Sabtu, 6 Jun 2009

Konsep 1Malaysia Tidak Menyimpang Daripada Perlembagaan Persekutuan

Konsep 1Malaysia tidak sekali-kali menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan sama ada secara tersurat atau secara tersirat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru, sebaliknya matlamat akhir konsep 1Malaysia iaitu perpaduan nasional menjadi wawasan utama pemerintah terdahulu yang telah diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan prakarsa sepanjang lebih lima dekad yang lepas.

Jika disingkap kembali sejarah, semenjak mula para patriot memperjuang kemerderkaan tanah air hingga ke hari ini, usaha mencapai perpaduan nasional telah, sedang dan tetap menjadi keutamaan kerana semua pihak sedar tanpa perpaduan yang mantap dan jitu, tidak mungkin segala matlamat dan wawasan nasional dapat diterjemahkan. Jika diamati, apa yang berubah adalah pendekatan dan gerak kerja menurut kesesuaian zaman dan generasi yang silih berganti.

Mengambil iktibar pemerintahan terdahulu, Najib berkata Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj telah mengasaskan penubuhan Parti Perikatan yang merupakan langkah konkrit sulung dalam sejarah negara bagi mencapai perpaduan di bidang politik. Perkara ini juga terbukti apabila masyarakat pelbagai ras di bumi tercinta ini bersatu hati, bersatu tekad dan berkongsi matlamat mereka mampu mendaki tembok yang paling tinggi, menuruni lurah yang paling curam dan menyelami lautan yang paling dalam. Perkara ini terbukti apabila negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan tertubuhnya Malaysia tanggal 16 September 1963.

Selain itu, dalam ucapannya, Najib berkata bertitik tolak daripada kejadian 13 Mei, Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kedua telah memperluas konsep kerjasama antara kaum melalui penubuhan Barisan Nasional (BN) termasuklah penggubalan Dasar Ekonomi Baru dan penciptaan ideologi kebangsaan iaitu Rukun Negara. Usaha-usaha murni ini telah dilangsungkan oleh Allahyarham Tun Hussein Onn. Kemudiannya prakarsa-prakarsa ini telah dilonjak ke tahap baru oleh Tun Dr Mahathir (Mohamad) melalui konsep Bangsa Malaysia dan Gagasan Wawasan 2020 yang selepas itu dilestarikan pula oleh Tun Abdullah (Ahmad Badawi) melalui misi Nasional.

Dalam pada itu, kerajaan di bawah pemerintahan Tuanku Mizan Zainal Abidin akan kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti Perkara 3, Perkara 4, Perkara 152, Perkara 153, Bahagian 2, Bahagian 3 seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, janganlah mana-mana pihak berasa gundah gulana atau menaruh syak (dan) juga bimbang bahawa konsep ini akan terpesong dari apa yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh bapa-bapa kita suatu ketika yang lalu. Kerajaan mengangkat konsep 1Malaysia sebagai paksi pentadbiran yang berasaskan kepada beberapa teras utama antaranya penghijrahan daripada perpaduan yang berpaksikan toleransi kepada yang berlandaskan penerimaan, keadilan sosial dan nilai-nilai dikongsi bersama yang mengambil kira realiti sejarah berpandukan keluhuran perlembagaan serta prinsip Rukun Negara.

Matlamat perpaduan nasional tidak dapat dijayakan jika pendekatan ke arah pencapaiannya tidak berpijak di bumi nyata dan bersifat utopia, serta tidak mengendahkan sensitiviti dan realiti kontemporari. Bagi mengurus kemajmukan kaum di Malaysia, ia menuntut hemah dan hikmah yang tinggi. Seandai dan sekiranya tidak berwaspada, akan muncul sama ada satu suasana rasisme di mana kaum minoriti ditindas oleh kaum majoriti ataupun situasi aparteid di mana kaum minoriti pula akan menindas kaum majoriti.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan melakukan pembaharuan dan perubahan struktural secara komprehensif kepada ekonomi negara berasaskan satu model baru ekonomi.Katanya, langkah itu bertujuan memastikan matlamat negara untuk berubah dari negara berpendapatan menengah tinggi kepada kerajaan berpendapatan tinggi, tercapai. Kerajaan juga akan menimbang opsyen termasuklah yang bersifat tidak konvensional dan di luar kebiasaan pemikiran lazim untuk diperhalusi. Model baru ekonomi ini akan menuas kreativiti, menuil inovasi serta menunjang nilai tinggi. Sehubungan itu, sebuah majlis penasihat ekonomi telah dibentuk untuk menjayakan hasrat pembentukan model baru ekonomi ini.

Kerajaan juga telah mengemas kini dan menggubal dasar-dasar bagi mendepani kemelut ekonomi global. Prioriti utama adalah memastikan negara akan mengalami impak seminimum mungkin kesan kegawatan ekonomi global, kedua berusaha untuk keluar dari kemelut ekonomi dan kewangan yang ada dengan kadar paling pantas dan ketiganya secara keseluruhan membantu rakyat menangani keperitan hidup yang dialami. Salah satu teras utama perpaduan adalah keadilan sosial berasaskan kepada pengagihan yang saksama. Untuk hal ini dimanifestasikan, negara memerlukan kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan dan dinamik. Lagipun, kekayaan tidak boleh diagihkan jika kek ekonomi tidak tumbuh dan membesar.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga mengambil langkah untuk melihat semula sistem pendidikan negara dengan memasukkan elemen inovasi, kreativiti, keusahawanan dan nilai-nilai budaya tinggi. Langkah itu diharap akan dapat melahirkan guna tenaga yang akan mampu menghadapi cabaran dan persaingan era ekonomi baru. Kerajaan juga akan menyemak kembali dasar-dasar, undang-undang dan peraturan yang sedia wujud bagi memastikan persekitaran pelaburan yang lebih kondusif untuk merangsang pelaburan terus asing dalam membantu merealisasikan model baru ekonomi itu.

Tiada ulasan: