Rabu, 17 Jun 2009

Bersama Perangi Denggi

Kementerian Kesihatan meminta orang ramai segera bekerjasama dengannya bagi memerangi demam denggi memandangkan jumlah kematian akibat penyakit itu semakin meningkat dan pihak berkuasa kesihatan tidak berupaya membasmi penyakit itu secara bersendirian. Sambil melahirkan rasa bimbangnya, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata walaupun kementerian telah mengambil pelbagai langkah pencegahan, namun jumlah kes terutama yang melibatkan kematian, terus meningkat. Sejak awal tahun ini hingga sekarang, kementerian menerima laporan mengenai 22,000 kes demam denggi, yang melibatkan 57 kematian.

Peningkatan ini disebabkan oleh banyak faktor termasuk kesedaran orang ramai yang masih kurang. Mereka perlu tampil memberi bantuan. Februari lepas, Kementerian Kesihatan telah mengisytiharkan perang terhadap demam denggi. Sebaik saja mengenal pasti kawasan yang ada pentyakit ini, pihak kementerian akan masuk dan hapuskan nyamuk. Setiap orang perlu memainkan peranan dalam membersihkan kawasan. Jika kita bersihkan tempat yang boleh menjadi tempat ia membiak, saya rasa nyamuk tidak akan selamat.

Pada musim kemarau sekarang, orang ramai perlu berwaspada. Jentik-jentik boleh hidup selama enam bulan dalam longkang. Telur akan menetas apabila hujan. Musim kemarau sekarang adalah masa paling baik untuk menghapuskan denggi. Kementerian Kesihatan telah menubuhkan satu pasukan petugas dikenali sebagai COMBI bagi melatih sukarelawan serta menggunakan khidmat mereka untuk meyakinkan orang ramai tentang pentingnya mereka memberi kerjasama dalam memerangi denggi. Kementerian telah menjalankan pelbagai kempen kesedaran. Orang ramai boleh memainkan peranan mereka dengan pergi ke klinik apabila demam dan doktor pula perlu melaporkan kes berkenaan dengan segera kepada Kementerian Kesihatan.
Sebanyak 66 peratus penghidap denggi berjaya disembuhkan jika segera dirawat, dan ini terbukti kerana daripada 57 kes bahaya yang dilaporkan sebelum ini, 38 pesakit berjaya disembuhkan. Kementerian akan terus melawan penyakit ini walaupun kelihatan seolah-olah tewas. Kementerian Kesihatan ingin menegaskan sekali lagi tentang komitmen kementerian dalam memerangi denggi dan akan berusaha secara habis-habisan bagi mengawalnya. Dalam minggu pertama tahun ini, sebanyak 1,600 kes denggi dilaporkan tetapi menurun kepada 630 minggu lepas. Secara menyeluruh, dari 2003 hingga 30 Mei tahun ini, sebanyak 264,289 kes dilaporkan, 49 peratus daripadanya dicatat di Lembah Klang. Walaupun secara perbandingan, jumlah tahun ini lebih rendah berbanding tahun lepas, tapi jumlah kematian amat tinggi.

Namun demikian, kementerian tetap yakin mampu mengurangkannya dan pengurangan jumlah kes yang dilaporkan minggu lepas merupakan petanda baik ke arah ini. Dalam kaji selidik kementerian itu baru-baru ini, 90 peratus responden berkata mereka tahu tentang denggi, manakala 80 peratus lagi berkata mereka tidak dapat mengenal pasti tempat nyamuk aedes membiak. Bagaimanapun, apabila ditanya tentang penyertaan mereka dalam kerja kemasyarakatan, hanya 13 peratus berkata mereka sedia mengambil bahagian, manakala selebihnya enggan berbuat demikian kerana berpendapat kerja pembersihan perlu dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan kerana setiap tahun, mereka membayar cukai taksiran.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sendiri melahirkan kebimbangan yang amat mendalam tentang keadaan denggi di negara ini berikutan jumlah kematian yang dilaporkan sejak awal tahun ini. Menteri Kesihatan melaporkan keadaan tersebut kepada Kabinet dari semasa ke semasa dan cabaran paling besar ialah untuk menggerakkan orang ramai supaya sama-sama berusaha membanterasnya. Oleh itu sama-samalah kita bekerjsama dengan kementerian untuk perangi penyakit Denggi. Hapuskan Aedes, Hapuslah Denggi.....

Tiada ulasan: