Ahad, 28 Jun 2009

Hayatilah Konsep 1Malaysia

Gagasan '1Malaysia' perlu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini supaya tidak terpesong dengan dakyah parti pembangkang yang hanya mahu memperalatkan konsep itu demi kepentingan politik masing-masing. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata di sebalik gagasan itu terkandung hasrat pucuk pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mengutamakan kepentingan rakyat supaya negara kekal bersatu padu.
Rakyat pelbagai kaum dan keturunan, agama dan budaya akan dapat terus kekal di bawah lembayung BN, meneruskan segala usaha memajukan negara untuk menjadi negara maju. Ia satu gagasan yang penting untuk membentuk semangat kerjasama dan perpaduan tulen di kalangan rakyat. Gagasan yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya telah lama dijadikan asas dalam membentuk kerjasama dalam BN demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat. Konsep yang diperkenalkan BN itu ternyata terbukti banyak memberi faedah serta menjamin hak rakyat. Oleh itu, tidak harus wujud kelompok dalam masyarakat merasa terabai dan tidak menerima perhatian adil atau saksama dari kerajaan, katanya.
Pembangkang sengaja menceritakan segala kelemahan, membawa cerita tidak tepat selain pelbagai tuduhan terhadap kerajaan. Bagaimanapun, tiada siapa pun yang ada dalam negara kita tidak boleh menafikan kenyataan bahawa konsep atau pendekatan yang kita guna selama ini sebenarnya berjaya memupuk semangat kerjasama dan perpaduan. Juga dimaklumkan Pelan perancangan Rancangan Malaysia ke-10 (2011 hingga 2015) akan mengutamakan semua isu dan masalah rakyat semua kaum yang belum diselesaikan sebelum ini. Oleh itu marilah kita semua menghayati dan meneliti dengan mendalam lagi konsep 1 MALAYSIA.

Tiada ulasan: