Ahad, 14 Jun 2009

Keadilan Untuk Semua

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tidak ada satu kaum atau wilayah pun akan ketinggalan daripada menikmati pembangunan menerusi gagasan 1Malaysia. Gagasan 1Malaysia menekankan penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum yang menerima keunikan kaum lain dengan satu matlamat untuk membentuk negara maju dan kukuh perpaduan. "Pengertian 1Malaysia daripada perspektif kerajaan ialah semua kaum wajar mendapat bantuan daripada kerajaan yang akan mewujudkan negara berpaksi kepada konsep keadilan sosial" katanya berucap dalam majlis Rumah Terbuka Malaysia Gawai Dayak di Stadium Perpaduan di Kuching pada 13 Jun 2009.



Najib yang pertama kali mengadakan kunjungan ke Sarawak selepas mengambil alih jawatan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, berkata kerajaan dalam melaksanakan pembangunan akan terus mengambil kira taraf kemajuan yang dicapai oleh sesuatu kaum atau kedudukan geografi penduduk.


Penduduk di pedalaman berbanding yang berada di bandar-bandar seperti Kuala Lumpur akan terus mendapat perhatian lebih agar mereka tidak terpencil daripada arus pembangunan. Berasaskan konsep inilah maka 1Malaysia mengutarakan prinsip keadilan untuk semua kaum. Ini membawa maksud bahawa nasib semua kaum termasuk kaum-kaum etnik di Sarawak akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Pada masa yang sama beliau mengucapkan tahniah kepada Taib kerana berjaya membangunkan Sarawak secara dinamik.

Terdahulu, Taib berkata masyarakat Dayak di Sarawak kini sudah muncul dengan identiti tersendiri di kalangan masyarakat Malaysia. Menerusi perayaan Gawai Dayak misalnya, kerajaan cuba menunjukkan pengiktirafan terhadap kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.
Dalam rancangan pembangunan, kerajaan tidak mengetepikan soal-soal ke-budayaan setiap etnik.

Majlis gilang-gemilang itu diselang-selikan dengan persembahan kebudayaan, ratu cantik Kumang Iban, Keligiti Orang Ulu, Dayung Temengun Bidayuh serta nyanyian daripada para pe-nyanyi Dayak. Bertemakan ‘1Malaysia, Segulai Sejalai’, majlis itu turut mementaskan drama mu-zikal ‘Simpang Impang’ yang mengisahkan seorang petani Iban oleh kumpulan daripada Kampung Budaya Sarawak.

Tiada ulasan: