majlis tempatan perlu memohon permit. Bagaimanapun, kebanyakan iklan ah long yang ditampal di kawasan kemudahan awam bukan hanya tidak mempunyai permit, malah tidak menepati standard sehingga mencacatkan pandangan terutama dengan penggunaan kad dan kertas kecil serta papan.

Majlis perbandaran perlu mengambil langkah drastik memusnahkan iklan-iklan tanpa permit yang ditampal sesuka hati oleh ah long di kawasan awam untuk menarik perhatian peminjam menggunakan perkhidmatan mereka. Masyarakat juga dinasihatkan tidak mendekati ah long untuk mendapatkan pinjaman segera sebaliknya menggunakan kemudahan yang disediakan oleh institusi kewangan seperti bank dan koperasi. Peminjam memang terpaksa memenuhi beberapa syarat yang ditetapkan oleh institusi kewangan berlesan dalam urusan membuat pinjaman tetapi itu lebih selamat berbanding menggunakan perkhidmatan ah long.Kerajaan menyediakan pelbagai bantuan kepada usahawan untuk memulakan perniagaan tanpa perlu meminjam dengan ah long termasuk melalui pinjaman TEKUN dan AIM yang menawarkan kadar bayaran balik jauh lebih murah.

Tiada ulasan: